Anda di halaman 1dari 3

Artikel Mingguan Malaysia, 20 Januari 2013

6 Tip Agar Lebih Menyayangi Isteri


Oleh: Dr. Hj. Tengku Asmadi bin T. Mohamad
www.facebook.com/drasmadi
drasmadi@maptraining.com.my
Beberapa hari yang lalu saya didatangi oleh sepasang suami isteri
yang meminta nasihat agar rumah tangga mereka yang kini berada
pada tahap kritikal dapat diselamatkan. Bayangkan apabila sebuah
mahligai yang sudah dibina selama hampir tiga puluh tahun dan
anak-anak juga sudah besar tiba-tiba musnah. Terdapat banyak
punca berlakunya penceraian seperti masalah kewangan,
ketidakserasian, salah faham, fitnah, masalah campurtangan
keluarga, kehadiran orang ketiga dan seumpamanya. Walau apa
sekali pun puncanya, usaha perlu dilakukan bagi menyelamatkan
mahligai walau dengan apa cara sekali pun.
Perkataan cerai usah mudah dilafazkan oleh seorang suami, meski
pun didesak bertalu-talu oleh isteri. Sebab, dalam situasi tegang
tindakan biasanya mengikut emosi dan nafsu. Ada suami yang tidak
kuat dan tidak sabar akhirnya menjatuhkan lafaz talak tiga sekali
gus. Kemudian apabila keadaan sudah tenang, minda sudah boleh
berfikir barulah insaf. Ketika itu nasi sudah menjadi bubur dan
segalanya sudah terlambat.
Mengikut pengalaman saya selama hampir 20 tahun menjalankan
motivasi, hampir 90% penyelesaian konflik rumahtangga tidak perlu
melalui penceraian. Oleh itu, saya membuat kesimpulan peribadi
bahawa 90% penceraian yang berlaku di luar sana sebenarnya tidak
perlu berlaku. Namun ia tetap berlaku kerana pasangan tiada ilmu,
tidak sabar dan kurang bijak mengurus konflik. Memanglah jodoh
itu ditangan Allah namun usaha menyelamatkan perkahwinan itu
perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh dahulu.
Bagi kita para suami, hayatilah beberapa tip di bawah agar kita
menjadi seorang suami yang mampu bersabar dalam perkahwinan.
1) Ingatlah kita lelaki yang dipilihnya menjadi suami
sedangkan dia dulunya mungkin ada pilihan yang lain.
Suka atau tidak itulah hakikatnya. Kita menjadi suami pada isteri
kerana dia menerima kita untuk menjadi suaminya. Dia mungkin
ada beberapa pilihan yang lain namun kitalah yang dirasakan paling
serasi, secocok dan sekufu dengannya. Kitalah yang diharapkan
dapat menjadi payung baginya dan mendidik dia menjadi isteri yang
baik lagi solehah. Cuba imbas kembali betapa bahagianya hati

ketika dia bersetuju menjadi isteri kita.


sungguh saat itu.

Indah dan bermakna

2) Kenang pengorbanannya sewaktu dia sanggup bersusahsusah dahulu sebelum senang.


