Anda di halaman 1dari 1

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh,


salam sejahtera dan salam 1Malaysia. Saya mengambil kesempatan ini untuk
mengucapkan selamat hari guru kepada semua guru. Hari guru yang disambut pada
16 Mei setiap tahun adalah tanda penghargaan dan pengiktirafan negara terhadap
jasa dan bakti para guru dalam mendidik anak bangsa menjadi insan yang berguna.
Tugas para guru pada hari ini adalah lebih mencabar. Ketika negara kita
sedang menuju ambang negara maju, di bahu para guru terpikul satu amanah yang
besar untuk melahirkan modal insan yang berkualiti untuk memacu kemajuan
negara. Murid perlu dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran baharu
untuk membolehkan mereka bersaing dalam persekitaran yang lebih kompetitif, baik
di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.
Ini termasuk kemahiran berfikir aras tinggi, keupayaan untuk menganalisa
dan mengaplikasi ilmu, kemahiran berkomunukasi serta daya kreativiti dan inovasi.
Segala ilmu dan kemahiran ini perlu diterapkan di dalam proses pegajaran dan
pembelajaran. Jika guru dapat melaksanakan tugas mengajar dengan berkesan,
maka murid yang dilahirkan bakal menguasai segala pengetahuan dan kemahiran
yang dihasratkan.
Pada masa yang sama, guru juga perlu memberi perhatian yang serius
kepada aspek akhlak, moral dan pembangunan sahsiah murid sejajar dengan
kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan insan yang seimbang.
Melahirkan insan yang berakhlak mulia dan berbudi pekerti yang terpuji adalah tugas
asas seorang guru. Tiada maknanya kita menempa kemajuan material tanpa
disokong oleh pengamalan nilai-nilai murni dan akhlak yang mulia. Kita perlu ingat
bahawa negara maju yang ingin kita bina adalah berasaskan acuan sendiri yang
mana nilai dan akhlak adalah tunjangnya yang utama.
Tema Hari Guru pada tahun ini "Guru: Membina Ilmu, Menyempurnakan
Akhlak" adalah amat bertepatan sekali dengan matlamat melahirkan insan yang
seimbang. Saya percaya dengan pelbagai inisiatif yang dirancang di bawah Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia, 2013-2025, dan sokongan guru-guru dalam
menjayakannya, cita-cita murni untuk melahirkan insan yang berilmu pengetahuan
dan berakhlak mulia akan kita capai.
Kepada guru-guru saya menyeru supaya anda semua berkhidmat dengan
lebih gigih, tekun, berdisiplin dan amanah. Saya percaya kegigihan anda semua
melaksanakan tugas akan melonjakkan mutu pendidikan di negara kita ke tahap
yang terbaik.
Akhirnya, saya sekali lagi mengucapkan selamat menyambut Hari Guru
kepada semua guru walau di mana anda berada. Terima kasih cikgu.
TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Timbalan Perdana Menteri
Merangkap Menteri Pendidikan Malaysia

Anda mungkin juga menyukai