Anda di halaman 1dari 2

RUKUN IMAN PEDOMAN UNTUK FAHAM KEBENARAN ALAM GHAIB

BERSAMA PROF DR SIDEK BABA

Muslim perlu yakin supaya hubungan dengan Pencipta kekal

DALAM tradisi keimanan orang Islam faktor arqan atau rukun menjadi asas penting dalam
kehidupan beragama. Arqan al-Iman atau rukun iman menjadi tunjang rohaniah terhadap faktor
ghaib. Arqan al Islam atau rukun Islam menjadi tunjang amaliah yang menghubungkan keimanan
dan kehidupan itu sendiri.

Doktrin keimanan bersandar kepada faktor ghaibiyyat ini amat penting difahami dan dihayati
supaya makna Islam yang terungkap dalam amalan memancarkan keyakinan yang tinggi terhadap
Allah dan ciptaanNya dan memanfaat kehidupan menerusi rahmah dan nikmah-Nya.

Faktor ghaibiyyah dan faktor yang nyata dalam alam dan kehidupan adalah suatu simbiosis dalam
memahami faktor alamiah dan bukan alamiah. Tasawwur atau pandangan alam insan dibatasi
dengan faktor yang nyata dilihat dan dianggap oleh pancaindera.

Faktor ghaibiyyah adalah gambaran kebesaran Allah yang tidak dimiliki oleh manusia. Jasad yang
dimiliki oleh manusia adalah sesuatu yang nyata. Roh yang menghidupkan jasad adalah sesuatu
yang ghaib.

Kekuatan jasad yang membolehkan ianya berfungsi dipertahankan oleh kekuatan roh yang sifatnya
ghaibiyyah. Tercabutnya roh daripada jasad menyebabkan sesuatu yang nyata tidak memberi
makna apa-apa. Ianya mati dan kaku dan akhirnya hancur dan kembali kepada asal jadinya.
Sedangkan roh terus hidup dan kembali kepada asal-Nya yang bersifat ghaib.

Memahami maqasid Rukun Iman dalam konteks yang luas, membimbing manusia kepada
PenciptaNya. Tanpa faktor ghaibiyyah ini tidak mungkin alam ini dijadikan dan tidak mungkin
manusia diciptakan. Tanpa faktor ghaibiyyah tidak mungkin malaikat yang berperanan patuh
kepada Allah untuk menguruskan alam ini.

Tanpa pemahaman maksud qada' dan qadar, tidak mungkin wujudnya titik keseimbangan mengenai
alam, fungsinya, kehidupan manusia dan untung nasibnya. Tanpa beriman kepada Rasul dan Kitab,
tidak mungkin manusia mempunyai pedoman dan contoh dan pertunjuk ilmu untuk mengetahui
yang nyata dan memahami faktor yang ghaibiyyah.

Tanpa adanya hari pembalasan tidak mungkin manusia akan berlaku adil dan benar di dunia kerana
faktor duniawi semata boleh menyebabkan manusia hilang kepercayaan kepada Pencipta dan ia
menyebabkan manusia kufur dan tidak bersyukur dengan rahmah dan nikmah yang dlimpahkan
kepadanya.

Rukun Islam menemukan manusia dengan ikatan syahadah mengakui Allah SWT itu satu-satunya
dan Nabi Muhammad saw sebagai pembawa risalah kebenaran dan hak terhadap umat manusia.
Manusia menyaksikan bahawa tanpa Tuhan alam ini tidak diciptakan dan tanpa Tuhan rahmat dan
nikmat tidak akan dilimpahkan untuk kepentingan manusia.

Manusia juga menyaksikan tanpa Nabi Muhammad contoh manusiawi yang maksum tidak akan
ada. Tanpanya manusia akan kehilangan qudwah atau contoh yang terbaik untuk dijadikan sumber
ikutan. Tinggalan sunnahnya memberikan jalur kehidupan cermin pedoman Qurani yang amat
tinggi martabatnya.

