Anda di halaman 1dari 6

1.

0 ULASAN KRITIS
Analisis Kritikal Kesesuaian Penggunaan Kemahiran-Kemahiran Asas Kaunseling Yang
Diaplikasikan Oleh Guru Semasa Proses Pengajaran.
1.1 Pengenalan
Sebagai seorang bakal guru, penggunaan kemahiran asas kaunseling amat berguna untuk
diaplikasikan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Di sekolah, guru berperanan sebagai
seorang pendidik, pemudah cara, pemimpin, pembimbing, penilai, perancang, perunding dan
pendorong ke arah kecemerlangan murid. Semasa menjalankan sesi pengajaran dan
pembelajaran, seorang guru juga perlu mengaplikasikan kemahiran asas kaunseling bagi
memastikan kelancaran pengurusan bilik darjah sama ada dari segi tingkah laku ataupun
akademik murid.
Kemahiran asas bimbingan dan kaunseling ialah cara-cara seseorang kaunselor
menangani atau berhadapan dengan kliennya melalui teknik atau kemahiran tertentu (Corey,
2008). Kemahiran asas bimbingan dan kaunseling merupakan sasa yang penting untuk
menghubungkan antara kaunselor dan klien. Sekiranya tiada kemahiran asas dalam bimbingan
kaunseling, sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran sukar dijalankan dengan lancar.
Dalam kaunseling terdapat pelbagai kemahiran asas yang dapat diaplikasikan oleh guru biasa
antaranya ialah kemahiran melayan dan mendengar, kemahiran mengintepretasi tingkah laku
bukan lisan, kemahiran memberi tindak balas, kemahiran mengenal pasti masalah dan
kemahiran melaksanakan intervensi.
Berdasarkan video pengajaran, guru telah mengaplikasikan kemahiran asas kaunseling
dengan memberi tindak balas, memberi peluang yang luas kepada murid untuk mencuba, dan
juga penggunaan komunikasi dengan baik. Terdapat juga beberapa kelemahan yang perlu
diperbaiki oleh guru dalam penggunaan kemahiran asas kaunseling bagi memastikan sesi
pengajaran berjalan dalam suasana yang menyeronokkan.

1.1.1

Memberi tindak balas terhadap murid

Semasa menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran, guru mestilah memberikan tindak
balas terhadap murid. Memberi tindak balas juga merupakan salah satu kemahiran melayan
dalam kaunseling. Sebagai seorang bakal guru yang sering kali berhadapan dengan murid,
2

guru mestilah mempunyai kemahiran melayan. Menurut Gladding (2008), kemahiran melayan
bermakna pembimbing 'sentiasa bersama klien' dengan mengorientasikan diri secara fizikal dan
psikologi kepada diri klien. Pembimbing iaitu guru perlu memberikan sepenuh perhatian tanpa
berbelah bahagi. Apabila guru memberikan sepenuh perhatian kepada murid, maka tindak
balas yang sesuai akan dilahirkan oleh guru.
Berdasarkan video pengajaran Bahasa Malaysia Tahun 2, saya mendapati guru telah
menggunakan kemahiran melayan yang baik dalam sesi pengajaran dan pembelajaran yang
dijalankan. Semasa mengajar, guru telah menumpukan sepenuh perhatian kepada klien
semasa pengajaran dijalankan iaitu murid. Hasil analisis saya semasa menonton video
pengajaran berkenaan, saya mendapati guru telah memberikan pujian kepada murid yang telah
dapat menjawab soalan yang dilontarkan. Apabila murid dapat menjawab dengan baik, guru
telah memberi pujian pandai dan bagus kepada murid. Berdasarkan teori pembelajaran
behaviorisme, pujian ini akan memberikan motivasi iaitu galakkan yang positif kepada murid
untuk belajar. Teori Peneguhan Skinner menitikberatkan pelaziman di antara sesuatu tingkah
laku dengan peneguhan . Oleh itu, sekiranya peneguhan positif diberi selepas sesuatu tingkah
laku maka tingkah laku itu akan bertambah. Sekiranya seseorang murid mendapat kesan
pembelajaran yang menyeronokkan, ini akan mendorong mereka mendapat pencapaian yang
lebih baik.
Namun begitu, saya mendapati sebahagian murid masih tidak menumpukan perhatian
semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung berdasarkan video pengajaran
tersebut. Guru telah menegur murid agar memberikan perhatian. Pada pendapat saya, masalah
murid yang tidak menumpukan perhatian sehingga mengganggu kelangsungan sesi pengajaran
dan pembelajaran boleh dikenakan penguhan negatif seperti yang telah disarankan dalam teori
pembelajaran behaviorisme. Peneguhan negatif merupakan sesuatu yang menyakitkan dan
ingin dielakkan oleh setiap individu. Contohya, apabila loceng berbunyi, guru memberi arahan
berikut: Semua murid harus beratur pergi untuk rehat. Jika tidak anda akan kehilangan lima
minit masa rehat. Cara ini mementingkan usaha untuk menyedarkan seseorang tentang
kesilapan yang dilakukannya dan bukan semata-mata untuk mendendanya.
Kesimpulannya, kemahiran melayan yang guru telah gunakan dalam pengajarannya
dapat digunakan dengan sebaiknya dengan adanya pujian dan peneguhan yang digunakan
secara konsisten.

