Anda di halaman 1dari 4

Pada 26 hingga 28 Mac 2010, KRIM Negeri Sembilan dengan kerjasama Panitia Bahasa

Inggeris Sekolah Menengah Agama Rembau telah menganjurkan Kem Bahasa Inggeris untuk
kesemua pelajar Tingkatan Tiga dan Lima. Bertemakan English is Just Awesome, kem ini
bertujuan untuk meningkatkan motivasi para peserta dalam pembelajaran dan penggunaan
Bahasa Inggeris sebagai alat komunikasi di samping bahasa ibunda. Beberapa aktiviti
menarik telah diadakan bagi mencapai tujuan ini.
Aktiviti pertama ialah Whats in a name? di mana para peserta dikehendaki untuk
memperkenalkan diri kepada ahli kumpulan dengan menggunakan kata sifat yang bermula
dengan huruf pertama dalam nama mereka. Berdasarkan pemerhatian, peserta secara amnya
kelihatan kekok untuk menggunakan bahasa Inggeris. Hal ini mungkin disebabkan oleh
faktor kurang keyakinan diri untuk bercakap dalam bahasa Inggeris dan kekurangan kosa
kata. Walaubagaimanapun, peserta berjaya memperkenalkan diri masing-masing
menggunakan kata sifat yang sesuai. Terdapat juga pelajar yang mengambil inisiatif
menggunakan kamus untuk menjayakan tugasan tersebut.

Setelah aktiviti pertama tamat, peserta diminta berkongsi persepsi mereka terhadap bahasa
Inggeris melalui lisan, tulisan atau lukisan dalam sesi English is . Para peserta yang
terpilih kemudian berkongsi pandangan mereka dengan peserta lain. Secara amnya, para
peserta mempunyai pandangan yang positif terhadap kepentingan untuk belajar bahasa
Inggeris. Namun, tidak kurang juga yang secara jujur menyatakan pembelajaran bahasa
Inggeris adalah sukar, mencabar dan membosankan.
Pada hari kedua, seusai solat subuh dan bacaan almathurat, peserta melakukan senaman pagi
bersama fasilitator. Selepas itu, mereka berkumpul untuk sesi perkongsian dengan Encik
Azmir, bekas pelajar SMA Rembau yang berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang
Teaching English as a Second Language (TESL) di Australia. Beliau berkongsi pengalaman
dengan para peserta bagaimana beliau mempelajari Bahasa Inggeris serta memberi motivasi
kepada para peserta bahawa kesemua mereka boleh berjaya.
Aktiviti seterusnya ialah Hands of Honour. Melalui aktiviti ini, para peserta menggunakan
kata sifat yang dipelajari untuk menceritakan lima sifat tentang diri sendiri dan lima sifat
tentang rakan di sebelah kiri mereka. Selepas itu, mereka berkongsi semua kata sifat yang
dipilih beserta penjelasan ringkas. Berdasarkan maklumbalas daripada para fasilitator,
kesemua peserta menunjukkan perubahan positif daripada segi keyakinan untuk berbahasa
Inggeris, kemahuan untuk bertanya soalan dan berkongsi pendapat.
Mengikut perancangan, slot seterusnya ialah Tongue Twister. Namun, slot ini telah dibatalkan
untuk memberi ruang kepada setiap wakil kumpulan untuk membentangkan persepsi mereka

