Anda di halaman 1dari 9

Cerpen Rahsia Hatimu : Dewan Siswa

Mac 2007
RAHSIA HATIMU
OLEH : AINUNL MUAIYANAH MUHAMMAD SULAIMAN
DEWAN SISWA MAC 07
Jangan datang dalam hidup ini jika sekadar mahu mengulang kenangan lama dan
menambahkan luka yang sedia ada.
Aku mengulang ayat itu beberapa kali dalam hati ini. Ingin aku laungkan dan
jeritkan di telinganya agar kata-kata ini bersemi untuk kesekian kalinya. Malangnya
nasihat bonda teguh menghalang. Nasihat bonda menjadi tembok yang begitu teguh dan
payah untuk aku runtuhkan kerana aku tidak pernah di ajar untuk menjadi anak
derhaka.
Anak ayah sihat?.
Aku sekadar membalas soalannya dengan senyuman yang hambar yang cuba aku
gulakan. Aku punya nama. Nama yang indah yang dipilih olehmu. Mengapa sekadar
membahasakan diri anak ayah. Mengapa tidak memanggil nama itu?. Tak perlu hendak
hebohkan di sini aku anakmu kerana semua orang tahu kenyataan itu. Bentak hati
kecilku lagi.
Mengapa. Anak ayah tak suka ayah datang?
Sekali lagi panggilan itu memualkanku. Menyesakkan ruang nafasku dengan
sebu. Tolonglah panggil namaku, bukannya anak ayah. Aku benci sungguh.
Safi mataku hampir berkaca apabila bonda menegurku. Bonda mengapa
harus dibela lelaki ini lagi?. Dari kecil hingga aku dewasa tidak pernah aku mendengar
yang buruk-buruk tentang lelaki di hadapanku ini. Lelaki yang malu untuk aku panggil
ayah sekalipun. Segalanya yang baik-baik belaka. Sedangkan hati bonda telah hancur
luluh dengan kelakuannya. Itu kata hatiku

Maaf ya. Mungkin Safi letih. Maklumlah orang kuat sekolah kan. bonda
mengusikku tetapi mata bening bonda tidak boleh menyembunyikan hakikat. Bonda
marah benar dan tersinggung dengan kelakuanku. Itu aku tahu.
Bonda mengertilah aku bukan pelakon yang hebat. Aku tidak pandai bermukamuka di hadapan orang yang aku tak suka. Yang lebih tepat lagi yang aku benci sekian
lama.
Bonda tidak pernah mengajar anak bonda untuk kurang ajar dengan sesiapa.
Sebaris kata bonda biarpun dalam nada mendatar itu cukup mengesan di hatiku.
Kata-kata bonda biarpun seakan berbisik pada diri sendiri tetapi aku tahu kata-kata
untuk aku. Siapa lagi anak bonda kecuali aku. Aku yang bernama Safi Mawaddah.
Aku seakan ingin menghamburkan air mata yang cuba aku tahan derasnya. Aku
yang tabah dan sukar menumpahkan titisan keramat ini benar-benar tersentuh dengan
kata-kata bonda kerana dalam dunia ini hanya bonda yang aku sayang serta aku
hormati. Senada katanya bisa menghiris ketabahan ini dan mengalirkan kelukaan dan air
mata.
Ayah pulang ke Kuala Lumpur usai menghantar aku dan bonda ke rumah.
Sepanjang yang aku tahu, bonda tidak pernah mempelawa ayah melangkah masuk ke
dalam rumah dan ayah pula seakan tahu batas adabnya. Ayah tidak pernah melangkah
kaki ke kawasan rumah kami. Garis sempadan ayah hanya di pintu pagar sahaja.
Sememangnya seharusnya begitu, jerit hatiku dan tentunya tidak pernah aku luahkan di
hadapan bonda.
Safi, aduh bonda, jangan memanggil aku dengan nada begitu. Nada itu
bersifat ingin mengajar aku. Aku sudah menjadi anak bonda hampir 17 tahun. Aku juga
bijak membaca nada suaramu, bonda.
Aku merenung wajah hening bonda.
Safi, biar apa pun yang terjadi, dia tetap ayah Safi. Safi berbintikan namanya
dan dia jugalah yang akan mewalikan Safi suatu hari nanti. Bonda harap Safi mengerti
maksud kata-kata bonda. Safi sudah cukup dewasa untuk memahaminya.
Maka Safi juga sudah cukup dewasa untuk mengetahui mengapa agaknya kasih
Bonda pada ayah tidak pernah berkalih. Ayah sudah ada hidupnya sendiri. Tetapi

