Anda di halaman 1dari 6

PERANAN GURU PENDIDIKAN JASMANI DAN KESIHATAN DALAM MENANGANI

PENYAKIT BERJANGKIT DAN TIDAK BERJANGKIT.


Pengenalan
Kesihatan mempunyai pelbagai cabang, kualiti dinamik menunjukkan kesihatan optimum dan
berkemampuan untuk berfungsi setiap masa. Kesihatan adalah sesuatu yang wujud dari
psikologi, rohani, fizikal, sosial, vokasional dan sumber persekitaran yang membenarkan
kehidupan yang memuaskan dan produktif. Murid-murid sekolah adalah sasaran utama dalam
penyebaran pelbagai penyakit. Ini kerana keadaan persekitaran sekolah yang terbuka. Guru
memainkan peranan penting dalam menangani atau mengesan secara langsung memberikan
pendedahan dan informasi berkaitan penyakit kepada murid melalui pembelajaran dan
pengajaran.
Peranan guru
Guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan memainkan peranan penting dalam membantu
mencegah penyakit. Sepertimana yang perlaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah
( Pendidikan Jasmani TAHUN 1 ) memfokuskan kepada skop PEERS.
PEERS memberi kesedaran dan membantu murid membentuk pandangan yang positif tentang
kesihatan reproduktif dan sosial, menyediakan maklumat yang perlu diketahui supaya mereka
mengambil berat tentang kesihatan seksual, dan membantu mereka memperoleh kemahiran
membuat keputusan yang bertanggungjawab pada masa kini serta masa depan.
Peka kepada keperluan terhadap PEERS yang dilaksanakan melalui mata pelajaran Pendidikan
Kesihatan, maka kurikulum Pendidikan Kesihatan sentiasa disemak dan ditambah baik dari
semasa ke semasa. Bermula tahun 2011, Pendidikan Kesihatan akan diajar secara berasingan
sebagai satu mata pelajaran dan tidak bercantum dengan mana-mana mata pelajaran lain.
Sebelum ini Pendidikan Kesihatan digabung dengan Pendidikan Jasmani dan diajar sebagai mata
pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK). Pendidikan Kesihatan diberi
peruntukan satu waktu (30 minit) setiap minggu bermula dengan Tahun 1 pada tahun 2011.
Aspek dalam penerapan kesihatan

Guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan perlu menerapkan dan menitik-beratkan nilai-nilai yang
berkaitan dengan kebersihan kepada murid. Antara pengurusan dalam kesihatan yang dirasakan
penting adalah seprti berikut ;
1.

Pengurusan Diri

2.

Pengurusan pakaian

3.

Pengurusan tahap kesihatan

4.

Pengurusan pemakanan sihat

5.

Pengurusan berat

6.

Pengurusan tekanan
Pengurusan kesihatan diri secara bijak adalah merupakan langkah awal yang boleh diamalkan
setiap individu bagi mengekalkan kesihatan secara optimum. Berdasarkan kepada pengurusan
diatas, disenaraikan aspek pengurusan diri yang harus diambil berat oleh setiap individu.
Aspek pengurusan kesihatan diri terbahagi kepada enam iaitu pengurusan kebersihan tubuh,
pengurusan kebersihan pakaian, pengurusan tahap kesihatan, pengurusan pemakanan yang sihat,
pengurusan berat badan dan pengurusan tekanan iaitu stress.
Pengurusan kebersihan tubuh terbahagi kepada tubuh badan, tangan, rambut dan mulut. Bagi
kebersihan tubuh badan, kita perlulah membersihkan badan dengan mandi sekurang-kurangnya
dua kali sehari dengan menggunakan sabun dan air. Ia akan mengelakkan badan dari berbau dan
juga dari dijangkiti kudis.
Tidur yang cukup dan berkualiti juga diperlukan oleh tubuh. Masa yang diperlukan oleh kanakkanak tidur adalah lebih lama berbanding dewasa. Manakala pengurusan kebersihan tangan
adalah dengan membasuhnya setiap kali keluar atau masuk tandas dengan sabun dan air.
Sebelum makan juga memerlukan kita untuk membasuh tangan. Kuku juga perlulah dipotong
jika ia panjang. Kebersihan rambut juga perlu diambil berat iaitu dengan membasuhnya dengan
syampu yang bersesuaian dengan jenis kulit kepala iaitu sama ada berkulit kering atau
berminyak dan menggunakan air dalam dua hari sekali. Ia adalah untuk mengelakkan kulit
kepala daripada dijangkiti kutu. Jika berlaku masalah, kita perlulah mendapatkan rawatan dan
nasihat di klinik. Penjagaan mulut termasuk gigi juga penting iaitu dengan memberus gigi atau
menggunakan floss untuk membuang sisa-sisa makanan setiap kali selepas makan atau sebelum
tidur. Pemeriksaan gigi juga perlu dijalankan sebanyak dua kali setahun.

