Anda di halaman 1dari 7

Bagaimanakah Tatabahasa dapat Diajarkan secara Menarik?

oleh Helmi pada 06 Sep 2004


Pendahuluan
Tatabahasa sering dianggap orang sebagai subjek yang kering, membosankan, dan kadangkala
menakutkan. Tatabahasa dianggap kering dan membosankan kerana kononnya tatabahasa hanya
terdiri daripada rumus-rumus bahasa, sama halnya dengan Matematik. Bercakap mengenai
tatabahasa seolah-olah bererti bercakap mengenai soal salah betul penggunaan bahasa sematamata. Sekian lama pula telah tertancap pada benak kebanyakan orang bahawa tatabahasa
mengekang gaya bahasa dan kreativiti. Persepsi seumpama semua itulah yang kadangkala
menjadikan orang takut, malah mungkin benci pula akan tata bahasa. Jika timbul rasa takut dan
benci, bagaimanakah tatabahasa dapat menjadi subjek yang menarik di bilik darjah?
Nampaknya tugas pertama saya sebelum memberikan pandangan mengenai kaedah dan teknik
pengajaran tatabahasa yang menarik ialah berusaha membetulkan anggapan salah mengenai
tatabahasa. Kata pepatah Tak kenal maka tak cinta. Mudah-mudahan dengan mengenal
hakikat tatabahasa, tumbuhlah rasa cinta kepadanya. Teringat pula saya akan satu baris dalam
lagu Melayu lama yang berbunyi Kalau hati sudah suka, semua indah sahaja. Demikianlah
mudah-mudahan tatabahasa akhirnya dapat dilihat sebagai sesuatu yang indah.
Tata Bahasa dan Hakikat Bahasa
Untuk mencapai makrifat bahasa, penting sekali kita mengenal hakikat bahasa. Hakikat bahasa
pada asasnya ialah tatabahasa, dengan pengertian yang lebih dasar dan luas daripada sekadar
subsistem yang terdiri daripada morfologi dan sintaksis. Tatabahasa yang saya katakan menjadi
asas hakikat bahasa ialah suatu bentuk potensi akliah yang dikurniakan Tuhan kepada anak-anak
Adam (manusia) sewaktu mereka masih di alam roh, sebelum dilahirkan ke dunia (al-Quran, alAraf: 172). Oleh Chomsky, potensi yang ternurani atau innate ini disebut tata bahasa sejagat
(universal grammar). Potensi ini bukan sahaja dalam bentuk lahiriah yang terdiri daripada fonem,
morfem, kata, frasa, klausa, ayat, dan wacana dalam bahasa yang tertentu, tetapi merupakan satu
kemampuan akal yang dapat membentuk unsur-unsur bahasa yang disebut tadi dalam satu sistem
semantik.
Potensi yang disebut tatabahasa sejagat inilah yang menjadi asas bagi semua manusia berbahasa
dalam bahasa masing-masing melalui proses penyesuaian parameter (lihat Bab 1). Dengan
memahami asal usul bagaimana kita berbahasa, terang pada kita bahawa tatabahasa adalah asas
yang memungkinkan kita berbahasa. Adanya tatabahasa sejagat pada manusia inilah yang
memungkinkan manusia menjadi kreatif, iaitu dapat menghasilkan unsur-unsur bahasa yang
tidak terbatas jumlahnya dengan berdasarkan prinsip-prinsip yang terhad. Adanya tata bahasa ini
jugalah yang memungkinkan bahasa manusia teracu dalam sistem, tidak seperti haiwan yang
biarpun mungkin dapat menguasai sejumlah unsur bahasa, misalnya kata-kata melalui latihan