bonda, bonda tunak merenungku sehingga mematikan semarak semangatku untuk


bertanya. Aku menekur bisu kembali. Aku tahu aku sudah melampau batas adabku.
Bonda bangun perlahan-lahan dari sofa. Memandangku sejenak. Kemudian berlalu pergi
ke dalam biliknya. Aku terus diterpa salah.
Bonda kembali padaku dan menyerahkan sebungkus hadiah yang dibalut kemas.
Hadiah dari ayah. Itu sahaja kata bonda padaku. Hanya sebaris kata dan
langsung masuk ke biliknya. Kemudian aku terdengar sayup-sayup lagu kegemaran
bonda. Lagu klasik itu biarpun hanya serangkap cuma tetapi benar-benar menusuk
kalbu.
Lagu itu hanya berkumandang apabila bonda sedang berwalang hati. Aku
menyeka air mata yang mengalir dipipiku. Air mata yang menjadi saksi kekesalan aku
meruntun sedih bonda.
Tudung periuk pandai menari
Menari lagu putera mahkota
Kain buruk berikan kami
Buat menyapu si air mata
Bait lagu itu menguasai suasana petang yang hening ini. Aku membuka
bungkusan hadiah dari orang yang aku benci sekian lama.
Untuk anak ayah
(Yang dewasa tanpa ayah dapat melihatnya)
Selamat hari lahir anakku..
ayahmu
Ucapan ayah yang ringkas itu aku tenung dalam sebak. Hadiah ayah adalah
telefon bimbit Nokia dari model yang terbaru. Handphone ini memang aku suka benar
namun bukan berniat untuk memilikinya kerana aku tidak mahu menyusahkan bonda.
Aku sekadar menyatakan kesukaanku tanpa niat apa-apa

Itulah ayah yang tidak pernah membiarkan aku hampa. Ada sahaja hadiahnya
untukku. Apa sahaja yang aku inginkan pantas sahaja ayah tunaikan. Mungkin kerana
dia tidak disampingku untuk melihat aku dewasa (seperti yang tertulis dalam
ucapannya) maka dia tidak banyak soal untuk memberi aku apa-apa. Tetapi sayangnya
kebencianku yang menjadi nanah ini telah menutup kebaikannya.
Masakan aku boleh lupakan peristiwa itu. Ketika itu aku kecil lagi. Masih di
sekolah rendah. Suatu hari bonda menyuruh aku bersiap cepat.
Kita akan ke rumah nenek
Rumah nenek?. Aku jadi pelik metah. Kami tidak pernah ke rumah nenek
sepanjang aku hidup di dunia ini. Sehingga aku menyangka dalam hidupku hanya bonda
dan ayah sahaja.
Ayah diam sahaja apabila bonda kata kami akan ke rumah nenek. Ayah sakit
itulah jawapan bonda kepadaku sekiranya aku bertanya mengapa ayah diam sahaja
apabila aku cuba untuk bercakap dengannya.
Ayah sudah lama jatuh sakit. Sakit ayah pelik dan tidak kebah. Ayah hanya
baring di atas katil seperti mayat hidup. Bondalah yang bersusah payah melayan
kerenah ayah. Aku tidak berani untuk bermesra dengan ayah seperti selalu lantaran
amaran bonda.
Apabila sampai di rumah nenek, kedatangan kami di sambut dingin sahaja.
Nenek (emak sebelah ayah) menjeling bonda dan aku tajam. Dia langsung tidak
menyambut salamku.
Di rumah nenek, aku diam tidak berkutik sedangkan aku kanak-kanak yang riang
dan gemar bergurau.
Kau bukan cucu rumah ini. Jangan nak berani makan apa-apa di rumah ini, aku
jadi segan apabila sepupu perempuanku yang sering bertocang dua merampas biskut
yang aku ambil di atas para. Aku terasa mahu menamparnya sahaja. Siapa dia untuk
menuduh sebegitu rupa. Kami setaraf sahaja. Berani dia lancang berkata sebegitu rupa.
Aku mengambil tindakan drastik merampas kembali biskut itu dan berlari menuju
bonda.

