Anda di halaman 1dari 7

PERUSAHAAN GETAH

PERUSAHAAN TANAMAN GETAH DI TANAH MELAYU


Sekitar akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, Tanah Melayu yang pada
ketika itu dikuasai British telah diperkenalkan dengan perusahaan tanaman getah.
Di bawah kuasa ekonomi kolonial British, perusahaan getah terus berkembang
hingga mencapai tahap sebuah industri yang membanggakan. Dikatakan, getah
melalui zaman keagungannya antara tahun 1906 hingga tahun 1918 apabila harga
getah meningkat kepada $5 sepaun.
Namun, pada tahun 1920-1930 pula berlaku kejatuhan harga getah di
pasaran dunia hingga menyebabkan pada tahun 1920 harga getah hanya pada
paras 20 sen sepaun dan 1931-1932 harganya hanya 5 sen sehingga 7 sen sepaun.
Permintaan yang tinggi dalam pasaran sekitar 1906-1918 dengan penawaran yang
terhad pada ketika itu menjadi penyebab harga getah melambung tinggi dan
menggalak penanaman getah di Tanah Melayu ditingkatkan. Malah, negara-negara
lain juga turut meningkatkan aktiviti penanaman getah seperti Indonesia, Thailand,
Indo-china dan sebagainya.
Pada tahun 1914-1918, dunia digemparkan dengan peristiwa Perang Dunia
Pertama yang tercetus dan mengakibatkan berlaku masalah lambakan simpanan
getah yang tidak terkawal di negara-negara pengeluar getah kerana tidak dapat
dieksport ke Eropah dan Amerika selaku pengguna terbesar getah dunia.
Pengurangan pengimportan getah asli oleh Amerika pada tahun 1920 juga
menyumbang kepada kejatuhan harga getah kerana Amerika hendak menumpukan
perhatian dalam industri pembuatan perkakasan ketenteraan. Kejatuhan harga
getah di pasaran dunia turut disumbang oleh masalah kemelesetan ekonomi sekitar
tahun 1920-1930 dan memberi kesan kepada industri getah di Tanah Melayu.

FAKTOR-FAKTOR TURUN NAIK HARGA PASARAN GETAH DUNIA


A) KEMELESETAN PERUSAHAAN GETAH SEKITAR 1920-1930
Selepas tamat Perang Dunia Pertama yang berlaku sekitar 1914-1918,
berlaku lambakan penawaran getah di dalam simpanan pengeksport-pengeksport
getah asli dunia seperti Tanah Melayu, Indonesia, Thailand dan Indho-China.
Penawaran yang melebihi permintaan mengakibatkan harga getah dunia jatuh
mendadak ke paras yang paling rendah dalam sejarahnya ketika itu.
Penyumbang kepada masalah ini adalah tindakan Amerika yang
mengurangkan pengimportan getah asli di pasaran ekoran dasar mengehadkan
pengeluaran industri pembuatan keretanya kerana mahu menumpu kepada industri
pembuatan perkakasan ketenteraan. Amerika merupakan pengimport getah asli
terbesar dengan pegangan 77% dan apabila perkara seperti itu berlaku, harga
getah jatuh merudum sekaligus memberi kesan kepada peladang dan pekebun kecil
di Tanah Melayu. Masalah penghantaran pengeksportan getah ketika peperangan