intensif tetap tidak mampu menyusun kata-kata itu dalam pola-pola yang bersistem, kreatif, dan
berkonteks.
Daripada tatabahasa sejagat, terbina tatabahasa yang khusus bagi sesuatu bahasa yang tertentu.
Maka itu setiap bahasa ada tatabahasanya yang khusus yang perlu dipelajari apabila orang ingin
menguasai mana-mana bahasa. Jadi, adanya konsep tatabahasa sejagat tidak bererti hanya ada
satu tatabahasa yang sesuai untuk semua bahasa manusia seperti yang disalahfahami oleh
setengah-setengah orang. Perihal adanya kepelbagaian bahasa manusia, yang bererti adanya
tatabahasa yang berlainan dijelaskan dalam al-Quran (surah al-Hujurat, ayat 13 dan surah alRum, ayat 22). Oleh itu perlu difahami perbedaan tatabahasa sejagat daripada tatabahasa khusus
bagi bahasa yang tertentu.
Hakikat tatabahasa sebagai tunjang bahasa dapat digambarkan dalam hubungannya dengan
penguasaan kemahiran-kemahiran berbahasa. Representasi bahasa yang diwakili oleh kemahiran
mendengar, bertutur, membaca, dan menulis berasaskan satu kerangka tersembunyi yang menjadi
asas pembentukan pola-pola bahasa yang bermakna. Kerangka tersembunyi itu tidak lain
daripada tatabahasa. Tanpa kerangka itu, tidak dapat manusia bertutur untuk melahirkan idea dan
perasaan kerana kerangka itulah yang menyusun unsur-unsur pertuturan dalam satu sistem yang
teratur dan bermakna. Demikian juga, tanpa kerangka itu tidak mungkin berlaku proses
pembacaan dan penulisan kerana segala sesuatu tertulis dalam satu sistem yang menimbulkan
makna dan si pembaca perlu memiliki keupayaan menguasai sistem itu. Orang yang hendak
menulis pula perlu mempunyai skema sistem itu dan menerjemahkannya dalam bentuk-bentuk
bahasa yang bermakna. Sesuai kiranya saya sisipkan di sini konsep tatabahasa (gramatikos) yang
ditakrifkan oleh ahli-ahli falsafah Yunani sebagai seni membaca dan menulis, yang dengan
jelas menunjukkan peranan tatabahasa.
Demikianlah selayang pandang penjelasan mengenai hakikat tatabahasa. Dengan bertitik tolak
daripada hakikat tatabahasa, yang ternyata bukan sekadar sehimpunan rumus atau aturan bahasa
menurut pengertian yang sempit, baharulah sesuai kita bincangkan soal menjadikan tatabahasa
sebagai sesuatu yang penting dan menarik untuk diajarkan (oleh guru) dan dipelajari (oleh murid
atau pelajar).

Pengajaran Tata Bahasa: Penyataan Fenomena


Tata bahasa memang kelihatan kering dan membosankan, baik kepada guru mahupun murid, jika
diajarkan hanya sebagai aturan-aturan, secara didaktik pula. Memang tujuan pokok kita
mengajarkan tatabahasa ialah supaya murid menguasai sistem bahasa selanjutnya memanfaatkan
penguasaan sistem bahasa itu bagi tujuan-tujuan yang fungsional, seperti pemerolehan ilmu,
penghayatan nilai-nilai masyarakat, dan berinteraksi dengan baik dalam masyarakat. Jadi, terang
bahawa pengajaran tatabahasa ialah prasyarat untuk komunikasi yang berkesan dan juga bagi
tujuan pembinaan diri, terutama melalui pemerolehan ilmu. Pengajaran tatabahasa tidak patut
bernoktah dengan pendedahan sistem semata-mata. Sebaliknya pengajaran tatabahasa hendaklah

dihubungkan secara langsung dengan aspek-aspek fungsionalnya.


