Anda di halaman 1dari 4

KARANGAN 9 : PUNCA BULI DAN LANGKAH MENANGANINYA

(T) Remaja pada hari ini bakal menerajui pucuk pimpinan negara pada masa hadapan dan
merupakan aset modal insan negara bak kata pepatah, pemuda harapan bangsa, pemudi
tiang negara. "Berikan saya sepuluh orang remaja, nescaya akan saya gegarkan dunia
ini,begitulah ungkapan retorik yang pernah dilontarkan oleh bekas Presiden Parti
Indonesia, Soekarno yang menggambarkan betapa gahnya peranan remaja sebagai
penentu pembangunan dan kemajuan negara pada masa hadapan. (I) Malangnya, dalam
proses menongkah arus globalisasi yang pantas bergerak bagai belut diketil ekor ini,
keruntuhan akhlak remaja semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini. Salah satu
masalah sosial yang kian merebak dalam kalangan remaja ialah gejala buli. Buli dapat
ditakrifkan sebagai perlakuan ganas yang mencederakan fizikal dan menjejaskan emosi
dan mental seseorang seperti memukul, membuli, mengugut dan sebagainya.Menurut
statistik Polis Diraja Malaysia, kes buli juvana telah meningkat sebanyak 11 kes pada
tahun 2013 berbanding pada tahun 2012. Peningkatan ini menyukarkan usaha negara
untuk mencapai impian menjadi negara kelas pertama. Pelbagai usaha diambil oleh
kerajaan mahupun badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam menyifarkan kemelut
sosial ini tetapi usaha ini hanya seperti melukut di tepi gantang kerana kes tersebut masih
meningkat sehingga hari ini. (A) Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata, jadi
sebelum mencari jalan penawar untuk menangani kemelut ini, kita haruslah mengenal
pasti akar umbi yang menjadi pemangkin kepada fenomena ini kerana jika tiada angin
masakan pokok bergoyang.
(I) Punca dominan yang mencetuskan fenomena ini ialah remaja tidak mempunyai
didikan agama yang teguh. (M) Kebanyakan remaja pada hari mempunyai stigma bahawa
ajaran agama sudah ketinggalan zaman dan tidak relevan untuk dipraktikkan pada alaf
globalisasi ini. Keadaan menjadi lebih parah apabila ibu bapa pada hari ini tidak
memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak mereka. Hal ini terjadi
kerana ibu bapa pada alaf ini sering mempunyai tanggapan bahawa ajaran agama tidak
penting berbanding dengan pendidikan akademik yang dianggap sebagai tiket kejayaan
anak-anak pada masa hadapan. Sikap ini menunjukkan bahawa terdapat ibu bapa yang
semakin alpa akan tanggungjawab hakiki mereka dalam membesar, mengasuh dan
mendidik anak-anak mereka yang diumpamakan sehelai kain putih dan ibu bapalah yang
akan mencorakkan tingkah laku anakanak sama ada seindah warna pelangi atau semalap
masa hadapannya. (BA) Berlandaskan sikap remaja dan ibu bapa yang sebegini maka
tidak hairanlah anak-anak tidak mementingkan amalan solat yang difardukan kepada
setiap muslim walaupun solat itu tiang agama yang dapat mencegah kemungkaran.
Mereka beranggapan bahawa amalan ini membuang masa dan tidak membantu mereka
untuk mencapai kejayaan duniawi. Bukan itu sahaja, kebanyakan remaja pada hari ini
lebih bertuhankan hiburan dan keseronokan duniawi semata-mata seperti melibatkan diri
dalam Black Metal. (K) Jika situasi ini berterusan sudah pasti keharmonian masyarakat
dan negara kita akan terjejas. Memetik kata-kata seorang tokoh cendekiawan, Petanda
runtuhnya sesuatu bangsa itu dapat dilihat apabila bangsa tersebut mencintai hiburan.