seperti kekurangan kapal turut menjadi penyumbang. Tamatnya Perang Dunia


Pertama menyaksikan harga getah jatuh ke paras paling rendah disebabkan kos
pengeluaran yang masih tinggi berbanding permintaan yang terhad.
Pada tahun 1918 menyaksikan harga getah dari $5.50 sepaun jatuh kepada
85 sen sepaun dan terus jatuh hingga paras 20 sen sepaun pada tahun 1922.
Semasa kemelesetan ekonomi dunia sekitar awal 1932, berlaku penurunan harga
getah sekali lagi ke paras 7 sen sepaun dan akhirnya menjadi 5 sen sepaun pada
bulan Jun 1932. Krisis ekonomi kali ini mengakibatkan berlaku pengurangan
pengimportan di kalangan negara pengimport getah namun berlaku pertambahan
pengeluaran dan penyimpanan stok dalam negara pengeluar.
B) PELAKSANAAN RANCANGAN SEKATAN STEVENSON (1922-1928)
Akibat masalah penurunan harga getah yang semakin merosot, kerajaan
British bimbang ianya akan mengganggu gugat ekonomi British yang sememangnya
sudah berhutang dengan Amerika semasa Perang Dunia yang lalu. British
memikirkan suatu tindakan harus diambil bagi menangani krisis harga pasaran
getah ini. Maka, suatu jawatankuasa telah ditubuhkan bagi mengkaji penyelesaian
terbaik krisis getah ini yang dinamakan Jawatankuasa Stevenson pada 1921.
Setahun selepas itu, pelaksanaan Rancangan Sekatan Stevenson dijalankan dengan
mengehadkan pengeluaran getah dunia sebanyak hanya 60% dari pengeluaran
tahun 1920 dan Tanah Melayu bersetuju mengurangkan pengeluaran sebanyak 12%
menjadi hanya 38%.
Tindakan ini membawa kepada kenaikan harga getah kepada $2 sepaun pada
1925. Namun, akibat penyertaan yang tidak menyeluruh di kalangan negara
pengeksport getah, terutama Indonesia yang galak meningkatkan pengeluaran
kepada 38% dari 24% menyebabkan rancangan sekatan ini gagal. Tambahan pula,
syarikat-syarikat Amerika telah membuka ladang getah baru seperti Syarikat Ford di
Brazil dan Syarikat Firestone di Liberia. Rancangan ini terpaksa ditamatkan pada
tahun 1928.
C) RANCANGAN PERATURAN GETAH ANTARABANGSA (1934-1943)
Setelah Rancangan Sekatan Stevenson gagal, pasaran harga industri getah
terus mengalami turun naik mengakibatkan negara pengeluar getah bersetuju
untuk mengadakan suatu perbincangan khusus bagi menangani masalah tersebut.
Hasil dari perbincangan tersebut, suatu perjanjian yang ditandatangani oleh hampir
semua negara pengeluar getah dunia telah dipersetujui yang dinamakan sebagai
Rancangan Getah Antarabangsa pada tahun Mei 1934 yang bertujuan mengawal
kadar pengeluaran dan harga getah. Negara-negara yang menjadi anggota ialah
Tanah Melayu, Borneo Utara, Sarawak, Sri Lanka, India, Myanmar, Indo-China,
Indonesia dan Thailand.
Penanaman baru dan penanaman semula tidak digalakkan. Atas usaha ini,
harga getah telah meningkat daripada 30 sen sepaun pada tahun 1935 kepada 43
sen sepaun pada tahun 1937 dan seterusnya menjadi stabil. Kejayaan rancangan ini
adalah berdasarkan beberapa faktor yang antaranya adalah persetujuan negaranegara pengeluar getah menandatangani rancangan ini, kemelesetan ekonomi

yang semakin pulih pada pertengahan 1930 serta pertambahan permintaan getah
dunia dan yang terakhir, pemulihan industri automobil Amerika yang menyaksikan
peningkatan penggunaan getah dunia kepada 80%.
D) PERUSAHAAN GETAH SEMASA DAN SELEPAS PERANG DUNIA KEDUA
Berlaku situasi yang sudah dijangka berlaku iaitu tercetusnya Perang Dunia
Kedua. Semasa pendudukan Jepun (1942-1945) di Tanah Melayu, pengeluaran getah
hampir terhenti sama sekali. Hubungan perdagangan Tanah Melayu dengan
pasarannya di Amerika Syarikat dan Eropah terputus. Banyak ladang getah telah
dimusnahkan oleh pihak British semasa mereka berundur supaya orang Jepun tidak
mendapat hasil getah.
Ada di antara ladang-ladang yang telah terbiar. Pihak Jepun pula telah
melancarkan gerakan memusnahkan pokok getah dan menggantikannya dengan
tanaman makanan. Jepun beranggapan stok simpanan makanan amat penting.
Semasa Perang Dunia Kedua, Amerika Syarikat menghadapi masalah kekurangan
getah apabila Asia Tenggara diserang oleh Jepun. Untuk mengatasi masalah ini,
Amerika Syarikat telah mengeluarkan getah tiruan. Getah tiruan ini telah memberi
saingan yang cukup besar kepada getah asli terutama dari segi harga.
Selepas peperangan, getah tiruan memberi persaingan kepada getah asli
sebab penggunaannya telah diperkenalkan ke semua negeri perindustrian. Pada
tahun 1955, penggunaan getah tiruan telah menjadi 1/3 penggunaan getah di
dunia. Namun, getah asli dari Tanah Melayu masih diperlukan kerana ia mempunyai
keistimewaan sendiri yang tidak boleh diatasi oleh getah tiruan.

