Anda di halaman 1dari 3

Gejala buli boleh didefinisikan sebagai masalah yang meliputi kegiatan seperti memeras ugut, menghina,

mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh seseorang terhadap pemangsanya.
Memang tidak boleh dinafikan bahawa dewasa ini, kes buli yang berlaku di sekolah semakin berleluasa
dan menjadi-jadi. Hal ini telah mencapai satu tahap yang amat merimaskan dan membimbangkan
pelbagai pihak seperti pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan lain-lain lagi. Menurut kajian,
kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar terutamanya pelajar
sekolah dan institusi pengajian tinggi awam. Banyak faktor yang mendorong kepada berlakunya gejala
buli ini, bak kata pepatah Melayu Jika tidak kerana angin, masakan pokok bergoyang.
Faktor kegagalan ibu bapa melaksanakan tanggungjawab terhadap anak merupakan akar tunjang
kepada berlaku gejala negatif seperti ini. Pada era moden ini, ibu bapa hanya mementingkan profesion
dan kerjaya mereka yang bermotifkan hanya untuk mencari pendapatan sehingga mengabaikan
tanggungjawab mereka terhadap anak. Hal ini menyebabkan ,seseorang anak itu kurang mendapat
perhatian dan belaian kasih sayang daripada ibu bapa mereka. Anak juga sebenarnya tidak mengetahui
perkara yang dilakukan oleh mereka itu betul ataupun salah, baik atau buruk, akibat daripada tiada
bimbingan daripada ibu bapa, akhirnya mereka terjebak dalam gejala buli. Tambahan pula belaian kasih
sayang yang tidak cukup yang diterima daripada ibu bapa juga melahirkan anak yang bersikap agresif
dan tidak berperikemanusiaan sehingga mereka sanggup melakukan perkara yang tidak sepatutnya
terhadap orang lain tanpa mempunyai rasa belas kasihan.

Selain itu, kekurangan pengawasan dan kawalan disiplin yang longgar di sekolah juga mendorong
berlakunya gejala buli ini. Pihak sekolah yang kurang peka dan tidak mengambil peduli tentang hal ehwal
peajar serta kelonggaran kawalan disiplin memberi peluang keemasan kepada para pelajar untuk
mengambil kesempatan melakukan gejala sosial seperti gejala buli. Kelonggaran kawalan disiplin juga
menyebabkan pelajar terutamanya pelajar lelaki menunjukkan keberanian mereka dan mengambil
peluang untuk melakukan apa-apa saja perkara secara bebas tanpa rasa takut.

Kekurangan penghayatan nilai nilai moral dan agama juga menyebabkan para remaja terlibat dalam
gejala negatif seperti buli ini. Hal Ini disebabkan,seseorang pelajar yang mempunyai nilai moral dan
agama yang tinggi tidak mudah terpengaruh untuk melibatkan diri dalam gejala yang negatif. Tambahan
pula,kekurangan penghayatan nilai moral dan agama juga membentuk remaja yang kurang berakhlak
dan tidak mempunyai tahap kesedaran yang tinggi betapa pentingnya nilai moral dan agama dalam
kehidupan.
Bak kata pepatah tiada penyakit yang tiada penyembuhnya.. Terdapat banyak langkah yang efektif boleh
dijalankan bagi membendung gejala ini. Antaranya ialah ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting
dalam usaha untuk membendung kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik kepada
anak-anak mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana pada tanggapan
anak mereka, perbuatan atau tindak tanduk ibu bapa sentiasa betul dan patut diikuti. Janganlah ibu bapa

berkelakuan baik di hadapan anak-anak sahaja, sedangkan mereka juga sering mengejek, menghina
orang dan sebagainya. Bak kata pepatah bapa borek, anak rintik, seperti ketam mengajar anaknya
berjalan lurus, sedangkan dirinya berjalan senget. Tambahan lagi, di samping mengejar kesenangan
dalam kehidupan dan sibuk bekerja, ibu bapa juga seharus sentiasa mengambil perhatian tentang
keadaan anak mereka semasa di sekolah dan memberikan belaian kasih sayang yang sepenuhnya
kepada mereka supaya mereka tidak berasa sunyi dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk peribadi
anak mereka sejak kecil lagi seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Di samping itu, para pelajar juga harus berganding bahu dengan pihak sekolah dalam usaha untuk
membendung gejala ini. Para pelajar yang ternampak kes buli yang berlaku atau menjadi mangsa
pembuli harus memberanikan diri untuk membuat laporan kepada pihak sekolah dengan segera agar
masalah itu dapat diatasi dengan secepat mungkin demi kesejahteraan semua. Manakala, pihak sekolah
yang telah menerima laporan aduan daripada pelajar juga harus berusaha mengatasi masalah itu dengan
bersungguh- sungguh dan bukan sebaliknya dengan menutup kes itu dengan sesuka hati sahaja. Jika
kes ini masih tidak dibicarakan, masalah kes buli akan semakin bertambah dan berleluasa lagi. Pihak
sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki terlibat dalam kes buli dan juga ibu bapanya untuk
membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut dan mencari jalan keluarnya. Pihak sekolah
harus mengenakan hukuman yang setimpal kepada pelajar tersebut agar dia tidak mengulangi perbuatan
itu lagi dan juga dijadikan sebagai iktibar kepada pelajar yang lain. Disiplin dan peraturan sekolah juga
perlu diketatkan dan ditekankan kepada para pelajar supaya para pelajar mengikuti etika peraturan
sekolah dan tidak membuat kesalahan seperti penglibatan dalam gejala buli.
Seterusnya, pihak kerajaan juga harus memainkan peranan aktif dalam membendung gejala ini.
Kementerian Pendidikan dan juga pihak sekolah harus mengambil berat isu kes buli ini. Pendidikan
Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya perlu diperkasakan. Melalui pendidikan ini,para pelajar mulai
sedar akan baik buruk buli serta menjauhi gejala yang negatif itu. Kerajaan juga perlu bergabung dengan
agensi- agensi tertentu untuk mengadakan kempen kesedaran dan ceramah kesedaran tentang gejala
buli. Melalui cara ini, remaja dapat mempelajari kesan sampingan yang diperoleh daripada melakukan
gejala membuli dan berupaya untuk tidak melakukan perbuatan ini terhadap orang lain. Contohya,
kempen ANTI BULI yang dijalankan di pekan Marang telah mendapat sambutan mengalakkan dan lebih
kurang 70% kes buli dapat dikurangkan di sekitar kawasan tersebut setelah kempen tersebut dijalankan.
Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan satu bangsa
yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan sahaja. Hasrat negara kita

yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin semata-matanya.
Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting dan akan menerajui negara ini pada
masa depan. Bak kata peribahasa Melayu pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Oleh hal itu,
semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes buli ini
walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak duri ini. Semoga berkat daya
usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjulang nama negara dan
mengangkat martabat bangsa di persada dunia.

Anda mungkin juga menyukai