Anda di halaman 1dari 4

KEPENTINGAN SUKAN

Antara keistimewaan sukan adalah membantu meningkatkan tahap kesihatan pengamalnya. Misalnya,
cara rentak kuda melompat dan berlari dalam sukan berkuda seperti equestrian menyebabkanvetebra
tulang belakang penunggan kuda tersebut bergesel antara satu sama lain dalam keadaan harmoni.
Keadaan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan masalah yang berkaitan dengan tulang
belakang manusia. Selain itu, sukan renang pula mampu menguatkan mental dan fizikal perenang
kerana sukan ini memerlukan satu gerakan yang berkoordinasi antara anggota kaki dan tangan di
samping meransang system kardiovaskular mereka. Ringkasnya, semua aktiviti sukan memiliki
kemaslahatannya yang tersendiri terhadap kesihatan pengamalnya justeru setiap individu perlu
melakukan aktiviti ini agar terhindar daripada sebarang penyakit berbahaya kerana mencegah lebih baik
daripada mengubati.
Sebagai tambahan, ekonomi negara juga dapat dipertingkatkan melalui aktiviti sukan. Contohnya,
penganjuran sukan di peringkat antarabangsa seperti Sukan Komanwel, Le Tour de Langkawi, Sukan
SEA dan Formula 1 telah banyak menyumbang pendapatan kepada negara. Tidak dapat dinafikan
bahawa penganjuran sukan komanwel pada tahun 1998 telah membantu menangani kemelesetan
ekonomi negara pada tahun tersebut. Contoh lain pula, Amerika Syarikat yang pernah menganjurkan
Sukan Olimpik di Atlanta telah mendapat keuntungan sebanyak USD20 billion. Pendapatan negara
terjana melalui kedatangan pelancong yang ramai untuk menyaksikan temasya sukan yang berprestij itu
kerana ada gula, ada semut. Pengaliran wang asing masuk ke negara ini akan bertambah rancak
sekaligus meningkatkan ekonomi sekaligus menjana sumber ekonomi negara. Mantan Menteri Belia dan
Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek telah menyatakan dalam MSEI 2012 bahawa bidang sukan
tidak boleh dilihat dari segi taruhan pingat atau rekreasi semata-mata, sebaliknya bertindak sebagai
penggerak ekonomi negara. Jelaslah bahawa sumber pendapatan negara diperoleh daripada aktiviti
sukan yang dilangsungkan secara besar-besaran.
Di samping itu, sukan juga mampu memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat yang
berbilang kaum di negara ini. Sebagai tamsilannya, sesebuah pasukan bola sepak mesti terdiri daripada
pelbagai latar belakang. Untuk membentuk sebuah pasukan yang kuat dan digeruni oleh pihak lawan,
mereka mesti mewujudkan persefahaman yang antara satu sama lain. Situasi ini sangat penting untuk
mencapai kemenangan dalam setiap perlawanan yang disertai bak kata peribahasa, "Bersatu kita teguh,
bercerai kita roboh." Bukan setakat pemain sahaja semangat perpaduan itu terjalin tetapi juga
penyokong atau penonton yang menyaksikan perlawanan juga mendapat manfaat yang sama. Mereka
berkesempatan untuk berkenal-kenalan dan bertukar-tukar pendapat semasa acara tersebut diadakan.
Jalinan persahabatan ini akan mengurangkan sentimen perkauman atau kenegerian yang mampu
menggugat keharmonian negara. Tun Dr. Mahathir Mohammad pernah menyatakan bahawa
pengalaman kita dan juga pengalaman orang lain telah membuktikan betapa padahnya jika isu
perkauman tidak diawasi dan dibendung sebaiknya. Oleh itu, para atlet dan peminat sukan tanah air
patut bertanggungjawab dalam memelihara perpaduan di negara ini. Pendek kata, penglibatan dalam
bidang sukan sama ada secara langsung atau secara tidak langsung mampu mengeratkan perpaduan
dalam kalangan masyarakat majmuk agar negara sentiasa aman seperti air dalam terenang.
Impak positif penglibatan sukan kepada individu ini ialah diri mereka akan berasa puas dapat melakukan
sesuatu aktiviti tersebut. Kepuasan ini tercapai kerana sebarang aktiviti sukan itu memerlukan tumpuan
tenaga yang banyak lalu menjadikan individu tersebut menikmati suasana kehidupan yang bermakna
selepas selesai melakukan sukan tertentu itu. Lama-kelamaan kepuasaan ini membawa keyakinan diri
seseorang itu menjadi lebih tinggi sehingga mampu menyelesaikan pelbagai cabaran hidupnya dengan
mudah. Ringkasnya, acara sukan membawa kehidupan manusia itu lebih bermatlamat dan fokus untuk
meneruskan kehidupan harian mereka.

