Anda di halaman 1dari 9

Kadar kemalangan jalan raya begitu meningkat setiap tahun. Huraikan punca-puncanya.

Kemalangan jalan raya ialah peristiwa ngeri yang biasanya melibatkan perlanggaran dua kenderaan atau
lebih di jalan raya atau pun lebuh raya. Kemalangan sebegini biasanya boleh membawa kecederaan dan juga
kematian. Negara kita merupakan antara negara yang mempunyai angka kematian akibat kemalangan yang
tinggi. Oleh itu ada banyak punca yang harus kita kaji untuk memahami masalah ini.
Punca pertama ialah kemalangan disebabkan oleh kecuaian pemandu itu sendiri ketika menggunakan
jalan raya. Ramai pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk dan mengantuk atau tidak sedarkan diri. Ada
juga yang tidak suka menjaga kenderaan mereka lalu kemalangan boleh berlaku kerana masalah brek, tayar dan
sebagainya. Mereka tidak menghiraukan keselamatan orang lain ketika memandu kerana menganggap mereka
cekap mengawal stering kenderaan. Jadi, kemalangan mudah berlaku akibat kecuaian mereka ini.
Selain itu kemalangan juga disebabkan oleh keadaan jalan raya yang tidak baik. Biasanya jalan raya
menjadi lebih bahaya ketika waktu hujan turun kerana air hujan menyebabkan jalanraya menjadi lebih licin lalu
sukar untuk dikawal jika pemandunya tidak berhati-hati. Begitu juga dengan keadaan jalan raya yang tidak lurus
dan turun naik yang menyukarkan pemandu untuk memberi tumpuan lalu mudah berlakunya peristiwa ngeri
ini. Maka, keadaan jalan raya harus diubah supaya menjadi lebih selamat buat pengguna jalan raya.
Malah, ada pihak yang menyalahkan pemandu baru yang menyebabkan kemalangan terus menerus
berlaku di negara ini. Mereka dikatakan tidak mahir untuk mengawal kenderaan terutama ketika dalam keadaan
kecemasan yang menyebabkan banyak yang panik. Golongan muda juga diselar kerana mereka biasanya suka
memandu dengan bahaya dan laju. Sesungguhnya, satu alat mekanisme baru harus dicari untuk memastikan
tahap pemanduan pemandu baru mencapai piawaian yang baik.
Jumlah kemalangan bertambah juga berkaitan dengan jumlah kenderaan yang bertambah setiap tahun.
Pertambahan bilangan kenderaan menjadikan lalu lintas begitu sibuk dan penuh dengan kenderaan. Sudah pasti
keadaan ini meningkatkan peratusan untuk sesuatu kemalangan itu berlaku di jalan raya. Jelaslah, semakin
banyak kenderaan di jalan raya risiko untuk kemalangan berlaku amat tinggi.
Kesimpulannya, kadar kemalangan jalan raya di negara ini begitu menakutkan kita semua. Satu usaha
yang berani harus dilaksanakan oleh pihak berkuasa untuk menghalang masalah ini menular lagi. Kita harus
sedar bahawa nilai nyawa manusia begitu berharga.

