Anda di halaman 1dari 3

Bekalan makanan negara berkurangan?

Rakyat Malaysia perlu siap siaga dengan meningkatkan pengeluaran


Utusan Malaysia 31 Ogos 2015 9:32 PM
Makanan merupakan satu keperluan hidup yang perlu dipenuhi alam apa jua status
ekonomi.
Mahu atau tidak, seorang manusia perlu makan sekurang-kurangnya tiga kali sehari bagi
menampung keperluan tenaga seharian.
Namun, dalam situasi populasi dunia semakin bertambah, keadaan cuaca yang tidak
menentu, adakah Malaysia bersedia menghadapi pelbagai bentuk ancaman seperti
sekuriti makanan.Berdasarkan rekod penduduk dunia kini mencecah tujuh bilion.
Mengikut definisi yang dipetik daripada Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO),
Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB), sekuriti makanan akan wujud apabila setiap
manusia pada setiap masa memiliki akses fizikal dan ekonomi untuk mendapatkan
makanan yang cukup, selamat dan berkhasiat bagi memenuhi keperluan diet dan cita
rasa mereka supaya dapat hidup aktif dan sihat.
Ringkasnya unsur utama sekuriti makanan ialah kecukupan, kebolehdapatan,
keselamatan, berkhasiat dan mampu beli.
Dalam konteks negara kita, objektif sekuriti makanan akan tercapai melalui peningkatan
produktiviti dan kapasiti pengeluaran hasil pertanian.
Menurut bekas Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia
(MARDI), Datuk Dr. Abdul Shukor Abd. Rahman, Malaysia pernah mengalami krisis
makanan pada tahun 2008, namun hal demikian tidak berlaku secara berterusan dan
dalam jangka masa yang lama.
Perkara itu terjadi ekoran kekurangan makanan tertentu berlaku ketika musim perayaan
disebabkan permintaan yang tinggi melebihi daripada biasa atau semasa cuaca yang
tidak menentu yang menyebabkan kerosakan kepada tanaman.
Situasi sekuriti makanan di negara kita tidak segenting berbanding dengan negara
seperti di Afrika atau Asia Selatan.
Di negara tersebut, selain faktor perubahan cuaca, kekurangan infrastruktur
perladangan dan sokongan input pertanian turut menyumbang kepada pengurangan
produktiviti dan menjejaskan sekuriti makanan, katanya.
Namun, pelbagai andaian serta spekulasi tentang punca kemerosotan makanan utama
seperti padi seolah-olah memperlihatkan Malaysia bukanlah sebuah negara kuat. Ini
kerana sesebuah negara yang disifatkan kuat perlu memiliki sumber makanan yang
mencukupi.
Tambahnya, dalam usaha kerajaan mentransformasikan ekonomi negara beberapa
perubahan dasar telah dilaksanakan daripada ekonomi yang berpandukan komoditi
pertanian kepada ekonomi yang berorientasikan pembuatan dan perkhidmatan.
Perubahan tersebut tidak bermakna industri pertanian diabaikan. Malah ia diperkukuhkan
melalui pelbagai inisiatif yang digariskan dalam Dasar Agro Makanan Negara (20112020) dan Dasar Pertanian Negara sebelum itu.
Berdasarkan kepada Dasar Agro Makanan Negara, penggunaan per kapita beras bagi
penduduk Malaysia menunjukkan trend yang menurun daripada 79.6 kilogram (kg) pada
2010 dan dianggarkan menurun kepada ke 78.4kg pada 2015 dan 77 kg pada 2020.
Ini menunjukkan penduduk negara ini semakin kurang mengambil beras sebagai sumber
kalori dan menggantikannya dengan makanan berasaskan gandum dan sebagainya.
Trend itu jelas dengan peningkatan taraf hidup dan pendapatan apabila pengguna
mempunyai pelbagai pilihan untuk memenuhi keperluan nutrisi mereka.
Walaubagaimanapun katanya, produktiviti pengeluaran padi menunjukkan trend yang
meningkat daripada 3.9 tan sehektar pada 2005 kepada empat tan sehektar pada 2010
dan dijangka terus meningkat kepada lima tan sehektar pada 2020.
Malah, di beberapa kawasan jelapang padi, peningkatan produktiviti sebanyak 5.5 tan
sehektar berjaya dicapai.
Ini menunjukkan bahawa pengeluaran padi akan terus dipertingkatkan bagi menampung
keperluan penduduk yang semakin bertambah.