KESAN KEMELESETAN PERUSAHAAN GETAH 1920-AN-1930-AN


A) KESAN UMUM
Masalah krisis harga getah yang berlaku sejak 1920 telah mula
menampakkan kesannya. Bukan sahaja pemilik ladang yang mengalami kerugian,
pekerja ladang termasuk juga pekebun kecil turut merasa kesan turun naik harga
getah dunia sepanjang 1920-1930. Banyak ladang telah menutup operasi akibat
tidak mampu menampung kos perbelanjaan operasi yang meningkat namun
pulangan yang diterima tidak mampu membayar semula modal yang telah
dilaburkan. Kesannya jelas apabila ramai pekerja ladang terpaksa diberhentikan
kerja dan dihantar pulang ke India semula dengan menggunakan peruntukan wang
kerajaan. Kes pengangguran berleluasa termasuk dari kalangan pekebun kecil
kerana tidak mampu membayar hutang ceti, tanah miliknya tergadai begitu sahaja.
Tidak terlepas pemilik ladang yang berhutang dengan ceti juga turut tergadai
ladang kerana hutang. Contoh pada tahun 1922, berpuluh-puluh ekar ladang getah
telah dirampas oleh ceti kerana kegagalan pemilik-pemilik menjelaskan hutang.
Tindakan memberhentikan pekerja ladang menyebabkan berlakunya
pengangguran dan kerajaan tidak mampu untuk menghantar pulang semua pekerja
ladang yang diberhentikan. Akibatnya, berlaku pelbagai kegiatan jenayah kerana
penglibatan mereka dalam kegiatan merompak, mencuri, pecah rumah dan

sebagainya. Buktinya, pada tahun 1930 terdapat 9000 kes yang dilaporkan tetapi
pada tahun 1931, terdapat 10500 kes yang dilaporkan. Kejatuhan harga getah telah
menyebabkan pekebun kecil mengambil sikap yang negatif. Mereka tidak sanggup
menanam semula getah kerana mengambil masa 7-8 tahun untuk mendapatkan
hasil dan pada masa yang sama, harga getah masih rendah.
Akibatnya, ramai pekebun kecil telah beralih kepada kegiatan ekonomi lain
seperti menanam padi, menjadi nelayan dan sebagainya. Tindakan pekebun kecil ini
telah menyebabkan kemerosotan pengeluaran getah pekebun-pekebun kecil.
Sebagai contoh, pada tahun 1934, pekebun kecil mengeluarkan 48% getah di Tanah
Melayu dan ladang mengeluarkan 52%. Tetapi pada tahun 1942, keluaran pekebun
kecil menjadi 39% dan ladang 61%.

