Anda di halaman 1dari 2

Contoh Karangan : Kasih Sayang Ibu Bapa Berkesan Mendidik Anak

Jun 16, 2007 mindabahasaWujudkah ibu bapa yang tidak sayangkan anak ?
Semestinya, semua ibu bapa sanggup berkorban demi kebahagiaan anak mereka. Tetapi,
persoalannya adakah semua ibu bapa hari ini menyayangi anak dengan cara lebih tepat ?
Dalam hal ini, ada ibu bapa sekarang melakukan kesilapan. Ada menganggap cara ibu
bapa dulu mendidik anak tidak betul dan kolot, lalu terus menolak semua, sedangkan cara
dulu tidak semua salah atau tidak sesuai lagi.
Ada pula beranggapan cara didikan ibu bapa dulu adalah betul, lalu terus menggunakan
semua, sedangkan mungkin ada antaranya tidak sesuai dengan keadaan sekarang.
Manakala, ada pula disebabkan ingin mencari cara kontemporari, lalu dengan mudah
mengguna pakai cadangan dikemukakan buku atau penceramah, tanpa melakukan
penelitian, tapisan atau kefahaman yang mendalam. Kebanyakan isu keibubapaan timbul
dalam konteks hubungannya dengan anak yang berada pada usia remaja. Sesetengah
remaja menunjukkan perlakuan sukar difahami dan tidak pernah dibayangkan ibu
bapanya. Ada ketikanya remaja memilih pakaian dan muzik pelik, emosi berubah-ubah
seperti keras dan pendiam, malah mungkin kurang menghormati ibu bapa. Lazimnya, ibu
bapa diingatkan mengenali dan memahami psikologi anak remaja. Ibu bapa diberitahu
bahawa remaja berada dalam zaman transisi dan bergelut untuk berpaut pada zaman
kanak-kanak yang penuh kegembiraan yang bakal ditinggalkan sambil memasuki alam
dewasa yang penuh tanda tanya. Orang tua dimaklumkan bahawa anak remaja sedang
berada dalam paradoks. Tetapi, ibu bapa jarang diingatkan untuk mengenali dan
memahami paradoks yang sedang berlaku dalam dirinya sendiri. Bahawa mereka sendiri
mencari keseimbangan antara memberikan kasih sayang dan menetapkan sesuatu untuk
anak remajanya.
Sebenarnya, kasih sayang ibu bapa yang ideal ialah memberikan anak remajanya
keseimbangan antara kebebasan dan disiplin. Jika disiplin terlalu banyak dan ketat,
remaja akan memberontak. Sebaliknya, jika terlalu banyak kebebasan, remaja dahagakan
struktur tertentu dan mencarinya sendiri dengan cara belum tentu baik. Oleh itu, ibu bapa
perlu membuat pelbagai keputusan mengenai anaknya, misalnya, daripada boleh atau
tidak menonton televisyen, hinggalah kepada boleh atau tidak mempunyai teman lelaki
atau perempuan. Semakin anaknya menginjak dewasa, maka keputusan itu semakin besar
dan penting. Ada keputusan perlu dibuat setiap hari dan ada keputusan perlu dibuat pada
tempoh tertentu.
Selain perlu mengenali dan memahami anak remajanya, ibu bapa harus mengenali dan
memahami dirinya sendiri terlebih dulu. Umumnya, ahli psikologi merumuskan ada dua
komponen utama dalam gaya keibubapaan. Yang pertama ialah responsif, iaitu
sebanyak mana kebebasan diberikan, manakala kedua ialah permintaan, iaitu sebanyak
mana disiplin atau hala tuju akan ditentukan. Dengan kata lain, ibu bapa berdepan dengan
paradoks: antara kasih sayang dan kepemimpinan. Kasih sayang ialah responsifnya
terhadap kehendak anak remajanya, manakala kepemimpinan pula ialah permintaannya
terhadap keperluan masa depan anak remajanya. Pertembungan, dinamika dan
keseimbangan antara kedua-dua komponen ini dapat menentukan gaya keibubapaan.
Kebanyakan pengkaji membahagikan gaya keibubapaan kepada empat kategori, iaitu:

autoritarian, autoritatif, permisif dan tidak terbabit. Ibu bapa yang autoritarian rendah
responsifnya, tetapi amat tinggi permintaannya. Walaupun mereka pengasih dan
penyayang, anak remajanya tidak merasainya. Kebebasan hampir tidak diberikan dan
pendapat anak remaja jarang didengar. Sebaliknya, disiplin amat ketat, malahan cita-cita
anak remaja ditentukan ibu bapa.
Remaja yang dibesarkan dalam suasana autoritarian berkemungkinan besar berjaya dalam
peperiksaan dan kerjayanya, tetapi mungkin memiliki peribadi yang kaku, rendah harga
diri dan terlalu bergantung kepada arahan pihak berkuasa. Ibu bapa yang autoritatif pula
mempunyai keseimbangan antara responsif dan permintaan. Mereka akrab, komunikatif
dan anak remaja digalakkan bersuara. Kasih sayang diberikan, ditunjukkan dan dirasai.
Disiplin dan hala tuju ditentukan dan diterangkan rasionalnya. Remaja bebas menentukan
cita-cita dengan ibu bapa memberikan panduan dan bimbingan.
Remaja yang dibesarkan dalam suasana autoritatif berkemungkinan besar akan sama
kejayaannya, walaupun tidak lebih, dengan dibesarkan dalam suasana autoritarian.
Bezanya golongan ini akan memiliki peribadi bersepadu, yakin, berdikari dan kreatif. Ibu
bapa permisif mempunyai responsif amat tinggi, tetapi permintaan amat rendah. Mereka
banyak bertolak ansur, memberikan kebebasan dan hampir semua kehendak anak
remajanya diturutkan. Gaya tidak terbabit pula hampir tiada permintaan, disiplin dan hala
tuju, serta hampir memberikan kebebasan penuh. Malahan, ia lebih satu kecuaian
keibubapaan.
Namun begitu, gaya keibubapaan boleh dirosakkan dengan amat mudah, sekiranya ibu
bapa tidak dapat mengawal perasaan marah. Jadi, ibu bapa perlu tahu cara menangani
kemarahannya. Dalam hal ini, ada tiga persoalan penting iaitu: bila marah itu wajar, bila
marah tidak diperlukan dan bila marah itu boleh menjadi masalah. Walaupun, mungkin
sukar melahirkan seorang kaunselor profesional atau pra kaunselor dalam setiap keluarga,
program Satu Keluarga Satu Kaunselor tetap mempunyai potensi untuk melahirkan ibu
bapa berilmu, berkemahiran dan seimbang dari segi memberikan kasih sayang dan
kepemimpinan.

Anda mungkin juga menyukai