Pengurusan kebersihan pakaian juga penting dalam kehidupan. Pakaian yang hendak dipakai
perlulah bersih dan ia perlu dibersihkan sebelum dipakai. Pakaian perlulah ditukar setiap hari.
Bantal, selimut, tilam dan cadar perlulah ditukar dan dibersihkan untuk mengelakkan hama.
Pengurusan tahap kesihatan juga amat penting. Ini adalah kerana ia membolehkan kita
mengetahui tanda-tanda awal sesuatu penyakit. Antara jenis-jenis pemeriksaan yang boleh
dijalankan untuk mengetahui tahap kesihatan kita ialah pemeriksaan tekanan darah, saringan
paras glukos darah, saringan paras kolesterol, indeks jisim badan, pemeriksaan kanser serviks
dan payudara, ujian kadar lemak dan saringan minda sihat.
Pengurusan pemakanan yang sihat membenarkan kita menikmati keenakan pelbagai jenis
makanan sambil mengekalkan tahap pemakanan dan kesihatan kita. Pengurusan pemakanan sihat
ini juga adalah mengenai memenuhi keperluan pemakanan harian kita dan pada masa yang sama,
mengelakkan kekurangan atau berlebihan zat yang boleh menyumbang kepada risiko penyakit
yang berkaitan dengan pemakanan. Ia meliputi membuat keputusan yang bijak tentang apa jenis
makanan yang harus dimakan dan bagaimana mengamalkan tabiat makan yang sihat. Ia boleh
dicapai dengan mengingati tiga perkara iaitu keseimbangan, kepelbagaian dan kesederhanaan. Ia
boleh dicapai dengan menggabungkan kesemua kumpulan makanan dalam piramid makanan.
Makanan yang berlainan membekalkan kombinasi tenaga (kalori) dan nutrient seperti
karbohidrat, protein, lemak, vitamin, mineral dan gentian yang berbeza. Memakan pelbagai jenis
makanan adalah cara yang terbaik untuk memenuhi keperluan tenaga dan nutrient kita untuk
membesar, berkembang, bergerak, bekerja, bermain, berfikir dan belajar. Ada juga pengurusan
amalan makan yang tidak sihat yang boleh menyebabkan peningkatan utama masalah kesihatan
masyarakat di negara ini. Antaranya ialah tidak mengambil makanan semasa waktu makanan
utama, tidak mengambil pelbagai jenis makanan seimbang, mengambil snek yang tidak sihat,
mengambil secara berlebihan makanan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi dan juga
tinggi kadar lemak dan minyak serta garam.
Pengurusan berat badan amat penting kerana jika berat badan berlebihan, ia akan mengurangkan
kualiti dan keriangan hidup. Ia juga boleh mengakibatkan peningkatan kadar penyakit-penyakit
seperti kencing manis, penyakit jantung, angin ahmar dan tekanan darah tinggi. Ia juga boleh
meningkatkan risiko kejadian kanser, batu karang, penyakit gout, osteoarthritis, kemandulan dan
lain-lain lagi. Individu yang mengalami masalah ini juga mempunyai harga diri yang rendah dan

selalu muram disebabkan imej badan yang tidak menarik. Ada lima panduan diet bagi
pengurusan berat badan iaitu pertama, nikmati banyak buah-buahan, sayur-sayuran, makanan
bijirin penuh dan kekacang. Kedua, makan dengan kadar sederhana makanan seperti daging
kurang lemak, ikan, tenusu rendah lemak dan protein.
Ketiga, makan dengan sukatan sederhana terutamanya makanan yang mengandungi tenaga padat.
Keempat, pengambilan sajian makanan dan snek kerap dapat mengelakkan makan dengan
keterlaluan. Kelima, sukatan makanan harus diawasi.
Pengurusan tekanan stress dapat mengurangkan tekanan dan juga dapat mengenalpasti tekanan
yang dihadapi serta kaedah untuk mengurangkan serta mengatasi tekanan. Jika sedikit tekanan
yang dihadapi, ia boleh dianggap sebagai motivasi tetapi jika berat tekanan yang dihadapi, ia
boleh menyebabkan seseorang itu boleh terlibat dengan dadah dan alcohol jika mereka salah
dalam memilih kaedah untuk menangani stress.
Penjagaan kesihatan diri amat penting kerana ia memberi pengukuhan fizikal, emosi, rohani dan
jasmani bagi setiap individu supaya lebih bersedia untuk mengetahui akan kesihatan, kecantikan,
kekemasan dan kebersihan diri yang sempurna.
Selain itu, guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan perlu merangka aktiviti-aktiviti menjurus
kepada kesedaran mengenai penyakit.
Hasrat bagi pembangunan jasmani murid adalah terjemahkan melalui Dasar 1 Murid 1
Sukan. Setiap murid dapat melibatkan diri dalam sekurang-kurangnya satu sukan. Penglibatan ini
memberi peluang kepada murid menguasai aspek kemahiran dan pengetahuan dalam sukan
melalui pendekatan yang berasaskan learning through play. Ia juga merupakan tunjang kepada
sukan di sekolah dalam merealisasikan perlaksanaan Sukan untuk Semua dan Sukan untuk
Kecemerlangan di sekolah. Murid-murid yang aktif dan berpotensi dalam sukan boleh
mengembangkan bakat melalui sukan untuk kecemerlangan setelah dikenalpasti melalui program
pengenalpastian bakat Talent detection dan talent identification and Development (TID). Keduaduanya, iaitu cabang Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan merupakan inisiatif
yang menyookong kea rah pembangunan modal insan yang sihat dan cergas sebagai matlamat
jangka panjang.

