Anda di halaman 1dari 3

25hb Ramadhan 1429H

PERSIAPAN HARI RAYA

Muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah


Subhanahu Wata'ala dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan
meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi hamba-
hamba-Nya yang dikasihi serta selamat di dunia dan di akhirat.

Sekarang kita telah pun memasuki hari-hari terakhir bulan Ramadhan. Ini bererti
umat Islam hanya beberapa hari saja lagi akan menyambut Hari Raya Aidilfitri
sebagai tanda kemenangan bagi umat Islam khususnya bagi orang-orang yang
berpuasa tetapi pada masa yang sama hati kita turut merasa sedih untuk
meninggalkan bulan Ramadhan yang penuh rahmat dan keberkatan ini kerana
kita belum pasti lagi akan dapat berjumpa bulan Ramadhan yang akan datang
kecuali jika diizinkan dan dipanjangkan umur oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Sebagaimana kelazimannya apabila saja hampir tiba Hari Raya Aidilfitri maka
kebanyakan di antara kita akan sibuk membuat persiapan bagi menyambut hari
raya seperti menyediakan keperluan rumah, menyediakan pakaian,
menyediakan makanan dan minuman dan bermacam-macam lagi persediaan,
semuanya itu demi meraikan Aidilfitri yang mulia. Tetapi apa yang perlu kita ingat
walau macam manapun kesibukan kita, janganlah kita lupa dan lalai kewajipan
terhadap Allah Subhanahu Wata'ala khususnya di akhir-akhir bulan Ramadhan
ini iaitu membayar zakat fitrah kerana ia merupakan satu kewajipan dan
pelengkap ibadat puasa serta penampal atau penutup kecacatan-kecacatan
yang berlaku ke atas ibadat puasa yang kita lakukan. Begitu juga dalam
kesempatan yang hanya tinggal beberapa hari saja lagi ini, marilah juga kita
merebut peluang untuk mendapatkan malam lailatulqadar yang berlaku pada
satu malam ganjil di sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan yang hanya
datang sekali dalam setahun ini dengan memperbanyakkan amal ibadat kepada
Allah Subhanahu Wata'ala.

Sebenarnya agama Islam adalah agama yang mudah dan tidak mahu umatnya
hidup susah kerana itu kita dinasihatkan supaya hidup sentiasa bersederhana,
tidak berlebih-lebihan dan membazir, contohnya dalam menyambut hari raya Al-
Mubarak ini, sambutlah secara sederhana dan berhemah, jangan terlalu ikut hati
sehingga berbelanja lebih dari kemampuan dan menyusahkan diri, jangan
jadikan sambutan Hari Raya Aidilfitri untuk bermegah-megah dan bermewah-
mewah sehingga berlaku pembaziran dan menjadikan kita bersifat riya. Biarlah
kita menjadi umat yang sederhana yang tidak melampau dan tidak keterlaluan
dalam semua hal. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Israa' ayat
26-27 tafsirnya :
"Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang
melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu saudara-
saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur
kepada Tuhan-Nya".

Muslimin yang berbahagia,

Perlulah kita fahami bahawa tujuan utama Hari Raya Aidilfitri adalah untuk
meraikan kejayaan hamba-hamba Allah yang telah melaksanakan ibadat puasa
dengan penuh keimanan dan ketaqwaan kerana itu sambutan yang dilakukan
juga biarlah atas landasan agama dan tetap menjadi ibadah. Bagi mencapai
maksud tersebut agama Islam memberikan kita bimbingan dan panduan cara
sambutan yang betul untuk diikuti dan dipraktikkan, antaranya ialah :

- Pada malam hari raya pertama kita disunatkan menghidupkan malam tersebut
dengan laungan takbir dan terus menghidupkannya dengan bacaan Al-Quran,
berzikir, berdoa dan sebagainya. Bukan meraikan malam tersebut dengan
perkara-perkara yang membahayakan dan memudaratkan apatah lagi perkara
yang menganggu ketenteraman orang lain dan elakkan membuat persiapan di
saat-saat akhir sehingga larut malam menyebabkan ada yang tidak sempat
menunaikan sembahyang fardhu Subuh dan sembahyang sunat Hari Raya
Aidilfitri kerana tidak terjaga dan keletihan.

- Pada pagi hari raya pula, kita disunatkan mandi dengan niat kerana
kedatangan Aidilfitri dan bukannya mandi seperti hari-hari biasa, kita juga
disunatkan memakai bau-bauan yang harum, membersihkan diri dengan
bergunting rambut, memotong kuku serta memakai pakaian yang paling elok
kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok.
Sebelum ke masjid untuk bersembahyang hari raya pula, kita disunatkan
memakan buah kurma dengan bilangan yang ganjil, inilah yang diamalkan oleh
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebelum ke masjid untuk bersembahyang
hari raya.

Manakala perkara yang paling penting dan utama dalam kita menyambut hari
raya itu ialah menunaikan sembahyang sunat Hari Raya. Sebagaimana hadis
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya :

"Dari Al-Barahi ia berkata :� Aku mendengar Nabi Sallallahu Alaihi


Wasallam berkhutbah, sesungguhnya yang awal-awal sekali kita mulakan
pada hari ini (hari raya) ialah sembahyang". (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Muslimin yang dirahmati Allah,

Bagi memeriahkan suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri, sudah setentunya


amalan ziarah-menziarahi, kunjung-mengunjungi kaum keluarga, sanak saudara,
jiran tetangga dan sahabat handai semata-mata untuk bermaaf-maafan dan
mengeratkan hubungan silaturrahim.

Dalam merayakan Hari Raya Aidilfitri ini, elakkanlah keraian ini dari dicemari
dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum syarak dan berdosa,
antaranya bersalaman dengan bukan muhrim, memakai pakaian yang
mendedahkan aurat, menghidangkan benda-benda haram dan sebagainya.
Perbuatan sedemikian tidak mendatangkan berkat tetapi akan mencemarkan erti
sebenar kedatangan Hari Raya Aidilfitri itu di samping mendatangkan dosa dan
menyebabkan kemurkaan Allah Subhanahu Wata'ala.

Akhirnya marilah kita sama-sama merayakan hari kemenangan iaitu Hari Raya
Aidilfitri yang akan menjelang ini dengan mentaati apa yang telah diajarkan oleh
agama Islam. Mudah-mudahan ibadat puasa Ramadhan dan segala amal ibadat
yang kita kerjakan selama ini diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan
mendapat rahmat dan keberkatan serta keampunan dari Allah Subhanahu
Wata'ala. Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ali 'Imran ayat 133 tafsirnya :

"Dan segeralah kamu kepada mengerjakan amal-amal yang baik untuk


mendapat keampunan dari Tuhan kamu dan mendapat Syurga yang
bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-
orang yang bertaqwa".