Anda di halaman 1dari 5

Sejarah Johor sudah pun bermula pada tahun 800 sebagai suatu petempat perdagangan yang

penting. Semasa abad ke-14, kawasan itu menjadi wilayah tanggungan Empayar Majapahit
sehingga pemerintahan Kesultanan Melaka (1400-1511) yang mana negeri Johor menjadi pula
salah sebuah jajahan pemerintahannya. Pada tahun 1511, Melaka dikuasai oleh pihak Portugis
dan Sultan Mahmud Shah, Sultan Melaka ketika itu, melarikan diri ke Pahang dan kemudiannya
ke Bentan di Johor.

Senarai kandungan
[lipat]

1 Kejatuhan Sultan Mahmud Shah


2 Perang Tiga Segi

3 Belanda dan Melaka

4 Perang Johor-Jambi

5 Pengaruh Bugis

6 Singapura dan British

7 Wangsa Bendahara

8 Malaysia dan Johor

9 Garis masa

10 Lihat juga

[sunting] Kejatuhan Sultan Mahmud Shah


Di Bentan, Sultan Mahmud Shah mengumpulkan semula semua askarnya dan menyerang
Melaka beberapa kali dan membuat sekatan perdagangan. Portugis merana kerana banyak
serangan dilakukan oleh Sultan Mahmud Shah. Beberapa percubaan untuk menewaskan askaraskar Sultan Mahmud Shah dilakukan. Akhirnya, pada tahun 1526, seangkatan kapal yang besar
di bawah Pedro Mascarenhaas dihantar oleh negeri Portugal untuk memusnahkan bandar Bentan.
Sultan Mahmud terpaksa melarikan diri melintasi Selat Melaka ke Kampar, Sumatra di mana
beliau mangkat. Baginda meninggalkan dua orang putera iaitu Tengku Muzaffar Shah dan
Tengku Alauddin Riayat Shah.
Muzaffar Shah seterusnya menjadi Sultan Perak manakala Alauddin Riayat Shah menjadi sultan
Johor yang pertama. Kesultanan Johor juga dikenali sebagai "Kesultanan Johor-Riau-Lingga".

[sunting] Perang Tiga Segi

Sultan Alauddin Riayat Shah menubuhkan sebuah kota di Johor Lama yang terletaknya di tebing
Sungai Johor dan dari situ terus melancarkan serangan ke atas kedudukan Portugis di Melaka.
Baginda senantiasa bekerjasama dengan saudaranya di Perak dan juga dengan Sultan Pahang
untuk menawan semula Melaka (pada ketika itu kota A Famosa telah dibina).
Di sebelah utara Sumatera pula pada masa yang sama, Aceh mula mengembangkan pengaruhnya
untuk menguasai Selat Melaka. Selepas kejatuhan Melaka kepada Portugis yang beragama
Kristian, pedagang-pedagang Muslim mula menjauhkan diri daripada Melaka dan singgah di
Aceh. Melihat keadaan itu Portugis merasa tercabar kerana hasil perdagangannya semakin
kurang.
Portugis dan Johor sentiasa berperang menyebabkan Aceh melancarkan serangan ke atas keduadua belah pihak. Kebangkitan Aceh di Selat Melaka mengakibatkan Johor dan Portugis berdamai
dan bekerjasama melemahkan Aceh. Tetapi selepas Aceh menjadi lemah, Johor dan Portugis
kembali berperang.

[sunting] Belanda dan Melaka


Pada abad ke-17, Belanda tiba di Asia Tenggara. Belanda bukanlah sekutu atau kawan Portugis
dan ini menyebabkan Belanda bersekutu dengan Johor untuk memerangi Portugis di Melaka.
Akhirnya pada tahun 1641, Belanda dan Johor berjaya menewaskan Portugis. Melaka
kemudiannya menjadi milik Belanda sehinggalah Perjanjian Inggeris-Belanda 1824
ditandatangani.

[sunting] Perang Johor-Jambi


Semasa Perang Tiga Segi, Jambi yang berada di bawah kekuasaan Johor menjadi tumpuan
ekonomi dan politik. Pada tahun 1666, Jambi cuba membebaskan diri daripada kekuasaan Johor
dan di antara tahun 1666 hingga tahun 1673 terjadilah peperangan di antara Johor dan Jambi. Ibu
kota Johor iaitu Batu Sawar dimusnahkan oleh angkatan Jambi. Hal ini menyebabkan ibu kota
Johor sentiasa berpindah-randah.
Sepanjang perang itu Jambi yang sentiasa mendapat keuntungan. Tetapi pada tahun 1679,
Laksamana Tun Abdul Jalil mengupah askar upahan Bugis untuk bersama-sama dengan tentera
Johor menentang Jambi. Tidak lama kemudian Jambi pun tewas.