PUNCA-PUNCA PELAJAR PONTENG SEKOLAH


1. Kurang berminat terhadap pengajaran dan pelajaran di sekolah.
Pelajar ponteng sekolah adalah kerana kurang atau tidak berminat terhadap pengajaran dan pembelajaran di
sekolah Keadaan ini mungkin berpunca daripada isi kandungan sukatan pelajaran yang banyak memberikan
tumpuan kepada mata pelajaran yang memerlukan pelajar menghafal seperti mata pelajaran sejarah, matematik,
sains, geografi dan sebagainya.
Di samping itu, pelajar kurang berminat terhadap sekolah kerana mereka mungkin tidak mampu untuk
mengikuti pelajaran dengan sempurna kerana ketinggalan akibat kelemahan diri mereka sendiri. Alasan ini juga
yang menyebabkan berlakunya kes ponteng yang banyak di kalangan pelajar yang lemah jika dibandingkan
dengan pelajar yang cerdas. Pelajar seperti ini biasanya mudah berputus asa. Mereka kebanyakannya datang ke
sekolah semata-mata kerana menurut kehendak ibu bapa. Oleh itu mereka kerap ponteng kerana telah hilang
minat untuk belajar akibat tidak dapat memberikan saingan kepada rakan-rakan pelajar yang lebih cerdas.
2. Kurangnya kasih sayang serta pemantauan daripada ibu bapa
Pelajar ponteng sekolah adalah kerana mereka telah hilang pemerhatian, kasih sayang daripada ibu bapanya dan
ibu bapa telah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu bapa. Dengan membuktikan keadaan
tersebut, ibu bapa kini sentiasa bekerja di luar dari awal pagi sampai tengah malam, masa mereka bersama
dengan anak semakin berkurang sehingga anak-anak tidak dapat menyampaikan perasaan mereka kepada ibu
bapa. Lama-lama kemudian, anak tersebut akan cuba menggunakan cara lain iaitu cara negatif seperti ponteng
sekolah kerana mereka berjaya mendapat perhatian daripada ibu bapa mereka. Malangnya anak-anak ini akan
berkawan dengan orang luar semasa mereka memonteng sekolah dan kesannya kawan baru ini akan mengajak
mereka pergi ke tempat lain untuk berhibur sehingga anak-anak ini tidak lagi mementingkan pelajarannya.
Biasanya pihak sekolah akan mengeluarkan surat amaran bagi pelajar-pelajar yang melakukan kesalahan
ponteng terlalu kerap iaitu tiga hari berturut-turut. Surat yang ditujukan kepada waris atau ibu bapa itu kadangkadang tidak mendapat respon yang diharap-harapkan. Ibu bapa yang terlalu sibuk dengan urusan harian
mereka tidak dapat hadir untuk berbincang dengan pihak sekolah. Keadaan ini secara tidak langsung
menunjukkan bahawa ibu bapa atau penjaga pelajar yang berkenaan langsung tidak mengambil berat akan halehwal anak-anak mereka. Keadaan ini juga memberikan rangsangan kepada pelajar yang berkenaan untuk terus
memonteng sehingga akhirnya terpaksa diberhentikan persekolahannya. Oleh itu bolehlah dikatakan bahawa ibu
bapa yang tidak mengambil berat akan amaran pihak sekolah turut menyumbang ke arah masalah ini.
3. Pengaruh rakan sebaya
Pengaruh rakan sebaya juga turut memainkan peranan yang kuat dalam mempengaruhi pelajar lain untuk
ponteng sekolah. Ajakan daripada rakan sebaya mereka untuk ponteng sekolah akan mempengaruhi minda
pelajar-pelajar yang tidak berfikir secara rasional. Mereka akan menurut segala ajakan dan pelawaan rakanrakan mereka tanpa berfikir panjang. Rakan-rakan yang bercadang untuk ponteng sekolah akan memberikan
pelbagai alasan yang munasabah seperti pelajaran di sekolah sangat membosankan dan sebagainya. Mereka
menberi tanggapan bahawa aktiviti ponteng sekolah dapat menenangkan fikiran dan ini menjadi alasan untuk
mereka tidak hadir ke sekolah.

4. Mencari Keseronokan
Pelajar ponteng sekolah berkemungkinan adalah kerana mereka lebih mementingkan keseronokan daripada
pelajaran. Hal ini jelas kerana terdapat di kalangan pelajar yang ponteng dengan tujuan untuk melepak atau
berkumpul di suatu tempat terutamanya pusat-pusat membeli-belah, pusat permainan video, dan taman-taman
rekreasi. Malahan, terdapat juga pelajar yang ponteng untuk menonton wayang atau berkelah. Bagi mereka,
belajar di sekolah adalah sesuatu yang membosankan kerana tidak ada unsur-unsur hiburan.
5. Peraturan sekolah yang terlalu ketat
Terdapat juga para pelajar ponteng sekolah kerana takut dimarahi ataupun didenda oleh guru contohnya semasa
mereka tidak sempat menyiapkan kerja sekolah mereka yang diberikan oleh guru, mereka akan pilih cara
ponteng sekolah supaya mereka tidak dapat didenda oleh cikgu.
Selain daripada itu,pelajar yang datang lewat juga akan mengambil keputusan untuk ponteng kerana takut
didenda kerana kesalahan mereka itu. Kumpulan pelajar ini juga menyalahkan pihak sekolah yang
mengamalkan peraturan yang terlalu ketat dan mengenakan hukuman yang pada pendapat mereka terlalu berat
bagi kesalahan yang kecil.
6. Tekanan Ekonomi
Taraf ekonomi keluarga pelajar yang rendah juga menyebabkan mereka malu untuk pergi ke sekolah. Mereka
sering ponteng sekolah bagi mengelakkan dipersenda oleh rakan-rakan. Apabila ponteng sekolah, mereka mula
melakukan sesuatu yang negatif bagi memenuhi masa lapang mereka. Oleh kerana kedudukan ekonomi yang
rendah, maka ibu bapa sibuk untuk mencukupkan perbelanjaan harian dan menyebabkan tanggungjawab anak
terabai. Selain itu, terdapat juga pelajar yang ponteng kerana terpaksa bekerja secara sambilan dan oleh kerana
terlalu keletihan mereka tidak berdaya untuk bangun awal terutamanya yang bekerja pada waktu malam.

