Anda di halaman 1dari 2

Kisah Urwais menyayangi orang tua wajar dijadikan teladan

Umat Nabi Muhammad SAW seharusnya sedar meraikan ibu mahupun bapa tidak boleh
dilakukan dalam bentuk berkala dan sesekali sekala saja. Menjadi tanggungjawab utama yang
perlu diutamakan setiap anak, sentiasa menghormati dan menjaga kedua-dua ibu bapa tanpa
melihat kepada takwim.
Ibu adalah anugerah agung yang dikurniakan Allah kepada kita. Lihatlah bagaimana Urwais alQarni yang mendapat pengiktirafan tertinggi daripada Allah sebagai bakal ahli syurga sematamata kasih sayang terhadap ibunya.
Baginda SAW ketika bersama sahabatnya, pernah menceritakan watak dan personaliti Urwais
buat pengetahuan sahabat. Terpegun sahabat baginda tatkala baginda menyarankan mereka
memohon kepada Urwais supaya berdoa kerana doa Urwais sangat dikabulkan Allah.

Baginda SAW juga ada memberitahu bahawa pada hari kiamat nanti, ketika semua ahli ibadah
dipanggil untuk masuk ke syurga, Urwais sebaliknya diminta berhenti dulu untuk memberi
syafaat.
Allah memberikan keistimewaan kepada Urwais untuk memberikan syafaat kepada setiap orang
daripada Kabilah Bani Rabiah dan Mudar. Mereka semua dimasukkan ke dalam syurga tanpa
ada yang tertinggal disebabkan syafaat yang diberikan Urwais.
Kata Baginda SAW lagi, Urwais seorang yang berstatus miskin dan lantaran kedudukan
sosioekonominya yang bertaraf rendah menyebabkan masyarakat sekitar tidak mengenalinya,
malah dikatakan terdapat kalangan masyarakat mengejek dan mengolok-olokkan
perwatakannya.
Urwais seorang yang berjiwa tenang, tidak pernah terguris di hati apa orang lain ucapkan. Dia
tidak pernah berburuk sangka kepada sesiapa meskipun dia sering dituduh sebagai seorang
pencuri.
Segala kata nista dan umpatan keji ditelan bulat-bulat demi menjaga iman dan takwanya di
samping mengharapkan keredaan Allah. Pemuda dari Yaman ini seorang anak yatim dan hidup
bersama ibu yang sudah lanjut usia serta lumpuh. Penglihatan ibunya juga kabur.
Saban hari Urwais yang menjaga dan menguruskan segala hal ehwal ibunya. Biarpun miskin,
hatinya tidak miskin. Hatinya kaya nilai berbudi kepada ibunya sehinggakan baginda
memberitahu Urwais ini tidak terkenal di bumi, tetapi amat popular dalam kalangan penduduk
langit.
Urwais bergantung hidup bersumberkan pekerjaan sebagai pengembala kambing. Upah diterima
sekadar cukup makan bersama ibunya saja. Pada hari-hari tertentu apabila mendapat upah lebih,
dia akan berkongsi dengan jiran tetangganya pula.
Dia tidak pernah kedekut walaupun dia sendiri hidup dalam serba kekurangan. Niatnya dan
azamnya untuk bersedekah kepada insan lain sentiasa terpahat dalam sanubari.
Walaupun sibuk mengembala dan menjaga ibunya, Urwais tidak pernah cuai dalam amal ibadah.
Pada siang hari dia berpuasa dan malam dipenuhkan ibadah yang termampu dilaksanakannya.
Urwais memeluk Islam ketika Yaman menerima seruan Baginda SAW dan Urwais adalah salah
seorang penduduk Yaman terawal menerima seruan dakwah baginda. Ramai penduduk Yaman

yang berkesempatan berkunjung ke Madinah untuk bersama Baginda SAW, tetapi tidak Urwais
lantaran kemiskinan serta perlu menjaga ibu yang uzur.
Berlinang air mata Urwais ketika mendengar cerita masyarakat Yaman yang kembali dari
Madinah, mereka gembira kerana dapat menjadi tamu dan bertemu Rasulullah SAW yang
mereka cintai.
Hari demi hari perasaan rindunya kepada baginda semakin bersarang di lubuk hatinya. Ada
ketikanya dia ingin menyuarakan hasrat untuk ke Madinah kepada ibunya. Namun, selepas
memikirkan keadaan ibunya yang uzur itu, niat itu terpadam begitu saja.
Namun, Urwais akhir mengalah kepada desakan rindunya untuk bertemu Baginda SAW, lalu
dikuatkan hati bertemu ibunya dan memberitahu apa yang terpendam selama ini. Ibunya
memahami niat suci anaknya itu, tetapi berpesan supaya segera pulang selepas berjumpa
Baginda di Madinah.
Malang sekali selepas meredah belantara padang pasir sejauh 800 kilometer, insan yang
dirindui tiada di rumah kerana pada ketika baginda berada di medan peperangan. Baliklah
semula Urwais berbalut hati yang kecewa kerana gagal berjumpa Nabi SAW.
Sekembalinya baginda dari medan perang, Aisyah ada memberitahu seorang pemuda dari
Yaman yang ingin berjumpa baginda. Kemudian baginda memberitahu isterinya dan sahabat:
Kalau kalian ingin berjumpa dengan dia, perhatikanlah yang dia mempunyai tanda putih di
tengah-tengah telapak tangannya.
Baginda kemudian memandang ke arah Umar dan Ali sambil berpesan, Nanti apabila kamu
bertemu dengannya, mintalah doa dan istighfar daripadanya. Dia penghuni langit, bukan
penghuni bumi.
Demikian kisah seorang anak yang taat dan sentiasa mengutamakan ibunya sehingga diangkat
Allah kepada kedudukan tertinggi. Ini satu teladan dan pengajaran buat kita yang hidup di
zaman mutakhir ini.

Anda mungkin juga menyukai