Anda di halaman 1dari 3

Kebiasaan mengambil makanan segera seperti burger, piza,dan mi segera

sudah menjadi suatu trend dalam kalangan rakyat Malaysia. Tapi sedarkah kita
bahawa negara kita Malaysia terkenal dengan keunikan pelbagai makanan
tradisional yang sangat membuka selera? Namun, mengapa lebih ramai yang
gemar menghabiskan wang ringgit untuk makanan yang hanya nikmat sesaat
tetapi menanggung sengsara berpanjangan? Inilah fenomena yang amat
menggusarkan. Media-media massa
dan corong-corong radio juga telah
memainkan peranan mereka dengan cukup baik sekali namun inilah gaya hidup
rakyat negara kita sehingga kita masih dibelenggu dan mengamalkan budaya
hidup negara yang pernah menjajah kita. Sikap sambil lewa yang hanya masuk
telinga kanan, keluar telinga kiri menjadi kerisauan kepada pemimpin negara
kita yang ingin melihat rakyatnya hidup dalam keadaan yang sihat dan
mengamalkan pemakanan seimbang serta tidak memudaratkan. Lebih-lebih
lagi, jika kita nilai dari sudut ekonomi, restoran-restoran segera ini mengancam
ekonomi para pengusaha restoran tempatan. Tidakkah ekonomi negara akan
merudum dan rakyat negara kita tanpa disedari sedang meningkatkan ekonomi
negara luar. Oleh itu,kita haruslah tahu akan kesan-kesan pengambilan
makanan segera secara berlebihan.
Sebagai seorang kanak-kanak, selera makan mereka pastinya tertumpu
kepada makanan yang lazat dan menggiurkan sahaja. Mereka akan makan
makanan yang mereka suka tanpa memikirkan kesan yang akan berlaku kepada
mereka nanti. Di sini, ibu bapalah yang harus memainkan peranan untuk
mengawal pengambilan
makanan segera bagi kanak-kanak . Jangan
menjadikan rasa sayang kepada anak-anak sebagai satu alasan untuk memberi
mereka makanan yang tidak sesuai yang mana akan mempengaruhi
tumbesaran kanak-kanak. Sayang bukanlah bermaksud hanya memberi
kepuasan kepada mereka tetapi sayang adalah apabila kita menjaga seseorang
dengan baik dalam jangka masa yang panjang. Nyawa tidak bisa dijual beli.
Janganlah apabila nasi sudah menjadi bubur baru hendak menyesal tidak
berkesudahan. Sedarlah bahawa sesal dahulu pendapatan,sesal kemudian tiada
guna. Justeru, adalah baiknya sebagai seorang yang makan garam terlebih
dahulu, ibu bapa menasihati dan mengawal pengambilan makanan segera
kanak-kanak. Sebagai contohnya, ibu bapa menghidangkan sayuran di dalam
sarapan pagi ataupun menyediakan salad untuk anak-anak mereka. Justeru,
diharapkan bahawa pihak ibu bapa sedar akan kesan buruk pengambilan
makanan segera bagi kanak-kanak.
Seperti yang kita semua sedia maklum, peningkatan harga minyak sudah
menjadi bualan ramai pihak khususnya golongan yang berpendapatan rendah.
Dengan ini, sudah semestinya perancangan keluarga akan terjejas. Jika kita
sering mengamalkan pengambilan makanan yang menjadi punca tegar kepada
penyakit-penyakit yang bisa membawa kepada peperangan ajal dan maut ini,
bukankah terjadi sedikit pemborosan yang sia-sia di situ? Adalah lebih molek
jika kita memasak sendiri di rumah. Namun, kesibukan bekerja pula dilihat

