Anda di halaman 1dari 4

Membuang bayi adalah cara yang paling mudah dilakukan oleh pasangan yang melakukan penzinaan

dan hamil. Bagi kebanyakan kes, perempuan yang dipersalahkan dan terpaksa menanggung beban di
atas perbuatan tersebut.
Isu pembuangan bayi merupakan isu sejagat. Tidak sekadar berlaku di Malaysia malah di merata
tempat. Di Brunei, seorang wanita dijatuhi hukuman penjara empat tahun kerana menyebabkan
kematian seorang bayi dengan meletakkannya di dalam karung sampah yang mengakibatkan bayi
berkenaan mati kelemasan. Di Indonesia, seorang penduduk Bekasi melihat benda berwarna kuning
disyaki bayi terapung-apung di tepi sungai. Di China pula seorang bapa membuang anaknya yang
berusia setahun ke dalam sungai kerana menyangka anaknya itu mati setelah tidak sedarkan diri
kerana sakit perut. Manakala di Amerika Syarikat, seorang remaja perempuan berumur 19 tahun,
Krystal Johnson dituduh membunuh setelah membuang bayinya ke kawasan yang kotor.
Di Malaysia, gejala ini terus berlaku dan menunjukkan aliran yang menaik. Umpamanya pada tahun
1999, sebanyak 70 kes telah dilaporkan dan pada tahun 2001, ia meningkat kepada 97 kes.
Peningkatan bilangan kes ini memerlukan langkah-langkah penyelesaian dari akar umbi punca
tersebut.
Bagaimanakah bayi dibuang, tempat pembuangan dan siapa yang membuangnya?
Tempat yang sering dicari ialah di dalam tandas, rumah kosong, tempat pelupusan sampah, saluran
tangki najis, sungai, tepi pantai, longkang atau di rumah ibadat. Selain itu, tempat-tempat tumpuan
awam seperti gerai makan, stesen kereta api dan pintu pagar klinik kesihatan turut menjadi pilihan.
Kepelbagaian tempat pembuangan memberi gambaran kepada kita sejauh mana tahap simpati
pelakunya. Ada sesetengah kes yang pelaku menunjukkan kekejaman dan kezaliman, bayi akan
dipam masuk ke dalam saluran tangki najis bagi menghilangkan bukti kelahiran. Pelaku yang masih
ada simpati dan rasa bersalah akan menghormati bayi mereka dengan menyelimut, diberi susu dan
diletakkan di tangga surau atau di hadapan rumah orang yang berpengaruh.
Pelaku membuang bayinya di tempat-tempat tertentu kerana tidak tahu apa yang perlu dibuat dengan
kelahiran malah ia lebih malang jika perempuan berkenaan berumur 14 atau 15 tahun kerana
keadaan mental dan fizikal mereka belum bersedia untuk menerima kelahiran tersebut.
Pembuangan bayi melibatkan banyak faktor. Kita tidak boleh membuat tuduhan atau menuding jari
kepada satu-satu pihak kerana menyebabkan kehamilan luar nikah yang bertambah, sebaliknya
melihat punca tersebut daripada pelbagai aspek. Kajian yang dilakukan oleh Pakar Psikologi Kanakkanak dan Remaja dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Khaidzir Ismail melalui Kajian Profil
Remaja Perempuan Risiko Tinggi terhadap kalangan remaja perempuan berisiko tinggi atau
bermasalah memberi pendedahan betapa punca sebenar terletak pada keluarga yang bermasalah.
Pengaruh rumah tangga memberi kesan ke atas pembentukan personaliti anak-anak khususnya
apabila mereka meningkat remaja. Konflik dalam keluarga menendang keluar remaja untuk mencari
tempat dan rakan yang boleh membantu mengatasi keadaan hidup dan pada masa yang sama
memenuhi keperluan kewangan, hiburan dan perkembangan emosi mereka. Tanpa pengawasan,
anak-anak menjadi liberal, bersikap kurang ajar dan merencana kehidupan mengikut kehendak hati.
Masalah akan membiakkan masalah jika tidak disekat. Pembuangan bayi adalah satu masalah yang
wujud sebagai impak kepada masalah lain yang wujud lebih awal. Pergaulan bebas, pengaruh dadah,
capaian yang mudah terhadap bahan-bahan lucah dan pengaruh kawan adalah antara punca yang
sering kali diperkatakan. Namun, jarang kita membuat analisis terhadap perubahan yang berlaku
dalam masyarakat akibat daripada proses sosialisasi.
Masyarakat membentuk sistem nilai berasaskan proses sosiolisasi yang menunjuk ajar bagaimana