PUNCA-PUNCA PELAJAR PONTENG SEKOLAH


Perbuatan ponteng sekolah merupakan salah laku yang serius oleh pelajar. Terdapat pelbagai faktor yang
menarik mereka untuk terjerumus dalam gejala ini. Gejala ini mendapat perhatian pihak media, masyarakat,
badan-badan bukan kerajaan, dan sebagainya. Malah, pihak polis turut turUn padang bagi membantu pihak
sekolah untuk mengesan pelajar yang ponteng sekolah.
Salah satu faktor yang menyebabkan pelajar ponteng sekolah ialah tiada motivasi diri. Selain itu, pelajar
terbabit kurang mengambil berat akan kepentingan pelajaran. Mereka malas dan bosan untuk bersekolah dan
menganggap persekolahan sebagai bebanan dan bukannya tanggungjawab. Dalam pada itu, golongan pelajar ini
akan berusaha untuk mendapatkan geng yang akan ponteng bersama-sama dengannya. Mereka akan cuba
memujuk rakan-rakan yang lain dengan pelbagai cara dan kaedah pujukan. Bagi pelajar yang goyah
pendiriannya, dia akan mudah terpengaruh dengan ajakan tersebut.
Selain itu, ibu bapa juga menjadi penyumbang kepada kegiatan ponteng sekolah anak-anak mereka. Hal
ini demikian kerana terdapat ibu bapa yang kurang memberi perhatian terhadap pelajaran anak-anak mereka.
Kesibukan bekerja telah mengekang masa ibu bapa untuk bersama anak-anak. Kesempatan ini diambil oleh
anak-anak untuk ponteng sekolah tanpa dapat dikesan oleh ibu bapa mereka.
Di samping itu, sikap guru-guru dikatakan juga sebagai antara punca pelajar ponteng sekolah. Guru-guru
yang mengajar secara sambilewa tanpa menitikberatkan kefahaman pelajar menyebabkan sesetengah pelajar
tidak tertarik pada pelajaran yang disampaikan. Mereka berasa bosan dengan apa yang disampaikan oleh guru.
Maka, ponteng sekolahlah tindakan yang diambil oleh mereka.
Kini, gejala ponteng sekolah menjadi masalah yang mencabar kewibawaan sekolah. Di pihak pelajar
pula, mereka seolah-olah menempah kegagalan dalam persekolahan dan masa depan mereka dengan melibatkan
diri dalam gejala ponteng sekolah. Oleh hal yang demikian, semua pihak bertanggungjawab untuk mencari jalan
keluar bagi megatasi masalah ponteng sekolah ini.

Soalan
Andaikan anda setiausaha Jawatankuasa Sosial kampung anda. Tuliskan surat kepada pihak berkuasa
tempatan untuk mengadu masalah sampah sarap yang tidak dipungut di kawasan anda.
No. 12, Jalan Dahlia,
Taman Dahlia,
68100 Ampang.

Pihak Berkuasa Majlis Bandaraya Ampang,


Jalan Pegawai,
68100 Ampang,
SELANGOR DARUL EHSAN.

25 JULAI 2015

Tuan,
Masalah Sampah Sarap di Taman Dahlia
Dengan segala hormatnya dimaklumkan bahawa saya, bagi pihak penduduk Taman Dahlia, Ampang, ingin
mengadukan masalah sampah sarap di taman ini.
2. Sejak dua minggu lalu, sampah sarap di kawasa taman ini tidak dipungut oleh kontraktor yang dilantik oleh
pihak tuan. Duah buah tong sampah besardi taman ini sudah sarat dengan sampah. Oleh sebab itu, penduduk
taman ini terpaksa membuang sampah di sekeliling tong-tong sampah itu. Akibatnya, sampah sarap bertaburan
di kawasan itu dan mencacatkan pemandangan penduduk. Setiap hari, terdapat anjing, kucing, tikus yang
berkeliaran di kawasan sampah sarap itu untuk mencari makanan. Lalat pula tidak terkira banyaknya.
3. Sampah sarap itu mengeluarkan bau yang busuk dan tengik. Bau busuk ini menggangu penduduk yang
tinggal berhampiran dengan kawasan sampah sarap itu. Sekiranya angin bertiup dengan kuat, bau busuk itu
dapat dihidu sehingga 200 meter jauhnya. Kami bimbang keadaan itu menjejaskan kesihatan penduduk taman
ini.
4. Kami telah menghubungi kontraktor yang berkenaan sebanyak dua kali, tetapi sehingga sekarang tiada
tindakan yang diambil olehnya. Kami sungguh kecewa dengan sikap yang tidak bertanggungjawab kontraktor
tersebut.
5.
Kami berharap agar tuan akan mengambil tindakan segera unttuk mengatasi masalah sampah sarap di
taman kami.
Yang benar,
KHAIRUL AMIN
(MOHD KHAIRUL AMIN)
Wakil Penduduk Taman Dahlia