Keimanan remaja yangsenipis kulit bawang menyebabkan kehidupan mereka terumbangambing ibarat kapal tanpa nakhoda lantaran mereka tidak dapat membezakan dosa dan
pahala lalu mereka akan bertindak untuk menyakiti dan mengasari individu lain demi
kepentingan dan keseronokan diri sendiri. (P)Tegasnya, didikan agama yang tidak mantap
mampu mendorong kepada penularan gejala buli di negara ini.
(I) Selain itu, kegoyahan institusi kekeluargaan juga menjadi pemangkin kepada gejala
buli yang melanda di nusa tercinta kita ini. (M) Intitusi keluarga porak-peranda
disebabkan oleh tiada lagi persefahaman antara pasangan suami isteri. Sekiranya tiada
persefahaman antara mereka sudah pasti bibit-bibit kasih sayang yang dipupuk selama ini
hilang sebagai akibat daripada sikap mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan impak
yang bakal mengganggui kehidupan anak-anak pada hari mendatang. (BA) Oleh itu, kes
penderaan, pertengkaran dan perceraian semakin meningkat bagai bangkai gajah yang
tidak dapat ditutupi dengan nyirunya lagi. Menurut kajian Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (JAKIM), kadar perceraian pasangan suami isteri Islam di Malaysia berlaku
sekali dalam tempoh masa 15 minit. Keluarga yang porak-peranda akan lalai untuk
memberikan kasih sayang mereka kepada anak-anak remaja yang sentiasa memerlukan
belaian dan perhatian daripada ibu bapa mereka. (K) Keadaan ini membimbangkan
kerana akan menjejaskan perkembangan remaja dan pembentukan personaliti remaja.
Maka tidak hairanlah apabila remaja sanggup terlibat dalam gejala samseng ini untuk
menarik perhatian dan mendapatkan sekelumit kasih sayang daripada ibu bapa mereka
yang semakin alpa dalam memikul tanggungjawab hakiki mereka. Jabatan Kebajikan
Masyarakat melaporkan bahawa 50 peratus remaja yang terlibat dalam gejala negatif
terdiri daripada remaja yang mempunyai konflik keluarga. (P) Izharlah bahawa
kegoyahan institusi kekeluargaan turut mencetuskan fenomena buli remaja yang ingin
melepaskan kemarahan mereka kepada individu yang lain bak kata peribahasa Melayu,
orang lain makan nangka, orang lain terkena getahnya.
(I) Jika kita kaji dari dimensi yang lain, pengaruh rakan sebaya juga merupakan antara
faktor gejala buli semakin menular dan kian serius bagai duri dalam daging di negara kita
pada hari ini. (M) Hal ini dikatakan demikian kerana remaja pada hari ini lebih
mempercayai rakan sebaya daripada ibu bapa dan guru-guru mereka. Tindakan remaja
yang sanggup menuruti kata-kata kawannya tanpa memikirkan risiko dapat diumpamakan
seperti kerbau dicucuk hidung. Bukan itu sahaja, kebanyakan remaja tidak ingin
dipulaukan atau disisihkan oleh ahli kumpulan sekiranya enggan menuruti perlakuan dan
kata-kata mereka. Menurut Thrasher yang merupakan pelopor awal tentang kajian buli
mengutarakan bahawa pada peringkat awal remaja, golongan ini berkemampuan untuk
mewujudkan geng atau persatuan. Remaja yang masih berbau pucuk jerengau ini sanggup
mengkhianati kepercayaan ibu bapa dan guru mereka daripada mengkhianati kumpulan
mereka. (BA) Sebagai contohnya, 8 orang pelajar tingkatan 5 dari Kolej Melayu Kuala
Kangsar (MCKK) telah mengugut guru asrama dengan menggunakan parang. Kumpulan
pelajar ini sanggup bertindak demi melepaskan kemarahan dan berseronok-seronok tanpa
memikirkan impaknya kepada diri sendiri dan orang lain. (K) Ekoran sikap remaja yang
tersalah memilih rakan menyebabkan mereka mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir

negatif seperti membuli . Hal ini dapat dikaitkan dengan petikan sebahagian daripada
hadis nabi yang bermaksud, Jika berkawan dengan tukang besi maka percikan api akan
terkena pada tubuhmu. (P) Pendek kata, pengaruh dan tekanan daripada rakan sebaya
turut mejadi penyebab kepada kemelut buli semakin sukar ditangani.
(I) Dalam konteks yang sama, punca yang lain ialah pengaruh media yang berteknologi
tinggi. (M)Pada alaf modenisasi dan globalisasi ini, pertambahan bilangan dan jenis
media berteknologi tinggi seperti rangkaian televisyen dan internet semakin pesat bagai
cendawan tumbuh selepas hujan. Penggunaan media berteknologi ini kebanyakannya
dikuasai oleh golongan remaja yang masih mentah. Kajian melaporkan bahawa 80
peratus anak-anak melayari Internet. Memang tidak dapat dinafikan bahawa untuk
mencapai status negara maju, rakyat sesebuah negara itu perlu memajukan diri dengan
perkembangan semasa seiring dengan kehendak pasaran dunia. Malangnya, kemajuan
yang dikecapi pada hari ini turut merosakkan pemikiran dan akhlak remaja di negara kita.
(BA) Terdapat banyak media berteknologi tinggi yang mendedahkan pelbagai budaya
luar dan aksi-aksi ganas yang mampu menjahanamkan peribadi dan sahsiah remaja yang
masih berumur setahun jagung. Sebagai contoh, filem Buli, Gengster, KL Menjerit dan
rancangan WWF Smack Down telah membudayakan amalan samseng dalam kalangan
remaja yang masih hijau. Penerbitan filem dan rancangan yang berunsurkan keganasan
yang sememangnya bertentangan dengan norma-norma kehidupan manusia ini
disebabkan oleh sikap penerbit yang bersikap materialistik dan ingin mengautkan
keuntungan peribadi daripada mengutamakan kepentingan sejagat. Sikap manusia yang
mementingkan diri sendiri ini dapat diumpamakan bagai enau dalam belukar melepaskan
pucuk masing-masing. (K) Kesannya, remaja akan meniru dan mengikuti aksi-aksi yang
ditontoni tanpa memikirkan kesan atas tindakan mereka. Mereka yang sentiasa didorongi
oleh semangat inkuiri akan melakukan gengsterisme terhadap orang lain seperti memukul
dan mengugut untuk melihat keberkesanan rancangan yang ditontoni oleh mereka. (P)
Ringkasnya bahawa pengaruh negatif yang dibawa oleh media berteknologi tinggi juga
menjadi pemangkin kepada kemelut sosial ini kepada ibu pertiwi kita.
(I) Dari perspektif yang berbeza pula, peraturan sekolah yang lemah turut menyebabkan
masalah buli dalam kalangan remaja kian bermaharajalela dan merebak dengan pantas
bagaikan virus epidermik. (M) Keadaan ini terjadi apabila terdapat sesetengah pihak
sekolah pada hari ini lebih mementingkan pencapaian akademik dan lebih berorientasikan
peperiksaan. Bagi mereka, pencapaian kecemerlangan pelajar dari aspek akademik
menjadi kayu pengukur kepada prestasi kecemerlangan sekolah. Sekiranya hal ini terjadi
sudah pasti pihak sekolah akan hilang fokus untuk menangani kes-kes pelajar sekolah dan
tidak menganalisis kesalahan pelajar yang dilaporkan seperti kes buli yang kian hari kian
bernanah di persekitaran sekolah. Pihak sekolah juga tidak mengenakan peraturan dan
hukuman yang tegas kepada pelajar-pelajar yang melakukan keganasan pelajar lain dan
sikap pihak sekolah ini dapat diumpamakan seperti singa yang hilang taringnya. (BA)
Sebagai misalannya, lebih kurang 20 orang pelajar di Sekolah Menengah St. David, Bukit
Baru, Melaka bergaduh di kantin sekolah dan memukul sesama sendiri menggunakan
kerusi. Kejadian ini membuktikan bahawa kumpulan pelajar ini memantang enteng dan

tidak gerun dengan peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. (K) Sehubungan
dengan itu, impian Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan insan yang
holistik akan terkubur sekiranya gejala gengsterisme semakin berleluasa dalam kalangan
remaja yang rata-ratanya merupakan pelajar sekolah. Bukan itu sahaja, kepercayaan ibu
bapa terhadap pihak sekolah untuk melahirkan modal insan yang berkualiti turut akan
terjejas. (P) Jadi, ketidaktegasan peraturan dan sikap pihak sekolah juga antara punca
yang menyebabkan gejala buli dalam kalangan remaja semakin sukar diatasi.
(K) Secara analoginya, bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa terdapat banyak
punca yang menjadi pemangkin kepada penularan gejala buli dalam kalangan remaja di
negara kita. Jika kemelut sosial yang melanda remaja di negara kita ini tidak dapat
dihapuskan, remaja yang merupakan jentera penggerak kemajuan negara tidak dapat
melaksanakan tanggungjawab dan obligasi masing-masing untuk memacu pembangunan
negara. Dengan ini, segala aspirasi negara hanya sekadar omongan kosong semata-mata
dan akan menjadi angan-angan Mat Jenin. (CDGN) Jadi, remaja kita perlu terjaga
daripada lena dan keasyikan serta melengkapkan diri dengan ciri-ciri yang mulia supaya
dapat menempatkan diri sebagai modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Akta Pencegahan Jenayah dan Akta Juvana juga perlu dikaji dan diubah suai selaras
dengan zaman globalisasi. Namun begitu, tindakan mengharapkan satu pihak untuk
menyelesaikan masalah ini semata-mata tidak berkesan kerana bertepuk sebelah tangan
tidak akan berbunyi. Oleh itu, semua pihak tanpa mengenal batasan usia dan status
haruslah mengorak langkah untuk bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk mengatasi
masalah ini sehingga noktah terakhir. (HRPN) Komitmen padu daripada semua pihak
diharapkan impian untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan
terbilang dapat direalisasikan. Secara implisitnya, negara kita dapat berdiri gah di pentas
antarabangsa bergandingan dengan negara maju yang lain dan terkenal di seantero dunia.
Imej negara juga akan harum di persada dunia dan masyarakat Malaysia akan dianggap
sebagai masyarakat kelas pertama kerana ketinggian akhlaknya. Ahli filsuf Tao pernah
menukilkan bahawa jika mahu hidup setahun tanamlah gandum, jika mahu hidup sepuluh
tahun tanamlah pokok dan jika mahu hidup selama-lamanya tanamlah jiwa manusia.
Biarlah pepohon terus bergoyang, biarlah matahari terus bersinar dan biarlah masa depan
mutiara negara yang berharga ini terus terpelihara demi kebaikan bersama.

Anda mungkin juga menyukai