1.1.2

Memberi peluang kepada murid

Guru seharusnya memberikan peluang yang luas kepada murid untuk belajar semasa
melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, kemahiran memimpin yang
terdapat dalam kemahiran asas kaunseling harus diaplikasikan. Kemahiran memimpin
bertujuan menggalakkan murid bertindak balas kepada komunikasi terbuka. Memimpin penting
bagi memulakan sesuatu sesi, menggalakkan murid untuk meneroka dan menerangkan
perasaan tertentu, memberi peluang bagi murid mencari kebebasan untuk meneroka perasaan
dan hala tuju yang hendak dicapai, berpeluang berinteraksi dan bertindakbalas secara bebas
terhadap apa yang sedang berlaku dan menggalakkan murid bertanggungjawab menentukan
arah sesi (Sklare, 2005). Dalam situasi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah,
kemahiran memimpin ini bertujuan untuk menggalakkan murid memberi tindak balas terhadap
pengajaran yang dilaksanakan oleh guru.
Berdasarkan pemerhatian saya, guru telah memberikan banyak peluang kepada murid
untuk terlibat dengan aktif semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Teknik soal jawab yang
telah digunakan oleh guru mendapat respon yang positif daripada murid. Sebagai contoh,
semasa guru bertanya tentang contoh-contoh makanan berkhasiat dan tidak berkhasiat, ramai
murid telah mengangkat tangan untuk mencuba menjawab soalan yang diberikan oleh guru.
Selain itu, murid juga berlumba-lumba untuk melakukan aktiviti yang dijalankan. Murid tidak
segan dan takut untuk melibatkan diri secara aktif dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.
Hal ini menunjukkan guru telah memberikan layanan yang baik kepada murid sepanjang
menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran. Pada pendapat saya, guru tidak memarahi
murid yang tidak menjawab dengan betul. Oleh itu, murid berani untuk mencuba menjawab
soalan yang diberikan.
Walaupun guru telah memberikan peluang yang luas kepada murid, guru masih boleh
mempertingkatkan peluang murid untuk belajar dengan menggunakan aktiviti berkumpulan.
Berdasarkan video pengajaran guru tersebut, saya mendapati segelintir murid tidak mendapat
peluang untuk melakukan aktiviti yang dijalankan. Murid telah mengangkat tangan untuk
melakukan aktiviti namun masih tidak berpeluang untuk dipanggil oleh guru. Oleh itu, guru
boleh menggunakan strategi pembelajaran koperatif. Melalui pembelajaran koperatif, semua
murid boleh terlibat secara aktif berbanding pengajaran yang telah dilaksanakan oleh guru
berdasarkan video tersebut. Guru perlu membuka peluang seluas-luasnya kepada murid
dengan pengalaman secara langsung semasa melakukan sepanjang sesi pengajaran dan
pembelajaran khususnya dalam bilik darjah.

Kesimpulannya,

kemahiran

asas kaunseling iaitu kemahiran

memimpin

boleh

dipertingkatkan dengan memberikan peluang yang lebih luas kepada murid untuk belajar
menggunakan strategi pembelajaran yang berbeza. Guru perlu menggunakan kemhiran mereka
secara semaksima mungkin untuk membantu murid belajar dengan baik.
1.1.3

Penggunaan komunikasi dengan baik

Komunikasi merupakan salah satu perkara yang penting semasa proses pengajaran dan
pembelajaran. Komunikasi juga merupakan salah satu kemahiran asas kaunseling yang pasti
akan digunakan dalam proses pengajaran dan pebelajaran. Tanpa komunikasi, sesi pengajaran
dan pembelajaran mungkin tidak akan berjalan. Semasa berkomunikasi, bahasa mesti
digunakan untuk menyampaikan maklumat kerana bahasa merupakan medium untuk
berkomunikasi.
Berdasarkan video pengajaran, saya mendapati guru telah menggunakan bahasa yang
sesuai bagi tahap murid. Guru telah menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh murid
untuk mengajar makanan yang berkhasiat. Guru tidak menggunakan istilah-istilah yang belum
dikuasai murid seperti karbohidrat, dan protein. Hal ini menunjukkan bahawa guru telah
memahami tahap penguasaan bahasa murid. Semasa murid mengganggu pengajaran, guru
menegur murid dengan menggunakan bahasa yang lembut dan tidak kasar. Sebagai contoh,
berdasarkan video tersebut, memberi amaran kepada murid dengan berkata Azmi, tolong
jangan bising. Berdasarkan teguran tersebut, saya mendapati guru telah menggunakan
kemahiran prafrasa dengan memberi tindak balas setelah memerhati tingkah laku murid.
Semasa pengajaran, saya mendapati guru dapat menggalakkan murid berkomunikasi dengan
memberi tindak balas terhadap pertanyaan yang dilemparkan oleh guru.
Pada pemerhatian saya, saya berpendapat bahawa guru boleh menggunakan pelbagai
kaedah untuk memastikan murid tidak mengganggu sesi pengajaran dan pembelajaran.
Antaranya ialah menetapkan peraturan. Menurut Thondike, hukum kesediaan adalah perkara
yang paling penting dan asas sebelum seseorang murid memulakan pembelajaran. Seseorang
murid perlu mempunyai persiapan yang rapi sebelum menghadapi sesi pembelajaran di dalam
kelas. Murid perlu mempersiapkan diri mereka dari segi mental, fizikal, emosi, sosial dan
psikomotor sebelum pembelajaran berlaku. Faktor-faktor ini sangat membantu dalam
mewujudkan aktiviti pembelajaran yang aktif, mudah, seronok dan berkesan. Oleh itu, guru
perlu menetapkan peraturan dan memastikan murid faham peraturan tersebut agar mereka
bersedia tiap kali guru masuk ke kelas.