Peribahasa: Kalau Tak Dipecahkan Ruyung Manakan Dapat Sagunya


Amiera merupakan pelajar tingkatan lima. Dia merupakan anak tunggal dan tinggal bersama ibunya
setelah kematian ayahnya sejak dia berumur enam tahun lagi.
Sejak kematian ayahnya, kehidupan Amiera sangat daif. Ibunya terpaksa menjaja kuih untuk menyara
hidup mereka berdua. Sejak darjah lima lagi, Amiera mula menolong ibunya menjual kuih-kuih pada setiap pagi
sebelum pergi ke sekolah. Dia sedar, dia perlu membantu ibunya yang semakin tua untuk mencari nafkah bagi
mereka berdua.
Pada waktu malam, Amiera menolong ibunya membuat kuih. Dalam masa yang sama juga, Amiera
berusaha mengulang kaji pelajaran. Rakan-rakan Amiera yang mampu akan pergi ke kelas bimbingan di pekan
tetapi Amiera hanya belajar di rumah tanpa bimbingan daripada sesiapa. Dia percaya, "Kalau tak dipecahkan
ruyung, manakan dapat sagunya". Oleh sebab itu, Amiera bertekad untuk berlajar bersungguh-sungguh.
Pada hari Isnin, guru besar memberitahu bahawa peperiksaan SPM akan bermula pada minggu hadapan.
Guru besar berharap agar semua calon SPM di sekolahnya mengulang kaji pelajaran dengan lebih tekun lagi.
Amiera berusaha bersungguh-sungguh untuk mengulang kaji pelajaranya. Ibunya pula sentiasa berdoa dan
memberi dorongan kepadanya agar Amiera berjaya mendapat keputusan yang cemerlang nanti.
Berkat doanya dan ibunya serta usaha Amiera yang gigih, dia telah berjaya dengan cemerlang dalam
peperiksaan SPM itu. Dia ditawarkan untuk melanjutkan pelajarannya ke menara gading. Amiera amat
bersyukur dan berasa sungguh gembira.
Guru-guru dan rakan-rakannya sangat bangga atas kejayaan Amiera. Apatah lagi ibunya yang amat
mengharapkan kejayaan anaknya itu. Amiera berjanji akan terus berusaha supaya dapat membantu ibunya
kelak. Akhirnya, Amiera telah mendapat segulung ijazah dan pekerjaan yang terjamin. Kini ibunya hidup lebih
senang bersamanya.

Peribahasa: Kalau Tak Dipecahkan Ruyung Manakan Dapat Sagunya


Nur Illya Maisara sedar dirinya kurang mengulang kaji pelajaran. Keputusan peperiksaan yang lepas
tidak begitu membanggakan. Markah yang diperolehi lebih banyak B daripada A.
Namun, dia tidak berasa kecewa. Baginya, kejayaan seseorang murid itu libih banyak bergantung pada
kerajinan, bukannya kepandaian. Walaupun dia tahu dia tidak pandai, tetapi dia terus berusaha tanpa jemu.
Emak kasihan melihat kamu, kakak. Kawan-kawan sebaya kamu asyik bermain. Kamu pula asyik
berkepit dengan buku saja, luah ibunya, Mak Cik Nooraini.
Emak usah Risau, luah Nur Illya Maisara. Kakak berazam untuk mendapat 5A, sebab itu kakak
berusaha dengan bersungguh-sungguh. Kakak yakin, sesiapa yang rajin berusaha dan bertawakal kepada Allah
akan memperoleh kejayaan.
Mak Cik Nooraini bangga dengan kesungguhan anak sulungnya itu. Dia berharap kejayaan Nur Illya Maisara
nanti akan diteladani oleh adik-adiknya yang lain. Dalam peperiksaan
percubaan dahulu, keputusan Nur Illya Maisara menampakkan peningkatan, iaitu mendapat 3A dan 2B.
Apabila tiba peperiksaan UPSR, Nur Illya Maisara menjawab soalan dengan penuh yakin. Tiga bulan
kemudian, apabila keputusan diumumkan, dia mendapat 5A. alangkah gembiranya Nur Illya Maisara kerana
mendapat Sesutu yang diidamkan.
Benarlah kata peribahasa, jika tidak dipecahkan ruyung, manakah dapat sagunya. Nur Illya Maisara
telah membuktikan kejayaannya hasil daripada usahanya yang bersungguh-sungguh. Dia mahu mengekalkan
sifat karajinannya agar kecemerlangannya dalam pelajaran dapat dikekalkan di sekolah menengah.

