Anda di halaman 1dari 6

Isu-Isu Besar Negara: Peranan Para

Da'ie Dan Aktivis Parti


Isu-Isu Besar Negara: Peranan Para Da'ie Dan Aktivis Parti
1) Pengenalan
Setiap muslim wajib memelihara diri dan ugamanya daripada diganggu gugat
oleh anasir-anasir luar yang sentiasa berusaha merosakkan keaslian dan
kekuatannya. Ketahanan dan istiqamahnya berada di jalan Allah yang lurus akan
menjadi nilai yang besar di sisi Allah, bahawa muslim itu telah berjaya melalui
rangkaian ujian Allah ke atasnya di dunia ini.
Justeru setiap muslim wajiblah berusaha mengenal musuh dan perancangan
jahat mereka sebagaimana mereka juga wajib mengenal kawan dan saling
bekerja sama ke arah kebaikan demi menjaga dan menyelamatkan kelompok
yang beriman daripada dicerobohi tipu daya musuh.
Perancangan jahat musuh boleh dilihat dalam pelbagai sudut dan medan seperti
memesongkan akidah dan ghaibiyat, sejarah kewujudan makhluk dan sejarah
Islam, persoalan ilmu dan sains, adat dan budaya di samping menokok tambah
atau mengurangkan kesempurnaan Islam. Ramai umat Islam sendiri yang
terperangkap di dalam jerat para musuh disebabkan ketidak sediaan mereka
dengan perisai yang kukuh bagi mendepani fitnah dan serangan jahat ini.
Di antara perancangan musuh yang paling mendapat tempat dan perhatian
mereka di dalam meracuni pemikiran dan kesatuan umat Islam ialah
'mencetuskan dan mengeksploitasi isu-isu semasa masyarakat dan kehidupan'
yang mampu mengeruhkan kejernihan dan melonggarkan kepercayaan sesama
kelompok orang-orang yang beriman.
Maka, kemahiran menjawab, menolak, menangkis, mempertahan dan kembali
menyerang musuh adalah satu senjata milik setiap muslim yang perlu sentiasa
diasah dan ditajamkan. Dengan demikian, musuh akan mati kutu dan segala
perancangan mereka akan menjadi sia-sia di hadapan kelompok beriman yang
gagah perkasa.
2) Kategori Isu Dalam Masyarakat Dan Kehidupan
Ada tiga kategori isu yang sentiasa menghujani masyarakat dan negara;
1) Isu yang secara zahirnya menguntungkan pihak musuh atau kerajaan.
Ia pula samada perkara baik yang berlaku di dalam kem musuh atau perkara

buruk yang berlaku di sebelah pihak yang beriman. Contohnya, kejayaan musuh
atau pihak kerajaan mengelak pertembungan sesama mereka di dalam
pembahagian kerusi pilihanraya umum. Begitulah sebaliknya jika pihak
pembangkang gagal.
2) Isu yang secara zahirnya menguntungkan kem pihak pembangkang.
Ia juga samada perkara baik yang berlaku di dalam kelompok beriman atau
perkara buruk yang berlaku di sebelah kem musuh. Contohnya, pengiktirafan
pihak audit negara terhadap perjalanan kewangan negeri-negeri pembangkang
sebagai terbaik di antara negeri-negeri. Begitu juga skandal peribadi atau
kewangan yang melibatkan pemimpin kerajaan yang memerintah.
3) Isu yang untung ruginya bergantung kepada kebijaksanaan kedua-dua pihak
mengeksploitasikannya bagi pihak masing-masing.
Antara contoh isu tersebut adalah isu perkauman, isu kemajuan pembangunan
dan ekonomi negara, isu sosial, hiburan, anak muda dan lain-lain lagi yang
dimainkan oleh kedua-dua pihak bagi meraih sokongan dan undi.
3) Kewajiban Menjawab Dan Mengurus Isu
Isu-isu masyarakat dan kehidupan adalah ujian Allah ke atas hambaNya di
dunia. Justeru adalah menjadi kewajiban bagi setiap muslim, terutama orangorang yang berilmu untuk bersegera menjawab dan mengurus isu-isu yang
berlaku di dalam kehidupan seharian agar masyarakat Islam mampu
memperolehi jawaban dan penyelesaian yang diredhai oleh Allah.
Kegagalan menangani isu mengikut meraca ugama akan membawa fitnah yang
boleh merosakkan iman, akhlak dan kepercayaan umat Islam, apatah bukan
Islam terhadap kebenaran dan kekuatan Islam sebagai cara hidup.
Kita dapat melihat melalui beberapa petunjuk di bawah bagaimana Islam telah
mewajibkan umatnya, terutama para ilmuan dan pendakwah agar bersegera
menyelesaikan isu dan permasalahan semasa demi menyelamatkan umat
daripada tipu daya musuh.
1) Di dalam al Quran, Allah mengemukakan kekeliruan dan persoalan yang
dicanangkan oleh musuhNya, lalu menjawabnya secara langsung. Ia memberi
maksud jelas betapa segala isu yang melanda perlulah dijawab segera.
2) Allah merakamkan di dalam al Quran dialog para anbiya dengan musuh Allah
dan keupayaan mereka menjawab dan mematahkan hujah musuh. Dialog nabi
Musa dan Ibrahim dengan kaumnya termasuk raja mereka, Firaun dan Namrud
sebagai contoh, telah diulang-ulang di dalam al Quran. Ia juga satu petunjuk
jelas agar umat nabi Muhammad terus belajar dan bersedia

menghadapi serangan musuh dengan jawaban yang mematahkan hujah lawan.