B) PUSAT PENYELIDIKAN GETAH (RRI)


Keadaan pasaran harga getah yang semakin meruncing mengakibatkan
kerajaan mengambil inisiatif tersendiri dengan menubuhkan pusat penyelidikan
getah yang berfungsi menjalankan penyelidikan berkaitan getah, percambahan
benih kacukan, mengkaji teknik meningkatkan pengeluar susu getah, dan
sebagainya.
Pada tahun 1926, Pusat Penyelidikan Getah (RRI) telah dibuka di Sungai Buloh
Selangor dan sebuah lagi di Kota Tinggi Johor. Peranan pusat penyelidikan ini adalah
bagi memastikan pengeluaran getah tempatan bermutu tinggi dan mengkaji getah
jenis apakah yang terbaik untuk ditanam. RRI kemudiannya memberi sumbangan
yang sangat meluas kepada industri getah di Tanah Melayu.
C) LANGKAH BERJIMAT CERMAT
Krisis harga getah dunia pada 1920 dilihat antara punca pengurangan
pendapatan cukai duti eksport getah kerana berlaku pengurangan yang ketara
eksport getah pada sekitar tahun tersebut. Pada Oktober 1931, sebuah
jawatankuasa khas diwujudkan khusus bagi menjalankan dasar penjimatan yang
telah dirancang.
Laporan jawatankuasa tersebut menetapkan bilangan kakitangan kerajaan
serta gaji mereka dikurangkan 13%. Antara jabatan yang terlibat ialah Jabatan Polis,
Kesihatan dan Pelajaran. Tindakan mengurangkan kakitangan kerajaan
menyebabkan berlakunya pengangguran antara mereka manakala tindakan
mengurangkan gaji membebankan ekonomi mereka. Selain itu, pembangunan
awam diberhentikan 2 tahun.
D) RANG UNDANG-UNDANG IMIGRAN
Kesan daripada kemasukan imigran yang tidak disekat, populasi penduduk
Tanah Melayu dilihat semakin meningkat secara mendadak. Lantas pada tahun
1930, suatu rang undang-undang bagi menyekat kemasukan imigran ke Tanah
melayu diusulkan. Kemudian, pada tahun 1933 pula rang undang-undang orang
dagang dilaksanakan bagi menyekat kemasukan dan kebanjiran imigran ke Tanah

Melayu terutama warga India yang datang kerana mahu bekerja di ladang-ladang
telah disekat agar masalah pengangguran tidak semakin meruncing.

E) MEMPELBAGAIKAN TANAMAN
Kejatuhan harga getah dunia telah membuka mata British betapa
kebergantungan kepada sejenis sumber ekonomi iaitu industri getah boleh
membawa kesan jangka panjang terhadap ekonomi sesebuah negara. Lantas pihak
British menggalakkan penanaman pelbagai jenis tanaman kontan lain yang mampu
meningkatkan produktiviti negara.
Akibatnya penduduk Tanah Melayu mula menanam tanaman seperti koko,
nenas dan sebagainya selain dari menanam getah. Selain itu, penduduk Tanah
Melayu juga digalakkan menceburi bidang ekonomi lain selain dari bertani. Mereka
digalakkan menceburkan diri dalam bidang perniagaan yang sememangnya
menguntungkan. Namun tidak ramai golongan Melayu berani menceburkan diri
dalam bidang perniagaan kerana takut akan risiko.

F) MEMPELBAGAIKAN JENIS EKONOMI


Kerajaan British mula sedar betapa pentingnya menghasilkan makanan
tersendiri. Pada sekitar 1920-an, terutamanya pada tahun 1930-an, kerajaan mula
mengambil langkah-langkah bagi menambahkan pengeluaran makanan,
terutamanya padi. Padi merupakan makan ruji bagi penduduk di kawasan Asia
Tenggara. Dengan jumlah pertambahan populasi penduduk Tanah Melayu yang
semakin meningkat, tidak hairanlah jika suatu masa Tanah Melayu akan mengalami
masalah kekurangan bekalan makanan.
Langkah yang diambil British bagi mengelakkan situasi tersebut berlaku
adalah buat pertama kalinya, kerajaan mula mengambil langkah-langkah bagi
membina sistem pengairan, membuka tanah pertanian baru dan menggalakkan
penanaman padi 2 kali setahun. Tujuannya supaya penduduk Tanah Melayu tidak
akan mengalami kekurangan makanan sekiranya berlaku lagi kemelesetan ekonomi
seperti pada tahun 1920-an dan 1930-an.
G) MENYUSUN SEMULA PENTADBIRAN LADANG
Langkah British bagi menangani kesan kejatuhan harga getah dunia adalah
dengan melaksanakan penyusunan semula pentadbiran ladang-ladang milik
pengusaha British dan Eropah. Kejatuhan harga getah menyebabkan pengusahapengusaha lading terutamanya ladang Eropah mengambil langkah menyusun
semula pentadbiran yang dianggap Top Heavy bagi menjimatkan perbelanjaan.
Pegawai-pegawai Eropah digantikan dengan penyelia-penyelia berbangsa
Asia dan bilangan kakitangan serta gaji mereka dikurangkan. Sebagai contoh, pada
tahun 1918 terdapat 4 orang pegawai Eropah di setiap ladang, 1928 hanya tinggal
2 orang pegawai Eropah di setiap ladang dan 1932 hanya tinggal seorang pegawai

