Anda di halaman 1dari 3

REFLEKSI

Bagi memenuhi kerja kursus SCE 3101 Kehidupan dan Proses Kehidupan, kami
dari kumpulan 1Pismp Sains harus mengadakan satu seminar bertemakan Pembiakan
Manusia. Seminar ini merupakan program wajib dilaksanakan kerana ia terdapat dalam
sukatan proforma bagi kursus ini. Pembentangan seminar ini dijalankan secara individu.
Tajuk seminar yang telah saya bentangkan ialah Keberkesanan Langkah-langkah
Mengawal Kehamilan Secara Moden Pembentangan seminar ini berlangsung di
Dewan Kuliah pada 9hb April 2014 dan pada jam 2.00 petang. Terdapat 16 topik
pembiakan manusia yang harus dibentangkan pada hari itu, tetapi cuma 8 topik sahaja
yang sempat dibentangkan ketika itu ekoran kekangan masa yang berlaku. Maka, 8
topik selebihnya telah dibentangkan di dalam makmal Biology pada 16hb April 2014.
Pelbagai sumber dan maklumat yang telah saya cari bagi memastikan topik ini dapat
dibentangkan dengan penuh pengisian. Antaranya adalah, saya telah pergi ke
perpustakaan negeri bersama rakan sekelas yang lain bagi mengumpul maklumat
tambahan dan mencari beberapa buku yang berkaitan dengan topik kami.
Semasa seminar ini berlangsung, pelbagai ilmu telah diperolehi. Terdapat 16
topik menarik yang telah dibentangkan oleh semua ahli kelas saya. Antaranya ialah
pengklonan, kemandulan, kitaran haid dan penyakit jangkitan kelamin. Semua topik ini
digabungkan di bawah satu topik seminar iaitu Pembiakan Manusia Di Sini Segalanya
Bermula. Banyak ilmu dan info-info menarik yang saya perolehi sepanjang seminar ini.
Seminar ini juga memberi satu asas kemahiran penting bagi saya. Saya merupakan
pembentang kedua semasa seminar ini berlangsung. Pengalaman berada di pentas
dan membentangkan info merupakan satu pengalaman yang baharu dan mencabar
bagi saya memandangkan saya tidak pernah membentang sesuatu topik di dalam
dewan kuliah yang besar seperti ini. Lebih-lebih lagi pembentangan ini dinilai oleh
beberapa orang pensyarah maka wujudlah perasaan takut dan gementar untuk
membentang yang sememangnya ada dalam diri saya. Tapi saya dapat atasi perasaan
tersebut dan berjaya membentangkan tajuk yang diberikan mengikut perancangan. Ini
merupakan satu pengalaman baharu yang amat berguna bagi saya sekaligus dapat
melatih teknik pengucapan awam saya.

Pada masa yang sama, kami dikehendaki mengadakan satu pameran sains
yang dinamakan Walking Gallery yang bertempat di hadapan Dewan Kuliah Ipg Teknik.
Pameran sains juga merupakan salah satu perkara yang wajib dilaksanakan oleh kami.
Pameran ini dilaksanakan secara berkumpulan. Dalam kumpulan saya terdiri daripada
dua orang Adi Saifuddin dan juga saya sendiri. Kumpulan kami dikehendaki untuk
membuat pameran mengenai tajuk Langkah Mengawal Kehamilan Dari Segi Moden
dan Tradisional. Banyak perbincangan yang telah dilakukan bersama ahli kumpulan.
Salah satu cabaran besar yang didapati semasa melakukan tugasan ini adalah
pasangan saya merupakan seorang lelaki. Oleh itu, terdapat sedikit kesukaran kami
untuk berjumpa dalam membincangkan perkara-perkara berkenaan pameran ini. Ini
ditambah lagi dengan kekangan tugasan lain dan cuti pertengahan semester yang
berlangsung sebelum pameran ini diadakan. Namun, kami telah mengambil inisiatif
untuk berbincang melalui alam maya. Dan kami telah berjaya mendapat beberapa
persetujuan dalam pameran kami. Terdapat satu kemahiran penting yang saya pelajari
semasa melakukan Walking Gallery ini ialah cara untuk menarik perhatian. Cara
percakapan dan bahasa badan amat penting dalam melaksanakan perkara ini. Saya
sedar sebagai seorang, saya harus meningkatkan kemahiran ini dari semasa ke
semasa untuk menjadi seorang guru yang cemerlang.
Terdapat beberapa kelemahan yang dapat saya kenalpasti mengenai seminar ini
adalah mengenai pemilihan waktu dan tarikh aktiviti seminar ini berlangsung. Pemilihan
tarikh iaitu pada hari Rabu (9hb April 2014) adalah tidak bersesuaian memandangkan
kesemua pelajar 3Pismp dikehendaki menduduki peperiksaan Unit Beruniform pada
waktu itu. Kesemua pelajar 5Pismp dan 7Pismp pula sedang menjalani praktikum di
sekolah masing-masing. Manakala pelajar 1Pismp PSV pula telah pergi ke Terengganu
bagi menjalani program seni mereka. Bagi pensyarah-pensyarah pula, mereka terpaksa
menghadiri mesyuarat bersama pengarah yang berlangsung pada pukul 2.00 petang di
bilik simulasi IPG Teknik. Oleh itu, program seminar ini terpaksa dijalankan tanpa
kehadiran tetamu jemputan kerana kesemua pelajar dan pensyarah mempunyai
komitmen lain yang harus dipenuhi. Bagi saya, pemilihan tarikh dan masa amat penting
bagi menarik lebih ramai tetamu untuk ke seminar ini. Jadi, hal ini boleh diperbaiki lagi
untuk aktiviti lain di masa akan datang.

Dari segi kekuatan pula, saya dapat lihat bahawa seminar ini mampu menyatu
dan mengeratkan lagi tali-temali sosial dalam kalangan pelajar-pelajar 1Pismp Sains
supaya kami boleh menjadi lebih akrab lagi. Hal ini demikian kerana kami banyak
bekerjasama dan membuat perbincangan bagi memastikan seminar ini berjalan lancar.
Maka, kami banyak belajar untuk bertolak ansur dan bertoleransi sesama rakan supaya
kerjasama dapat dipupuk di dalam sesebuah organisasi. Selain itu, seminar ini telah
melatih kami supaya berusaha mencari sesuatu maklumat dan informasi dengan lebih
terperinci sekaligus dapat menambahkan lagi pengetahuan am bagi sesuatu topik
pembentangan kami. Seminar ini juga melatih kami supaya lebih berani dan yakin untuk
membentang dihadapan orang ramai sekaligus mengasah teknik pengucapan awam
kami. Sesungguhnya untuk menjadi seorang guru yang berkaliber, kami harus bijak
membentang dan bercakap bagi memastikan penonton dan pendengar dapat
memahami apa yang kami cuba sampaikan.
Saya berharap agar segala pengalaman, kemahiran dan ilmu yang saya dapati
sepanjang kursus ini dapat saya gunakan sebaiknya semasa menjadi guru kelak. Saya
juga berharap agar penambahbaikan dapat dilakukan sekiranya aktiviti ini dijalankan
sekali lagi suatu hari nanti. Semoga pengalaman menjalankan seminar pembiakan
manusia dan walking gallery dapat saya gunakan sebaiknya untuk aktiviti-aktiviti
seterusnya yang akan dijalankan pada masa akan datang.

Disediakan oleh :
FADZREEN SHAHIRA BT RUSLI
1PISMP SAINS

Anda mungkin juga menyukai