Anda di halaman 1dari 9

MAZHAB PENGURUSAN (1856-1915)

Bidang pengurusan mempunyai sejarah perkembangan yang patut ditinjau supaya


kita dapat memahami perbezaan dan perkaitan antara amalan pengurusan
sekarang dan masa depan dengan pengurusan yang dialami pada abad yang
lampau.
Untuk meninjau perkembangan pemikiran pengurusan, eloklah jika kita melihat dari
tiga sudut mazhab pengurusan, iaitu klasik, perlakuan, dan sains pengurusan.
Pendekatan kontingensi dan teori sistem yang berkembang pada tahun enam
puluhan lahir daripada pengalaman pengurus, penyelidik, dan pakar runding.
Mazhab klasik pengurusan yang bermula pada awal abad ini telah diterima dan
dipraktik oleh pengurus hingga ke hari ini. Dua cawangan mazhab klasik yang telah
berkembang ialah pengurusan saintifik dan proses pengurusan.Ahli-ahli fikir
pengurusan saintifik terdiri daripada jurutera dan ahli sains, seperti Robert Owen
(1771-1858), Charles Babbage (1772-1871), Frederick Taylor (1856-1915), Henry L.
Gantt (1861-1919), dan Gilbreths (1868-1972).Dengan kelahiran organisasi yang
besar dan kompleks, pengurus menumpukan perhatian kepada cara untuk
mengurus organisasi besar, termasuklah penyelarasan sumber organisasi untuk
mencapai matlamat organisasi. Fungsi pengurusan seperti perancangan,
penyusunan, pengarahan, dan pengawalan selalunya disebut sebagai proses
pengurusan atau pengurusan organisasi.
Henri Fayol (1841-1925) yang digelar sebagai Bapak Pemikiran Pengurusan telah
memberi sumbangan terhadap teori organisasi. Mazhab perlakuan menekankan
proses psikologi dan sosiologi seperti sikap, dorongan, dan struktur kumpulan yang
mempengaruhi prestasi pekerja. Ini bermakna, mazhab klasik memfokuskan pekerja
di dalam pekerjaan tersebut.
Sains pengurusan menumpukan aspek kuantitatif di dalam pengurusan. Pendekatan
kuantitatif yang telah diterima dengan meluas hasil perkembangan atau kemajuan
komputer dapat menyelesaikan masalah yang kompleks.
Pendekatan kontingensi atau situasi menitikberatkan hubungan antara organisasi
dengan persekitaran luaran dan dalaman. Pendekatan kontingensi ini memberi
perhatian bahawa tidak terdapat satu cara pengurusan yang dianggap paling baik,
malah pendekatan ini lebih mengutamakan penyesuaian, fleksibiliti, dan ketahanan
organisasi untuk mencapai matlamatnya.

2.2 PENGURUSAN SAINTIFIK (1856-1915)


Pada awal abad kedua puluh, pengurusan saintifik muncul hasil keperluan untuk
mempertingkatkan lagi kecekapan dan daya pengeluaran melalui penggunaan
sumber manusia dan fizikal. Frederik Taylor, seorang jurutera mekanik dan pakar
runding, telah membuat perhatian ke atas fungsi dan pergerakan setiap pekerja
yang menjalankan tugas dan kemudiannya telah membuat analisis dan mereka
bentuk semula tugas itu dengan efisien.Frederick Taylor mengeluarkan prinsip
pengurusan saintifik seperti berikut:

1. Penentuan pergerakan:
Membina kaedah saintifik dengan menentukan pergerakan dan perjalanan kerja
yang dijalankan supaya lebih efisien. Dengan penentuan ini, kerja dapat disiapkan
dengan lebih cepat dan dengan peratusan atau kadar yang lebih tinggi.
2. Pengkhususan kerja:
Frederick Taylor telah memikirkan tentang pentingnya seorang pakar di setiap
bahagian. Misalnya, seorang fomen (sebagai ketua) dikehendaki bertanggungjawab
di dalam bahagian pembaikan mesin, seorang di bahagian perjalanan mesin,
seorang di bahagian pemeriksaan dan lain-lain. Dengan cara yang demikian,
pekerja dapat memahirkan diri dalam bidang yang khusus.
3. Perancangan dan penjadualan yang rapi:
Perancangan dan penjadualan aktiviti organisasi perlu untuk memastikan
penggunaan sumber manusia dan bahan pada tempat dan masa yang sesuai.
4. Pemilihan dan pengambilan kakitangan yang rapi:
Frederick Taylor percaya bahawa pemilihan dan pengambilan kakitangan perlu
dibuat dengan teliti untuk menjamin kakitangan yang diambil itu dapat
menjalankan tugas seperti yang dikehendaki. Di dalam proses pengambilan ini,
ujian tertentu hendaklah diadakan untuk menguji kebolehan dan keupayaan
seseorang itu. Proses pemilihan yang teliti berserta dengan program latihan
tertentu dapat menjamin prestasi yang tinggi di dalam menjalankan tugas.
5. Insentif upah:
Program upah yang diadakan bertujuan membayar upah mengikut jenis kerja yang
dibuat. Ini bermakna program upah itu menyediakan kadar upah mengikut jenis
kerja. Bonus melalui skim perangsang juga diberikan kepada pekerja yang dapat
menyiapkan kerja lebih awal dari jangka masa yang ditetapkan.
2.2.1 Sumbangan Pengurusan Saintifik
Perkembangan prinsip pengurusan saintifik telah melahirkan beberapa orang
penyumbang seperti, Gilbreths dan Gantt yang telah membuat kajian lanjut tentang
pengawalan dan penjadualan, prinsip kecekapan, dan kesenangan bekerja.

2.3 PROSES PENGURUSAN


Pengurusan saintifik yang menumpukan terhadap pengeluaran yang efisien
mempunyai skop yang terhad. Walaupun pengeluaran yang efisien itu penting, isuisu yang berhubung dengan pengurusan organisasi secara menyeluruh juga tidak
kurang pentingnya. Organisasi dan pengurusan organisasi telah menjadi bertambah
kompleks jika dibandingkan dengan prinsip pengurusan saintifik yang memberi
perhatian kepada kecekapan pengeluaran. Dari keadaan ini, lahirlah pemikiran yang
disebut teori pentadbiran ke arah perkembangan fungsi-fungsi asas pengurusan.

2.4 HENRI FAYOL: PRINSIP DAN FUNGSI PENGURUSAN


Henri Fayol (1841-1925) seorang jurutera dan eksekutif Perancis, telah membuat
tiga sumbangan penting di dalam teori pentadbiran. Beliau telah diberi gelaran
"Bapa Pemikiran Pengurusan".
Pertama, Fayol telah membezakan antara kemahiran teknikal dengan kemahiran
pengurusan. Keduanya, beliau telah mengenal pasti fungsi-fungsi pengurusan yang
khusus dan ketiganya, beliau telah mencadangkan empat belas prinsip pengurusan.
2.4.1 Kemahiran Teknik dan Kemahiran Pengurusan
Fayol membahagikan pengurusan kepada enam kumpulan:
1. Teknik: Pengeluaran dan pembuatan.
2. Komersial: Pembelian, jualan dan pertukaran (pemasaran).
3. Kewangan: Penggunaan modal dengan optimum.
4. Keselamatan: Melindungi harta dan manusia.
5. Perakaunan: Kos, kunci kira-kira, statistik, mengira stok.
6. Mengurus: Perancangan, penyusunan, pengarahan, penyelarasan, dan kawalan.
2.4.2 Fungsi-fungsi Pengurusan
Fayol menghuraikan dengan lebih lanjut lagi tentang fungsi-fungsi pengurusan yang
mengandungi perancangan, penyusunan, pengarahan, penyelarasan, dan
pengawalan.
1. Perancangan:
Perancangan meliputi aktiviti-aktiviti berhubung dengan ramalan tindakan yang
akan diambil pada masa hadapan dan penentuan arah haluan organisasi agar ia
dapat berkembang dan mencapai matlamat-matlamatnya.
2. Penyusunan :
Fungsi ini berhubung dengan pembentukan struktur autoriti, tanggung-jawab dan
tugas-tugas.
3. Pengarahan :
Aktiviti ini berkaitan dengan pengarahan kakitangan bawahan, aspek-aspek
komunikasi, perlakuan pengurusan, pemberian ganjaran dan penghukuman.
4. Penyelarasan :
Fungsi penyelarasan berkaitan dengan aktiviti mengabungkan bahagian-bahagian
untuk mewujudkan kerjasama bagi mencapai matlamat organisasi.
5. Pengawalan :