Faedah bersukan yang utama kepada murid ialah sukan dapat meningkatkan disiplin. Hal ini demikian
kerana individu yang ingin berjaya dalam bidang sukan mesti mempunyai disiplin yang tinggi dan dapat
mengawal diri untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan. Contohnya, setiap pemain dalam sesebuah
pasukan itu mesti menepati masa, rajin berlatih, tidak merokok dan mematuhi arahan jurulatih. Oleh itu,
secara tidak langsung sukan juga turut membentuk disiplin murid tersebut.
Selain itu, seseorang murid yang aktif dalam kegiatan sukan akan terdidik untuk mengagihkan masa
dengan sewajarnya kerana masa itu emas. Hal ini dikatakan demikian kerana murid tersebut akan
menentukan masa yang sesuai untuk memberikan tumpuan terhadap sukan dan masa untuknya belajar.
Contohnya, seseorang murid yang menyertai pasukan sekolah mesti ada jadual latihan sukan dan jadual
belajar. Oleh itu, seseorang murid yang aktif dalam sukan juga berjaya dalam pelajaran.
Murid yang aktif bersukan juga dapat menggunakan masa lapang mereka dengan lebih bermanfaat. Hal
ini dikatakan demikian kerana biasanya murid yang aktif dalam bidang sukan tidak berminat bermain
permainan komputer dan tidak akan menghabiskan masanya untuk berpeleseran di pusat beli-belah,
menonton televisyen dan berbual-bual kosong. Oleh itu, sudah pasti mereka akan menghabiskan masa
dengan lebih bermanfaat.

LANGKAH MENINGKATKAN MUTU SUKAN


Langkah pertama,pihak sekolah haruslah prihatin akan kelengkapan atau kemudahan sukan di
sekolah.Kemudahan yang serba kekurangan akan menyebabkan pelajar-pelajar menjauhkan diri mereka
daripada aktiviti sukan.Hal ini kerana mereka mungkin terpaksa berkongsi peralatan dengan pelajar lain
yang menyebabkan mereka lebih suka memilih aktiviti lain.
Antara peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa adalah dengan memberikan galakan dengan cara
membelikan anak-anak mereka peralatan sukan. Sekiranya anak-anak memiliki peralatan sukan yang
lengkap dan sesuai sudah pastilah mereka lebih bersemangat untuk bersukan. Sebagai contohnya, ibu
bapa perlulah membelikan anak-anak mereka pakaian, kasut dan alat-alat yang berkaitan dengan
permainan yang diceburi oleh anak-anak mereka seperti raket badminton, squash dan tenis. Oleh hal
yang demikian, minat anak-anak dapat dikembangkan sekiranya peralatan yang sesuai dimiliki oleh
mereka. Seterusnya, mereka diharapkan dapat melakar kemenangan dan seterusnya mengharumkan
nama sekolah, daerah, negeri dan negara.
Ibu bapa juga perlu menggalakkan anak-anak untuk menceburkan diri dalam bidang sukan dengan aktif.
Ibu bapa boleh menasihati anak-anak supaya memperuntukkan masa mereka dalam aktiviti kokurikulum
seperti sukan dan permainan. Hal ini demikian kerana, aktiviti sukan akan menyihatkan dan
mencergaskan badan. Di samping itu, anak-anak yang berbakat dan berminat dalam sukan dan
permainan tertentu bolehlah melibatkan diri dengan lebih aktif untuk mencipta kejayaan yang cemerlang.
Bakat dan minat tersebut perlulah dipupuk dari bangku sekolah lagi untuk dikembangkan agar dapat
mengharumkan nama negara di persada dunia.
Selain itu, ibu bapa hendaklah memberikan sokongan moral dengan menghantar anak-anak mereka ke
tempat latihan atau permainan tersebut dijalankan. Dengan cara itu, anak-anak mereka lebih
bersemangat untuk bergiat aktif dalam bidang sukan tersebut. Mereka juga boleh menemani anak-anak
dan menyaksikan anak-anak mereka berlatih atau bertanding dalam sesuatu acara sukan atau
permainan. Sudah tentulah perkara ini akan memberikan kesan yang lebih mendalam kepada anak-anak
dalam usaha untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu permainan iaitu, tinggi gunung, tinggi lagi harapan
kami. Seterusnya, mereka akan berasa lebih yakin untuk mencipta kemenangan pada peringkat yang
lebih tinggi lagi.

