Anda di halaman 1dari 5

Warkah usang buat abang

Hasil Karya: Utih


Disenarai Pada: 04 May, 2004

Abang, Maafkanlah Utih kerana menulis akan warkah ini buat tatapanmu. Tidak
pernah Utih terniat untuk menyakiti hatimu yang terlalu besar itu tetapi niat Utih
adalah suci kerana Utih tidak sanggup untuk terus berpura-pura dengan kenyataan ini.
Adakah abang tahu bahawa selama ini betapa Utih menderita dengan sesungguhnya.
Utih menderita dalam senyuman. Utih tidak sanggup lagi untuk terus menghadapi dan
mengharungi akan penderitaan ini. Cukuplah Utih seorang yang menderita, pada
ketika itu Utih merasakan bahawa Utih tak mampu untuk melihat ibu dan adik-adik
yang bertiga yang masih tidak mengerti apa-apa itu juga turut menderita akan
keperitan hidup ini. Utih tak sanggup melihat Acik, Usu dan juga Adik mengalami
penderitaan sekejam ini.
Abang tahu tak? Selama ini aruah abah dan ibu sungguh berbangga dengan kejayaan
abang, maklumlah anak seorang pengayuh beca boleh menjejakkan kakinya ke pusat
pengajian tinggi di luar negara. Aruah abah mencanang-canangkan ke seluruh
kampung bahawa anak abah itulah yang paling bertuah sekali dikalangan penduduk di
kawasan Kampung Setinggan Roda Tiga. Seboleh-bolehnya aruah abah ingin satu
Malaysia mengetahui tentang kejayaan anaknya, kalau kesampaian biar satu dunia
pun akan melopong mendengarkan kejayaan abang itu. Dengan mulut yang tersengihsengih, aruah abah mengharung keperitan hidupnya semata-mata ingin melihat abang
berjaya! Apa yang aruah abah inginkan selama ini telah abang capai tetapi Utih
merasakan bahawa aruah abah masih lagi berputih mata sekiranya aruah abah masih
hidup lagi. Menitis air matanya bila melihatkan kedaifan keluarganya yang masih
belum ada pembelaan. Merembes air matanya bila melihat kemewahan hidup abang
disamping Kak Erdy. Mungkin sekiranya aruah abah masih bernyawa lagi, kesalannya
tidak akan lekang daripada mulutnya mengenangkan masih tuanya yang dibiarkan
oleh abang.
Tujuan Utih melayangkan warkah ini adalah sebagai meluahkan segala isi hati yang
Utih pendam selama ini. Utih sungguh kesal kerana kelancangan ini kerana Utih sedar
bahawa kelancangan ini akan menjauhkan abang dengan Utih serta keluarga lagi
tetapi tidak mengapalah abang. Utih ingat lagi pesan ayah yang terakhir. Wasiat ayah
yang terakhir buat Utih. Aruah abah meminta Utih menjaga ibu dan juga adik-adik
Utih yang bertiga itu. Aruah abah meminta Utih berjanji tidak akan mensia-siakan
mereka. Utih pada masa itu hanya mampu termanggu lantaran menganggukkan kepala
Utih semata-mata tidak mahu melihat aruah abah merayu-rayu dikali terakhirnya.
Utih termanggu dalam sedar bahawa Utih ini menanggung tanggungan yang maha
besar sedangkan usia Utih belum pun menjangkau 17 tahun pada ketika itu.
Hati Utih tertanya-tanya kenapa Utih yang dipinta? Kenapa tidak abang selaku anak
yang sulung? Sedangkan Utih selama ini adalah anak pungut dalam keluarga ini yang
dipilih. Kenapa Utih yang diwasiatkan bebanan ini. Kenapa tidak abang selaku
pewaris sulung Keluarga Mohammad Diah. Kenapa anak pungut yang tidak tahu
hujung pangkalnya seperti mana yang pernah abang lontarkan kepada Utih tempohari
dulu, yang dipilihnya untuk menanggung bebanan ini.
Abang tahu tak betapa ibu bersusah payah untuk menanggung abang di luar negeri

