Anda di halaman 1dari 2

Jasa ibu bapa perlu dikenang.

Namun begitu, terdapat sebilangan kecil daripada mereka yang


berjaya dalam hidup sering mengabaikan jasa dan budi ibu bapa.
Nyatakan perkara-perkara yang boleh kita lakukan untuk membalas jasa mereka.
Tersebut kisah dalam cerita klasik Melayu, seorang anak muda yang bernama
Tenggang. Tenggang anak tunggal kepada seorang ibu tunggal. Hidup mereka dirundung miskin. Pada
suatu hari, Tenggang telah memohon keizinan daripada ibunya untuk keluar merantau dengan harapan
untuk mengubah kehidupan yang melarat itu. Nasib Tengggang ternyata baik kerana dengan sikapnya
yang ringan tulang dan amanah, dia telah diambil sebagai anak angkat oleh seorang saudagar
kaya. Akhirnya, Tenggang telah menjadi menantu kepada saudagar tersebut. Masa berlalu, Tenggang kini
bukan lagi anak hingusan tetapi seorang saudagar ternama. Malangnya, dek diselimuti kemewahan dan
limpahan kekayaan, ingatan Tenggang kepada ibunya telah mula luput Tanpa diduga, dalam suatu
pelayaran, kapal Tenggang berlabuh di sebuah pelabuhan berhampiran kampungnya dahulu. Mendengar
berita tersebut, si ibu yang telah sekian lama merindui anak tersayang menerpa menuju ke bahtera
Tenggang. Alangkah hibanya hati ibu, anak yang selama ini menjadi buah hati pengarang jantung telah
mengusir dan menendang si ibu kononnya ibu tua yang tidak sedar akan diri mahu mengambil kesempatan
daripada kekayaannya. Namun, tuhan lebih mengetahui, sikap buruk Tenggang dibalasi musibah, kapalnya
tenggelam dipukul gelombang besar. Tenggang mati ditelan laut dalam keadaan diri yang berpalut Lumpur
dan dosa. Demikianlah secebis kisah daripada ribuan perbuatan anak-anak keji yang tidak mengenang
jasa ibu bapa apabila mereka sudah benar-benar berjaya. Dengan trgedi malang itu, sudah sewajarnya
kita mengambil iktibar daripada peristiwa tersebut dan berusaha untuk menumpahkan kasih sayang kepada
ibu bapa yang telah bersabung nyawa untuk membesarkan kita sehingga menjadi orang yang berjaya.
Sebagai anak yang telah mengecapi nikmat hasil pengorbanan ibu bapa, maka kita hendaklah
menjadikan mereka sebagai orang pertama dalam apa jua urusan hidup kita. Seandainya merekalah
orang yang pertama kita cari dalam masa kesusahan maka tidak sewajarnya mereka kita lupakan apabila
kita mencapai sebarang kejayaan. Sikap ini perlu kerana merekalah yang melahirkan dan membesarkan
kita. Selain itu, mereka juga yang mendidik dan memberi ilmu sehingga kita menjadi manusia yang
berguna. Justeru, apabila kita berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan
atau berjaya dalam kerjaya maka ibu bapalah orang pertama yang perlu kita nobatkan sebagai pencetus
kepada semua kejayaan tersebut. Pada waktu ini, ibu bapa akan berasa tiada nikmat yang paling besar di
dunia ini apabila anak-anak memulangkan segala kejayaan yang diraih adalah bertitik tolak daripada
pengorbanan mereka.
Bagi mengenangkan segala jasa dan pengorbanan mereka juga, apalah salahnya jikalau kita
cuba menyelami hati kecil mereka pada hari-hari tertentu yang istimewa dalam hidup mereka. Hari tersebut
seperti hari ulang tahun perkahwinan, hari jadi dan hari-hari perayaan. Pada hari yang amat bermakna itu,
hulurkanlah hadiah istimewa untuk dijadikan santapan rohani mereka. Walaupun hadiah tersebut sekadar
bernilai beberapa rial tetapi memadai untuk menjadi simbolik kepada nilai kasih sayang mereka kepada kita
bak laut yang tidak bertepi itu. Atau pun, pada hari-hari istimewa tersebut bawalah mereka untuk
melancong atau berziarah rakan kenalan. Kepada yang beragama Islam pula berilah hadiah menunaikan
Fardu Haji ke Mekah. Kita juga patut meniru teladan baik beberapa individu yang telah berjaya
yang membawa dan memperkenalkan ibu bapa dalam majlis-majlis besar yang mereka menjadi tetamu
istimewa. Bayangkanlah betapa linangan air mata ibu bapa pada waktu itu pasti menjadi pembasuh api
neraka. Ingatlah, doa restu dan kepuasan jiwa mereka akan menjadi titian kejayaan kepada kita sama ada
di dunia atau di akhirat.