Ibu bapa perlulah membelikan anak-anak mereka majalah sukan yang diminati oleh mereka. Hal ini
demikian kerana, anak-anak akan lebih berminat untuk menceburkan diri dalam bidang sukan dengan
serius. Mereka juga akan mendapat maklumat atau perkembangan terkini dalam bidang sukan menerusi
majalah-majalah sukan tersebut. Selain itu, kejayaan ahli-ahli sukan antarabangsa yang dipaparkan
dalam majalah sukan tersebut akan menjadi idola dan pencetus semangat serta motivasi kepada anakanak untuk menjadi ahli sukan yang berjaya.
Sudah pasti perubahan minda masyarakat harus berlaku terutama persepsi mereka terhadap sukan.
Anggapan bahawa sukan tidak memberi apa-apa kesan atau tiada prospek ekonomi harus dikikis dengan
segera. Sukan sama juga seperti kerjaya lain jika dilakukan dengan betul, sistematik dan tabah berupaya
menyumbangkan sumber kewangan yang lumayan kepada penggamalnya. Oleh itu, perubahan
paradigma masyarakat hendaklah berubah selaras dengan perubahan zaman yang mengutamakan
sukan di peringkat global.
Selain itu, kerajaan harus memberikan ganjaran yang setimpal kepada ahli sukan yang berjaya di dalam
kejohanan peringkat kebangsaan atau antarabangsa. Sumbangan dalam bentuk kewangan atau
pemberian latihan berupaya menyuntik semangat baru kepada ahli sukan untuk berusaha mencapai
kejayaan yang lebih baik lagi. Pemberian insentif ini juga memberi satu harapan kepada golongan muda
terutama kanak-kanak untuk mempunyai impian menjadi ahli sukan dan menerima ganjaran itu. Jadi,
ganjaran kepada ahli sukan perlulah wujud dan usahlah kita menganggap pemberian ganjaran ini tidak
penting dalam pembangunan sukan negara.
Jika kita mahu memiliki kelompok ahli sukan yang ramai dan baik, sudah pasti pembinaan kemudahan
sukan ditingkatkan. Pembinaan stadium, gelanggang dan padang menjadikan acara sukan lebih mudah
dan murah untuk disertai oleh masyarakat di negara ini. Keadaan ini menyebabkan kemahiran asas
dalam sesuatu asas sukan itu sudah dimiliki oleh masyarakat di negara ini dan hanya perlu digilap sahaja
oleh jurulatih negara apabila tiba masanya. Sesungguhnya, pembinaan kemudahan sukan menjamin
negara memiliki satu kelompok ahli sukan yang berwibawa.
Tambahan pula, negara boleh menganjurkan kejohanan sukan bertaraf dunia di negara ini. Penganjuran
sukan sebegini memberi peluang kepada ahli sukan negara untuk bersaing dengan ahli-ahli sukan dunia
yang sememangnya lebih baik. Persaingan yang hebat ini menjadikan ahli sukan kita lebih fokus dan
menyedari kelemahan serta mampu meningkatkan kualiti diri mereka sejajar dengan pengalaman yang
diperoleh. Maka, lebih banyak penganjuran acara sukan dunia di negara ini, semakin bertambahlah mutu
ahli sukan kita.
Bagaimana dengan juruatih? Sudah pasti pengambilan jurulatih berpengalaman terutama dari negara
luar berupaya menyuntik teknik baru kepada latihan ahli sukan kita. Jurulatih asing yang berpengalaman
ini mampu melihat kelemahan dan mengatasi kelemahan ahli sukan kita dengan pantas kerana mereka
berpengalaman. Dalam masa yang sama jurulatih asing ini boleh membuat program untuk melatih
jurulatih tempatan atau berkongsi pengalaman dengan mereka untuk merangka satu sistem latihan yang
baik. Jadi, jurulatih asing boleh membawa perubahan drastik terhadap mutu sukan kita.

