Anda di halaman 1dari 11

A.

PENDAHULUAN

Penyisipan kesusasteraan Melayu dalam pengajaran bahasa memang cukup berpotensi


menjadikan silibus bahasa itu mempunyai kualiti tinggi dan berkesan . Penggunaan
komponen sastera sebagai bahan sisipan dalam pengajaran bahasa dapat dilandaskan
untuk menanam rasa cinta kepada bahasa,bangsa, dan negara serta menjadi landasan
untuk membina jati diri bangsa di kalangan pelajar.Integrasi ini dianggap berkesan kerana
selaras dengan prinsip dan salah satu falsafah pengajaran –pembelajaran bahasa yang
lebih menekankan bahawa pelajar akan belajar dengan lebih seronok sekiranya
pengajaran guru mencapai tahap yang menarik minat pelajarnya. Dengan keupayan daya
tarikan ini secara tidak sedar pelajar dapat meresapkan kemahiran ilmu bahasa
,interpersonal dan menyemai rasa estetika. Hal ini kerana sifat sastera itu sendiri
mementingkan kehalusan dan keindahan. Bahasa sastera amat releven penggunaanya
kerana dalam penciptaan karya sastera, pengarang menggunakan bahasa sebagai media
utama dalam menyampaikan idea dan pandangan hidup dunianya yang berbentuk falsafah
ketika menyampaikan mesej karyanya. Secara lebih luas, sastera itu sendiri merupakan
gerbang kepada dunia yang luas. Dengan ini pelajar dapat mengumpul sebanyak mungkin
realiti budaya dan tradisi kehidupan masyarakat, Pengetahuan tentang budaya dan
kehidupan masyarakat amat penting sebagai senjata yang ampuh untuk berdepan dengan
warna-warni kehidupan sosial yang mencabar .
SINOPSIS CERPEN :

Cerpen’ Berani Kerana Benar’ karya Nur Azlan Amer mengisahkan kehidupan sebuah
keluarga petani yang kesempitan wang. Ibu bapa Kamal hanya golongan petani. Oleh itu
Kamal mencadangkan kepada ibubapanya ,Mak Gayah dan Pak Seman untuk berniaga. .
Mak Gayah, ibu Kamal yang mencadangkan agar mereka menjual keladi goreng di gerai
tersebut kerana mereka banyak menanam keladi dan tidak mungkin habis dimakan begitu
sahaja. Kamal teringat akan ejekan rakannya tetapi dia tidak peduli malahan dia mahu
mengisi masa lapangnya dengan berniaga. Mak gayah telah mengeluarkan modal untuk
mendirikan gerai manakala Kamal mengeluarkan modal berniaga. Pak Seman pula
membantu mendirikan gerai dan berniaga. Kamal yakin keuntungan daripada perniagaan
ini boleh membayar semula modal yang dikeluarkan oleh ibu dan dirinya sendiri. Mereka
mula berniaga .Ramai yang datang membeli keledek dan keladi goreng mereka.Ketika
mereka berniaga ,datang dua orang lelaki yang tidak dikenali memperkenalkan diri
sebagai ketua di tempat Kamal berniaga. Pemuda itu meminta wang perlindungan
sebanyak RM 20.00 sehari. Mak Gayah ketakutan dan mengarahkan Kamal membayar
wang tersebut dan merahsiakannya daripada pengetahuan Pak Seman.Keesokan harinya
Mario datang lagi meminta wang perlindungan dan Kamal memberikannya tetapi Mario
tidak berpuashati lalu meminta RM 60.00. Mak Gayah terkejut dan susah hati . Ketika
Kamal ke kedai membeli tepung , tanpa pengetahuan ibu bapanya, Kamal telah
melaporkan kejadian itu kepada pihak polis .Akhirnya Mario dan rakannya itu ditangkap
oleh polis dan keluarga Kamal bangga dengan keberanian Kamal.