Sepupuku

mengejar

aku

sekeliling

rumah.

Bonda

cuba

untuk

mempertahankanku. Iyalah aku ini kan anak bonda, tentulah bonda akan melindungi
aku.
Suasana kecoh seketika apabila sepupuku yang tidak tahu adab menengking
bonda seperti bonda ini babu di rumah ini. Geram sungguh aku melihatnya. Aku sering
diasuh oleh bonda agar jangan kurang ajar dengan orang tua tetapi sepupuku terlebih
ajar pula.
Nenek muncul di tengah-tengah kekecohan itu. Sepupuku yang tidak malu itu
mengadu entah apa-apa dengan nenek. Bonda cuba untuk melindungi aku tetapi nenek
hanya menyorot tajam wajah bonda.
Langsung nenek menampar bonda. Bonda tersungkur jatuh. Tidak cukup dengan
itu, nenek menghentak kepala bonda ke tiang dengan segala sumpah seranah
dihamburkan. Aku menjerit ketakutan dan menangis apabila melihat kepala bonda
berdarah.
Ayah pula dimana?. Hanya baring di katil memerhatikan kami tanpa sebarang
reaksi. Ayah adalah saksi perbuatan nenek. Aku jadi cukup benci dengan ayah ketika itu.
Mengapa ayah tidak menyelamatkan bonda dari nenek yang kejam itu?. Nenek yang
sedang mencederakan bonda?.
Tidak cukup dengan itu, nenek mengheret bonda di hadapan ayah. Nenek
memaki hamun bonda yang katanya tak tahu malu merosakkan kebahagiaan orang lain.
Kebahagiaan siapa? . Neneklah yang merosakkan kebahagiaan kami?. Aku menjerit
dalam hati. Aku terperosok duduk ketakutan di bucu rumah.
Ayah pula masih begitu. Memandang nenek dan bonda tanpa reaksi. Apa yang
aku tahu, selepas itu wajah nenek puas dan bonda pula menangis tersedu-sedu. Nenek
menarik aku dan bonda keluar rumah dan mencampakkan beg pakaian kami. Kami telah
dihalau!!!!.
Bonda tidak menangis merayu untuk masuk ke rumah puaka itu. Bonda terus
menahan teksi dan meninggalkan ayah dan rumah itu serta isinya.
Semenjak itu aku tidak pernah melihat ayah. Sememangnya aku tidak sudi pun.
Ayahkah dia jika hanya berdiam sahaja melihat isterinya di seksa oleh emaknya sendiri?.
Manusiakah dia melihat kekejaman di hadapan mata sendiri?. Bertahun-tahun benci itu