menjadi punca utama seperti yang menymbang peningkatan permintaan


terhadap makanan segera. Malaysia juga terkenal dengan pelbagai restoran
yang menghidangkan makanan berkhasiat di negara kita. Justeru, mengapa
harus membazir wang di restoran makan segera seperti KFC, Pizza Hut, Mc
Donald dan lain-lain sedangkan makanan di restoran tersebut jauh lebih
berkhasiat dan seimbang. Tambahan lagi, kasih sayang juga pastinya akan
dapat terjalin antara keluarga jika kita mengamalkan masak makanan di rumah
daripada di luar ataupun mana-mana makanan segera ini khususnya. Maka
cantiklah jika kita sebagai seorang yang berfikiran jauh untuk menyimpan duit
tersebut daripada membelanjakannya untuk perkara yang hanya akan
mendatangkan kemudaratan kepada diri kita kelak. Meskipun nilainya hanya
sedikit, namun lama kelamaan pasti menjadi bukit daripada tidak ada sama
sekali. Di sini, dapatlah disimpulkan bahawa sesungguhnya, pengambilan
makanan segera hanyalah akan menyebabkan pembaziran yang sia-sia.
Selanjutnya, makanan berkolestrol, gula yang tidak terkawal serta garam
yang berlebihan banyak terdapat dalam makanan segera. Dengan kandungan
kolestrol yang tidak terkawal, penyakit mudah untuk datang bertandang.
Bagaikan hujan yang tidak diundang, dan ribut yang tidak dijemput. Gula yang
berlebihan pula menyebabkan segelintir masyarakat kehilangan kaki kerana
kencing manis. Malah yang lebih merisaukan lagi, hospital kerajaan di kota raya
semakin penuh dengan para pesakit yang menghidap penyakit darah tinggi
kerana terlebih garam. Walaupun pada dasarnya, itu adalah satu kebaikan
kepada para doktor yang dapat memantapkan kemahiran merawat pesakit
mereka ke tahap yang lebihbaiki ,namun tidakkah kita sedih melihat banyak
nadi yang harus terhenti dengan sia-sia? Maka, haruslah rakyat Malaysia sedar
akan banyaknya keburukan yang datang dari pengambilan makanan segera
yang hanya merugikan ramai pihak tersebut dan menguntungkan pihak yang
tidak sepatutnya .
Selain itu, masalah kenaikan berat badan yang berlebihan, iaitu obesiti
juga merupakan salah satu penyumbang keburukan kepada pengambilan
makanan segera. Wanita khusunya menjadi contoh yang tepat masa kini. Wanita
yang sudah mendirikan rumah tangga pastinya akan lebih tertumpu kepada
suami, rumah dan anak-anak. Dengan ini, mereka akan lebih tertarik untuk
mengambil jalan mudah selepas lelah seharian bekerja sebagai suri rumah.
Mereka akan lebih gemar memesan makan di luar daripada memasak sendiri.
Tidakkah ini merugikan? Obesiti bukanlah sesuatu yang boleh dipandang
sebelah mata sahaja. Jantung juga akan mudah sesak dan kita akan tercungapcungap. Hal ini dapat mengganggu rutin harian kita. Maka, sudah terang lagi
bersuluh sememangnya obesiti juga adalah kesan buruk pengambilan makanan
segera.
Konklusinya, sebagai rakyat Malaysia yang mengamalkan gaya hidup
sihat, kita wajar meneruskan pengambilan makanan yang seimbang dan tidak
menjadikan makanan segera sebagai makanan wajib dalam hidup seharian.

Sesungguhnya, otak yang cerdas adalah apabila badan kita cergas. Sebagai
pilihan, para suri rumah, ibu-ibu dan wanita yang bekerjaya wajar memasak di
rumah sebagai alternatif mengelakkan pengambilan makanan segera yang
berlebihan. Mencegah lebih baik daripada merawat dan janganlah sudah
terhantuk baru hendak terngadah. Sesungguhnya apa yang ditelan, itulah yang
akan dihadam oleh perut. Jika makanan yang mengandungi kolestrol, gula,
garam dan lemak yang berlebihan masuk ke dalam perut, maka badanlah yang
akan menanggung akibatnya. Tepuk dada tanya selera kerana di mana ada
kemahuan di situ ada jalan.