1.ASPEK BAHASA

Berdasarkan bahan cerpen Berani kerana benar , Pengajaran ini ditujukan untuk murid-
murid tahun 4 sekolah rendah. Manakala aspek kemahiran asas yang diberikan penekanan
termasuklah kemahiran lisan, membaca dan menulis di samping aspek tata bahasa.
a. Kemahiran lisan ialah gabungan di antara kemahiran mendengar dan kemahiran
bertutur. Kemahiran ini dapat dipupuk melalui aktiviti bercerita setelah guru
membacakan cerpen tersebut. Selain itu guru juga boleh menyuruh murid-muird
menyenaraikan kata dasar daripada perkataan berimbuhan yang telah dinyatakan
sebelum ini.
b. Kemahiran membaca boleh diaplikasikan dengan mengarahkan murid membaca
petikan cerpen yang diberikan oleh guru. Namum ada baiknya jika
penggabungjalinan bahan dibuat oleh guru iaitu dengan menggunakan
mamaparkan slaid mengenai cerpen tersebut, supaya murid dapat membaca
dengan jelas dan guru dapat menjimatkan masa dalam menyediakan bahan
bercetak. Selain itu paparan slaid ini menarik minat murid untuk membaca.
c. Kemahiran menulis boleh dipupuk melalui aktiviti membina ayat baharu
berpandukan petikan cerpen dan juga perkataan berimbuhan yang disenaraikan
semasa aktiviti lisan. Guru juga boleh mengarahkan murid-muridnya mencatat isi-
isi penting atau menulis nilai-nilai murni yang terdapat di dalam petikan cerpen
tersebut. Melalui aktiviti yang telah disenaraikan adalah diharap murid-murid
akan dapat mengembangkan dan meningkatkan pemikiran intelek mereka dengan
kreativiti yang tinggi.

Dari aspek tatabahasa cerpen’ Berani kerana Benar’ ini terdapat penggunaan kata kerja
seperti Mengumpulkan, dilonggokkan dan mencucuh. Selain itu kata berimbuhan turut
terdapat dalam cerpen ini , contohnya menyelerakan, tanaman, diusahakan. Kata adjektif
iaitu kata sifat yang bermaksud menerangkan sifat sesuatu kata nama atau frasa nama
turut dimuatkan di dalam cerpen ini. Antaranya ialah, keras, risau, cemas dan
tajam.Ayat tanya iaitu ayat yang menanyakan sesuatu keadaan juga ada dipaparkan di
dalam cerpen ini, contohnya: Siapa yang bagi tu?, ke rumah kawan ?. .Di dalam cerpen
ini terdapat juga ayat tunggal contohnya , mereka membeli keledek.Selain ayat tunggal ,
terdapat juga ayat majmuk yang dimuatkan di dalam cerpen ini bagi meningkatkan
perkembangan cerita. Ayat majmuk ialah dua ayat yang digabungkan dengan kata
hubung. Antara ayat majmuk yang terdapat di dalam cerpen tersebut ialah : Mario
berpakaian kemas manakala kawannya berambut panjang. Kata penegas bermaksud kata
yang memberikan penekanan kepada bahagian-bahagian tertentu di dalam ayat. Ini boleh
didapati melalui dialog Pak Seman, nak bantu tenaga, bolehlah.
Pelbagai aspek bahasa yang dipaparkan melalui cerpen’ Berani Kerana Benar ’ini
menjadikan cerpen tersebut menarik dan mudah difahami.