Pengawalan ke atas perjalanan aktiviti organisasi itu penting agar ia tidak terpesong
atau lari daripada dasar dan perancangan organisasi. Fungsi pengawalan ini juga
meliputi penilaian pencapaian bahagian-bahagian dan organisasi keseluruhannya.

2.4.3 Prinsip-Prinsip Pengurusan


Fayol telah mencadangkan empat belas prinsip pengurusan yang dapat
memberikan panduan kepada pengurus-pengurus tentang pengurusan sesebuah
organisasi, tidak kira sama ada organisasi perindustrian, sosial, keagamaan,
pertahanan atau kerajaan.
Empat belas prinsip pengurusan yang dikemukakan oleh Fayol adalah:
1. Pembahagian kerja :
Pembahagian kerja dapat meningkatkan produktiviti kerana pekerja menjalankan
tugas yang khusus dan dengan demikian mengurangkan beban dan tanggungjawab
pekerja.
2. Autoriti :
Fayol mentafsirkan autoriti sebagai hak untuk memberi arahan dan sebagai kuasa
untuk menarik seseorang supaya menurut arahan itu.
3. Disiplin :
Asas disiplin ialah menurut arahan dan prosedur serta menghormati per-setujuan
yang telah dibuat di antara organisasi dan kakitangannya.
4. Satu perintah :
Fayol percaya bahawa seseorang pekerja mesti menerima arahan-arahan daripada
seorang ketua sahaja. Ini dapat mengelakkan daripada berlakunya kekeliruan dan
konflik di dalam penerimaan dan pemberian arahan.
5. Satu arahan :
Aktiviti yang mempunyai objektif yang sama hendaklah disatukan di dalam satu
rancangan dan diurus oleh seorang ketua sahaja.
6. Mengutamakan kepentingan organisasi :
Kepentingan organisasi hendaklah diutamakan daripada kepentingan peribadi atau
individu. Objektif-objektif organisasi adalah paling penting daripada objektif
individu.
7. Pembayaran upah :
Pekerja mestilah dibayar dengan bayaran yang sewajarnya. Kerja-sama, sokongan
dan ketaatan dapat diperolehi daripada pekerja yang diberi bayaran sewajar
dengan perkhidmatan mereka.
8. Pemusatan :

Walaupun pengurus bertanggungjawab sepenuhnya ke atas organisasi, kakitangan


bawahan hendaklah juga diberi kuasa yang cukup untuk menjalankan tugas dengan
efektif.
9. Rantai pemerintahan :
Rantai pemerintahan ini menunjukkan hierarki autoriti bermula dari peringkat
atasan hingga ke peringkat bawahan di dalam struktur organisasi. Rantai autoriti ini
juga menunjukkan arah aliran komunikasi formal di dalam organisasi.
10. Susunan :
Fayol menggunakan prinsip susunan material dan sumber manusia yang mana
material dan manusia itu hendaklah ditempatkan di tempat yang betul mengikut
masa yang tepat.
11. Keseimbangan :
Pekerja hendaklah diberi layanan dan keadilan yang seimbang untuk melahirkan
ketaatan mereka kepada organisasi.
12. Kestabilan personel :
Firma yang berjaya mempunyai kumpulan pengurus yang stabil. Pihak pengurusan
atasan hendaklah mengimplementasikan amalan yang menggalakkan penglibatan
kakitangan kepada organisasi.
13. Inisiatif :
Kakitangan hendaklah diberi kebebasan untuk memajukan dan mengimplementasikan rancangan.
14. Kekitaan :
Keharmonian di kalangan kakitangan mewujudkan perpaduan dan keteguh-an
organisasi.