Apabila ibu bapa sudah menjelang usia tua, sudah menjadi tanggungjawab mutlak kepada kita
untuk mengambil tahu keperluan hidup mereka seperti makan minum, kesihatan ubat-ubatan dan tempat
tinggal. Janganlah dek terlalu memburu kejayaan hidup di dunia, ibu bapa dibiar terlantar di rumah-rumah
orang tua. Elakkanlah hidup menjadi dedalu masyarakat, ibarat kacang lupakan kulit. Pada usia tersebut ,
ibu bapa tidak pernah menuntut sesuatu yang berlebih-lebihan sebaliknya mereka mengharapkan ihsan dan
kasih sayang. Cara penyelesaian terbaik adalah setiap anak perlulah membuat giliran untuk melihat
kebajikan ibu bapa atau pun jikalau keadaan terlalu mendesak ambillah orang gaji untuk menjaga mereka.
Setiap ibu bapa sentiasa menaruh harapan untuk melihat anak-anak mereka menjadi manusia
paling berguna kepada nusa, agama dan masyarakat. Sebagai pelajar, inilah masa terbaik untuk kita
membuktikan yang terbaik kepada mereka. Belajarlah dengan bersungguh-sungguh untuk menjadi pelajar
terbilang dan apabila berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan maka itulah sebenarnya hadiah yang
tidak ternilai untuk kita mengenang jasa mereka. Pada masa itu kita dapat melihat lelehan air mata gembira
mereka bagaikan tidak boleh ditahan-tahan. Seterusnya, jagalah hati mereka dengan cara tidak
menghampiri atau terlibat dengan kerja-kerja yang tidak baik seperti menjadi samseng, bercakap keji,
melepak, dadah dan seribu satu macam gejala kutu masyarakat yang terlalu keji di sisi agama dan
moral. Hati ibu bapa pasti akan lebur apabila anak-anak tercampak ke dalam kancah kehinaan seperti ini.
Mafhum (maksud) daripada sepotong hadis Rasulullah SAW yang bermaksud apabila mati
seseorang anak Adam itu maka terputuslah segala amal baiknya kecuali tiga yang masih kekal Ketiga-tiga
yang tersebut itu ialah, sedekah dan derma untuk faedah umum, anak-anak yang baik yang sentiasa
mendoakan kesejahteraan ibu bapa dan ilmu yang bermanfaat yang diajarkan untuk faedah
manusia. Janganlah kita putuskan hubungan kasih sayang kepada ibu bapa hatta mereka sudah meninggal
dunia. Doakanlah kesejahteraan mereka siang dan malam setelah mereka pergi meninggal kita.
Ibu engkaulah ratu hati
bilaku berduka
engkau hiburkan selalu
Kenangilah jasa ibu bapa selama hidup dan mati mereka. Nilai diri ibu bapa tidak akan tertukar
dengan harta dunia walaupun segunung emas. Ingatlah syurga di bawah telapak kaki ibu.