Beliau mengakui negara ini pernah mengalami krisis makanan yang serius pada 2008
sekali gus memberi kesan negatif kepada sekuriti makanan.
Ketika itu, katanya, krisis makanan juga berlaku di peringkat global dan pada masa itu
juga, harga barang makanan meningkat antara 50 peratus hingga 200 peratus.
Namun usaha kerajaan memperkenalkan Dasar Sekuriti Makanan Negara pada 2008
telah berjaya mengatasi masalah tersebut melalui peningkatan produktiviti pertanian,
khususnya padi, bekalan bahan makanan yang cukup dan selamat kepada pengguna dan
memastikan pengeluar terdiri daripada petani, penternak dan nelayan memperoleh
pendapatan yang mencukupi.
Antara projek yang telah memberi kesan bagi mengatasi masalah itu ialah Taman Kekal
Pengeluaran Makanan (TKPM), Ladang Kontrak, Zon Industi Akuakultur (ZIA),
pembangunan kawasan terbiar, pengurusan stok penimbal beras yang cekap dan
memperkukuhkan jaringan pemasaran.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Putra
Malaysia (UPM), Prof. Datuk Dr. Mad Nasir Shamsudin berkata, Malaysia mempunyai
bekalan makanan apabila individu, isi rumah atau semua rakyatnya boleh mendapat
makanan yang cukup, selamat dan berkhasiat untuk hidup sihat dan aktif.
Ini bermaksud secara keseluruhanya, negara kita tidak mempunyai masalah daripada
segi bekalan makanan dalam aspek dimensi kedapatan makanan.
Jelasnya, Malaysia, walaupun mempunyai kecukupan makanan termasuk hasil dari
tanaman, ternakan dan perikanan, tetapi masih lagi menjadi pengimport bersih
makanan.
Walaupun kita telah mencapai kadar sara diri untuk perikanan yang melebihi 100
peratus, tetapi kebanyakannya adalah hasil dari tangkapan ikan yang berkemungkinan
tidak mapan sementara pengeluaran ikan daripada akuakultur perlu diperluas dan
ditambah untuk menjamin bekalan yang mencukupi pada masa akan datang, jelasnya.
Salah satu faktor yang mempengaruhi kekurangan bahan makanan ialah kos
pengeluaran yang tinggi.
Menurut Abdul Shukor, produktiviti sektor pertanian banyak bergantung kepada
penggunaan input pertanian seperti baja dan racun serangga yang mencukupi.
Sejak kebelakangan ini, kos input pertanian khususnya baja dan racun serangga telah
meningkat dan memberi kesan negatif kepada kecekapan pengeluaran dari segi input
pertanian yang diimport dari luar negara.
Selain itu kekurangan buruh dan kosnya yang tinggi juga merupakan penyumbang utama
kepada pengeluaran bahan makanan secara lestari.
Aktiviti pertanian masih memerlukan tenaga kerja manual yang kebanyakannya
diperoleh dari negara luar.
Sektor pertanian terpaksa bersaing dengan sektor lain dalam penggunaan tenaga buruh
seperti dalam industri pembuatan dan perkhidmatan yang lebih diminati oleh pekerja.
Keadaan cuaca yang tidak menentu dan sering berubah memberi impak yang besar
kepada produktiviti pengeluaran tanaman, ternakan dan perikanan.
Cuaca ekstrem yang panas melampau atau banjir besar boleh menyebabkan kerosakan
tinggi yang menjejaskan bekalan bahan makanan untuk kegunaan tempatan.
Fenomena perubahan cuaca itu berlaku di peringkat global dan memerlukan
pendekatan bersama bagi mewujudkan kaedah adaptasi atau mitigasi bagi mengatasi
kesan negatifnya, katanya.
Sementara kekurangan kawasan pengeluaran yang sesuai untuk aktiviti pertanian
semakin ketara turut menjadi penyumbang kepada faktor pengeluaran makanan. Ini
disebabkan oleh pelbagai faktor antaranya termasuklah kawasan pertanian telah diambil
untuk memberi laluan kepada pembangunan infrastruktur dan pembukaan kawasan
kediaman dan premis perniagaan.
Oleh itu, pengeluaran bahan makanan terpaksa berpindah di kawasan yang tidak begitu
sesuai atau kurang produktif sekali gus melibatkan kos yang tinggi diperlukan untuk
membina semula infrastruktur pertanian seperti sistem pengairan, pengangkutan dan
sebagainya yang akan meningkatkan kos pengeluaran.
Kerosakan dan kehilangan lepas tuai bagi hasilan pertanian juga menyumbang kepada
kekurangan bahan makanan.