sehingga barang-barang kemas pusaka Opah Midah tergadai di Kedai Leong Seng.
Ibu sanggup bergadai dan menjual harta pusakanya semata-matanya untuk melihat
abang berjaya sehinggakan kerana itulah Utih terpaksa bekerja selepas tamatnya
Peperiksaan SPM Utih kerana tidak mahu melihat ibu menderita lagi. Utih sanggup
menolak tawaran ke Pusat Pengajian Luar Negeri semata-mata tidak mahu melihat ibu
menderita dan terus menanggung penderitaan ini. Biarlah abang mendapat kejayaan
abang terlebih dahulu dan memperolehi ijazah yang abang idam-idamkan. Utih
sanggup menanti sehingga abang pulang kerana mengikut perkiraan Utih, sudah
pastilah abang akan membantu Utih dalam menyara kehidupan Utih di dalam kampus
kelak. Tapi sayang impian dan harapan hanya tinggal menjadi abu dan berterbangan
Tiada irama yang mengundang kesedihan ini tetapi senandung itulah yang memaksa
Utih untuk terus sedar akan kedudukan Utih dan keluarga di sisi abang. Utih dan
keluarga bukan lagi menjadi kesayangan abang. Kami telah abang ibaratkan semacam
sampah yang tidak berharga sehingga Utih teringat lagi peristiwa di pagi Hari Raya
Aidil Fitri setahun yang lepas. Ibu menitiskan air matanya mengenangkan anak yang
diharapkannya selama ini rupanya adalah pohon dedalu yang hidupnya tidak layak
untuk dikasihani sebaliknya kehidupannya hanyalah untuk menghancurkan kehidupan
insan lain. Ibu teresak-esak menangis nasib malangnya bila abang sendiri menghalau
ibu dari rumahnya pada malam 27 Ramadhan itu. Adakah dengan kesalahan
terpecahkan pasu antik Kak Erdy di ruang tamu itu sehingga abang sanggup
memperlakukan ibu sebagai seorang pengemis yang boleh dihalau-halau tanpa ada
sebarang kasih dan simpati abang. Hina sangatkah ibu di mata abang? Adakah tinggi
nilainya pasu antik tersebut sehinggakan melebihi nilai kasih sayang abang terhadap
ibu yang banyak berkorban buat abang selama ini. Tidakkah abang tahu bahawa
Syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu. Tidakkah abang tahu betapa remuknya
hati ibu sehinggakan kami adik beradik turut menangisi keadaan ibu yang selepas itu
demam tak kebah. Seminggu lamanya ibu terlantar kelesuan. Tiada langsung
kemeriahan Hari Raya yang dapat kami gambarkan ketika itu. Ibu mungkin
terperanjat dengan sikap anak kesayangannya selama ini. Siapa sangka, anak yang
dibelai dan dijaga dengan penuh kasih dan sayang itu akhirnya menghalau ibunya
sendiri dari rumahnya. Anak yang dijaga dengan penuh kasih dan sayang akhirnya
menjadi racun dalam hidup bila ianya tidak tahu membezakan antara pengorbanan
suci seorang ibu dengan kasih seorang isteri. Utih sendiri tiada niat untuk menghina
kedudukan Kak Erdy tetapi Utih kesal kerana Kak Erdylah abang berubah sikap
sehingga kami dipandang jijik di mata abang.
Abang ingat tak lagi, tanggal 7 Februari 1994? Semasa abang meminta ibu
mengirimkan sejumlah wang sebanyak RM7,000 bagi tujuan abang kembali ke
tanahair, ibu begitu kebingungan bagi mencari wang sebanyak itu itu. Akhirnya ibu
bernekad untuk menggadaikan segala harta pusakanya yang masih ada lagi dalam
simpanannya itu. Harta Pusaka tinggalan Opah Midah. Tapi tidak cukup dengan itu,
ibu merayau-rayau memohon hutang daripada jiran-jiran sebelah menyebelah.
Kasihan Utih melihat ibu merayu-rayu jiran terdekat untuk membantu kepulangan
abang itu. Dan akhir sekali Utih terpaksa mengeluarkan wang simpanan kerja Utih
selama ini yang tidak sampai RM2,000 itu untuk membantu abang. Bukan niat Utih
untuk mengungkit-ungkit segala yang Utih serahkan itu tetapi Utih kesal kerana Utih
yang selama ini berpenat lelah mengumpul duit bagi tujuan melanjutkan lagi pelajaran
setelah sekembalinya abang dari luar negeri akhirnya terkubur begitu sahaja. Mungkin
duit tersebut bukannya rezeki Utih tetapi rezeki abang. Tapi Utih sungguh kesal
dengan kepulangan abang dengan segulung ijazah itu akhirnya membawa penderitaan