Eropah di setiap ladang. Kesannya, anak tempatan mampu memegang jawatan


yang sebelum ini hanya sekadar menjadi pembantu atau orang suruhan British.
H) MENGURANGKAN GAJI PEKERJA
Kemelesetan ekonomi 1930 dan kesan dari Perang Dunia Pertama
sememangnya kuat mempengaruhi harga getah dunia pada masa itu. Kerugian
yang dialami oleh semua pihak termasuk kerajaan, pengusaha ladang, pekebun
kecil dan pekerja ladang sememangnya memberi kesan pula kepada pekerja ladang.
Sebahagian besar ekerja terpaksa diberhentikan.
Kerugian yang dialami akibat dari kejatuhan harga getah telah menyebabkan
pihak pengurusan ladang mengambil langkah-langkah mengurangkan pekerja
ladang. Tindakan memberhentikan mereka menyebabkan berlakunya
pengangguran. Pada tahun 1929, terdapat 258 ribu orang pekerja tetapi pada tahun
1932, hanya tertinggal 145 ribu orang pekerja ladang.
Sebahagian daripada mereka telah dihantar pulang ke India atas
perbelanjaan kerajaan. Antara tahun 1930-1933, 370 ribu orang telah dihantar
pulang ke India. Selain itu, gaji mereka juga dikurangkan. Pada tahun 1932, gaji
pekerja lading ditetapkan 20 sen sehari sedangkan sebelumnya iaitu pada tahun
1929, gaji pekerja ladang adalah antara 50-55 sen sehari.

KESIMPULAN
Industri getah di Tanah Melayu suatu ketika dahulu pernah mengalami satu
zaman yang mewah apabila harga getah dunia mencapai $5.50 sepaun sekitar awal
abad ke-20. Namun, Perang Dunia Pertama dilihat telah meragut zaman
kemewahan tersebut kerana pengeluaran getah asli ketika itu tidak dapat dieksport
ke Amerika dan Eropah yang merupakan pengguna atau pengimport getah asli
terbesar.
Tindakan amerika mengurangkan kadar pengeluaran automotifnya juga
memberi kesan kepada turun naik harga getah di pasaran dunia. Pelbagai langkah
diambil bagi mengatasi masalah turun naik harga getah ini seperti Rancangan
Sekatan Stevenson dan Rancangan Peraturan Getah Antarabangsa. Namun cbaran
yang paling getir adalah saingan dari pengeluaran getah sintetik atau getah tiruan
di pasaran dunia yang dipelopori oleh Amerika Syarikat.
Kesan dari turun naik harga getah ini yang disebabkan kemelesetan ekonomi
sekitar 1920-1930 sangat besar ke atas Tanah Melayu. Sehinggakan pihak British
terpaksa melakukan pelbagai tindakan drastik seperti penubuhan RRI, penyususnan
semula pentadbiran ladang, mempelbagaikan jenis tanaman komoditi dan
sebagainya.
Namun peristiwa Perang Dunia Kedua hampir sahaja melumpuhkan kegiatan
ekonomi industri getah Tanah Melayu. Namun hingga kini, Malaysia masih

merupakan sebuah negara pengeluar getah asli dunia, namun bukanlah pengeluar
utama. Kini Malaysia berada ditangga ke tiga dibelakang Thailand dan Indonesia.