Cerita: Lembaga itu, Hantu?


Pada petang itu, aku terpaksa berjalan kaki untuk pulang ke rumahku kerana basikalku hilang. Tiba-tiba, aku
ternampak sebuah bas yang dipandu perlahan. Aku menahan bas itu lalu menaikinya.
Di pertengahan jalan, salah satu tayar bas itu pancit. Aku terpaksa turun dari bas itu lalu berjalan kaki. Aku
berjalan seorang diri ketika hujan renyai-renyai mulai turun. Hatiku ingin mengikut jalan pintas untuk lebih
cepat sampai ke rumah tetapi aku berasa takut. Bagaimanapun aku terus memberanikan diri melalui jalan pintas
tersebut walaupun aku tahu laluan itu amat sunyi dan gelap. Di kiri dan kanan jalan pintas itu terdapat pokokpokok getah. Kedengaran pelbagai bunyi serangga dan unggas yang menakutkan aku semasa melalui jalan itu.
Tiba-tiba aku terdengar suara seseorang memanggil-manggil namaku. Aku fikir suara itu khayalan sahaja.
Namun, aku menoleh juga ke belakang. Alangkah terkejutnya aku apabila terlihat satu lembaga melambailambai ke arahku. Apa lagi, aku pun terus berlari langkah seribu untuk menyelamatkan diri. Apabila sudah
berasa selamat, aku bersandar di sebatang pokok dengan nafas yang tercungap-cungap.
Tiba-tiba lembaga itu muncul di hadapanku sambil memanggil namaku. Aku amat takut lantas berlari untuk
menyelamatkan diri. Malang sekali kerana lembaga itu sempat memelukku dengan kuat hingga aku tidak
berdaya lagi melepaskan diri. Kemudian, kedengaran suara lelaki menyuruh aku bertenang. Dalam cahaya yang
samar, aku memberanikan diri, melihat lembaga itu. Alangkah terkejutnya aku kerana rupa-rupanya dia ialah
abangku sendiri.
Katanya dia datang untuk mencari aku yang telah terlalu lewat pulang ke rumah. Aku menceritakan segala
peristiwa yang aku alami pada petang itu kepadanya. Setibanya di rumah, aku segera memberitahu ayahku
tentang peristiwa itu. Ayah ketawa sambil mengingatkan aku supaya jangan selalu menonton cerita hantu kerana
akibatnya kita akan menjadi penakut seperti yang telah aku alami ini.

SOALAN : Setiap orang pastinya ada sesuatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Tulis sebuah karangan
tentang pengalaman yang tidak dapat kamu lupakan.
Apabila disebut nama Aiman, semua kawan kenal akan nama itu. Aku dikatakan sebagai seorang yang keras
kepala. Memang benar gelaran tersebut diberikan kepadaku kerana aku jarang-jarang mendengar nasihat,
meskipun nasihat ibuku sendiri.
Pada suatu hari, aku merayau-rayau di sekitar kampung. Aku terpandang akan beberapa biji mangga yang telah
masak di kebun jiranku. Tanpa membuang masa, aku pun segera memanjat pohon mangga itu. Aku tidak
meminta kebenaran daripada empunya kebun itu.
Tanpa aku duga, rupa-rupanya terdapat sarang tebuan pada pohon mangga itu. Dengan tidak sengaja aku
merosakkan sarang itu. Sebagai akibatnya, beberapa ekor tebuan menyengat badanku. Terpaksalah aku terjun
dari atas pohon mangga itu untuk menyelamatkan diri.
Aku menjerit meminta pertolongan. Mujurlah, orang-orang kampung terdengar akan jeritanku. Mereka segera
memberikan bantuan. Aku dihantar ke hospital. Aku terpaksa tinggal di wad selama lima hari. Aku berasa
terseksa kerana terpaksa menanggung kesakitan yang amat sangat.
Aku kesal atas peristiwa yang terjadi pada diriku. Aku menyesal kerana tidak mendengar nasihat ibuku.
Semenjak hari itu, aku berjanji tidak mahu mencuri lagi. Peristiwa tersebut akan aku kenang selagi hayat
dikandung badan.