ii) ASPEK NILAI

Nilai merupakan sifat ketinggian pemikiran, agama, kemasyarakatan, dan lain-lain yang
dipaparkan di dalam sesebuah karya.Nilai merupakan amalan baik yang ditonjolkan oleh
watak melalui perwatakan /sifat yang terdapat dalam cerita. Terdapat nilai-nilai murni
dalam cerpen ’Berani kerana Benar’ karya Nur Azlan Amer antaranya ialah sikap rajin,
bertanggungjawab , kasih sayang, menghormati ibubapa, tolong-menolong dan
keberanian .
Sikap rajin dalam cerpen ini dapat dilihat melalui beberapa watak iaitu Kamal, Mak
Gayah, dan Pak Seman. Kamal walaupun masih bersekolah namun rajin berniaga untuk
membantu ayah dan ibunya menambahkan pendapatan keluarga.Manakala watak Mak
Gayah pula rajin berniaga untuk meningkatkan ekonomi keluarga. Pak Seman walaupun
tidak mempunyai pendidikan yang tinggi tetapi rajin bercucuk tanam dan berniaga untuk
mencari nafkah dan menyara keluarga. Sifat-sifat keibuan juga merupakan satu nilai
murni yang harus diamalkan. Sifat keibuan pada watak Mak Gayah terserlah melalui
sikapnya yang sanggup mengenepikan kepentingan diri dan sanggup berkorban demi
kebahagiaan anak dan keluarga.
Sikap yang hendak ditonjolkan dalam cerpen ini ialah sikap tolong-menolong sesama
manusia demi kebaikan bersama. Masyarakat dalam cerpen ’Berani kerana Benar’ ini
digambarkan sebagai masyarakat yang mementingkan cara hidup bermasyarakat. Ini jelas
terbukti melalui watak Pak Cu Lamit yang memberikan setandan Pisang Raja secara
percuma kepada keluarga Pak Seman untuk menambahkan pendapatan mereka.
Dalam cerpen ini juga menonjolkan nilai keimanan melalui watak Pak Seman yang
sentiasa melaksanakan suruhan Allah dengan sentiasa taat menunaikan sembahyang tepat
pada waktunya.
Nilai kasih sayang dalam cerpen ini melibatkan kasih sayang anak dan ibubapa. Pak
Seman dan Mak Gayah amat menyayangi anak mereka dan begitu juga Kamal yang
sanggup berkorban wang tabungnya semata-mata untuk membantu keluarganya.
Kamal juga sentiasa taat dan mendengar nasihat orang tua. Misalnya Kamal akur dengan
kehendak ibunya yang menyuruh memberikan wang kepada Mario walaupun dia tidak
bersetuju. Mak Gayah ditonjolkan sebagai seorang isteri yang taat kepada suaminya Pak
Seman dengan sentiasa mematuhi arahan yang diberikan oleh suaminya. Sikap
tanggungjawab ditonjolkan melalui watak –watak utama iaitu Mak Gayah, Pak Seman
dan Kamal.Mak gayah menunjukkan sikap tanggungjawab dengan sanggup mencari
rezeki untuk membantu suami bagi membesarkan Kamal. Pak Seman pula sebagai bapa
bertanggungjawab mencari rezeki untuk keluarga dengan berniaga bagi keperluan
keluarga manakala Kamal sebagai anak menunjukkan sikap tanggungjawab dengan
melaporkan kepada pihak polis tentang kegiatan Mario yang memeras ugut golongan
peniaga seperti mereka. Selain itu Sikap keberanian adalah nilai murni yang ditunjukkan
melalui watak kamal yang berani menegakkan kebenaran dengan melaporkan kegiatan
Mario yang memeras ugut kepada pihak polis walaupun dia tahu tindakannya itu amat
berisiko tinggi

PENGAJARAN
Berdasarkan nilai-nilai murni yang terdapat dalam cerpen ’Berani kerana Benar’, karya
Nur Azlan Amer, juga menggarap beberapa pengajaran yang dapat dijadikan panduan
dan teladan dalam kehidupan kita. Pengarang menyarankan kita supaya rajin berusaha
untuk mencapai cita-cita. Contohnya Kamal sekeluarga yang rajin berniaga untuk
menambahkan pendapatan keluarga. Walaupun tidak dianugerahkan dengan kekayaan
tetapi sikap rajin perlu untuk meningkatkan ekonomi keluarga. Selain itu Pak Seman dan
Kamal juga rajin bercucuk tanam bagi menambahkan pendapatan keluarga. Pengarang
juga menyarankan kita agar kita bertanggungjawab terhadap apa yang kita lakukan .
Dalam cerpen ini, Kamal bertanggungjawab melaporkan kegiatan memeras ugut yang
dilakukan oleh Mario kerana tidak mahu orang lain menerima nasib yang sama seperti
mereka. Selain itu kita juga perlu bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan orang
lain.Contohnya Pak Seman bertanggungjawab mendirikan gerainya di tepi jalan agar
pelanggan yang datang membeli tidak ditimpa kemalangan atau menghalang laluan .
Kita perlulah saling menyayangi antara antara satu sama lain terutamanya ahli keluarga
kita. Ini jelas digambarkan melalui sikap Pak Seman dan Mak Gayah yang amat
menyayangi anak mereka. Pengarang juga menggesa kita agar perlu sentiasa
menghormati ibu bapa yang telah banyak berjasa dan berkorban kepada kita. Melalui
cerpen ini Kamal ditonjolkan sebagai anak yang sangat menghormati ibu dan bapanya
yang berusaha mencari rezeki dengan mendengar nasihat dan mematuhi arahan kedua-
dua ibubapanya.
Pengarang juga menyarankan agar kita mesti berani menegakkan kebenaran walau dalam
keadaan apa jua sekalipun. Sebagai manusia , kita haruslah bersifat berani untuk
menegakkan kebenaran kerana keberaniaan itu akan membantu mengatasi masalah
jenayah seperti sikap Kamal yang berani melaporkan kegiatan Mario yang akhirnya
ditangkap polis.Pengarang juga menggesa agar kita tidak melakukan penindasan dan
mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain kerana sikap negatif ini akan
menyusahkan orang lain contohnya Mario yang memeras ugut peniaga demi kepentingan
diri sendiri. Mesejnya ialah seseorang yang melakukan kesalahan dan berbuat jahat akan
mendapat balasan seperti Mario akhirnya dia ditangkap oleh polis.

