Anda di halaman 1dari 6

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

GURU PEMBINA KECEMERLANGAN UMMAH


(16 MEI 2014/ 16 REJAB 1435H)

Sidang Jumaat yang Dirahmati Allah,


Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi
sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenarbenar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala
larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat. Mimbar
pada hari ini akan membincangkan khutbah bertajuk GURU PEMBINA
KECEMERLANGAN UMMAH .
Sidang Jumaat yang Dirahmati Allah,
Yakin dan percayalah bahawa menuntut ilmu merupakan paksi kepada
kecemerlangan ummah. Oleh itu, ianya memerlukan kesungguhan dan komitmen
untuk mendapatkannya. Maka dengan sebab itu hubungkait seorang guru dengan
ilmu itu sangatlah rapat dan agama Islam meletakkan darjat yang tinggi seseorang
yang berilmu. Demikian tinggi dan mulianya kedudukan guru serta dihormati
sehingga Allah SWT berfirman dalam surah al-Mujadalah ayat 11:

Maksudnya: Wahai orang yang beriman! Apabila kamu diminta memberi lapang
dalam majlis, maka lapangkanlah, nescaya Allah akan melapangkan untuk kamu.
Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan
1

orang yang beriman di antara kamu, dan juga orang yang diberi ilmu pengetahuan
akan darjat. Dan Allah Maha Mengetahui tentang apa yang kamu lakukan.
Sememangnya guru adalah insan mulia kerana mereka telah diamanahkan untuk
menyampaikan ilmu dan mentarbiah masyarakat, mereka diibaratkan seperti
bintang di langit yang menjadi penunjuk jalan bagi menerangi kegelapan di darat
dan lautan. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA:

Maksudnya: Sesungguhnya perumpamaan orang-orang yang berilmu


pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi
petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun di
lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan.
Dalam sejarah ketamadunan Islam, guru atau para ulama adalah golongan yang
amat dihormati oleh masyarakat dan golongan pemerintah. Bukan menjadi sesuatu
yang menghairankan jika seorang khalifah sanggup berjalan ke rumah seorang
ulama, semata-mata untuk menuntut ilmu dan duduk bersama dengan mereka.
Kisah Imam Malik yang merupakan contoh sebagai seorang murid yang
menghormati guru. Jika ada sesuatu persoalan dikemukakan kepadanya, ia lebih
suka merujuk kepada gurunya terlebih dahulu. Beliau pernah berkata: Aku tidak
mahu menjawab permasalahan ini sebelum aku bertanya terlebih dahulu kepada
orang yang lebih alim daripadaku. Apakah pendapatku ini lebih bertepatan dengan
kebenaran. Lihatlah bertapa sikap merendah diri dan rasa hormat seorang Imam
dan ulama terbilang seperti Imam Malik.
Pernah Saidina Ali Karramallahu Wajhah berkata: Aku bersedia menjadi
hamba kepada orang yang mengajarkanku walau satu huruf. Jika mahu, dia boleh
menjualku. Jika mahu, dia boleh menjadikanku hamba, dan jika mahu dia boleh
memerdekakanku. Begitulah betapa hebatnya peribadi sahabat besar Rasulullah
SAW. Betapa mereka memuliakan guru serta menjaga adab dengannya, sehingga
Allah SWT menjadikan mereka insan yang mulia dunia dan akhirat.

Sidang Jumaat yang Dirahmati Allah,


Dewasa ini kita menyedari bahawa kerjaya sebagai guru merupakan tugas yang
penuh dengan cabaran. Antaranya ialah kekangan masa, ancaman gejala sosial serta
berhadapan dengan karenah pelbagai pihak termasuklah cabaran mendidik pelajar
yang pelbagai ragam dan karenah. Bayangkanlah, pada hari ini kita dapat melihat
para pelajar terdedah dengan bermacam-macam anasir luar seperti hiburan yang
melampau, leka dengan media sosial yang pelbagai jenama. Ini menjadikan proses
mendidik mereka berhadapan dengan kesukaran dan memerlukan masa yang
panjang. Fenomena ini bertambah parah apabila rasa hormat kepada guru semakin
terhakis di kalangan murid. Justeru, tugas guru bukan hanya sekadar
menyampaikan ilmu pengetahuan tetapi ia juga berperanan sebagai murrabi untuk
membentuk bangsa supaya menjadi insan yang berakidah, dinamik dan berkualiti di
dunia dan di akhirat. Mereka berada di saf hadapan untuk membangun bangsa yang
cemerlang yang akan menentukan sebuah negara yang maju, aman dan dihormati.
Pepatah arab ada menyebut bahawa:

Maksudnya: Tugas seorang guru itu hampir-hampir menyamai tugas seorang


rasul.
Sidang Jumaat yang Dirahmati Allah,
Yakinlah ummah yang cemerlang ianya haruslah bermula daripada orang yang
mendidik mereka, keupayaan ini mestilah daripada guru yang cemerlang. Namun
ianya haruslah didokong bersama oleh masyarakat terutama ibu bapa seperti kata
pepatah berat sama dipikul ringan sama dijinjing. Sebagaimana Allah SWT
berfirman dalam surah al-Maidah ayat 2:

Maksudnya: dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan


(kebaikan) dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada
melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah,
kerana Allah sesungguhnya Maha Berat Azab siksanya (bagi sesiapa yang
melanggar perintahnya).