PENDAHULUAN
Sukan di negara ini mengalami zaman kemelesetan yang begitu ketara kerana tiada lagi
kejayaan yang diraih seperti awa tahun 50-an, 60-an atau 80-an. Keadaan ini telah menimbulkan
rungutan pelbagai pihak terutama peminat sukan di negara ini. Media massa pula asyik
mengeluarkan pelbagai teori dan langkah untuk menangani masalah sukan di negara ini tanpa
hasil jua. Jelaslah, ada pelbagai tindakan drastik yang boleh dilakukan oleh semua pihak.
Bidang sukan merupakan salah satu bidang yang penting di negara kita. Hal ini demikian kerana,
aktiviti sukan mendatangkan faedah yang banyak kepada masyarakat dan negara kita. Oleh itu,

pihak yang bertanggungjawab dalam bidang sukan perlulah memainkan peranan yang berkesan
dengan kerjasama semua pihak seperti ibu bapa. Sekiranya ibu bapa memberikan galakan dan
sokongan moral, sudah pasti matlamat untuk memajukan bidang sukan di negara kita akan
tercapai iaitu seperti peribahasa Melayu, di mana ada kemahuan, di situ pasti ada jalan.
Dengan cara itu, nama negara kita akan dikenali dan digeruni di peringkat antarabangsa melalui
kejayaan atlet negara dalam bidang sukan.
PENUTUP
Konklusinya, mutu sukan di negara ini boleh berubah. Cuma kegagalan persatuan-persatuan
sukan untuk melihat secara positif dan masalah konflik dalaman persatuan yang menyebabkan
mutu sukan kita terus menjunam. Masyarakat sudah muak dengan alasan demi alasan yang
diberikan setiap kali ahli sukan kita mengalami kekalahan. Sikap 'menuding jari' membuktikan
betapa kita banyak menyalahkan orang lain tanpa mahu berubah.

Secara keseluruhannya, peranan ibu bapa tidak boleh dikesampingkan dalam usaha untuk
menggalakkan anak-anak bersukan. Oleh itu, ibu bapa perlulah diberikan kesedaran supaya
memainkan peranan yang sepatutnya dalam usaha untuk melahirkan lebih banyak ahli sukan di
negara kita. Ibu bapa tidak seharusnya mementingkan aspek kecemerlangan akademik sematamata dan mengetepikan kepentingan sukan kepada anak-anak mereka. Kita mahu agar
kecemerlangan akademik dan kecemerlangan sukan bergerak seiring sekiranya mahu negara
kita maju dalam bidang sukan. Perkara ini akan menjadi realiti jika pepatah, "genggam bara api
biar sampai jadi arang" sentiasa menjadi amalan dalam diri setiap orang yang ingin akan
kejayaan.

Anda mungkin juga menyukai