untuk bertingkah laku. Sosiolisasi merujuk kepada pengaruh keluarga, sekolah, institusi agama,
pertubuhan bukan kerajaan dan politik, pengalaman kerja, media massa dan kumpulan rakan sebaya.
Nilai-nilai dipelajari dan dinyatakan melalui perlakuan dan komunikasi. Nilai memberi hala tuju
tindakan terakhir yang boleh dijangkakan dan membantu mengenal pasti baik atau buruk, betul atau
salah.
Nilai yang dikongsi bersama oleh masyarakat akan mengelakkan sesuatu konflik berlaku kerana
fungsi nilai ialah mengehadkan ruang dan peluang untuk konflik daripada merebak dan mengganggu
sistem nilai, perpaduan dan kesejahteraan masyarakat.
Kemodenan menyebabkan perubahan yang sangat ketara dalam proses sosiolisasi. Nilai-nilai tradisi
masyarakat tradisional seperti gotong-royong, ziarah-menziarahi dan bantu-membantu semakin luntur
di dalam masyarakat moden. Gotong-royong umpamanya, tidak lagi kedapatan secara meluas di
bandar-bandar sebaliknya digantikan dengan perkhidmatan berbayar. Peredaran masa menyebabkan
nilai-nilai tersebut merosot dengan teruknya dan digantikan dengan nilai kontemporari yang
disesuaikan dengan kehidupan moden. Sistem pendidikan adalah elemen yang sangat mustahak
untuk mengukuhkan nilai-nilai yang dikehendaki bagi menggantikan nilai-nilai yang tidak menyumbang
kepada kemajuan.
Justeru, dalam kes pembuangan bayi, negara-negara Barat mengambil pendekatan memperkenalkan
pendidikan seks di sekolah. Jerman adalah di antara negara yang berusaha mengatasi masalah ini
dengan pelbagai cara. Selain pendidikan seks, Jerman memperkenalkan Babys Craddle untuk
mereka yang tidak tahu ke mana hendak membuang bayi yang baru lahir. Kaedah ini dipraktikkan di
tempat terpilih khususnya hospital dan dipantau oleh kamera litar tertutup sepanjang masa. Sasaran
uatama ialah ibu muda yang ketakutan dan panik supaya anak yang dilahirkan akan diberi penjagaan
kesihatan yang sewajarnya. Bayi yang diletakkan di Babys Craddle akan diambil oleh jururawat
bertugas dalam masa dua minit. Ibu muda berkenaan diberi tempoh lapan minggu untuk menuntut
anaknya dan tempoh ini cukup untuk menstabilkan emosi dan fizikalnya.
Di Amerika Syarikat, kerajaan membantu ibu muda untuk meletakkan bayi yang baru dilahirkan di
tempat-tempat terpilih seperti hospital, balai bomba, agensi kebajikan swasta, agensi anak angkat dan
gereja. Ibu atau orang yang meninggalkan bayi tersebut tidak perlu memberi butir terperinci.
Penjagaan seterusnya diambil alih oleh kerajaan. Jika ibu atau bapa tidak menuntut bayi berkenaan
dalam tempoh tiga bulan, hak ibu bapa boleh ditamatkan dan anak tersebut boleh diberi kepada
keluarga angkat.
Rasional kebenaran seperti ini untuk mengelakkan bayi dibuang di merata tempat yang boleh
membahayakan diri dan mengelakkan mati sebelum dijumpai. Dalam kebanyakan kes, mayat bayi
dijumpai di tempat yang yang sangat menyedihkan. Melalui undang-undang Safe Haven yang
diperkenalkan, ibu muda dibenarkan untuk meningggalkan bayi mereka tanpa dikenakan tuduhan
jenayah. Pada masa yang sama mendidik masyarakat untuk menghargai nyawa dan kehidupan tanpa
mengira siapa dan di mana. Kesedaran masyarakat terhadap undang-undang Safe Haven ini turut
dibantu oleh jaringan ibu bapa yang menyedari keperluan memberi bantuan dan sokongan kepada
remaja yang terlibat. Salah satu daripadanya ialahwww.robynsnest.com/.
Melihat penyelesaian yang dilaksanakan oleh masyarakat Barat, hasil akhir yang dijangka ialah bayi
yang ditinggalkan akan diserahkan kepada keluarga angkat. Masyarakat Malaysia menentang langkah
yang diguna pakai oleh Barat kerana dikhuatiri menggalakkan pembuangan bayi secara berleluasa.
Namun apakah kita mahu melihat adanya kes buang bayi di dalam longkang, pagar masjid atau di
hadapan rumah kita?
Penyelesaian yang terbaik ialah menutup punca kepada masalah ini. Pendidikan yang menekankan
kesucian hubungan lelaki dan perempuan perlu didedahkan sejak kecil di samping pencegahan

daripada institusi agama dan budaya masyarakat. Penguatkuasaan sepatutnya diguna pakai untuk
menjadi pengajaran kepada ahli masyarakat tetapi peningkatan kes buang bayi dari setahun ke
setahun menimbulkan persoalan sejauh mana keberkesanan hukuman sedia ada ini?