3) Sirah RasuluLlah dipenuhi dengan dialog, mujadalah dan
penerangan yang berterusan dengan golongan kuffar. 13 tahun pertama dakwah
baginda dihiasi dengan riwayat-riwayat yang menceritakan bagaimana baginda
hidup dengan mengupas dan mendepani isu-isu yang disebarkan oleh musuh di
dalam masyarakat Mekah.
4) Seruan Allah di dalam al Quran agar setiap muslim berfikir, mengkaji, belajar
dan bertanya, selain nasihat, perbincangan dan melaksanakan sistem syura
mengenai segala persoalan hidup adalah sebagai satu persiapan yang
mencukupi agar setiap muslim mempunyai kemampuan untuk menghadapi
serangan meragukan umat terhadap ugamanya.
5) Musuh hari ini memiliki segala kekuatan kebendaan yang begitu canggih di
dalam melaksanakan propaganda memburuk-burukkan Islam melalui
penguasaan media dan politik. Jika tanpa kekuatan yang sama, terutama
kekuatan ilmu dan hujah, sudah pasti umat Islam akan begitu terdedah dengan
racun-racun yang memenuhi atmosfera kehidupan. Justeru keupayaan
menjawab isu adalah kewajiban semasa umat yang tidak boleh diabaikan lagi.
4) Bagaimana Menjawab Isu; Beberapa Contoh Semasa
Contoh 1; Isu akhlak dan etika pemimpin negara
Isu perbicaraan Anwar Ibrahim
- Kenali fakta kes : Tuduhan zina, liwat dan skandal akhlak yang buruk.
- Kategori isu : Satu isu yang zahirnya menguntungkan musuh atau kerajaan.
- Hukum Islam : Satu dosa besar apatah dilakukan seorang pemimpin. Satu dosa
besar jika menuduh (qazaf) tanpa bukti atau menyebarkannya di dalam
masyarakat. Termasuk dalam kes hukum hudud.
- Tasawwur dan situasi semasa : Anwar nafi. Hukum qazaf berlaku dan wajib
bawa saksi ke mahkamah syariah. Kes dibicara di mahkamah sivil. Masyarakat
terus diracuni dengan hukuman akhbar dan media.
Jalan penyelesaian memenangi isu :
Matlamat: Tukar isu agar memihak kepada kita dan senjata terhala kepada
musuh.
Cara:
1) Hidupkan isu qazaf dan dosanya di sisi Islam dan besarnya dosa
menyebarkan tuduhan zina.
2) Mesti dibicarakan di mahkamah syariah.
3) Lemah dan rapuhnya mahkamah sivil untuk mendengar penghujahan dan

persaksian yang disyaratkan ugama.


4) Anwar mangsa konspirasi politik pemerintah.
5) Mengata dulang paku serpih. Bagaimana musuh menghadapi isu moral
pemimpin mereka yang sentiasa terbongkar.
6) Islam jalan penyelesaian isu moral dan segala isu.
Contoh 2; Isu hukum Allah dan perlaksanaannya
Isu hukum Hudud
Kenali fakta kes: Halangan perlaksanaan hukum hudud oleh pihak kerajaan.
Kategori isu: Satu isu yang zahirnya menguntungkan pihak pembangkang.
Hukum Islam: Hukum jenayah syariah yang wajib dilaksanakan oleh negara
Islam. Dosa besar menolak, mempersoal dan memperlekeh hukum hudud.
Tasawwur dan situasi semasa: Kelantan dan Terengganu telah luluskan
enakmen perlaksanaan hudud. Kerajaan pusat menolak dan menghalang
perlaksanaannya. Kerajaan pusat jelas nyatakan tidak bersedia menerima dan
melaksanakan hukum hudud. Majoriti rakyat muslim mahu hukum hudud
dilaksanakan. Majoriti daripada minoriti non muslim menolak atau keliru tentang
hudud. Pernah diusulkan di
parlimen dan pernah disaman oleh orang UMNO.
Jalan penyelesaian memenangi isu;
Matlamat: Memaksimumkan keuntungan menarik sokongan pengundi tanpa
memberi peluang pihak memanipulasikannya.
Cara;
1) Jadikan bukti besar UMNO tolak Islam dengan menolak hudud.
2) Besarkan hukum menolak hukuman Allah yang difardhukan Allah.
3) Bincangkan maslahat dan hikmat hukum hudud dan semua hukum-hukum
Allah.
4) Hak majoriti umat Islam di dalam negara Malaysia.
5) Menerangkan hak-hak bukan Islam dan jaminan kesejahteraan non muslim di
dalam negara Islam.
6) DAP sudah sedia mendengar, sedangkan MCA terus menolak.
7) Bukti PAS konsisten memperjuangakan Islam
Contoh 3; Isu hak-hak asasi manusia
Isu RUU Perhimpunan Aman
Kenali fakta kes: Rang undang-undang baru sahaja diluluskan untuk menyekat
hak rakyat berhimpun secara aman.