kepada Utih dan keluarga. Ibulah orang yang paling sedih dengan kejadian itu.
Kegembiraannya hanya seketika dan ianya bertukar menjadi muram apabila melihat
abang berjalan keluar daripada lapangan terbang tanpa mempedulikan ibu. Ibu yang
bersusah payah datang dari Teluk Intan ke Kuala Lumpur hanya untuk menyambut
kepulangan abang tapi malangnya ibu hanya dapat melihat abang sekali imbas kerana
abang sudah lupa bahawa abang adalah anaknya. Yang Utih tahu cuma abang
bersalam dengan ibu dan kemudian menghala keluar dengan seorang perempuan di
sisimu. Akhirnya Utih mendapat tahu bahawa perempuan itu adalah isteri abang yang
sah. Yang telah abang nikahi di luar negeri lagi. Yang telah abang nikahi dengan duit
yang telah ibu kirimkan tempohari. Rupa-rupanya RM7,000 itu adalah habuan hangus
perkahwinan abang dengan Kak Erdy. Tapi kenapa pula abang tidak mahu
memperkenalkan Kak Erdy kepada ibu. Abang nampaknya terlampau memandang
hina
ke arah ibu mungkin kerana pakaiannya yang tidak sesempurna insan lain yang turut
berada di lapangan terbang tersebut. Utih tahu mungkin kerana pakaian ibu tidak
menunjukkan bahawa ibu adalah besan Keluarga Datuk Harun, pemilik kilang besi
waja di selatan tanah air. Besan ibu pun seolah-olah memandang ibu dengan
pandangan yang hina dan seolah-olah ibu ini adalah dari kaum HARIJAN. Abang pun
kejam dengan tidak mempedulikan kehadiran ibu. Agaknya abang malu beribukan
balu seorang penarik beca? Malu beribukan Hatimah Binti Mohammad. Malu dengan
kedaifan ibu. Utih tahu bahawa mungkin abang malu dengan Kak Erdy dan juga
keluarga mentua abang yang kaya raya itu lantaran itu tidak layak untuk bersekongkol
dengan ibu.
Abang tahu tak, selepas peristiwa itu ibu termangu sendirian umpamakan orang bodoh
di ceruk dapur. Utih jugalah yang membantu ibu dalam segala hal. Utih jugalah yang
menjadi abah dan ibu kepada Acik, Usu dan Adik. Mereka terlalu kecil untuk
mengetahui masalah dunia ini. Mereka masih belum mengerti dengan kehidupan yang
penuh kepura-puraan. Seminggu selepas itu, ibu tak habis-habis menangis dan
meracau menyebut-yebut nama abah. Nama abang juga tidak lekang daripada
mulutnya. Tapi sayangnya walaupun abang telah diberitahu namun bayangan abang
tidak kelihatan. Agaknya abang malu untuk menjejakkan kaki abang ke pondok buruk
Mohammad Diah lagi. Pondok yang telah uzur keadaannya sehinggakan pondok
kambing Pak Leman pun lebih kukuh daripada pondok kami. Utih tahu bahawa abang
takut untuk mengotorkan kaki abang ke pondok buruk ini. Siapalah kami di mata
abang. Sepi dan tiada berpenghuni. Kami hanyalah sekadar bayangan yang tidak
pernah wujud lagi dalam hidup abang sehinggakan abang sanggup membuang kami
jauh-jauh.
Abang tahu tak, kehidupan ibu selepas itu tidak tenteram dengan perasaan rindunya
yang terlampau mendalam buat abang. Ibu asyik terkenang-kenang abang
sehinggakan pada 25 Ramadhan 1994 itulah ibu merayu agar Pak Leman, sepupu
aruah ayah mencarikan ibu sebuah teksi untuk ke Kuala Lumpur bagi bertemu dengan
abang. Utih tahu tujuan murni ibu adalah semata-mata ingin menjemput abang balik
berhari raya tahun ini Biasanya pada ketika inilah ramai insan yang pulang berhari
raya ke kampung halaman tetapi malangnya ibu pula yang pergi meninggalkan kami
untuk bertemu dengan abang. Tapi abang terlalu kejam sehingga menyebabkan ibu
pulang dengan kehampaan dan penuh dengan tangisan air mata. Kami akhirnya
merayakan hari lembaran pada tahun itu sama seperti tahun-tahun yang lepas