terhadap bahasa Inggeris. Seorang peserta perempuan dan seorang peserta lelaki telah dipilih
sebagai pemenang kerana telah mengemukakan pandangan yang unik tentang bahasa Inggeris
iaitu:
Pemenang kategori perempuan: Learning English is like digging for a pearl.
Pemenang kategori lelaki: English language is like a heart.
Selepas selesai solat zuhur dan makan tengahari, para peserta kembali ke dewan untuk
aktiviti Dictionary Dash. Melalui aktiviti ini, para peserta didedahkan dengan penggunaan
kamus bahasa Inggeris sebagai salah satu strategi meningkatkan penguasaan kosa kata. Para
peserta kelihatan begitu bersungguh-sungguh untuk mencari makna perkataan yang diajukan.
Walaubagaimanapun, mereka mengalami kesukaran membina ayat yang tepat bagi
menggambarkan kefahaman mereka tentang makna perkataan tersebut. Seorang peserta
menyatakan kekecewaan kerana tidak berjaya menjawab kebanyakan soalan dalam sesi ini.
Antara faktornya ialah perkataan yang terlalu sukar difahami dan persaingan yang sengit
antara kumpulan. Di hujung sesi, fasilitator turut membuat demonstrasi menggunakan kamus
elektronik dan perisian komputer khas untuk memperbaiki sebutan.
Aktiviti seterusnya, Find Someone Who, ialah sebuah aktiviti yang bertujuan bukan sahaja
menggalakkan komunikasi dalam bahasa Inggeris malah turut meningkatkan nilai diri (selfesteem) para peserta. Setiap peserta diberi sehelai kertas tugasan mengandungi 12 ciri-ciri
tertentu. Peserta perlu mendapatkan tandatangan seorang rakan yang untuk setiap ciri
tersebut. Sepanjang aktiviti ini, para peserta kelihatan bersemangat meminta tandatangan
rakan-rakan dengan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan cara yang sopan.
Pada sebelah petang pula, aktiviti treasure hunt diadakan. Terdapat enam checkpoint bagi
peserta perempuan dan lima checkpoint untuk peserta lelaki. Pada setiap checkpoint, terdapat
satu tugasan yang perlu diselesaikan bag membolehkan mereka mendapat petunjuk untuk ke
checkpoint yang seterusnya. Di antara aktiviti yang diadakan di setiap checkpoint ialah
cooking show, fruit riddles, tongue twister dan sebagainya. Setiap aktiviti yang dijalankan
menekan kesemua keempat- empat kemahiran asas bahasa inggeris iaitu menulis, membaca,
mendengar dan bertutur beserta kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis (KBKK). Ini
adalah sejajar dengan objektif pengajaran bahasa Inggeris di Malaysia. peserta memberikan
maklum balas yang sangat positif terhadap kombinasi pembelajaran bahasa Inggeris dengan
aktiviti fizikal.
Selepas makan malam dan solat maghrib dan isyak secara berjemaah, para peserta berkumpul
di dewan berfokuskan kemahiran mendengar, flowers are red. Fasilitator memulakan sesi
dengan mendapatkan pandangan para peserta tentang ciri- ciri lagu kesukaan mereka.
kemudian perlajar diperdengarkan lagu Flowers are Red nyanyian Zain Bhika. Lagu tersebut
diperdengarkan buat kali kedua. Kali ini peserta perlu mengisikan tempat kosong pada lirik
lagu tersebut dengan pilihan perkataan yang diberikan. Sesi tersebut dijalankan selama satu
jam setengah dan diteruskan dengan sesi perkongsian yang dijalankan berasingan mengikut
jantina. Para peserta diberikan peluang untuk menyatakan sebarang masalah dan bertanyakan
tips belajar daripada fasilitator. Selain dari itu, para fasilitator mengambil peluang berkongsi
pengalaman belajar di luar negara.
Pada hari terakhir kem dijalankan, peserta didedahkan dengan faktor utama yang menjadi
pemangkin utama kejayaan iaitu sikap yang positif. Peserta turut menyenaraikan sikap positif

yang patut dimiliki pelajar yang berjaya serta sikap negatif yang perlu dijauhi. Kemudian
peserta dikehendaki membuat poster bertajuk Who I Am?. Melalui poster ini mereka perlu
menggambarkan diri mereka dengan menggunakan gambar-gambar dan perkataan yang
diambil dari surat khabar lama. Hasil kerja peserta dipamerkan dan setiap peserta diberikan
peluang untuk memberi komen atau cadangan kepada rakan-rakan.
Pada jam 1 petang, majlis penutup telah diadakan di dewan sekolah berkenaan. Majlis ini
turut dihadiri Encik Iskan dan Puan Rosmawar. Tayangan video promosi KRIM dan video
kenangan kem turut ditayangkan. Plak penghargaan turut diberikan kepada pihak sekolah dan
peserta terbaik kategori lelaki dan perempuan. Setiap kumpulan turut menerima hamper.
Adalah diharapkan kem ini berjaya mencapai tujuannya dan boleh diteruskan pada masa
hadapan. Jutaan terima kasih dan sekalung penghargaan kepada semua pihak yang terlibat
secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan kem ini. Semoga Allah membalas
budi baik kalian dengan sebaik-baik balasan.