Kesimpulannya, pengajaran yang dijalankan oleh guru telah menggunakan kemahiran


berkomunikasi yang sangat baik dan membantu dalam pengajaran dan pembelajaran yang
telah dilaksanakan.

1.1.4

Ekspresi muka

Ekspresi wajah adalah penglahiran rasa hati, emosi, fikiran, penilaian dan keadaan individu.
Menurut Myrick (2001), dalam sesi kaunseling ekspresi wajah dapat membantu menerangkan
erti mesej yang disampaikan. Oleh itu adalah penting bagi pembimbing atau pengamal
kaunseling mempamerkan ekspresi muka atau wajah yang dapat menyakinkan klien. Begitu
juga dengan guru semasa menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran. Wajah yang
senyum dan ceria menunjukkan tanda persahabatan dan kesediaan guru untuk mengajar.
Berdasarkan video tersebut, saya mendapati ekspresi guru tidak menggambarkan apa
yang dilafazkan. Berdasarkan pemerhatian, ekspresi muka guru sama sepanjang masa.
Semasa guru memuji murid yang dapat menjawab dengan betul, guru tidak menunjukkan
ekspresi gembira. Pada pendapat saya, guru sepatutnya menzahirkan perasaan mereka. Hal ini
menunjukkan guru tidak menggunakan kemahiran asas kaunseling dengan baik jika
berpandukan ekspresi muka yang diberikan oleh guru. Berdasarkan pengalaman saya sendiri
sebagai seorang murid, murid akan lebih yakin dengan apa yang dinyatakan oleh guru apabila
guru mempamerkan ekspresi yang sesuai khususnya semasa memberi pujian kepada murid.
Selain itu, cara-cara komunikasi yang dipamerkan oleh klien juga melalui eye contact, ekspresi
muka, orientasi, sentuhan jarak antara murid. Guru tidak sepatutnya menunjukkan pergerakan
badan yang tidak senonoh atau kurang bersopan seperti badan bongkok, mengeluarkan bunyi
dengan jari tangan atau kaki, bermain-main dengan rambut. Keadaan ini akan memberikan
pelbagai maklum balas kepada klien seperti mewujudkan suasana yang tidak selesa kerana
murid mungkin beranggapan guru tidak memberi perhatian atau mendengar secara sambil
lewa.
Oleh itu, seorang guru seharusnya menggunakan bahasa tubuh dan ekspresi muka
yang sesuai agar murid tertarik dengan pengajaran guru. Guru perlu mempamerkan sikap yang
tenang

dan

lebih

kerap

menggunakan eye

contact dengan

murid.

Sekiranya

guru

mempamerkan muka yang serius dan bosan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran, murid
akan hilang minat untuk terus menyampaikan maklumat dan mengikuti sesi pengajaran dan
pembelajaran. Begitu juga semasa satu-satu sesi kaunseling. Justeru, guru perlu lebih ceria
dan peramah semasa menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran.

Kesimpulannya, ekspresi muka dan bahasa tubuh yang digunakan oleh guru sepanjang
pengajaran dan pembelajaran masih boleh dipertingkatkan agar proses pengajaran dan
pembelajaran berjalan dengan jayanya dalam suasana mesra.

1.2 Penutup
Secara keseluruhannya, penggunaan kemahiran asas kaunseling dapat membantu dalam
meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran sekiranya diaplikasikan dengan baik. Oleh
itu, seorang guru perlu mahir dalam menguasai kemahiran-kemahiran ini bagi menggalakkan
pembelajaran yang aktif dalam kalangan murid khususnya pada peringkat sekolah rendah.
Sebagai guru, kita harus mengaplikasikan kemahiran-kemahiran asas kaunseling tersebut
sebagai tambah nilai dalam proses pengajaran dan pembelajaran supaya dapat menggalakkan
dan meningkatkan potensi pelajar. Apabila guru mengaplikasikan kemahiran-kemahiran asas
kaunseling, murid dapat belajar dengan baik dalam suasana persekitaran bilik darjah yang
kondusif sekaligus dapat mendorong pelajar ke arah kecemerlangan.
(1597 patah perkataan)