walaupun ibu sering terbayang-bayangkan bahawa Hari Lembaran tahun ini adalah
tahun yang paling meriah sekali buat ibu. Maklumlah anak kesayangan ibu akan
berhari raya buat pertama kalinya dengan ibu dan keluarga sejak 5 tahun
merayakannya di perantauan.
Utih tahu bahawa warkah Utih kali ini memang terlalu kejam dan terlalu perit untuk
abang tatap. Bukan niat Utih untuk melukakan hati abang tetapi Utih hanya sekadar
ingin melepaskan keluhan yang seringkali ibu hantui diri Utih selama ini. Utih tiada
berniat untuk mengungkit-ungkit kejadian itu tetapi Utih sedar bahawa Utih siapalah
di dalam keluarga Mohammad Diah, hanya sekadar anak angkat Lainlah abang anak
kesayangan aruah abah dan juga ibu.
Abang tahu tak? Siapa yang bersusah payah menjaga abang sewaktu abang kecil
sehinggalah mendapat ijazah. Siapa yang paling banyak bergolok dan bergadai? Siapa
yang telah menjadi mangsa keadaan? Cuba abang jawabkan pertanyaan ini? Utih
sendiri semakin bosan dengan sikap abang. Utih bernekad bahwa Utih tidak punya
abang pun di dalam dunia ini lagi. Abang Utih yang bernama Akmaluddin itu telah
mati di luar negeri. Abang Utih yang bernama Akmaluddin itu telah terkorban di
puncak kejayaannya. Abang Utih yang bernama Akmaluddin itu telah meninggalkan
dunia kemiskinan ini. Utih sedih. Utih Kesal. Utih kecewa.
Abang tahu tak? Sekiranya Utih dilahirkan sebagai seorang lelaki sudah pastilah Utih
tidak akan menyesali segala tindakan abang itu. Utih mampu menanggung segala
tanggungjawab ini tetapi Utih hanyalah seorang perempuan yang lemah untuk
menanggung segala tanggungjawab ini. Utih tak layak menjadi abah dan ibu kepada
Acik, Usu dan juga Adik. Utih adalah insan yang lemah. Utih tidak berdaya.
Agaknya sememangnya takdir yang menentukan segala-galanya. Abang semakin
bongkak dengan kehidupan abang yang mewah. Kami di sini bagaikan melukut di tepi
gantang dan tiada siapa yang pedulikan nasib kami. Ibu semakin hari semakin kurang
sihat dan kestabilitas hidupnya semakin terancam serta jiwanya semakin gundah.
Abang tahu tak selepas itu, kami kehilangan segala-galanya. Kami kehilangan ibu
tempat kami bergantung dan kami papa dalam pencarian yang masih jauh lagi.
Pagi itu, ibu menyebut-yebut nama abang di pembaringan. Nafasnya semakin payah
dan hidupnya semakin tertekan. Utih menangis semalaman mengenangkan nasib ibu.
Agaknya inilah nasib dan ketetapan yang telah Tuhan tetapkan. Utih cuba melawan
tapi Utih hanyalah sekadar seorang perempuan dan tidak mampu untuk menangkis
segala-galanya. Yang mampu Utih lakukan adalah membacakan surah Yassin di sisi
ibu. Acik, Adik dan Usu kelihatan sayu dan sedih. Yang tidak dapat Utih menahan
perasaan hati seorang insan yang bergelar perempuan ini apabila Acik terkulai layu di
pangkuan Utih setelah melihat bagaimana siksanya panggilan Tuhan itu. Acik terkulai
bila melihat mata ibu yang tersengkang melihatkan penderitaan kami dan akhirnya ibu
telah pergi buat selama-lamanya. Usu menjerit memanggil nama ibu. Adik
bertempiaran lari keluar rumah. Di luar raungan adik semakin galak. Utih hanya
mampu mengeluarkan air mata kesedihan dengan penuh kekesalan. Abang tidak
mampu menghadirkan diri abang dengan alasan terlalu sibuk dengan urusan
perniagaan. Ya, urusan keduniaan abang. Masa itulah Utih tahu bahawa abang Utih
tidak pernah wujud dan Utih kini menjadi ibu dan abah kepada Adik, Acik dan Usu.
Utih menangis sepuas-puasnya selepas jenazah ibu dibawa ke tanah perkuburan. Utih