iii) ASPEK STRUKTUR


TEMA

Tema ialah idea atau persoalan pokok atau idea yang mengawal sesebuah karya sastera.
Cerpen ’Berani kerana Benar' membawa tema kegigihan dan hubungan kekeluargaan
yang terjalin antara Kamal dengan ibu bapanya. Kamal begitu gigih berusaha membantu
ayahnya , Pak Seman menanam keladi di belakang rumah. Kamal juga gigih menyimpan
wang ke dalam tabung .Selain itu kamal gigih menolong ibunya berniaga goreng keladi,
” Goreng keledek dengan keladi bang,” jawab Kamal gugup. ”Baru petang ni
berniaga,”sambungnya lagi.
Mak Gayah juga gigih menjual keladi ,keledek dan pisang goreng untuk menambahkan
pendapatan keluarga.Selain itu Mak Gayah juga gigih menyimpan wang hasil keuntungan
perniagaan. Pak Seman pula begitu gigih mennanam keladi dan keledek di belakang
rumah. Selain itu, Pak Seman juga gigih mendirikan gerai untuk mereka sekeluarga
berniaga di samping gigih membantu Mak Gayah dan Kamal berniaga keladi,keledek dan
pisang goreng. Tema kekeluargaan juga dijadikan tema utama dalam cerpen ini.
Hubungan kekeluargaan yang mesra antara ibu, bapa dan anak membentuk sebuah
keluarga yang bahagia. Mereka juga boleh bekerjasama dalam melakukan apa sahaja
kerja.
PERSOALAN

Persoalan merupakan perkara-perkara kecil dalam sesebuah karya yang mempunyai


hubungan dengan tema. Kewujudan persoalan yang pelbagai dalam sesebuah karya
sastera bertujuan menghidupkan dan mengukuhkan tema yang cuba disampaikan oleh
pengarang.Persoalan yang terdapat di dalam cerpen ini ialah kegigihan Kamal sekeluarga
membuka gerai yang menjual keladi ,keledek dan pisang goreng. Pengarang
mengemukakan persoalan tentang kegigihan Kamal dan Pak Seman serta Mak Gayah
yang bertekad hendak membuka gerai di tepi jalan. Mereka ingin menjual keladi goreng
kerana keladi yang ditanam di belakang rumah tidak habis dimakan . Tambahan pula
berniaga pasti akan mendapat keuntungan . Oleh itu Kamal bersungguh-sungguh
mengajak ayah dan ibunya berniaga. Menerusi cerpen ini, persoalan keberanian seorang
budak bernama Kamal melaporkan jenayah peras ugut kepada polis. Kamal bertekad
untuk memberitahu polis tentang kegiatan Mario yang memeras ugut duit orang lain. Ini
kerana Kamal kesal titik peluhnya sekeluarga diperas ugut begitu sahaja oleh Mario.
Dengan keberanian yang ada padanya , Kamal melaporkan kepada polis.Dalam cerpen ini
pengarang menggambarkan tentang peranan dan khidmat yang diberikan oleh polis dalam
menjaga keamanan negara. Polis bertugas bagi memastikan keamana negara terkawal dan
ketenteraman penduduk terpelihara. Oleh itu ,mereka bertindak tangkas menangkap
Mario apabila mario datang ke gerai Kamal untuk memeras ugut.