2.5 MAX WEBER


Max Weber, seorang ahli sosiologi German, menumpukan terhadap teori organisasi.
Beliau berpendapat bahawa organisasi berstruktur yang dipanggil birokrasi
merupakan yang paling baik. Komponen-komponen birokrasi itu adalah seperti
berikut:
1. Pembahagian tenaga buruh.
2. Hierarki autoriti.
3. Sistem prosedur untuk menjalankan tugas.
4. Pemilihan kakitangan berdasarkan kelulusan teknik.
5. Pentadbir-pentadbir tertakluk kepada peraturan dan disiplin.

6. Hubungan di antara individu tidak terikat kepada perasaan hati.


Mengikut Weber, enam struktur yang disenaraikan di atas dapat mewujudkan
kestabil-an dan kecekapan yang tinggi.

2.5.1 Sumbangan-Sumbangan Lain kepada Teori Pentadbiran


Ramai individu telah memberikan sumbangan mereka kepada teori organisasi
berasaskan kepada fungsi-fungsi pengurusan yang dikemukakan pertama kali oleh
Fayol.

2.6 PERGERAKAN PERHUBUNGAN MANUSIA


Sekumpulan penyelidik dari Harvard, yang diketuai oleh Elton Mayo telah
menjalankan kajian tentang perlakuan manusia di kilang Hawthorne (Illinois)
Western Electric dari tahun 1927-1932. Sejak itu penyelidikan ini dipanggil kajian
Hawthorne.Mayo dan rakan-rakannya telah dipanggil oleh Western Electric setelah
kajian kesan cahaya lampu kepada produktiviti yang dijalankan oleh juruterajurutera syarikat itu memberi keputusan yang mengelirukan. Di dalam ujian
pertama, dua kumpulan pekerja, iaitu kumpulan eksperimen dan kumpulan terkawal
telah dibentuk. Di dalam kumpulan eksperimen, darjah atau tingkat cahaya lampu
telah ditukar, manakala di dalam kumpulan terkawal pula, darjah cahaya lampu
tidak diubah. Satu keputusan didapati bahawa kumpulan eksperimen telah
meningkat produktivitinya sama ada darjah cahaya lampu itu diubah atau tidak. Di
dalam kumpulan terkawal, produktiviti didapati meningkat walaupun tidak ada
perubahan dalam tingkat cahaya lampu.

Mayo kemudian telah memberikan kesimpulan bahawa keadaan sosial semasa


bekerja seperti kumpulan kerja tidak formal akan mempengaruhi produktiviti.
Daripada kesimpulan ini, penyelidik-penyelidik mencadangkan bahawa pihak
pengurusan mesti mengakui kepentingan kehendak pekerja terhadap pengiktirafan
dan kepuasan sosial, iaitu satu pendekatan terhadap kepentingan sumber manusia
di dalam organisasi. Dengan yang demikian program latihan untuk melatih
penyelia-penyelia memahami cara kelompok dan individu berkelakuan, peningkatan
di dalam proses pengambilan, penempatan dan sistem insentif telah mula diberi
tumpuan dan kepentingan.