bertamu di atma ini sehingga wajah ayah yang kubenci itu muncul tiba-tiba di hadapan
rumah baru kami beberapa tahun lalu
Walaupun aku kagum dengan kesetiaan bonda yang tidak pernah tergugah
walaupun ramai lelaki datang menyerah namun pada hakikatnya kesetiaan bonda
seringkali mengundang amarah dan rajukku. Lantaran kesetiaan dan kasih bonda untuk
lelaki yang paling aku benci seluruh penghidupanku. Lelaki yang tidak dapat aku kikis
walau sesaat lantaran dia adalah ayahku
Mengapa setelah pelbagai ranjau dan onak kami tempuhi, hati bonda masih
seteguh karang untuk lelaki itu?. Masakan aku tidak dapat menekanya. Jikalau tidak
tentulah bonda telah menerima kehadiran lelaki lain dalam hidup kami. Sekurang-kurang
apabila begitu aku dapat mengisytiharkan kemenangan kepada ayah bahawa hati bonda
bukan lagi untuk ayah.
Dalam hidup kami hanyalah ada aku, bonda dan adik bonda. Kami tiada saudara
mara lain. Adik bonda yang aku panggil Auntie Miera sudah bertahun lamanya membawa
hatinya yang lara ke Jerman. Semuanya kerana lelaki durjana yang mengkhianati
perjanjian cinta mereka. Mengapa kehadiran lelaki hanya menyusahkan kaum kami
sahaja?. Aku semakin membenci golongan tersebut
Suatu petang Auntie Miera pulang dalam remang senja merah. Aku sungguh
gembira lantaran selama ini kami sering berhubung dengan email sahaja. Aku sering
meluahkan rasa kebencianku pada ayah kepada Auntie Miera.
Namun petang itu menjadi saksi pada lafaz kata-kata Auntie Miera yang
menyentak girangku.
Auntie akan berkahwin tak lama lagi.
KAHWIN!. Perkataan itu bagai halilintar membelah bumi. Dahulu kata Auntie
hatinya telah lama tertutup untuk mana-mana lelaki. Lalu mengapa dibuka hatinya lagi
untuk di lukai.
Semalaman aku berkurung dalam bilik tanda memprotes Auntie Miera. Namun
ketika tengah malam, aku terlalu lapar dan cuba menyelinap keluar dari bilik. Akhirnya
aku tertangkap oleh Auntie Miera.

Sayangsyahdu hatiku mendengar Auntie Miera memanggil nama timbanganku.


Mawaddah yang bererti kasih sayang
Auntie meraih tanganku.
Mengapa terlalu marah pada keputusan Auntie?. Bersungguh benar sayang benci
pada perkahwinan. Mengapa perasaan benci yang keterlaluan ini membenih dalam jiwa
sayang?.
Bahasa Auntie Miera memang puitis biarpun bertahun di luar negara. Aku
membisu namun jawapan yang bergema dalam hatiku lelaki adalah pemusnah
kehidupan bonda dan Auntie Miera!.
Jangan kerana marahkan nyamuk kelambu di bakar. jangan kerana marahkan
ayah, sayang benci pada lelaki.
Aku tetap begitu. Diam membeku namun sorot mataku jelas mencerminkan
keteguhan pendirianku.
Nampaknya rahsia yang berkurun ini harus di bongkarkan juga. Moga benci dan
marah tidak lagi bertamu di hati sayang.
Auntie Miera terus merencanakan cerita. Punca kehancuran perkahwinan ayah
dan bonda lantaran kasih mereka tidak direstui oleh nenek, ibu kepada ayah. Lantaran
bonda bukan dari keturunan syed-syarifah. Namun mereka teguh hati. Perkahwinan
tetap di teruskan biarpun badai melanda
Malangnya selepas beberapa tahun aku lahir, ayah jatuh sakit yang tenat. Penat
bonda menyusung ayah ke sana ke mari untuk berubat. Sehingga suatu hari, seorang
bomoh memberitahu ayah terkena penyakit santau. Walaupun tanpa sumber yang
kukuh, bonda tahu itu adalah perbuatan nenek. Lantaran itu, ayah di hantar ke rumah
agam nenek kembali. Biarpun hati bonda terluka, namun demi ayah pulih kembali bonda
rela. Natijahnya, bonda terpaksa di ceraikan untuk membayar harga kesihatan ayah.
Ini adalah rahsia yang perlu Auntie simpan. Tetapi auntie tidak mahu jiwa
sayang rosak lantaran terlalu benci ayahmu sendiri. Malah satu rahsia terbesar mengapa
bonda merelakan dirinya di ceraikan ayah masih tersimpan dalam laci cendana dalam
bilik bonda. Pergilah sayang lihat sendiri.