PLOT

Plot ialah sesuatu yang menghubungkan antara peristiwa-peristiwa dalam sesebuah cerita
yang rapat pertaliannya dengan gerak laku lahiriah dan batiniah watak-watak dalam
cerita. Secara umumnya plot cerpen ’Berani kerana Benar’ ini adalah tergolong dalam
bentuk binaan plot yang mudah atau bentuk kronologi.Plotnya dibina secara urutan dari
masa ke masa.Ianya terbentuk dalam tiga bahagian perkembangan iaitu bahagian
permulaan(eksposisi atau protasis) bahagian perkembangan, (apitasis dan konflik) dan
bahagian peleraian atau pengakhiran cerita.Pada bahagian permulaan kisah bermula
dengn watak Kamal dan Pak Seman serta Mak Gayah berbincang untuk berniaga keladi,
keledek dan goreng pisang untuk menambahkan pendapatan mereka.. Diikuti dengan
Kamal dan Pak Seman mendirikan gerai di tepi jalan. Apabila gerai siap dibina, Kamal
dan ibu bapanya memulakan perniagaan mereka.Pada bahagian perkembangan, plot
ceritanya semakin berkembang dengan peristiwa perniagaan mereka semakin maju
sehingga memperoleh pendapatan yang menggalakkan. Di sini timbul konflik apabila
mereka didatangi oleh Mario dan rakannya telah memeras ugut untuk mendapatkan wang
perlindungan. Kamal terpaksa memberikan wang tersebut walaupun tanpa kerelaannya.
Pada bahagian peleraian , plot cerpen ini menuju penyelesaian dan berakhir dengan
peristiwa Kamal melaporkan kegiatan Mario kepada pihak polis yang akhirnya membawa
kepada penangkapan Mario dan juga rakannya. Pengarang mengakhiri plot cerpen
dengan peristiwa keluarga Kamal gembira dengan penangkapan Mario.

LATAR

Latar ialah keterangan-keterangan yang terdapat dalam karya sastera tentang tempat,
masa dan masyarakat yang mendasari sesebuah cerita. Latar memainkan peranan utama
untuk memberikan suasana kepada peristiwa atau manusia yang terdapat dalam sesebuah
cerita.Latar tempat dalam cerpen ’Berani kerana Benar’ tidaklah banyak dan luas. Ianya
hanya melibatkan latar tempat di gerai, di tepi jalan iaitu di kawasan tempat Kamal dan
Pak Seman dan juga Mak Gayah memulakan perniagaan mereka. Di belakang rumah
ialah kawasan Pak Seman dan Kamal berkebun untuk menanam ubi keladi dan keledek.
Latar tempat yang lain ialah di rumah Kamal iaitu semasa perbualan di antara Pak
Seman, Mak Gayah dan Kamal ketika berbincang untuk memulakan perniagaan
mereka.Jangka masa dari awal hingga akhir cerita ialah tidak berapa lama iaitu di dalam
beberapa minggu sahaja. Namun demikian pengarang memaparkan latar waktu dan hari
dengan jelas contohnya,

”Petang itu, Mak gayah, bagaikan tidak menang tangan menggoreng. Ramai pelanggan
yang membeli keledek dan keladi goreng mereka. Semasa azan Asar berkumandang di
udara, Pak Seman pulang untuk bersembahyang.’
Cerpen ini menggambarkan latar masyarakat golongan petani dan masyarakat kampung.
Contohnya watak Pak Seman bekerja sebagai petani dengan pendapatan yang kecil.
Watak ayah digambarkan terpaksa mencari pendapatan tambahan untuk menyara
keluarganya.Cerpen ini juga memaparkan latar masyarakat kanak-kanak di alam
persekolahan . Watak Kamal merupakan pelajar di sekolah rendah. Kamal digambarkan
seorang pelajar yang gigih berusaha untuk meringankan beban keluarganya dengan
melakukan pelbagai kerja kampung untuk membeli buku dan pakaian sekolah.

TEKNIK PENCERITAAN

Dalam cerpen ’Berani kerana Benar’ pengarang menggunakan pelbagai teknik penulisan.
Antarnya teknik suspens, pemerian dan dialog.Teknik pemerian iaitu penceritaan secara
lansung oleh pengarang dapat ditemui melalui gambaran watak Kamal yang digambarkan
secara lansung oleh penulis.

’’Kamal memang rajin membantu sesiapa sahaja asalkan dia mendapat duit. Duit itu
dibelanjakan untuk membeli buku dan pakaian sekolah. Dia mahu meringankan beban
ayah dan emaknya.’’

Teknik imbas kembali pula melalui ingatan kembali watak Kamal terhadap perbualannya
dengan ayah dan ibunya . pengarang menjelaskannya melalui petikan berikut.

” Hendak berniaga kena keluar modal,” kata Pak seman semalam.

Teknik monolog dalaman iaitu teknik pengucapan dalam hati atau dalam fikiran watak
ada digunakan oleh pengarang dalam cerpen ini. Contohnya,

”Aku bimbang,” bisik hati Kamal. Dahinya berkerut panjang.

