Anda di halaman 1dari 4

LAMPIRAN I

MITOS SALINGAYA BUNGSU – ASAL USUL BAJAU OMADAL1

Salingaya Bungsu hidup pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Alam di Johor. Beliau
mempunyai pertalian rapat dan usia yang lebih kurang sama dengan Datuk Abdul Mujim.
Kedua-dua mereka telah tertarik dengan kecantikan Puteri Jayaran Kamran, anak Sultan
Iskandar Alam. Situasi ini menyukarkan Sultan Iskandar Alam membuat pilihan, siapakah
yang sesuai untuk puterinya.

Sultan Iskandar Alam telah memanggil para pegawainya untuk mendapatkan


pandangan berkenaan perkara tersebut. Panglima Tawisah dan Panglima Banam, yakni
pegawai kanan (senior) memberitahu, mereka tidak layak membuat keputusan tersebut,
apatah lagi untuk masa depan puteri sultan. Penjelasan para pegawainya, menyebabkan
Sultan Iskandar Alam tidak mempunyai alternatif, melainkan membuat keputusan sendiri.
Justeru itu, Sultan Iskandar Alam memutuskan, kaedah terbaik ialah mengadakan satu
pertandingan berlayar. Sesiapa memenangi pertandingan tersebut, akan berhak
mengahwini puterinya. Kedua-dua mereka [Salingaya Bungsu dan Datuk Abdul Mujim]
bersetuju. Atas persetujuan tersebut, Sultan Iskandar Alam menitahkan agar
pertandingan diuruskan. Syarat pertandingan, mereka berdua diminta berlayar
menggunakan perahu dari Johor ke Pulau Ansor. Sultan Iskandar Alam sendiri, bertindak
selaku pengadil, dan akan berada di Pulau Ansor.

Dalam pertandingan tersebut, semasa di pertengahan jalan, nasib tidak


menyebelahi Salingaya Bungsu; apabila dengan takdir Allah, layar perahunya patah.
Akibatnya, Salingaya Bungsu kalah dalam pertandingan tersebut. Ini bermakna Datuk
Abdul Mujim yang dinobatkan sebagai pemenang, kemudian telah dikahwinkan dengan
Puteri Jayaran Kamran. Rentetan kekalahan tersebut (kegagalan memperisterikan Puteri
Jayaran Kamran), Salingaya Bungsu merasa terhina, lalu memanggil para pengikutnya.
Konsensus mereka [Salingaya Bungsu dan pengikutnya], berlayar jauh untuk
meninggalkan Johor. Setelah berhenti seketika di Pulau Rio [Riau] dan Pulau Lingga,
mereka meneruskan pelayaran dengan merentasi lautan, sekalipun tidak tahu arah tujuan.
Tindakan tersebut, demi untuk melempiaskan rasa kekecewaan. Atau dengan kata lain,
Salingaya Bungsu dan pengikut-pengikutnya tidak akan kembali semula ke Johor.

Setelah lama berlayar, mereka singgah di sebuah pulau yang berpasir, untuk
berehat dan mendapatkan bekalan. Pada waktu petang, semasa mereka berehat dan
makan, ribut telah melanda. Ribut tersebut, menyebabkan mereka terkapai-kapai selama
tujuh hari tujuh malam. Peristiwa ini menyebabkan mereka bermuhasabah diri dalam
mengenangkan nasib yang menimpa (mereka).

Apabila ribut reda, mereka pergi pula ke Pulau Tandok Kalangan yang diperintah
olah Raja Buaya. Raja Buaya terperanjat melihat kapal, yang berlabuh di perairan laut
kawasannya. Apa yang ada difikirannya, kapal tersebut mestilah orang asing yang datang
dari negara atas angin. Disebabkan sifat ingin tahu, baginda bersama beberapa orang
rakyatnya, pergi ke kapal tersebut lalu bertemu dengan Salingaya Bungsu. Raja Buaya
telah mengajak Salingaya Bungsu ke istananya.

1
Ubah suai dari sumber David dan Sue Fielding, Borneo Jewel in a Jade Rainbow: Letters and
Legends form North Borneo Sabah, Kota Kinabalu: Koisaan Cultural Development
Institute, 1998, hlm. 377-378.

