Anda di halaman 1dari 1

PENGENALAN

Penekanan kepada bidang matematik mula dirasakan apabila mantan Perdana


Menteri, YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad memperkenalkan Wawasan 2020 pada 28
Februari 1991. Oleh itu, pengajaran dan pembelajaran Matematik dilihat sangat
penting dan merupakan medium bagi menjayakan hasrat murni kerajaan untuk
mencapai status negara perindustrian menjelang tahun 2020. Subjek Matematik
adalah pelajaran yang abstrak yang melibatkan penggunaan rumus, peraturanperaturan langkah kerja, algoritma dan teorem-teorem yang kerap digunakan (Short
& Spanos, 1989). Malah konsep yang ada dalam subjek Matematik berkait rapat
dengan kehidupan dan penggunaan harian manusia. Kita menggunakan pelbagai
konsep nombor, konsep ukuran dan sukatan bagi mengetahui kuantiti dan nilai
seperti bilangan, saiz, laju, hala dan benda-benda di bumi dan alam cakerawala
melalui cara yang sistematik.
Matematik merupakan satu cabang ilmu pengetahuan yang timbul daripada
proses penaakulan terhadap kejadian-kejadian alam sekeliling dan cakerawala.
Selain itu, matematik juga dianggap sebagai suatu alat rekreasi dengan adanya
aktiviti-aktiviti yang menarik dan unik. Bahasa dan ayat Matematik yang khusus
melibatkan penjelasan pola-pola, hubungan, hukum-hukum dan rumus-rumus yang
perlu diingati. Oleh yang demikian, bahasa memainkan peranan yang penting dalam
memindahkan maklumat yang diperolehi oleh guru kepada pelajar (MacGregor &
Moore 1991). Mengikut Bruner, untuk mempelajari konsep matematik dengan
berkesan, bahasa matematik harus diperkenalkan daripada mudah kepada
kompleks, mengikut peringkat perkembangan kognitif kanak-kanak.
Menurut Dr. Jamil Ahmad dan rakan-rakan melalui Seminar Kebangsaan
Pendidikan Sains dan Matematik (2008), guru berdepan dengan pelajar yang
membawa ilmu dan pengalaman yang dipelajari dari luar yang kemungkinan
bercanggah dengan apa yang guru sampaikan semasa sesi pengajaran. Sekiranya
ilmu yang bercanggah ini tidak diperbetulkan maka ia akan membentuk miskonsepsi
dalam ilmu yang ingin disampaikan. Miskonsepsi adalah sesuatu kepercayaan atau
pegangan yang terbentuk apabila pelajar mempelajari sesuatu perkara yang tidak
betul (Champagne, Klopfer & Gunstone 1982; McDermott 1984; Resnick 1983).
Miskonsepsi boleh juga terjadi apabila guru mengajar sesuatu perkara yang tidak
betul, kemungkinan tanpa disedari oleh guru.
Dalam mempelajari asas nombor yang merangkumi tajuk penolakan nombor
bulat, penambahan pecahan, penambahan perpuluhan, dan penambahan wang,
terdapat beberapa kesukaran yang sering dihadapi oleh murid sehingga
menimbulkan miskonsepsi dalam mempelajari kemahiran tersebut. Miskonsepsimiskonsepsi ini juga saling berkait dari satu konsep ke konsep lain dalam tajuk yang
berbeza. Sekiranya miskonsepsi ini tidak ditangani dengan kaedah yang bijak,
impaknya murid akan berterusan melakukan kesilapan dan pastinya objektif
pengajaran dan pembelajaran tidak tercapai.