Telah dibahaskan dengan panjang lebar oleh ahli-ahli pendidikan bahasa soal tujuan pengajaran
bahasa, termasuk tata bahasa. Sekurang-kurangnya ada empat mazhab yang dominan dalam hal
ini. Yang pertama ialah mazhab tradisionalis yang menekankan penguasaan rumus-rumus tata
bahasa. Yang kedua ialah mazhab strukturalis behavioris yang menekankan pembentukan
kebiasaan berbahasa sebagaimana yang berlaku dalam masyarakat. Yang ketiga pula ialah
mazhab rasionalis yang menekankan keupayaan bahasa sebagai lawan pelaksanaan bahasa
(bentuk unggul bahasa lawan realiti penggunaannya). Yang terakhir ialah mazhab fungsionalis
yang menitikberatkan fungsi bahasa dalam komunikasi sosial. Keempat-empat mazhab itu
mewakili pandangan dan sikap yang ekstrem sehingga menimbulkan salah faham tentang tujuan
pengajaran bahasa. Tiga mazhab yang pertama dilabelkan oleh mazhab keempat sebagai model
pengajaran kemahiran kerana menekankan penguasaan sistem bahasa. Sebaliknya mazhab
keempat yang mengemukakan model pengajaran alamiah terlalu cenderung pada aspek praktis
sehingga agak mengabaikan penguasaan sistem pula.
Dua konsep lain yang turut mempengaruhi gaya pengajaran bahasa, termasuk tatabahasa ialah
keupayaan linguistik dan keupayaan komunikatif. Ahli-ahli pedagogi yang memberikan
perhatian berat kepada penguasaan sistem bahasa kurang atau sama sekali mengabaikan aspek
komunikatif bahasa. Dalam hal pengajaran tata bahasa, penekanan kepada penguasaan rumusrumus tatabahasa menjadikan guru alpa menerapkannya dalam konteks penggunaan yang wajar
dan sesuai. Yang taksub kepada penguasaan aspek komunikatif bahasa pula memandang remeh
akan ketepatan bahasa daripada segi rumus tata bahasa. Kesannya ialah bahawa yang pertama
gagal atau kurang berjaya menjadikan tata bahasa sesuatu yang bermakna dalam kehidupan
murid. Yang kedua pula mungkin menarik kerana mengaitkan bahasa dengan kehidupan seharihari tetapi gagal melahirkan murid yang berdisiplin daripada segi penggunaan bahasa yang
gramatis dan bersistem.
Impian kita kini ialah menciptakan dan menemukan kaedah pengajaran tata bahasa yang dapat
mengukuhkan keterampilan bahasa murid daripada segi sistem bahasa dan juga daripada segi
pragmatiknya. Murid yang patut kita bentuk ialah yang menguasai rumus-rumus tatabahasa
secara sedar dan sekali gus dapat menggunakannya untuk komunikasi dengan pengertian yang
luas, bukan sekadar komunikasi biasa yang ditandai oleh laras bahasa terhad (restricted code)
bahkan untuk komunikasi canggih yang ditandai oleh laras bahasa terbina (elaborated code).
Dalam konteks memenuhi peranan bahasa sebagai wahana pembinaan tamadun, ketrampilan
bahasa yang sewajarnya dimiliki ialah yang dapat memenuhi keperluan aras yang dapat menjadi
wadah pemikiran, ilmu, dan budaya tinggi.
Strategi Pengajaran Tatabahasa
Selaras dengan konsep pendidikan bersepadu yang diamalkan di negara ini sejak tahun 1988,
maka pengajaran bahasa pun tidak boleh lagi diajarkan menurut cara lama yang memisahmisahkan aspek-aspek yang diajarkan, misalnya antara satu kemahiran dengan kemahiran yang
lain, antara kemahiran dengan sistem bahasa dan sebaliknya, serta antara kemahiran dan sistem
bahasa dengan isi bahasa, terutama ilmu dan nilai.

Strategi pengajaran bahasa Melayu menurut pendekatan bersepadu berasas pada strategi 2P, iaitu
penggabungjalinan dan penyerapan. Penggabungjalinan yang asasnya telah bermula pada lewat
1970-an melibatkan:
a. Penggabungjalinan antara empat kemahiran bahasa, iaitu mendengar, bertutur, membaca, dan
menulis dengan sekurang-kurangnya dua kemahiran digabungjalinkan.
b. Penggabungjalinan antara kemahiran bahasa dengan sistem bahasa (terutama tata bahasa) dan
sebaliknya.
c. Penggabungjalinan antara peribahasa dengan kemahiran bahasa.
Dalam konteks pengajaran tatabahasa, penggabungjalinan yang berkaitan ialah
penggabungjalinan (b) di atas. Secara ringkas, pengajaran tatabahasa tidak boleh dipisahkan
sama sekali daripada kemahiran. Apabila tatabahasa diajarkan secara gabung jalin dengan
kemahiran, maka dapatlah dielakkan pengajaran yang tertumpu semata-mata pada rumus-rumus
tatabahasa sehingga menimbulkan kebosanan. Tata bahasa dapat diajarkan bersama-sama
dengan aktiviti mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Selain tidak membosankan, dapat
pula murid memahami penggunaan tata bahasa secara fungsional dan dalam konteks yang sesuai
dan wajar. Hal ini dibincangkan lebih lanjut dalam pembicaraan tentang pengajaran tatabahasa
terancang.
Strategi penyerapan pula berkaitan dengan gagasan menyepadukan aspek sistem bahasa dan
kemahiran bahasa dengan kandungan bahasa. Dengan perkataan lain, pendidikan bahasa di
samping menitikberatkan penguasaan tata bahasa serta aspek-aspek sistem bahasa yang lain dan
juga penguasaan empat kemahiran bahasa (mendengar, bertutur, membaca, dan menulis), perlu
turut menekankan aspek kandungan bahasa.
Secara kasar, yang dimaksudkan kandungan bahasa ialah segala maklumat mengenai kehidupan
manusia yang dipelajari dan diwarisi melalui perantaraan bahasa. Dalam konteks pendidikan
bahasa di negara kita, penyerapan melibatkan dua aspek utama, iaitu ilmu dan nilai. Secara lebih
terperinci, ilmu dipecahkan kepada beberapa aspek lagi, iaitu kandungan mata-mata pelajaran
lain, sains dan teknologi, bahasa dan sastera, budaya dan warisan. Selain itu terdapat pula isu dan
hal masyarakat dan negara, serta isu dan hal ehwal antara bangsa. Nilai-nilai murni pula
dibahagikan kepada 16 nilai utama dengan pecahan-pecahannya. Di samping itu perlu diserapkan
juga unsur kewarganegaraan.
Dengan berdasarkan strategi 2P itu, saya yakin bahawa pengajaran tatabahasa dapat menjadi
sesuatu yang menimbulkan minat guru dan murid, menjadi sesuatu yang betul-betul bererti, dan
sekali gus dapat menghakis anggapan salah bahawa tatabahasa merupakan bidang yang kering
dan tidak lebih daripada sehimpunan rumus. Melalui strategi penggabung-jalinan murid
diasuhkan menguasai tatabahasa sambil melakukan aktiviti-aktiviti yang bermakna dalam
kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Melalui strategi, penyerapan pula,
murid dituntun menguasai tata bahasa dalam konteks yang bermakna, iaitu sambil mempelajari
beraneka maklumat ilmu, hal ehwal semasa, kegiatan masa lapang, dan nilai-nilai murni. Dengan
demikian, tatabahasa tidak menjadi unsur yang terasing daripada kehidupan sehingga fahamlah