Kehadiran Salingaya Bungsu menyebabkan Raja Buaya menukar nama pulau


tersebut menjadi Salangin, dan mendirikan istananya di Selamalat berdekatan tepi pantai.
Di pulau ini, Salingaya Bungsu mengambil kesempatan untuk menjalankan aktiviti
perdagangan barter dengan penduduk tempatan, terutamanya beberapa barangan yang
asing bagi dirinya. Satu kelaziman pelayar-pelayar pada waktu itu, kapal mereka
dimuatkan dengan batu-batu besar sebagai langkah keselamatan. Walau bagaimanapun,
barang dagangan yang banyak dibelinya (Salingaya Bungsu), menyebabkan kapal
tersebut tidak selamat berlayar disebabkan sarat. Justeru, batu-batu tersebut terpaksa
ditinggalkan/dibuang. Batu-batu itu dimanfaatkan oleh Raja Buaya, untuk membina
benteng pertahanan. Tindakan Raja Buaya menyebabkan tempat tersebut dinamakan
Kota Batu (Cotabato). Benteng ini dikatakan masih kukuh berdiri di Barat Daya Mindanao
sehingga kini. Malah kota batu (benteng pertahanan) tersebut, adalah simbol kehadiran
Salingaya Bungsu dan pengikutnya ke pulau tersebut, yakni pulau tanah jajahan
Kesultanan Sulu.

Semasa Salingaya Bungsu bertolak dari Johor, beliau juga membawa seorang
wanita yang cantik. Wanita tersebut jatuh cinta dengan anak Raja Buaya, Datuk Wad
Sumana. Pemuda ini amat perkasa, hingga terkenal dalam aktiviti perlanunan. Salingaya
Bungsu berusaha menasihati Datuk Wad Sumana agar meninggalkan perbuatannya.
Beliau berharap, Datuk Wad Sumana akan menjadi seorang yang baik, lantas menjadi
suami bertanggungjawab, tetapi gagal. Justeru, Salingaya Bungsu menolak tawaran
perkahwinan, lalu meneruskan pelayaran.

Selepas berlayar tiga hari tiga malam, Salingaya Bungsu sampai di Si-Kilat. Beliau
bertanya kepada pengikutnya tentang tempat tersebut. Sungguhpun demikian,
pengikutnya sendiri tidak dapat memberi maklumat. Justeru, beliau menculik seorang
penduduk, untuk mengetahui maklumat tempat tersebut (Si-Kilat). Pada waktu malam,
semasa Salingaya Bungsu di perairan laut Si-Kilat, ribut telah melanda. Beliau
mengarahkan sebatang galah dipacakkan agar kapal mereka tidak hanyut. Galah yang
dipacakkan dinamakan sambuang. Peristiwa tersebut (sambuang) dipercayai menjadi asas
nama Si-Kilat bertukar menjadi Zamboanga.

Setelah ribut reda keesokannya, Salingaya Bungsu pergi ke darat untuk berjumpa
ketua penduduk (kampung) Si-Kilat iaitu Zainal Zahlid. Zainal Zahlid tertarik dengan
keperibadian Salingaya Bungsu, sehingga membuat tawaran agar jadi sultan mereka – Si-
Kilat. Walau bagaimanapun, Salingaya Bungsu menolak tawaran tersebut, malah merayu
agar Zainal Zahlid terus kekal menjadi sultan di Si-Kilat.

Dari Si-Kilat, Salingaya Bungsu meneruskan pelayarannya sehingga sampai di


Singgamata. Orang tua-tua lebih mengenali/memanggil Singgamata dengan nama Si-Api-
Api. Sewaktu Salingaya Bungsu di Si-Api-Api, beliau berjaya mengislamkan para
penduduknya. Beliau juga menetap di Singgamata selama tiga belas tahun, sebelum
meneruskan pelayaran ke Timbun Mata. Semasa beliau tiba di Timbun Mata,
pemerintahnya ialah Maharajja Jongol, salah seorang daripada lima orang besar [orang
yang disegani dan digeruni – kepahlawanan]. Salingaya Bungsu telah meninggalkan
beberapa orang pengikutnya termasuklah anak lelakinya Ulangkaya Alimuddin sebelum
meneruskan pelayaran. Mereka (Ulangkaya Alimuddin dan pengikut-pengikut Salingaya
Bungsu yang lain) telah menetap di Timbun Mata, kemudian mengahwini wanita tempatan.

LAMPIRAN II

MITOS KREBAT PAGAL – ASAL USUL BAJAU KUBANG2

Perkataan „krebat‟ bermaksud “serangan yang membawa maut” dan „Pagal‟ bermaksud
puak “Tebangkat atau Sibangkat” dari Selatan Kalimantan. Kejadian ini berlaku lebih
kurang 90 tahun yang lalu, selepas tahun 1870.

Di sana tinggal seorang wanita yang bernama Jawilla, anak kepada Munding. Dia
merupakan puak yang dipanggil Bajau Kubang. Dia berkahwin dengan Datuk Sengiran
Muda dari Bulungan di Selatan Kalimantan. Selepas setahun berkahwin, Datuk Sengiran
Muda kembali ke negeri asalnya, dan tidak kembali selama lebih daripada setahun.
Semasa ketiadaannya, Jawilla memikirkan dia tidak akan kembali semula, kemudian
berkahwin sekali lagi dengan Ubrul Ali.