Kajian yang dijalankan MARDI menunjukkan kehilangan lepas tuai bagi padi boleh
mencapai 20 peratus manakala bagi buah-buahan dan sayur sayuran segar pula adalah
di antara 20 hingga 50 peratus.
Ini disebabkan oleh pengendalian yang tidak teratur dan sistematik yang hasilnya mudah
terdedah kepada kerosakan mekanikal atau pencemaran penyakit semasa pengendalian
daripada penuaian hingga ke peringkat penggunaan.
Mengakui tidak pasti akan tahap kesedaran orang ramai berhubung isu ini, Prof. Dr Mad
Nasir Shamsuddin memberitahu, masalah tersebut perlu kebimbangan orang ramai
memandangkan ia berkait rapat dengan pendapatan mereka.
Pendapatan mereka akan terjejas jika harga makanan naik secara mendadak.
Makanan adalah komponen tertinggi dalam Indek Harga Pengguna (IHP) sebanyak 30.3
peratus.
Sejak tahun 2008, secara keseluruhannya, harga makanan telah naik lebih tinggi
berbanding harga barangan dan perkhidmatan.
Sebagai contoh, pada Januari lalu, indeks harga makanan naik 2.8 peratus manakala
indeks bukan makanan naik 0.2 peratus berbanding dengan bulan sama pada 2014.
Ini kerana kenaikan harga barang juga memainkan peranan kepada sekuriti makanan
terutamanya yang diimport.
Sekiranya negara cukup kedapatan makanan sama ada melalui pengeluaran sendiri
atau import, tetapi segolongan rakyat tidak mampu membelinya, maka kita mengalami
krisis makanan daripada segi kebolehcapaian mereka untuk membeli atau mendapatkan
makanan yang cukup untuk hidup sihat, ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, isu membabitkan sekuriti makanan boleh diatasi dengan
mengambil kira keempat-empat dimensinya iaitu kedapatan, kebolehcapaian,
penggunaan dan kesetabilan.
Bukan itu sahaja, malah turut memerlukan strategi daripada aspek pengeluaran,
penggunaan, jaringan keselamatan dan perkhidmatan alam sekitar.
Mengenai pengeluaran makanan, negara memerlukan pelaburan yang lebih besar dalam
penyelidikan dan pengembangan R&D) untuk meningkat produktiviti.
Selain itu, ia memerlukan usahawan tani yang boleh mengusahakan pengeluaran
makanan secara komersial dan berteknologi tinggi.
Kepesatan pembangunan Malaysia juga penyebab penduduk bandar meningkat kepada
71 peratus pada tahun 2010 dibandingkan dengan 62 peratus dalam tahun 2000 dan
dianggarkan akan terus meningkat kepada 75 peratus dalam tahun 2020.
Penduduk bandar akan menghadapi pelbagai cabaran besar termasuk kenaikan harga
makanan dan ini akan mengakibatkan peningkatan kos sosial dan ekonomi.
Dalam situasi begini, golongan miskin bandar akan terdedah kepada kesulitan untuk
mendapatkan makanan yang cukup dan berzat ekoran daripada kuasa membeli yang
rendah dan peningkatan harga makanan.
Pertanian bandar adalah satu inisiatif yang boleh dilakukan bagi meningkatkan
kecapaian, kecukupan dan kualiti makanan dalam kalangan penduduk bandar yang juga
boleh menjadi punca sumber pendapatan, menyediakan ruang hijau dan
menyumbangkan kepada pembangunan masyarakat yang sejahtera.
Dalam masa yang sama, pertanian bandar juga boleh membantu mengurangkan
kepanasan bandar, mengimbangi ekosistem dan sumber semula jadi.
Dari segi penggunaan pula, negara perlu mempromosi pemprosesan lepas tuai ,
pemasaran dan penggunaan yang efisien.
Data dari negara ASEAN menunjukkan bahawa kehilangan lepas tuai untuk hasil
pertanian adalah dalam lingkungan 10 hingga 30 peratus.
Pemasaran yang cekap dapat mengurangkan kos barang makanan dan ini dapat
meningkatkan kecapaian sekuriti makanan negara.
Program jaringan keselamatan juga perlu disemarakkan untuk menangani kos sara
hidup.
Latihan yang ada sekarang yang dapat meningkatkan keupayaan kemahiran perlu
diteruskan dan mesti ditujukan kepada mereka yang memerlukan.
Satu perkara yang kita sering lupa adalah pertanian bukan sahaja pembekal bahan
makanan, tetapi ia juga mempunyai berbagai fungsi termasuk memelihara alam sekitar.
Justeru, pengeluar bahan makanan perlu diberi insentif dari segi pulangan, bukan sahaja
pengeluarnya, tetapi juga dari sumbangan kepada pemuliharaan alam sekitar, katanya.