Anda di halaman 1dari 1

4

ABSTRAK
Generasi Y adalah mereka yang lahir dalam lingkungan tahun 1979 hingga tahun
1994. Generasi Y sering menjadi topik perbincangan terutamanya dalam kalangan
majikan kerana wujud pelbagai persepsi stereotaip masyarakat dan majikan terhadap
generasi Y di alam pekerjaan. Oleh itu, kajian ini dilakukan bertujuan untuk meninjau
personaliti, tahap daya tahan (resilience), motivasi kerja beserta komitmen organisasi
dalam kalangan pekerja generasi Y. Hubungan antara komitmen organisasi pekerja
generasi Y dengan personaliti, daya tahan, motivasi kerja serta faktor-faktor demografi
turut dikaji dalam kajian ini. Kajian ini menggunakan reka bentuk survei dan teknik
persampelan jenis kesenangan (convenience sampling) dan persampelan jenis bola
salji (snowball). Unit sampel adalah pekerja generasi Y yang bekerja di Malaysia. Saiz
sampel dalam kajian ini ialah seramai 103 orang responden. Hasil kajian mendapati
hanya dimensi personaliti keterbukaan sahaja yang tidak mempunyai perhubungan
yang signifikan dengan mana-mana jenis komitmen organisasi manakala dimensidimensi lain mempunyai perhubungan yang signifikan dengan sekurang-kurangnya
satu jenis komitmen organisasi. Di samping itu, daya tahan didapati mempunyai
perhubungan yang signifikan dengan ketiga-tiga jenis komitmen organisasi yang
membawa makna semakin tinggi daya tahan individu, semakin tinggi komitmen
organisasi dan sebaliknya. Bagi jenis motivasi kerja pula, kesemua jenis motivasi
kerja kecuali amotivation mempunyai hubungan yang signifikan dengan komitmen
organisasi. Amotivation didapati mempunyai hubungan negatif dengan komitmen
afektif sahaja. Umur pula berhubungan secara signifikan dengan komitmen afektif dan
berterusan. Bagi jantina dan tempoh pengalaman pekerja, terdapat perbezaan yang
signifikan terhadap komitmen afektif dan berterusan bagi setiap pemboleh ubah.
Selain itu, pekerja di sektor kerajaan mendapat skor ranking min yang lebih tinggi
berbanding pekerja di sektor swasta dalam ketiga-tiga jenis komitmen organisasi.
Kajian ini juga menemui perbezaan yang signifikan antara tahap pendidikan pekerja
dalam komitmen afektif dan komitmen berterusan. Kesimpulannya, hasil kajian ini
dapat memberi gambaran kepada semua pihak terhadap komitmen organisasi,
personaliti, daya tahan serta motivasi kerja dalam kalangan pekerja generasi Y.

Anda mungkin juga menyukai