Solat adalah pancaran rohaniah menghubungkan manusia dan khaliq yang membawa terbangun
jiwa hamba dan jiwa khalifah. Jiwa hamba mendidik manusia berjiwa rukuk dan sujud iaitu
menjadi patuh, akur, taat dan tunduk terhadap pedoman, suruhan dan larangan Allah. Jiwa khalifah
memberikan pedoman bagaimana sumber dalam kehidupan dapat diatur dan di susun dengan adil
dan bijaksana. Daripadanya akan lahir saf kehidupan yang tersusun rapi, teratur dan terarah.

Siyam atau puasa menjadi kuasa pengimbang di antara manusia yang memiliki faktor fitrah yang
tinggi dengan manusia yang sudah lari dari fitrah. Tarbiyyah rohiyyah ini cuba mendekatkan
manusia kepada faktor ghaibiyyah supaya manusia tidak larut dengan faktor alam benda dan
kelazatan nafsu yang selalunya mengheret manusia kepada kealpaan dan kelalaian. Amalan siyam
cuba membimbing manusia kembali kepada fitrah.

Rahmat dan nikmat dalam bentuk alam benda menyebabkan manusia memiliki sumber kehidupan.
Ia dilimpahkan dalam alam ini sebagai sumber amanah membolehkan manusia hidup dengan
sejahtera tanpa melupakan orang lain. Oleh itu kekayaan dan harta yang didapati, bukan hanya
milik kita semata tetapi ada bahagian di kalangan asnaf yang lapan supaya rahmat dan nikmat Allah
dilimpahkan kepada yang lain dan memberikan pahala amal yang berganda kepada yang memiliki
dan kelapangan juga di kalangan yang tidak berada. Inilah asas keadilan sosial dalam Islam hasil
tersebarnya amalan zakat dan fitrah.

Sifatnya dijadikan manusia itu berbangsa-bangsa, amalan hajj menemukan maksud ‘litaarrafu’ atau
kekenalan yang amat unik di Makkah dan Madinah dalam tawaf dan sai ke arah suatu khadaf
bahawa semua kita adalah milik Allah dan kepada-Nya semua akan kembali. Padang Arafah
memancarkan suatu keinsafan tentang yaumilmahsyar menemukan seluruh manusia dengan
Penciptanya dengan rasa kekerdilan dan kesyukuran yang tinggi hingga membimbing kembali
manusia ke arah fitrah diri.

Arkan al Iman dan Arkan al Islam adalah suatu simbiosis yang amat bermakna dalam membangun
peribadi mukmin dan mukhsin supaya manusia tetap kekal dalam fitrah dan tidak menjadi orang
yang melampaui batas. Jiwa kehambaan yang tinggi dan peranan kekhalifahan yang penuh amanah
menjadikannya orang yang adil dan berperikemanusiaan tinggi.

Inilah asas peribadi Islam yang mampu menjadikan kehidupan lebih bermakna kerana faktor
ghaibiyyah dan faktor alam nyata sentiasa terpancar dalam upaya rohaniah yang tinggi.

Pekerti yang jujur, bahasa yang santun, percakapan yang benar, pengurusan yang amanah,
kebijaksanaan dalam mengatur kehidupan, keadilan dalam membuat keputusan, kesungguhan
dalam melakukan sesuatu, ketelusan dalam proses bekerja adalah gambaran faktor rohaniah yang
terpancar dalam peribadi dan tingkah laku.

Hasilnya mutu kehidupan dan kualiti kemanusiaan akan terserlah dan inilah yang menjadi idaman
setiap manusia yang mendukung Rukun Iman dan Rukun Islam dalam keyakinan dan amalannya.

INFO: Alam ghaib


Arqan al-Iman atau Rukun Iman menjadi tunjang rohaniah terhadap faktor ghaib.
keimanan bersandar kepada faktor ghaibiyyat ini amat penting difahami dan dihayati supaya makna
Islam yang terungkap dalam amalan memancarkan keyakinan yang tinggi terhadap Allah dan
ciptaanNya dan memanfaat kehidupan menerusi rahmah dan nikmah-Nya.

Faktor ghaibiyyah adalah gambaran kebesaran Allah yang tidak dimiliki oleh manusia.
Roh yang menghidupkan jasad adalah sesuatu yang ghaib.
Faktor ghaibiyyah dan faktor yang nyata dalam alam dan kehidupan adalah suatu simbiosis dalam
memahami faktor alamiah dan bukan alamiah.

Anda mungkin juga menyukai