Sejak belakangan ini, kes pembuangan bayi di Malaysia semakin serius. Saban hari kita
dikejutkan dengan kes pembuangan sama ada yang masih hidup ataupun meninggal dunia
ditinggalkan di tempat-tempat tertentu seperti di dalam tong sampah, tandas, dan longkang.
Pergaulan bebas merupakan pemangkin utama kes ini. Pergaulan bebas antara lelaki dan
perempuan yang melampaui batas agama boleh menyebabkan diri mereka terjebak ke dalam
kancah maksiat dan impaknya si gadis hamil anak luar nikah
Lebih buruk lagi pihak lelaki tidak bertanggungjawab sehingga membawa titik hitam dalam
kehidupan gadis tersebut, lantas gadis yang hamil mengambil jalan mudah untuk mengelakkan
rasa malu agar perbuatannya tidak diketahui masyarakat, selain itu perasaan buntu dan tidak
tahu apa yang perlu dilakukan lalu membuang bayi tanpa belas kasihan. Perempuan yang
menerima anak juga takut dimarahi atau dipulau oleh keluarga akibat keterlanjuran dalam
pergaulan. Selain itu, gejala ini juga berpunca daripada faktor kemiskinan keluarga yang
mempunyai anak yang ramai sedangkan suami tidak bekerja. Kurang didikan agama juga
merupakan salah satu punca berlakunya kes pembuangan bayi.
Selain cetek pengetahuan agama, mereka juga cetek pengetahuan dalam pergaulan dan tindakan.
Mereka mudah terperdaya untuk melakukan maksiat tanpa mengambil kira dosa atau pahala.
Bagi mereka, perbuatan keji ini adalah perkara baru yang perlu dicuba. Mereka yang melakukan
perbuatan yang salah ini kerana menerima maklumat yang tidak betul daripada pihak tertentu
untuk menyelesaikan masalah yang diterima sebagai contoh tidak mengetahui terdapat badan
sukarela dan agensi tertentu yang menerima bayi tersebut. Sebenarnya perbuatan keji ini berlaku
dengan sikap masyarakat yang memandang keji mereka yang mempunyai anak tanpa berkahwin.
Isu pembuangan bayi amat serius dan perlu ditangani segera. Oleh yang demikian, pegangan
agama yang utuh dalam kalangan remaja penting untuk membendung masalah ini. Keluarga dan
masyarakat harus bersikap membantu mangsa, bukan menambah lagi beban yang ditanggung.
Pada waktu yang sama, ibu bapa hendaklah prihatin dengan anak-anak mereka yang meningkat
remaja, selain itu individu sendiri perlu mempunyai kesedaran untuk menjaga tatasusila apabila
berhadapan dengan masyarakat.

Kaji punca berlaku kes pembuangan bayi


23/07/2010 9:38pm

KUCHING 23 Julai - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, isu
pembuangan bayi yang semakin menular dalam masyarakat ketika ini perlu dikaji secara mendalam dengan
mencari punca utama kenapa kes tersebut berlaku.
Beliau berkata, dengan hanya menyediakan tempat untuk bayi-bayi terbuang oleh pihak yang tidak
bertanggungjawab tidak akan menyelesaikan masalah tersebut sebaliknya lebih banyak usaha perlu dilakukan
melalui pendekatan agama dan pengukuhan institusi keluarga.

"Seperti masalah gatal pada kulit, ia tidak mencukupi hanya dengan menyapu minyak pada bahagian yang gatal,
sebaliknya kita mesti tahu kenapa kita menghadapi masalah tersebut sama ada melalui pemakanan dan begitu
juga masalah bayi ini kenapa ia berlaku, katanya ketika menyampaikan ucaptama pada program sesi bersama
pemimpin, perpaduan 1Malaysia di sini hari ini.
Katanya kes pembuangan bayi semakin serius sejak akhir-akhir ini dan ia merupakan antara masalah utama
dalam masyarakat ketika ini selain masalah penceraian rumah tangga.
Menurutnya peranan institusi keluarga yang menjadi asas utama dalam membentuk sebuah mesyarakat yang
lebih maju dan bertamadun perlukan perhatian khasnya yang melibatkan pendidikan awal akhlak anak-anak.
Mashitah berkata, gaya hidup dalam sesebuah keluarga banyak mempengaruhi cara pemikiran anak-anak hari ini
kerana mereka akan lebih mudah meniru apa yang dilakukan oleh orang tua mereka sendiri sama ada ia
perbuatan yang baik mahupun sebaliknya. - Bernama