murid mengapa ia perlu mempelajari tatabahasa dan fahamlah juga guru mengapa ia perlu
mengajarkan tatabahasa.
Daripada segi pelaksanaannya, pendekatan bersepadu dalam pengajaran tata bahasa memerlukan
perhatian yang sungguh-sungguh daripada segi perancangan dan pengajarannya di bilik darjah.
Perancangan
Aspek perancangan yang pertama melibatkan usaha mengenal pasti unsur-unsur tatabahasa yang
perlu diajarkan sepanjang tahun, dengan berdasar pada Risalah Panduan Pemeringkatan dan
Perincian Tatabahasa untuk peringkat sekolah menengah yang diterbitkan oleh Pusat
Perkembangan Kurikulum. Selanjutnya unsur-unsur tatabahasa itu perlu dimasukkan dalam
perancangan tahunan, penggal, mingguan, dan akhirnya harian. Kesesuaian unsur tatabahasa
tertentu dimasukkan dalam kelompok kemahiran-kemahiran (kecekapan-kecekapan di bawah
setiap kemahiran) bergantung pada beberapa pertimbangan, iaitu mudah sukarnya dan
relevannya dengan bahan pengajaran.
Aspek lain yang perlu diberi perhatian ialah pemilihan bahan pengajaran. Bahan pengajaran yang
dimaksudkan ialah yang dapat digunakan untuk menyampaikan maklumat tentang unsur atau
unsur-unsur tata bahasa yang hendak diajarkan. Bahan di sini tidak patut disalahertikan sebagai
perincian unsur tatabahasa, misalnya bentuk-bentuk kata ganda berserta huraian makna dan
contohnya untuk unsur kata ganda yang menjadi fokus pengajaran. Bahan yang dimaksudkan
ialah wadah penggunaan bahasa yang hendak diajarkan, atau bahan yang dapat dijadikan asas
untuk mencungkil atau meramalkan unsur-unsur tata bahasa tertentu. Bahan yang menjadi wadah
bahasa ialah pelbagai bentuk wacana, sementara yang dapat menjadi asas mencungkil unsur tata
bahasa ialah ilustrasi. Dengan perkataan lain, dapatlah kita katakan bahan itu sebagai bahan
rangsangan.
Beberapa pertimbangan dalam pemilihan bahan untuk pengajaran tata bahasa ialah:
a. Memanfaatkan pelbagai bentuk bahan seperti prosa, puisi dan bahan grafik, sesuai dengan
kepelbagaian konteks penggunaan tatabahasa.
b. Bahan hendaklah meliputi pelbagai bidang ilmu dan maklumat yang sesuai, selaras dengan
konsep penyerapan ilmu.
c. Bahan hendaklah berisi nilai atau nilai-nilai murni, selaras dengan gagasan penyerapan nilai.
d. Bahan sedapat-dapatnya hendaklah autentik, seperti brosur iklan, berita, borang, risalah, dan
sebagainya.
e. Bahan yang dipilih mestilah bermutu bahasanya, kecuali untuk tujuan analisis kesilapan.
f. Bahan hendaklah dapat menarik minat murid.
Dengan adanya bahan rangsangan, dapatlah murid diajar tentang tata bahasa dalam konteks,
sama ada konteks ilmu, laras bahasa, mahupun jenis-jenis wacana. Maksudnya, murid tidak
mempelajari tatabahasa tanpa latar. Guru pula dapat memanfaatkan bahan untuk memberikan
contoh unsur tatabahasa yang ada unsur ilmu dan nilainya. Demikian juga, guru dapat membina