2.6.1 Chester Barnard (1886-1961)


Berdasarkan pengalaman dan pembacaan yang mendalam di bidang sosiologi dan
psikologi, Chester Barnard membuat analisis tentang tugas-tugas eksekutif. Hasil
daripada kerjanya itu, Chester Barnard telah menulis buku yang bertajuk The
Functions of Executive.Mengikut Barnard, organisasi ditubuhkan untuk mencapai
matlamat-matlamat yang mungkin tidak dapat dicapai sekiranya dibuat secara

perseorangan. "Usaha secara kerja-sama" ini menjadi asas kepada Barnard untuk
mendefinisikan organisasi sebagai satu sistem yang menyelaraskan aktiviti-aktiviti
dua orang atau lebih. Perkara yang paling penting ditekankan oleh Barnard ialah
bahawa organisasi dapat bergerak dengan efisien dan dapat hidup hanya apabila
matlamat organisasi dan matlamat atau keperluan individu yang menjalankan kerja
itu seimbang. Barnard juga menunjukkan minat di dalam bidang motivasi, membuat
keputusan, komunikasi dan kepentingan objektif.

2.6.2 Douglas McGregor : Teori X dan Teori Y


Di dalam penulisan The Human Side Of Enterprise , McGregor percaya bahawa
terdapat dua perlakuan manusia yang membolehkan pihak pengurus mengawal,
iaitu Teori X dan Teori Y.Teori X mewakili pendekatan tradisional yang dicadangkan
oleh Frederick Taylor (Prinsip-prinsip Pengurusan Saintifik). Teori Y pula memberi
galakan terhadap peng-agihan kuasa kepada pekerja bawahan untuk membuat
keputusan, usaha untuk membentuk kerja yang tidak rutin atau yang menimbulkan
kebosanan, memperluaskan tanggungjawab pekerja, memperbaiki aliran
komunikasi dan maklumat di dalam organisasi dan mengenal pasti bahawa pekerja
didorong oleh kehendak-kehendak psikologi dan bukan hanya kepada wang.

2.7 GERAKAN PERLAKUAN


Di dalam 1950-an dan 1960-an, iaitu selepas kajian Hawthorne (1920-an dan awal
1930-an), ahli-ahli sains perlakuan, yang mempunyai latihan di dalam sains sosial
seperti sains politik, psikologi, sosiologi dan antropologi mula membuat
penyelidikan tentang isu-isu sumber manusia di dalam pengurusan. Hasil daripada
penyelidikan mereka itu, bidang perlakuan organisasi telah ditemui.Sebahagian
daripada kesan-kesan kajian oleh ahli sains perlakuan ini ke atas pengurusan adalah
seperti berikut :
1. Peranan pengurus lebih berorientasikan manusia.
2. Masalah pemberian insentif dan sumber motivasi telah diberi perhatian.
3. Kemahiran penyeliaan kakitangan termasuk kebolehan berkomunikasi dengan
pekerja, membentuk kefahaman tentang orang lain dan keupayaan melahirkan
perpaduan di kalangan pekerja.
4. Di dalam struktur organisasi, penekanan kepada autoriti dikurangkan.
Keseimbangan kuasa telah diberi keutamaan.
5. Daya kepimpinan autokratik yang diamalkan telah berubah kepada gaya
penyertaandan kebebasan pekerja.
2.8 PENDEKATAN KUANTITATIF (Sains Pengurusan)
Pendekatan sains pengurusan yang dikenali sebagai penyelidikan operasi di dalam
Perang Dunia II, menggunakan kaedah-kaedah dan teknik-teknik kuantitatif seperti

pemprograman linear, teori mainan (game theory), simulasi, teori kebarangkalian,


teori keputusan statistik dan teori giliran (queing theory). Kaedah dan teknik ini
digunakan untuk membuat keputusan tentang kedudukan inventori yang optimum,
alternatif lokasi tapak, pembahagian sumber dan penjujukan perancangan.