Inilah masanya, ibu bapa dan masyarakat hendaklah seiring dan bersama-sama
dalam membina ummah dengan menginstitusikan keluarga, masyarakat dan
persekitaran sebagai sekolah. Ingatlah..ibu bapa mesti mewujudkan suasana
pembelajaran di rumah dan persekitaran dengan memberi perhatian yang serius
terhadap kehidupan seharian anak-anak dan sentiasa peka terhadap perkara-perkara
yang boleh merosakkan nilai dan jati diri anak-anak. Berapa ramaikah ibu bapa
yang mengajar anak-anak untuk menghormati guru? Berapa ramaikah ibu bapa
yang menerapkan kedalam minda anak-anak supaya mereka sayangkan islam,
sayangkan bangsa dan sayangkan tanah air? Sedarlah wahai ibu bapa tentang
peranan kita dan lakukanlah mind setting kepada minda anak-anak kita sebelum
minda mereka dikuasai oleh musuh-musuh Islam. Sesungguhnya, akhlak mulia
merupakan teras kepada pembinaan modal insan. Ingatlah pesan Saidina Ali
Karramallahu Wajhah yang bermaksud: Bukan kecantikan itu menghiasi diri dan
pakaian, sesungguhnya kecantikan itu menghiasi diri dengan ilmu dan adab.
Bukanlah yatim itu seseorang yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang
sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab.
Mimbar percaya hubungan baik antara ibu bapa dengan pihak guru amat
penting agar usaha mengasuh dan mendidik anak-anak berjalan dengan lancar dan
sempurna. Malahan dibantu pula oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru yang
sentiasa berusaha memainkan peranan penting demi membina kecemerlangan anakanak. Ibu bapa dan masyarakat juga perlu menjalin hubungan yang erat dan
berterusan dengan pihak sekolah agar setiap permasalahan yang ditimbulkan oleh
anak-anak dapat diselesaikan secara muhibah. Imam al-Syafie pernah berkata
bahawa ilmu pengetahuan tidak akan dapat dicapai kecuali dengan 6 perkara iaitu
kecerdikan, kesungguhan, kemajuan, perbelanjaan yang cukup, selalu
mendampingi guru dan masa yang lama.
Sidang Jumaat yang Dirahmati Allah,
Mengakhiri khutbah bersempena dengan sambutan Hari Guru pada tahun ini, yang
bertemakan: Guru: Pencetus Kreativiti Penjana Inovasi. Ia suatu hasrat yang
murni dalam usaha yang berterusan untuk terus membangunkan kualiti pendidikan
4

di negara kita sehingga bertaraf dunia. Hasrat tersebut terkandung dalam Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Ia bertepatan dengan visi
Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik,
Negara Sejahtera. Marilah kita memanjatkan doa kehadrat Allah SWT supaya
matlamat kita untuk melihat generasi yang cemerlang terlaksana dengan sempurna
melalui pendidikan berkualiti yang disampaikan oleh para guru. Marilah samasama kita menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru melalui tindakan berikut:
Pertama: Mendoakan kebahagian buat guru-guru, sama ada yang masih hidup atau
yang telah meninggal dunia. Kedua: Menziarahi guru-guru untuk mengeratkan
silaturrahim. Ketiga: Menghulurkan apa juga bentuk sumbangan mengikut
kemampuan masing-masing kepada institusi pendidikan. Keempat: Berkatalah
dengan lemah-lembut dan jangan sekali-kali menyakiti hati guru. Kelima:
Ucapkanlah terima kasih kepada guru-guru dan semua insan yang pernah menabur
bakti dan budi kepada kita.
Buat para guru pula, mimbar berpesan teruslah beristiqomah dengan penuh
keikhlasan dan kesabaran dalam menyampaikan ilmu kepada anak bangsa, mudahmudahan akan diberi ganjaran oleh Allah SWT. Selain itu, mimbar juga ingin
berpesan, walaupun belum mendidik pada masa kini banyak diserahkan kepada
guru. Namun para ibu bapa perlu ingat, bahawa dalam Islam ibu bapalah yang
semestinya mengambil tanggungjawab memberi pendidikan kepada anak-anak
mereka sehingga mereka menjadi seorang yang berilmu, beriman dan seterusnya
patuh dengan suruhan Allah SWT. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah
SWT dalam surah al-Mujadalah ayat 11:

Maksudnya: Wahai orang yang beriman! Apabila kamu diminta memberi lapang
dalam majlis, maka lapangkanlah, nescaya Allah akan melapangkan untuk kamu.
Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan
orang yang beriman di antara kamu, dan juga orang yang diberi ilmu pengetahuan
akan darjat. Dan Allah Maha Mengetahui tentang apa yang kamu lakukan.
5

Anda mungkin juga menyukai