Teknik penceritaan yang lain ialah termasuklah teknik dialog atau kata bual. Corak
perbualan , pengarang menggunakan dialog antara dua pihak, misalnya antara Kamal dan
Pak Seman,

”Ayah tak berduit. Nak bantu tenaga ,bolehlah. Ayah boleh dirikan gerai.”
”Kamal ada duit tabung,” kata Kamal.

WATAK DAN PERWATAKAN

Watak ialah manusia atau pelaku dalam cereka berbentuk naratif atau drama yang
diberikan sifat-sifat tertentu termasuk perangai dan pemikiran yang dikenal melalui
percakapannya (dialog) dan apa yang mereka lakukan (aksi) manakala perwatakan pula
adalah sifat-sifat fizikal atau mental, tabiat, perilaku dan sifat keperibadian watakWatak
di dalam cerpen ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu watak utama dan watak
sampingan. Watak utama diwakili oleh Kamal, Mak Gayah dan Pak Seman. Watak
sampingan pula ialah Mak Tipah, Pak Ucu Lamit dan Satar.Watak antogonis ialah watak
Mariodan rakannya. Kamal merupakan anak tunggal kepada Mak gayah dan Pak Seman.
Kamal masih belajar di sekolah rendah. Kamal digambarkan sebagai seorang rajin
menolong ibu bapanya. Seorang yang berjimat cermat kerana sentiasa menyimpan wang
di dalam tabung. Kamal juga seorang yang berani menegakkan keadilan kerana Kamal
bertindak melaporkan kepada pihak polis apabila dia diugut untuk memberikan wang
perlindungan. Kamal juga seorang yang beriman dan sentisa menunaikan solat .Kamal
mempunyai wawasan di dalam hidupnya .

GAYA BAHASA

Gaya bahasa bermaksud cara bagaimana seseorang pengarang menggunakan bahasa


dengan baik dan kreatif dalam usaha untuk menyampaikan pengucapan fikiran dan
perasaannya. Dengan lain perkataan, gaya bahasa merupakan saluran bagi seseorang
pengarang menyalurkan pengalaman, pemikiran, dan emosi melalui media bahasa bagi
memungkinkan pembaca memahami dan menghayati idea yang ingin disampaikannya di
dalam sesebuah karya sastera.Secara keseluruhannya cerpen ini menggunakan gaya
bahasa harian yang mudah difahami contohnya : Kamal memang rajin membantu
sesiapa sahaja asalkan dia mendapat duit.
Gaya bahasa kaiasan simile juga terdapat dalam cerpen in. Ia dapat dilihat melalui ayat-
ayat berikut:

Mak gayah tidak menang tangan menggoreng .

Penggunaan kata singkatan ’tak:, turut diselitkan pada sesetengah dialog, contohnya:

’’Ayah tak berduit, ’’

Selain itu gaya pengulangan turut menghidupkan keadaan dan digunakan untuk
memberikan penekanan kepada cerita, contohnya:

”mak setuju,” kata Mak gayah.

”Ayah juga,” kata Pak Seman.

KESIMPULAN

Kunci kejayaan pengajaran Bahasa Melayu bukan hanya terletak pada kecanggihan
kurikulum atau kelengkapan prasarana sekolah.namum ia terletak kepada kredibiliti guru
dalam mengatur dan memanfaatkan bahan pengajaran di bilik darjah. Begitu halnya
dalam penggunaan bahan sastera dalam pengajaran bahasa memerlukan kekreatifan guru
dalam mengolah bahan-bahan tersebut mengikut kesesuaian dan keperluan murid-murid
di bilik darjah.

Selain tujuan kita ingin memupuk minat murid terhadap karya-karya sastera terutamanya
satera tempatan, guru perlu juga memotivasikan dirinya sendiri agar lebih kerap
menggunakan dan mengenal karya-karya sastera yang pelbagai ini. Guru perlu rajin
dalam mencari sumber lain selain daripada hanya bergantung kepada penggunaan buku
teks sahaja.Akhirnya untuk memupuk minat murid terhadap karya sastera aktiviti
berterusan perlu diusahakan bukan sahaja di bilik darjah, malahan aktiviti susulan di luar
darjah seperti pertandingan mendeklamasikan sajak, berbalas pantun, berpidato dan
peraduan berbahas. Dengan yang demikian khazanah kesusteraan kita akan sentiasa
disanjung dan menjadi kebanggan oleh generasi masa kini.