Air mataku mengucur jatuh mendengar kisah tragis bonda dan ayah. Itukah
punca ayah tidak menolong bonda ketika nenek menghina dan mendera bonda?. Ayah
yang terkena santau bagaikan tiada punya hati dan perasaan. Lalu apakah kemunculan
ayah pada ketika ini untuk menebus kembali penderitaan kami?
Bilik bonda adalah bilik terlarang. Aku sememangnya tidak selalu masuk ke bilik
bonda. Malah aku tidak mahu pun lantaran bilik itu penuh dengan kenangan terhadap
ayah.
Semasa aku melangkah masuk ke bilik bonda, bau semerbak cendana menerpa. Bonda
tidur pulas dengan wajah yang tenang. Dengan tangan yang terketar-ketar, aku
membuka laci cendana itu. Usai aku membaca dokumen yang aku temui. Air mataku
mengucur laju tanpa segan silu. Ya Allah berdosanya aku membenci ayah selama ini dan
mempertikaikan kesetiaan bonda.
Patutlah bonda tidak pernah menerima sesiapa lagi dalam hidupnya. Bonda wanita tanpa
rahim.

Bonda

telah

menjalankan

pembedahan

lantaran

kanser

rahim

selepas

kelahiranku. Sedang kasihnya pada ayah masih bersisa, bagaimana mahu menyemai
kasih yang lain pula.
Bonda terjaga lantaran terdengar senduku. Saat itu, aku sujud di kaki bonda
memohon ampun. Ampunkan aku bonda atas kelancanganku!
Menulis cerpen ini juga, aku mulakan dengan satu ayat yang aku tidak tahu hujung pangkalnya,
bagaimana cerita itu akan terbentuk masih belum tergambar di ruang fikir tika menulis baris
pertama cerpen ini. Setelah berbulan, aku rasa terpanggil untuk menyuarakan isu ini. Perempuan
tanpa rahim apakah ada makna di mata masyarakat? Lagi?
Kemudian, kata demi kata terluncur tanpa kawal. Ah cerpen ini membuat aku jadi sayu, membuat
aku ingin jadi wanita tabah jika takdir tertulis sudah. Di samping itu, aku kembangkan konflik jiwa
seorang anak yang membenci ayahnya lantaran sikap tidak acuhnya pada bonda. Bukankah kita
secara azali akan melindungi mereka yang tertindas? Dan jiwa anak itu semakin tertekan kerana
sikap baiknya bonda pada lelaki yang dia benci sekian lama. Malah dia sendiri anti pada institusi
kekeluargaan. Inilah watak-watak anak yang jiwanya tercedera akibat runtuhnya rumahtangga
ibubapanya. Sukar dibendung apa yang mereka fikir.
Aku ingin sekali menjadi watak seperti bonda. Memaafkan takdir yang kejam dan menerimanya
dengan redha. Wanita, sungguhpun pedih lelaki menghiris hatinya, masih berbekas ruang maaf

dihatinya. Wanita yang tidak mendidik rasa untuk membenci walaupun hatinya hancur terluka.
Wanita tabah ini aku angkat dari sebanyak-banyak wanita tabah diluar sana.
Komen Mawar Shafie yang tinggi di dalam Dewan Siswa membuatkan aku segan sebenarnya.
Apabila membaca kembali cerpen ini, aku sebenarnya tidak tahu siapa aku ketika menulisnya.
Sebab ayat-ayat ini bagaikan ditulis tanpa sedar. Mungkin sebahagian diriku ada tertinggal disana.
Ya, ketika itu aku memang sedang menggilai lagu tudung periuk dan aku menyukai bau cendana.
Segalanya mengenai nostalgila-gila ini sememangnya menemankan aku tika menulis cerpen ini.
Terimalah cerpen kedua aku yang tersiar di media cetak. Sebarang komen amatlah aku alukan.
Maaf, jika cerpen kerdil ini tidak seindah mana.