Mengharungi kehidupan disaat awal perkahwinan bukannya mudah.
Rumah sewa dan gaji pun kecil. Yang berniaga, juga bermula secara
kecil-kecilan. Kita suami isteri sanggup berkorban masa, tenaga,
perasaan dan segalanya demi membina sebuah kejayaan. Makan
kita makanlah isteri.
Ramai isteri yang sanggup sama-sama
bersusah payah demi memastikan keadaan keluarga menjadi lebih
berjaya satu hari nanti. Doanya untuk kita tidak pernah putus.
Sakit demam kita dijaganya.
Keluhan hati kita didengarnya.
Kesusahan kita dirasakannya. Jadi, kenapa mesti kita lupakan
semua itu. Apa sekali pun jalan yang kita pilih pastikan isteri yang
sama-sama susah itu tidak diabaikan, apa lagi dibuang. Tutup mulut
dan padam perkataan cerai daripada dalam minda.
3) Dialah ibu yang separuh nyawa bertarung mengandung
dan melahirkan anak-anak kita.
Bukan senang mahu mengandungkan anak selama sembilan bulan
dan melahirkannya. Jika kita berpeluang melihat bagaimana sukar
dan sakitnya isteri melahirkan anak maka pastilah timbul rasa insaf
dan kasihan terhadapnya.
Ketika anak pertama saya lahir, isteri
saya memberitahu bahawa roh bagaikan terkeluar seketika daripada
badan. Anak pertama itu beratnya lebih kurang 4 kilogram, isteri
saya merintih atas katil dalam wad bersalin selama lebih daripada
12 jam. Ketika anak diteran keluar dengan satu nafas, dia rasakan
seolah-olah dirinya terapung di atas dan dia nampak saya, doktor,
jururawat, anak dan dirinya sendiri ketika berada di atas itu.
Semuanya itu berlaku dengan pantas dan dia kembali ke jasadnya.
Begitu sekali pengalamannya. Sakitnya hanya Allah sahaja yang
tahu. Apakah kita sebagai suami dengan mudah mahu lupakan
semua itu. Oleh itu, walau apa sekali pun ujian Allah, didiklah hati
isteri dan pujuklah hatinya sebab marah bagaimana sekali pun
isteri, jauh di sudut hatinya dia sayangkan kita. Mulutnya bising,
kata-katanya kesat tetapi percayalah semuanya itu hanya luarannya
sahaja.
4) Imbas kembali saat-saat indah ketika zaman berkenalan
atau bercinta dahulu.
Kalau hati sudah suka
Semua indah saja
Itukah tanda bunga kasih bermula
Di dalam jiwa

Begitulah indahnya lirik lagu lama yang pernah didendangkan juga


oleh Uji Rashid dan Hail Amir. Tetapi apabila hati marah dan tidak
suka semuanya buruk. Sepatutnya semakin lama usia perkahwinan
semakin kenal kita akan pasangan masing-masing. Kita kenal
baiknya, kita juga kenal buruknya. Sebab itulah perkahwinan itu
adalah bertujuan untuk saling melengkapi, apa yang kurang pada
isteri lebihnya mungkin pada suami dan begitu juga sebaliknya.
Oleh itu setiap kali berlakunya krisis, kenanglah semula saat-saat
indah bersama dan segala kebaikannya yang membuatkan hati
tertarik padanya. Dengan cara itu tidaklah kita membuat tindakan
melulu dan terburu-buru.
5) Tatap wajahnya ketika dia sedang tidur dan ucaplah
syukur serta kasihanilah dia serta doakan dia.
Kenapa perlu tatap wajah isteri ketika dia tidur? Kerana wajah isteri
ketika itu tanpa emosi. Cuba dengarkan suara hati ketika menatap
wajah itu. Pasti akan hadir rasa sayang, kasih dan simpati. Pasti
tidak dapat dibayangkan pilu dan sedihnya hati ini jika bangun esok
paginya wajah itu sudah tiada lagi.
Bersyukurlah ketika ramai
orang yang tidak punya isteri, Allah anugerahkan kita seseorang
sebagai teman hidup. Itulah wajah yang menyimpan segala memori
pahit manis bersama. Dikesempatan itu doakanlah dia agar syurga
menjadi destinasi akhirnya.
Bisikkan ketelinganya yang kita
sayangkan dia.
6) Hargai usahanya memasak, mengemas, menjaga anak
dan melayani kehendak batin kita.
Bukan senang menjalani hidup sebagai seorang isteri. Tugas
seorang isteri ialah dua puluh empat jam sehari dan tujuh hari
seminggu. Bekerja tanpa cuti kecuali sewaktu jatuh sakit. Itu pun
digagahinya juga untuk memasakkan nasi dan lauk untuk suaminya.
Bukan itu sahaja, bagi isteri yang tiada pembantu rumah semuanya
dilakukan olehnya. Mengemas rumah, membasuh baju, melipat
kain, menyapu sampah, mencuci tandas, menjaga anak-anak dan
segalanya. Subhanallah, besarnya khidmat bakti seorang yang
benama isteri maka sewajarnyalah dia dihargai.