Krisis antara Johor dan Jambi bermula apabila kedua-dua pihak berselisih faham mengenai
perebutan kawasan yang bernama Tungkal. Pada masa ini Johor diperintah oleh Sultan Abdul
Jalil Riayat Syah III dan peranan pentadbiran lebih banyak dimainkan oleh Raja Muda. Dalam
usaha untuk mendapatkan semula Tungkal dari tangan orang Jambi, orang Johor telah menghasut
penduduk Tungkal untuk memberontak. Hal ini menimbulkan kemarahan Pemerintah Jambi.
Namun kekuatan ketenteraan Johor yang disegani pemerintah Jambi pada waktu itu
menyebabkan Jambi memilih untuk berdamai. Ketegangan antara Johor dan Jambi telah dapat

diredakan menerusi perkahwinan antara Raja Muda Johor dengan Puteri Sultan Jambi pada tahun
1659.
Namun persengketaan antara Johor dan Jambi kembali meletus berpunca daripada tindakan
kedua-dua pihak yang saling menghina kedaulatan kerajaan masing-masing. Johor telah
memulakan episod perperangan dengan Jambi apabila menghantar 7 buah kapal untuk
menyerang perkampungan nelayan Jambi pada bulan Mei 1667. Kegiatan perdagangan semakin
merosot akibat perperangan yang berlaku kerana tiada jaminan keselamatan kepada pedagang
untuk menjalankan urusniaga di kawasan bergolak ini. Hal ini menyebabkan kerugian ekonomi
kepada Johor. Kemuncak peristiwa perperangan ini berlaku apabila Pengeran Dipati Anum
mengetuai sebuah angkatan perang untuk menyerang dan memusnahkan Johor secara mengejut
pada 4 April 1673. Serangan ini telah melumpuhkan sistem pentadbiran kerajaan Johor. Dalam
usaha menyelamatkan diri, Raja Muda bersama seluruh penduduk Johor telah lari bersembunyi
di dalam hutan. Bendahara Johor telah ditawan dan dibawa pulang ke Jambi.
Sultan Abdul Jalil Syah III pula melarikan diri ke Pahang. Baginda akhirnya meninggal dunia di
sana pada 22 November 1677. Perperangan yang menyebabkan kekalahan kerajaan Johor ini
telah mengakibatkan kerugian yang besar kepada Johor kerana Jambi telah bertindak merampas
semua barang berharga milik kerajaan Johor termasuk 4 tan emas, sebilangan besar senjata api
yang merupakan simbol kemegahan dan kekuatan Johor. Kehilangan senjata api dan tentera yang
ramai menyebabkan kerajaan Johor tidak berupaya berbuat apa-apa secara tidak langsung
menyebabkan kerajaan Johor runtuh.

[sunting] Pengaruh Bugis


Sultan Mahmud Shah II mangkat pada tahun 1699 tanpa meninggalkan sebarang waris.
Melihatkan keadaan itu, Bendahara Abdul Jalil melantik dirinya sebagai sultan baru dengan
digelar Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV. Tetapi timbul perasaan tidak puas hati di kalangan
pembesar-pembesar lain di atas perlantikan itu.
Orang Bugis yang memainkan peranan penting sewaktu Perang Johor-Jambi mempunyai
pengaruh yang kuat di Johor. Selain daripada orang Bugis, orang Minangkabau juga mempunyai
pengaruh yang kuat. Orang Bugis dan Minangkabau percaya dengan kematian Sultan Mahmud
II, mereka dapat mengembangkan pengaruh mereka di Johor. Di kalangan orang Minangkabau
terdapat seorang putera dari Siak iaitu Raja Kecil yang mengaku dirinya sebagai waris tunggal
Sultan Mahmud II. Raja Kecil menjanjikan kepada orang Bugis bahawa sekiranya mereka
menolongnya menaiki takhta dia akan melantik ketua orang-orang Bugis sebagai Yam Tuan
Muda Johor.Pada masa itu orang-orang Bugis telah memberikan alasan untuk pergi ke Selangor
bagi mengumpul orang-orangnya sebelum melancarkan serangan. Walau bagaimanapun Raja
Kecil telah melancarkan serangan terlebih dahulu setelah terlalu lama menunggu kedatangan
orang-orang Bugis. setelah Raja Kecil berjaya menduduki tahta Johor orang-orang Bugis telah
datang menuntut janji untuk dilantik sebagai Yam Tuan Muda. Permintaan ini telah tidak
diperkenankan oleh Raja Kecil kerana orang-orang Bugis tadi telah tidak memberikan bantuan
sebagaimana yang diminta oleh Raja Kecil.

Tidak puas hati dengan perlantikan Raja Kecil, bekas Bendahara Abdul Jalil meminta Daeng
Parani ketua orang Bugis untuk menolongnya mendapatkan semula takhta.Permintaan ini telah
dipersetujui oleh orang-orang Bugis kerana mereka juga kecewa kerana tidak dapat menuntut
jawatan Yam Tuan Muda. Pada tahun 1722, Raja Kecil terpaksa meletakkan takhta kerana
pengaruh Bugis. Anak Bendahara Abdul Jalil kemudiannya dilantik menjadi sultan dengan
gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Tetapi Sultan Sulaiman hanyalah seorang sultan
tetapi tidak mempunyai kuasa kerana Daeng Merewah, daripada orang Bugis yang memegang
kuasa sebagai Yamtuan Muda.

