Anda di halaman 1dari 4

Jangan cemari Aidilfitri dengan maksiat

Daripada Anas r.a berkata: Selepas Nabi s.a.w tiba di Madinah, baginda mendapati
bahawa penduduk Madinah mempunyai dua hari yang mereka raikannya pada zaman
jahiliah. Lalu baginda bersabda, “Aku sampai kepada kamu semua dan aku dapati ada
dua hari yang kamu semua raikannya pada zaman jahiliah, dan sesungguhnya Allah
telah menggantikannya bagi kamu dengan dua hari yang lebih baik daripadanya: hari
raya korban dan eidul fitri”. (Hadis sahih, riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Nasa’ie)
Hari Raya adalah ibadat. Bagaimanapun dalam keseronokan meraikannya ramai yang
terlupa batasan yang ditetapkan oleh syarak.

MEGA: Apakah maksud Eidul fitri?

Eid itu bermaksud Hari Raya Fitrah sesuai dengan kewajipan umat Islam membayar zakat
fitrah. Ia juga disebut sebagai hari kemenangan selepas sebulan berpuasa Ramadan
melawan hawa nafsu. Kita menang sebab berjaya menunaikan perintah Allah.

Ia juga adalah hari kita kembali kepada fitrah di mana dosa diampunkan oleh Allah.
Sebagai manusia kita kembali kepada fitrah iaitu suka kepada kebaikan dan kebajikan
serta benci kepada kejahatan dan maksiat.

Pendek kata, ia adalah ibadat. Maka, sebagai umat Islam hendaklah kita menggunakan
hari raya ini sebagai hari untuk membesarkan Allah. Ini dijelaskan dalam al-Quran:
Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan
Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya
kamu bersyukur. (al-Baqarah: 185)

Kalau begitu, bagaimanakah seharusnya kita menyambut Hari Raya ini?

Hari Raya Aidilfitri ini bermula pada waktu maghrib malam 1 Syawal. Antara ibadat
sunat yang dianjurkan oleh Islam ialah bertakbir dan bertahmid memuji kebesaran Allah.

Selain itu, kita perlu menghidupkan malam raya dengan ibadat seperti zikir, solat, tilawah
al-Quran dan beristighfar.

Sebenarnya, menghidupkan malam raya dengan amal ibadat ini diberi ganjaran yang besar
oleh Allah. Malangnya, mungkin disebabkan kekurangan ilmu, maka ada di kalangan
umat Islam yang tidak menghidupkan malam raya ini dengan mengerjakan ibadat seperti
yang disebutkan.

Rasulullah s.a.w bersabda, “Siapa yang bangun malam raya fitrah dan malam raya adha
dengan mengharapkan pahala, nescaya tidak akan mati hatinya pada hari mati sekelian
hati”. (riwayat Ibn Majah).
Pada pagi raya, kita hendaklah solat subuh berjemaah dan menyambung takbir raya.

Kemudian mandi sunat Hari Raya, memakai baju yang elok atau cantik dan memakai
wangi-wangian. Disunatkan makan sedikit dahulu di rumah sebelum menunaikan solat
aidilfitri.

Anas r.a. berkata, Adalah baginda s.a.w tidak beredar pada Hari Raya Fitrah hinggalah
baginda makan beberapa biji tamar. (riwayat Bukhari)

Semasa dalam perjalanan, kita disunatkan bertakbir dan bersedekah kepada fakir miskin,
anak yatim dan orang yang dalam kesusahan. Bagi mereka yang belum membayar fitrah,
inilah masa paling afdal berbuat demikian.

Selepas solat hari raya, hendaklah kita ziarah-menziarahi kaum keluarga dan jiran
tetangga.

Tetapi ramai yang tidak bertakbir dan bertahmid pada malam raya kerana sibuk
menukar langsir atau kerusi baru. Bagaimana membetulkan keadaan tersebut?

Untuk membetulkan keadaan ini, kita hendaklah membuat persiapan awal. Maknanya,
selesaikan kerja-kerja menghias rumah termasuklah menggantung langsir baru atau
menyusun perabot baru lebih awal. Jangan tunggu sehingga malam raya.

Sebabnya, kita mahu menghidupkan malam raya dengan ibadat kepada Allah. Ini bukan
pula bermaksud kita perlu bertakbir sepanjang malam. Memadai jika kita berhimpun
bersama keluarga dan bertakbir bermula daripada solat Maghrib hingga Isyak.