latihan daripada bahan tersebut. Apabila pengajaran guru, termasuk contoh dan latihannya
berdasar pada bahan yang terpilih, maka terlaksanalah pengajaran yang berdasarkan tema.
Pengajaran
Pengajaran tatabahasa di bilik darjah melibatkan pemilihan aktiviti yang sesuai dan menarik.
Pendekatan deduktif yang dilaksanakan dalam bentuk penerangan rumus tampaknya tidak sesuai
untuk pengajaran tatabahasa di peringkat sekolah. Antara aktiviti yang dapat menimbulkan
minat murid termasuklah:
a. Kegiatan penemuan murid mengesan unsur atau unsur-unsur tata bahasa tertentu dalam
pelbagai wacana seperti dialog, cerpen, rencana, puisi, iklan dan sebagainya.
b. Kegiatan berdialog dan berlakon murid menggunakan pola-pola tertentu yang sesuai, seperti
jenis ayat (ayat tanya, ayat penyata, ayat seruan, ayat permintaan) atau kata-kata tanya, kata
silaan, kata seru, dan sebagainya.
c. Kegiatan mencungkil unsur bahasa daripada visual murid menamakan objek atau peristiwa,
menyatakan sifat atau keadaan, membina ayat daripada bahan tersebut, dan sebagainya.
d. Kegiatan berpuisi, bernyanyi, dan bercerita murid menghayati unsur-unsur bahasa dalam
bahan dan boleh juga menghasilkan puisi, seni kata, dan cerita.
e. Kegiatan pentomim murid mengagak nama, perbuatan atau sifat, atau mungkin ayat yang
dibayangkan oleh bahasa badan.
f. Kegiatan main peranan murid diletakkan dalam situasi atau konteks yang sebenarnya dan
menggunakan bahasa yang sesuai dengan konteks itu, misalnya sebagai wartawan ia
menggunakan kata tanya dan ayat tanya yang betul (5W + 1H).
g. Kegiatan permainan bahasa murid berteka-teki, menjawab kuiz, meneka nama, sifat,
perbuatan, teka silang kata, melengkapkan peta minda, memadankan unsur bahasa (seperti
subjek-prediket), melengkapkan ayat, menukar struktur ayat untuk maksud yang sama, dan
sebagainya.
h. Kegiatan penyuntingan murid membuat analisis kesilapan dan membetulkan bahasa pada
bahan autentik (termasuk juga karangan murid).
i. Kegiatan penghasilan murid berkreativiti menggunakan unsur-unsur tatabahasa untuk
menulis iklan, moto, slogan, tema, poster, dan sebagainya.
Penutup
Demikianlah secara umum gagasan bagaimana kira-kira tatabahasa dapat diajarkan dengan
menarik. Asas yang saya gunakan ialah pertama-tama sekali menimbulkan pengertian bahawa
tata bahasa ialah bahagian yang penting dalam kehidupan kita. Oleh itu pengajaran tatabahasa
tidak boleh diajarkan secara terasing, melainkan hendaklah diajarkan dengan strategi
penggabungjalinan dan penyerapan. Bagi memenuhi strategi tersebut, perlu dibuat perancangan
yang rapi, terutama daripada segi pemilihan bahan untuk menunjukkan konteks yang sesuai bagi
unsur-unsur tatabahasa yang hendak diajarkan. Dalam pengajaran di bilik darjah pula, guru perlu
melaksanakan pelbagai teknik dan aktiviti yang dapat merangsang murid sehingga pengajaran
tatabahasa dapat membantu murid menguasai tata bahasa dengan tidak berasa tertekan atau
terpaksa.

Anda mungkin juga menyukai