Selain itu juga, ia adalah untuk melahirkan murid yang sihat dan aktif ke arah pembentukkan
satu masyarakat yang sihat,cegas dan berdaya saing tinggi. Pendekatan ini akan mencapai
matlamat strategic Kementerian Pelajaran Malaysia dalam melahirkan modal insan yang sihat
dan cergas dan bukan sahaja berkualiti dari segi nilai-hidup kompetetif, kreatif dan inovatif.
Penganjuran Aktiviti / Program Kesihatan
Penganjuran program-program seperti Anti-dadah, Tak Nak Merokok dan Jauhi alcohol perlu
dititikberatkan bagi memberikan pendedahan dan informasi kepada murid bagi menangani
masalah yang boleh mengakibatkan atau mendatangkan sebarang penyakit. Maklumat terus dari
pihak NGO amat memberikan kesan yang baik terhadap murid. Justeru, penglibatan semua
lapisan pihak dalam menjayakan program ini amat di alu-alukan, disamping kerjasama semua
pihak demi kesihatan anak-anak.
Selain itu, aktiviti kesihatan sekolah harus dijalankan secara berterusan dan
menerapkan program sebagai aktiviti wajib di sekolah. Aktiviti Rancangan Kesihatan Sekolah
(RKS) iaitu; perkhidmatan kesihatan, pendidikan kesihatan, hidup sihat di sekolah, kerjasama
antara sekolah dan masyarakat untuk kesihatan.
Perkhidmatan kesihatan bertujuan untuk mewujudkan kesedaran mengenai status kesihatan
sendiri dan menggalakkan amalan mendapatkan penilaian kesihatan di kalangan murid-murid.
Selain itu, ia dapat juga mengesan masalah kesihatan seawall yang mungkin serta membuat
rujukan mendapatkan rawatan bagi murid-murid yang berkenaan,secara langsung dapat
mengawal penyakit-penyakit berjangkit.
Hidup sihat di sekolah adalah tema yang baik dalam membentuk warga sekolah yang sihat dari
segi fizikal dan mental. Program ini dapat mengekalkan kesihatan yang optimum dan
memajukan keselamatan masyarakat sekolah. Disamping itu, ia dapat menyemai tabiat kesihatan
yang baik, sikap dan amalan yang bersesuaian dengan hidup sihat. Keadaan kesejahteraan dan
keselamatan di kalangan murid-murid dan masyarakat sekolah lain.
Kerjasama sekolah dengan masyarakat lain untuk mengintergrasikan aktiviti-aktiviti kesihatan
masyarakat bagi mempertingkatkan status dan taraf kesihatan murid-murid. Agensi-agensi
sukarela yang boleh membantu adalah seperti Persatuan Bulan Sabit Merah, St John Ambulan,

Kelab Rotary, PIBG, Jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampong dan agensi-agensi
kerajaan dan bukan kerajaan.
Penutup
Kempen Cara Hidup Sihat dan Keselamatan telah menghasilkan satu program 3K iaitu
Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan. Program ini merupakan satu platform bagi menyebar
informasi terkini mengenai kesihatan yang diusahakan oleh pihak sekolah bersama agensi-agensi
terbabit kepada golongan sasaran iaitu murid dan komuniti setempat. Ia juga dapat dilihat
sebagai pemangkin kepada amalan gaya hidup sihat yang sering diabaikan oleh masyarakat yang
sememamngnya kurang prihatin dan mengambil-berat mengenai kesihatan. Melalui program ini
juga, murid-murid dan masyarakat setempat akan didedahkan mengenai kepentingan belajar di
dalam persekitaran sekolah yang bersih dan ceria, amalan gaya hidup sihat dan perlu dipupuk
sejak di bangku sekolah lagi.
RUJUKAN
1.

DOKUMEN STANDARD PENDIDIKAN KESIHATAN TAHUN 1; KSSR TAHUN 1

2.

DOKUMEN STANDARD PENDIDIKAN JASMANI TAHUN 3; KSSR TAHUN 3

3.

Taklimat DASAR 1M 1S; Bahagian Sukan;KPM (2010)

4.

Modul Aktiviti Fizikal 4 ; http://www.mysihat.gov.my/

5.

To Pn Dr Hajah Safurah Jaafar; Family Health Development Division; UM (2012)