[sunting] Singapura dan British


Pada 1818, Sir Stamford Raffles dilantik menjadi gabenor di Bengkulu, Sumatera. Dia percaya
bahawa British perlu menubuhkan sebuah penempatan yang baru di Asia Tenggara sekiranya
mereka ingin bersaing dengan Belanda. Walaupun banyak bantahan diterima dalam Syarikat
Hindia Timur Inggeris tetapi Gabenor British di India menyebelahinya. Dengan persetujuan
gabenor, beliau memulakan ekspedisi mencari penempatan baru.
Raffles tiba di Singapura pada 29 Januari 1819. Dia menjumpai sebuah perkampungan Melayu
kecil di muara Sungai Singapura yang diketuai oleh seorang Temenggung Johor. Pulau itu
ditadbir oleh Kesultanan Johor tetapi keadaan politiknya tidak stabil. Waris Sultan Johor, Tengku
Abdul Rahman dikuasai oleh Belanda dan Bugis. Raffles kemudiannya mengetahui bahawa
Tengku Abdul Rahman menjadi sultan hanya kerana abang sulungnya, Tengku Hussein tidak ada
semasa ayahnya meninggal dunia. Mengikut adat Melayu, bakal sultan perlu berada disisi sultan
sekiranya ingin dilantik menjadi sultan.
Sedar bahawa dia boleh memanipulasikan keadaan ini, Raffles telah menyokong Tengku Hussein
untuk menjadi Sultan sekiranya Tengku Hussein sanggup membenarkan British membuka
pelabuhan di Singapura dan sebagai balasan British akan membayar wang tahunan kepada
Tengku Hussein. Perjanjian ini menjadi sah pada 6 Februari 1819.
Dengan bantuan Temenggung, Raffles berjaya menyeludup Tengku Hussein yang ketika itu
tinggal di Riau kembali ke Johor.
Belanda berasa amat tidak puas hati dengan keadaan ini tetapi dengan termeterainya Perjanjian
Inggeris-Belanda 1824, Belanda mengakui Singapura menjadi milik British. Perjanjian ini
menyebabkan Kesultanan Johor terbahagi kepada dua iaitu Johor moden dan Kesultanan Riau
yang baru.
Di dalam Johor yang baru, walaupun Tengku Hussein ialah sultan tetapi Temenggung yang
menguasai Johor. Bugis pula menguasai Riau.

[sunting] Wangsa Bendahara


Pada tahun 1855, di bawah perjanjian di antara British di Singapura dan Sultan Ali dari Johor,
kuasa memerintah Johor diserahkan kepada Raja Temenggung Tun Daeng Ibrahim dengan Muar
masih lagi di bawah kekuasaan sultan. Muar kemudiannya diserahkan kepada Temenggung

Ibrahim pada tahun 1877. Temenggung Ibrahim membuka sebuah bandar iaitu Bandar Tanjung
Puteri di selatan Johor dan menjadikannya sebagai sebuah bandar utama. Bandar Tanjung Puteri
kemudiannya dikenali sebagai Johor Bahru.
Temenggung Ibrahim kemudiannya digantikan oleh anaknya, Temenggung Abu Bakar yang
kemudiannya memegang gelaran Seri Maharaja Johor. Pada tahun 1866, dia dilantik menjadi
sultan Johor secara rasmi. Sultan Abu Bakar Daeng Ibrahim memperkenalkan sebuah
perlembagaan dan menubuhkan sebuah sistem pentadbiran yang cekap dan berkesan. Baginda
juga memerintahkan dibinanya Istana Besar, tempat tinggal rasmi sultan. Sultan Abu Bakar
kemudiannya dikenali sebagai Bapa Johor Moden.
Johor juga menikmati pembangunan ekonomi yang cemerlang. Permintaan lada hitam dan
gambir yang tinggi pada kurun ke-19 menyebabkan pembukaan ladang-ladang baru dan
kemasukan buruh Cina secara beramai-ramai. Sistem Kangchu dilaksanakan.
Pada tahun 1914, Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar terpaksa menerima seorang Residen
British.

[sunting] Malaysia dan Johor


Perang Dunia II meletus pada tahun 1939. British yang bertanggungjawab dalam aspek
pertahanan Johor dikalahkan dengan mudah oleh tentera Jepun. Jepun menduduki Johor dari
tahun 1941 hingga tahun 1945.
Selepas tamatnya peperangan, British kembali ke Johor dan pada tahun 1946, Johor menjadi
sebahagian daripada Malayan Union. Nasionalisme Melayu yang diketuai oleh Dato' Onn Jaafar
daripada UMNO menyebabkan Malayan Union dibatalkan dan digantikan dengan Persekutuan
Tanah Melayu. Tanah Melayu kemudiannya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan
kemudiannya pada tahun 1963, Johor adalah salah satu daripada 14 buah negeri yang menyertai
Malaysia.
http://ms.wikipedia.org/wiki/Sejarah_Johor

Anda mungkin juga menyukai