2.9 TEORI SISTEM


Teori sistem melihat sesebuah organisasi sebagai satu sistem penuh (komponen)
yang bekerjasama untuk mencapai objektif yang menyeluruh. Sistem ini
mempunyai sistem-sistem kecil yang ada pertalian di antara satu sama lain.Sistem
boleh dibahagikan kepada dua, iaitu fizikal atau abstrak. Sistem abstrak ialah
aturcara pendapat yang berkaitan atau saling bergantung secara teratur. Sistem
fizikal ialah set elemen yang sama-sama beroperasi untuk mencapai objektif.
Contoh-contoh sistem fizikal seperti sistem komputer yang mengandungi peralatan
pemprosesan dan sistem perakaunan yang mengandungi rekod-rekod, prosedur,
peralatan dan personel untuk merekodkan data dan menyediakan laporan.Model
utama sistem fizikal ialah input, proses dan output.

Input---------------Proses---------------Output

2.9.1 Sistem Terbuka dan Sistem Tertutup


Sistem terbuka menukar maklumat, bahan-bahan dan tenaga dengan persekitaran.
Sistem terbuka mempunyai bentuk dan struktur yang dapat diubahsuai atau ditukar
untuk menye-suaikannya dengan perubahan yang berlaku di dalam
persekitaran.Sistem tertutup tidak menukar maklumat, material dan tenaga dengan
persekitaran. Di dalam organisasi, sistem di dalam pemprosesan atau pembuatan
dianggap sebagai sistem tertutup kerana pemprosesan dan pembuatan
pengeluaran itu berjalan tanpa gangguan dan campur tangan pembekal, pelanggan
dan orang-orang lain yang tidak berkenaan. Chester Barnard (1866-1961 ) dan A.
Simon memberikan penekanan kepada organisasi formal dan sistem sosial.

2.10 PENDEKATAN KONTINGENSI


Pendekatan kontingensi lahir daripada pengalaman pengurus, penyelidik dan pakar
runding. Mereka mendapati bahawa kaedah, teknik dan panduan yang dicadangkan
oleh mazhab-mazhab pengurusan, iaitu klasik, perlakuan dan sains pengurusan
tidak dapat digunakan dengan konsisten pada setiap situasi. Sebagai contoh,
penggunaan pendekatan klasik telah mendatangkan prestasi yang tinggi di dalam
satu situasi, tetapi tidak berjaya di dalam situasi yang lain. Begitu juga pekerjapekerja di dalam satu kelompok dapat menerima pendekatan teori Y, tetapi pekerjapekerja di dalam kelompok yang lain tidak dapat menerimanya. Oleh kerana itu
pendekatan kontingensi mula muncul. Pendekatan kontingensi mencadangkan
bahawa keberkesanan amalan-amalan pengurusan, gaya, teknik dan fungsi itu

bergantung kepada situasi atau keadaan yang tertentu. Oleh kerana keadaan
persekitaran organisasi dan manusia di dalam organisasi itu kompleks, kita tidak
dapat menjawab dan menyelesaikan masalah dengan paling tepat dan
berkesan.Faktor-faktor penentu pendekatan kontingensi merupakan faktor-faktor
yang mem-punyai hubungan dengan persekitaran dalaman dan persekitaran luaran.
Faktor-faktor persekitaran dalaman termasuklah sumber-sumber dan had-had yang
terdapat di dalam organisasi. Faktor-faktor persekitaran luaran pula meliputi faktor
ekonomi, perundangan, sosial dan teknologi.

2.11 RUMUSAN
Ketiga-tiga mazhab klasik, perlakuan dan sains pengurusan telah memberi
sumbangan kepada pengurus untuk memahami organisasi dan menguruskannya.
Tiap-tiap mazhab telah memberikan pandangan yang berasingan tentang masalah
dan peluang-peluang serta membentuk cara-cara untuk mengatasinya. Pendekatan
sistem telah menekankan organisasi sebagai satu sistem dan mengandungi sistemsistem kecil yang bekerjasama untuk mencapai matlamat organisasi. Pendekatan
kontingensi telah menyentuh aspek situasi yang mempengaruhi keberkesanan dan
kecekapan sesuatu tindakan.Rajah 2.1 menunjukkan perkembangan teori
pengurusan yang bermula daripada mazhab klasik hingga kepada pendekatan
sistem dan pendekatan kontingensi.