Selain itu, kita boleh juga menghidupkan amalan bertakbir rumah ke rumah di kawasan
kediaman kita. Selain mendapat pahala kita juga dapat mengeratkan silaturrahim sesama
jiran.

Hari Raya adalah hari mulia. Namun apakah batas-batas yang perlu dijaga semasa
meraikannya untuk mengelak kemuliaannya dicemari?

Hari Raya adalah hari kebesaran Islam untuk kita bergembira dalam suasana ibadat.
Bagaimanapun, jangan kita jadikan Hari Raya sebagai tiket menghalalkan apa sahaja. Kita
kena jaga batasan yang ditetapkan oleh Islam.

Kita perlu menjaga adab bertamu ke rumah orang, masuk dengan ucapan salam dan
menundukkan pandangan. Jangan terlampau ghairah melihat ke sana-sini.

Batas pergaulan dan aurat wajib dijaga. Jika yang datang itu lelaki bukan mahram, maka
jangan pula si gadis bersalam dengannya atau pun membuka aurat.

Memadai hanya mengucap tahniah dan bermaaf-maafan tanpa bersalam. Rasulullah pun
tidak pernah bersalam dengan wanita yang bukan mahram semasa baiah (membuat
perjanjian).

Jangan pula timbul rasa bangga diri atau sombong kerana kita mempunyai kereta baru
atau perabot yang baru.

Paling utama, hendaklah kita menjaga had atau batas dalam menikmati juadah hari raya.
Jangan makan terlalu banyak. Ingatlah firman Allah, …makan dan minumlah dan
janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-
lebihan. (al-A’raf: 31)

Seperkara lagi, jangan pula kita dilalaikan dengan menyambut tetamu sehingga tidak
menunaikan solat. Kalau kita beraya dan meninggalkan solat fardu maka kita melakukan
maksiat dan ia tidak lagi menjadi ibadat.

Ada yang lebih suka menonton televisyen di rumah berbanding menziarahi


keluarga. Apakah pandangan Islam dalam hal ini?

SHUKRI: Dalam Islam, Hari Raya Aidilfitri adalah sehari. Jadi amat rugi jika kita
menghabiskannya dengan hanya menonton tv. Rancangan tv itu hari lain pun boleh kita
tengok.

Lagipun bukan semua program tv pada hari raya sesuai ditonton pada hari yang mulai ini.
Ini bukan pula bermakna kita tidak boleh berhibur pada hari raya.

Islam benarkan kita berhibur tetapi jangan sampai ia melalaikan. Umat Islam perlu
memilih rancangan hiburan yang sesuai contohnya yang menyiarkan lagu-lagu raya tetapi
filem atau rancangan yang lari daripada konsep hari raya tidak perlu ditonton.

Sepatutnya kita mengambil peluang hari raya untuk berziarah dan bermaaf-maafan. Bukan
pula maknanya, hari raya sahaja masa untuk memohon maaf.

Cuma apabila pada hari lebaran ini kita dapat berkumpul beramai-ramai dengan sanak
saudara maka ia seolah-olah menjadi masa paling sesuai bermaafan.

Bermaafan ini adalah sifat orang yang bertakwa. Malah Rasulullah juga adalah sangat
pemaaf walaupun kepada kaum kafir Quraisy yang sentiasa menyakiti baginda.

Bagi anggota keselamatan seperti tentera, sudah tentu ada yang terpaksa bertugas
di perbatasan pada Hari Raya. Bagaimanakah cara untuk mengurangkan kesedihan
ini?

SHUKRI: Dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ada giliran bertugas. Mereka yang
bertugas tahun ini barangkali bercuti pada hari raya lalu.
Dalam Hari Raya pun menjaga keselamatan negara adalah penting dan mesti diteruskan.
Sebenarnya anggota tentera yang bertugas di perbatasan ini memikul amanah dalam
suasana orang lain bergembira pada Hari Raya.

Bertugas mempertahan negara jika ikhlas akan mendapat ganjaran yang besar.

Bagi mengelak kesedihan, adakan aktiviti menyiapkan juadah Hari Raya secara sederhana
di tempat bertugas. Elakkan bersendirian sehingga terlalu memikirkan isteri dan anak-
anak.

Pegawai Pemerintah juga berperanan menyuntik semangat anak-anak buah agar turut
bergembira walaupun berada di hutan, laut atau pun misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu.

Anda mungkin juga menyukai