meraung-raung memanggil nama ibu. Utih dapat merasakan betapa sedih hati seorang
ibu yang ingin menatap bayangan anak kesayangannya sebelum ajal memanggilnya.
Hati Utih tiba-tiba disentuh oleh seribu kepiluan. Entah mengapa Utih lupa bahawa
semua itu suratan Ilahi. Utih lupa bahawa semua itu ketetapan Yang Maha Esa.
Mujurlah Mak Limah dan Mak Esah yang memujuk Utih agar mengucap berbanyakbanyak. Ingat akan Yang Maha Kuasa. Tapi Utih merasakan kegelapan dalam
kehidupan Utih sehinggakan Mak Limah dan Mak Esah terpaksa mendakap Utih bagi
mententeramkan perasaan Utih. Utih merasakan bahawa kehidupan Utih tamat sampai
di sini sahaja. Utih menangis sepuas-puasnya.
Abang tahu tak? Peninggalan Ibu, Utihlah tempat Adik, Acik dan Usu bergantung.
Abang tahu tak? Lihatlah kekejaman abang dalam membalas susu yang pernah ibu
suapkan ke mulut abang? Lihat sahajalah bagaimana abang membalas laungan Qamat
oleh abah di telinga abang sewaktu abang mula melihat cahaya? Abang juga lihatlah
bagaimana abang membalas segala jasa-jasa kedua ibu bapa abang?.
Abang tahu tak!!! Utih sudah kehilangan segala-galanya dan kini Utih kesepian dalam
memelihara Acik, Adik dan Usu. Utih ingin mendidik mereka agar mereka tahu untuk
mengenali dunia ini dan mengenali erti sebuah pengorbanan. Utih ingin mendidik
mereka bahawa kepayahan dan kesusahan itulah yang mengajar manusia untuk terus
hidup dalam kematangan dan Utih ingin mengajar mereka menghargai pengorbanan
ini. Utih ingin mereka lebih berjaya berbanding dengan abang dan Utih ingin segalagalanya buat mereka biarpun Utih yang menderita.
Hanya sekian sahajalah warkah usang Utih buat tatapan abang yang entah jauh
dikelilingi oleh kemewahan dunia dan hanyut dalam kemodenan dunia penuh
kepalsuan ini. Utih berharap agar segala kata-kata Utih yang tertera di atas warkah
usang ini, sekiranya menguris hati abang, anggaplah bahawa itu semua adalah satu
kenyataan yang pahit buat abang dan sepatutnya abang telan.
Maafkan Utih, abang!

Anda mungkin juga menyukai