Kategori isu: Bergantung kebijaksanaan kedua-dua pihak


mengeksploitasikannya.
Hukum Islam: Islam menjamin kebebasan rakyat bersuara dan mengharamkan
pencabulan hak.
Tasawwur dan situasi semasa: Rakyat mahukan lebih kebebasan menegur
pemerintah. Rakyat menolak kekacauan dan keganasan politik. Himpunan
Bersih 2. Janji mansuh ISA. Permit berhimpun yang berat sebelah. Keganasan
polis terhadap peserta demonstrasi. Kes mahkamah isu perhimpunan aman
yang dimenangi pembangkang. Pilihan raya yang dipenuhi pemalsuan yang
menyekat hak rakyat untuk bebas memilih.
Jalan penyelesaian memenangi isu:
Matlamat: Meyakinkan rakyat bahawa hak mereka telah disekat dan janji
kebebasan bersuara oleh kerajaan adalah retorik dan palsu.
Cara:
1) Menerangkan bahawa Islam adalah agama kebebasan selepas persaksian
bahawa perhambaan hanyalah kepada Allah.
2) Menerangkan hak kebebasan rakyat menegur pemerintah telah terlaksana di
dalam sejarah Islam tanpa sekatan dan ugutan.
3) Dunia moden hari ini semakin membuka hak-hak rakyat memilih dan menegur
pemerintah. Malaysia masih di takuk lama.
4) Akta ISA adalah tertolak oleh ugama dan hak asasi manusia.
5) Akta-akta lain yang mengongkong kebebaan maklumat kepada rakyat.
6) Janji kerajaan untuk membuka ruang kebebasan kepaa rakyat hanyalah tipu
daya menghadapi arus pembangkang.
5) Sumber Untuk Memahami Isu Dan Jawaban
Para da'ie dan aktivis parti sering kali gagal menjawab dan menerangkan isu-isu
yang berlegar di dalam masyarakat. Ini disebabkan beberapa faktor yang perlu di
atasi. Antaranya kurang pendedahan terhadap sumber yang mampu memberi
keterangan dan jawaban selain kurang minat untuk menyelami isu-isu yang
berlaku dan sekadar bergantung kepada ilmu dan kefahaman asas agama Islam.
Justeru mereka hendaklah berusaha memperbaiki sikap tersebut dengan
memahami kewajiban dakwah dan penerangan kepada hal ehwal dan isu -isu
kemasyarakatan yang kebanyakannya dimanipulasi oleh musuh Islam untuk
menyelewengkan umat Islam daripada ugamanya.
Berikut adalah sumber-sumber penting memperolehi maklumat dan jawaban di
dalam mendepani isu-isu semasa;
1) Akhbar rasmi PAS iaitu Harakah di samping akhbar-akhbar rakan

pembangkang yang lain. Sehingga kini, pembacaan akhbar Harakah di kalangan


pemimpin dan aktivis parti masih sederhana dan belum menyeluruh.
2) Media baru seperti portal berita di internet, blog, FB dan lain-lain saluran dan
gajet yang membantu menyebarkan maklumat secara lebih bebas dan berani.
Media baru sebenarnya telah banyak membantu kejayaan pembangkang dalam
pilihan raya umum yang terakhir baru-baru ini.
3) Ceramah-ceramah politik pembangkang. Cara tradisi ini banyak membantu
memahami isu dengan lebih mudah dengan penerangan oleh para penceramah
yang berwibawa.
4) Majlis usrah dan taklimat dalaman parti. Ini biasanya penting di dalam
memahami isu-isu dalaman yang lebih eksklusif dan rahsia.
5) Sembang kedai kopi dan majlis kemasyarakatan. Ini merupakan sumber tidak
formal yang banyak membantu masyarakat memahami isu secara mudah dan
dekat.
Penutup
Pilihanraya umum kali ke 13 sudah menghampiri. Isu-isu akan bertambunan
dihadapkan kepada masyarakat. Masyarakat akan memberikan perhatian khas
memahami isu politik negara pada musim tersebut. Pihak kerajaan akan
mengerahkan segala jentera kerjanya membeli undi dengan tipu daya yang
pelbagai. Maka keadaan adalah mendesak ke atas para da'ie dan aktivis parti
untuk segera membedah isu dan memahaminya dengan baik. Semoga
pengorbanan dan jihad semua diberkati Allah taala. Allahu akbar.
Kertas ringkasan disediakan oleh,
Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Untuk,
Multaqa Da'ie Dan Aktivis Islam Negeri Kedah,
06/01/2012