Apabila berita tersebut sampai kepada Datuk Sengiran Muda, dia merancang satu
serangan hendap ke atas penduduk di Kubang. Mendengar berita tersebut, penduduk
Kubang membuat persediaan, untuk mempertahankan kampung mereka. Orang-orang
tua iaitu Panglima Malatri, Aria Arilah, Awang Kaya, Lihat, Lahari, Muhalam dan Galun,
Malantri, Ligadong Mawali dan Papua Gayong bersama-sama dengan orang kampung,
telah berhimpun di Kubang untuk mempertahankannya.

Musuh yang dikenali sebagai Pagal, datang dengan menggunakan „langkong‟ iaitu
sebuah perahu besar dan kira-kia 300 perahu-perahu kecil. Senjata yang mereka
(Kubang) gunakan, disebut Sulabat Salubang, Bangkiong, Sambalok dan Semang.
Kesemuanya merupakan senjata yang berbahaya.

Ubrul Ali, suami kedua Jawilla, mengetuai pertahanan tersebut. Beliau


mengarahkan orang-orangnya agar tidak berlawan (bertindakbalas) semasa paras air laut
rendah (surut). Apabila angkatan tentera Pagal tiba, mereka telah mengepung Kubang
dan memulakan serangan. Serangan Pagal menyebabkan barisan pertahanan Kubang
pecah. Sungguhpun demikian, mereka (orang-orang Kubang) tidak beritndakbalas,
rentetan arahan Ubrul Ali. Selain itu, Ubrul Ali juga mengingatkan, kerjasama dan
perpaduan penduduk Kubang amatlah penting dalam peperangan (serangan Pagal).

Walaupun orang-orang Kubang tidak bertindakbalas, tetapi pengikut-pengikut


Datuk Sengiran Muda tetap meneruskan serangan, sehingga kehabisan peluru. Apabila
air laut mula pasang, penduduk Kubang yang dipimpin oleh Ubrul Ali, mula
bertindakbalas dengan menyerang tentera-tentera Pagal. Tindakbalas orang-orang
Kubang berjaya, sehingga kaki Datuk Sengiran Muda mengalami kecederaan teruk. Malah
Datuk Sengiran Muda berjaya ditawan lalu diseksa (dipukul) dan kepalanya dipancung.
Dalam peristiwa ini, seramai kira-kira 200 orang pengikut Datuk Sengiran Muda telah
terbunuh. Sementara di pihak orang-orang Kubang, hanya 2 orang sahaja yang terkorban.
Selain itu, hanyalah beberapa orang (berenang) dan dua buah perahu angkatan Datuk
Sengiran Muda sahaja yang terselamat. Kemudian mereka (angkatan Pagal) telah
kembali ke tanahair mereka.

2
Ubah suai dari sumber David dan Sue Fielding, Borneo Jewel in a Jade Rainbow: Letters and
Legends form North Borneo Sabah, Kota Kinabalu: Koisaan Cultural Development
Institute, 1998, hlm. 337-338.

Selang beberapa ketika, rentetan pertempuran tersebut (ramai yang terkorban –


mayat reput), bau busuk pun mencemarkan udara. Orang-orang Pagal yang tidak sempat
melarikan diri, telah bersembunyi ke dalam hutan, kerana tidak tahan bau busuk. Malah
motif utama ialah membalas dendam atas kematian Datuk Sengiran Muda dan rakan-
rakan mereka. Hasrat orang-orang Pagal tidak berjaya, lalu merancang pula menculik
orang-orang kampung. Mereka telah berjaya menculik seorang wanita dan membawanya
ke Bangau-Bangau. Walau bagaimanapun, mereka bertengkar sesama sendiri tentang
siapakah yang berhak terhadap wanita itu. Pertengkaran tersebut, memberi ruang
kepada wanita tersebut, untuk melarikan diri. Wanita tersebut berjaya melarikan diri
dengan menggunakan kayu balak hanyut, sehingga selamat kembali ke tempat asalnya.

Sekalipun perisitwa Krebat Pagal telah lama berlalu, namun ingatan dan
kebimbangan orang-orang Kubang tentang peristiwa tersebut terus kekal. Malah
peristiwa tersebut merupakan faktor, petempatan orang-orang Kubang didirikan
berhampiran dengan laut. Atau dengan kata lain kebimbangan terhadap serangan saki
baki orang-orang Pagal, yang telah bersembunyi di hutan, menyebabkan orang-orang
Kubang lebih gemar membuat petempatan di kawasan pantai.