Jelajahi eBook
Kategori
Jelajahi Buku audio
Kategori
Jelajahi Majalah
Kategori
Jelajahi Dokumen
Kategori
Matapelajaran Sejarah menjadi matapelajaran wajib bagi tahun 2014 apabila KSSR
diperkenalkan kepada tahap 2. Ia merupakan matapelajaran yang ditransformasikan
daripada Kajian Tempatan yang diajar dalam KBSR. Kandungan mata pelajaran
Sejarah disusun secara kronologi. Kronologi merupakan perkara yang sangat penting.
Ia merupakan penyusunan peristiwa sejarah secara teratur menurut urutan waktu.
Setiap perkara akan berkait rapat antara satu sama lain. Jika ia tidak disusun secara
kronologi, maka kekeliruan akan timbul dalam memahami sejarah yang berlaku.
Setelah sejarah disusun secara kronologi yang membincangkan pengenalan
sejarah awal negara, kedaulatan negara dan kemakmuran negara, maka murid akan
lebih senang memahami sejarah yang telah berlaku, dibincangkan dan sedang berlaku.
Dengan ini, murid dapat menghayati sejarah yang benar-benar berlaku. Pemahaman ini
dapat mewujudkan murid yang menghargai sejarah tanah air kita dan kegemilangan
negara.
Menurut DSKP, kandungan matapelajaran Sejarah peringkat sekolah rendah
bertujuan mendidik murid untuk memahami latar belakang negara dan sejarahnya
dengan melihat perubahan yang berlaku serta kesinambungan yang masih dikekalkan
terutamanya dalam kehidupan masyarakat di Malaysia.
Fokus utama matapelajaran Sejarah ialah menyemai ilmu pengetahuan dan asas
kemahiran Pemikiran Sejarah di samping penerapan semangat patriotik melalui
pengetahuan tentang masa lalu yang mempengaruhi masa kini. Murid-murid dapat
memahami dan membina sendiri kerangka kronologi tentang sesuatu peristiwa penting
dan tokoh-tokoh yang terlibat. Kandungan mata pelajaran Sejarah memberi penekanan
kepada penerapan nilai murni, semangt patriotik, elemen kewarganegaraan dan nilai
sivik.
Penerapan elemen kewarganegaraan dan nilai sivik melalui mata pelajaran sejarah
di sekolah rendah dapat melahirkan murid-murid yang bersatu padu tanpa mengira
agama dan kaum. Kehidupan masyarakat dahulu yang hidup bersama tanpa sebarang
perselisihan faham dan berjuang menentang kuasa asing bersama dapat mewujudkan
semangat kekitaan, berbangga sebagai rakyat Malaysia, setia kepada negara, dan
berbangga dengan status kewarganegaraan yang diterima.
Dengan ini, murid dapat memahami dan mengetahui sejarah pembentukan negara,
menghayati peristiwa kemerdekaan negara, memelihara warisan negara dan yang
penting sekali berusaha mengharumkan nama negara di mata dunia. Kurikulum Sejarah
sekolah rendah yang digunakan merangkumi semua aspek yang diperlukan untuk
meningkatkan penghargaan murid terhadap sejarah tanah air dan kegemilangan
negara.
Sebagai contoh, apabila murid belajar tajuk zaman air batu, murid dapat memahami
kejadian alam yang membawa perubahan. Ia dapat memupuk kesedaran memelihara
alam sekitar di samping menanam semangat jati diri dalam kalangan murid. Murid
dapat membandingkan kehidupan masa lalu dengan masa kini, di samping dapat
menghargai kehidupan masa kini.
Selain itu, zaman prasejarah menerangkan tentang zaman sebelum kewujudan
sistem tulisan. Sikap berani masyarakat zaman prasejarah yang berusaha
menyesuaikan diri dengan alam sekitar bagi meneruskan kehidupan yang mencabar.
Sikap berani, kreatif dan inovatif dalam menghadapi cabaran hidup ini patut dicontohi
oleh pelajar masa kini. Murid dapat dipupuk perasaan menghargai diri dan alam sekitar.
Tajuk Kerajaan Melayu Awal sebelum kesultanan Melayu Melaka, dapat perkenalkan
keistimewaan dan keunikan Kerajaan-Kerajaan Melayu yang dikaitkan dengan
kemashyuran jalan laut dan perdagangan. Murid dapat mengagumi kegiatan kerajaankerajaan Melayu awal seperti aktiviti berasaskan laut. Keunikan kerajaan-kerajaan
Melayu Awal seperti pusat perdagangan dan Selat Melaka sebagai jalan perdagangan
menjadi asas kegemilangan negara kita pada hari ini. Ini menyumbang kepada
penghargaan murid terhadap kemakmuran negara.
Tajuk tokoh-tokoh terbilang Kesultanan Melayu Melaka mendekatkan murid kepada
kewibawaan dan pentadbiran yang perlu dicontohi, dihormati,dan berpengaruh. Murid
dapat mengenali tokoh-tokoh terbilang yang dihormati di kalangan masyarakat Melayu
Melaka. Tokoh-tokoh ini mempunyai keistimewaan dan memberikan sumbangan
kepada kegemilangan sesebuah bangsa dan negara. Sumbangan mereka yang
dikenang sepanjang masa dapat menarik minat murid untuk berkelakuan sedemikian
pada masa akan datang. Ini dapat melahirkan seorang insan yang beretika mulia.
Keistimewaan tokoh terbilang seperti berpandangan jauh, bertanggungjawab,
mementingkan perpaduan, bijaksana, jujur dan amanah, taat setia, mahir ilmu
persilatan dan berani, akan menjadi iktibar dan contoh kepada murid-murid dalam
membina sahsiah, jati diri dan kepimpinan mereka pada masa depan. Cara hidup
masyarakat melayu pada masa lalu yang penuh dengan nilai-nilai murni yang patut
diamalkan oleh setiap insan akan melahirkan sebuah masyarakat yang beretika mulia.
Kepimpinan tokoh-tokoh seperti Parameswara, Bendahara Tun Perak dan
Laksamana Hang Tuah dapat memupuk rasa bangga dan setia kepada institusi
pemerintahan. Nilai-nilai pemerintah sebegini dapat melahirkan insan yang menghargai
sejarah tanah air dan kegemilangan negara. Nilai-nilai masyarakat terdahulu yang patut
dicontohi, dapat membantu dalam pembentukan modal insan yang seimbang dan
harmonis, berpengetahuan dan berketerampilan.
Susunan tarikh dan peristiwa mengikut turutan masa ini dapat menyemai ilmu
pengetahuan kepada murid. Turutan ini dapat menyenangkan murid memahami, dan
mengamati fakta sejarah dengan lebih baik. Murid dapat menghayati peristiwa lampau
dengan lebih berkesan jika ia disusun ikut masa. Dengan susunan ini, setiap peristiwa
yang berlaku dapat dilihat dengan jelas dan dapat dihayati sepenuhnya oleh murid.