Anda di halaman 1dari 11

CARA-CARA ANDA MENGATASI TEKANAN ATAU STRES

Setiap manusia tidak terlepas daripada menghadapi tekanan dalam kehidupan. Hal ini
bertepatan dengan maksud peribahasa, bumi mana yang tidak ditimpa hujan dan lautan
mana yang tidak bergelora. Bagaimanapun, tekanan yang dihadapi itu berbeza-beza
tahapnya. Tekanan yang dihadapi oleh golongan dewasa mungkin akibat memikirkan
masalah keluarga, kewangan atau kerjaya, manakala bagi remaja pula tekanan yang
dihadapi mungkin berkaitan dengan pelajaran, hubungan dengan rakan atau masalah
yang berkaitan dengan keluarga. Bagi sesetengah orang, tekanan mungkin membawa
kejayaan dan kebahagiaan dalam kehidupan, manakala yang lainnya pula
menganggap tekanan sebagai sumber kesengsaraan dan penderitaan sehingga
tekanan yang dihadapi itu membawa kepada pengakhiran kehidupan. Sebagai pelajar,
saya juga tidak terlepas daripada menghadapi tekanan yang berpunca daripada
pelbagai faktor terutamanya faktor pelajaran. Oleh hal yang demikian, sebelum nasi
menjadi bubur, beberapa langkah telah saya ambil bagi menangani masalah tekanan.
Kehidupan yang terlalu sibuk menyebabkan kita sering melupakan kegiatan yang
sangat berfaedah untuk kesihatan fizikal, mental dan psikologi kita. Kegiatan tersebut
ialah riadah, iaitu aktiviti yang sering dilakukan pada waktu lapang terutamanya pada
hujung minggu. Antara kegiatan riadah yang kerap saya lakukan ialah berbasikal,
joging, bermain futsal, bermain badminton, bersiar-siar di taman rekreasi dan
memancing ikan. Selepas bermain futsal dan badminton umpamanya, selain peluh
mengalir membasahi tubuh, kepenatan akan dapat dirasakan. Selepas mandi dan
membersihkan diri, saya akan berehat melepaskan lelah. Keadaan akan menjadi lebih
baik apabila saya dapat melelapkan mata. Oleh sebab kepenatan selepas melakukan
riadah, saya akan tidur dengan sangat lena. Hilang sebentar segala masalah yang
membelenggu diri. Tekanan pun menghindar dan akhirnya fikiran menjadi lapang. Ada
waktunya saya melakukan riadah bersama-sama ibu bapa saya. Peluang keemasan itu
saya gunakan sepenuhnya dengan melakukan perbincangan, sama ada yang berkaitan
dengan masalah peribadi, mahupun masalah pelajaran yang sering memberikan
tekanan kepada saya. Lantaran itu, saya menganggap kegiatan riadah sebagai
serampang dua mata yang membantu meningkatkan kesihatan diri di samping menjadi
salah satu cara untuk mengurangkan tekanan.
Sesungguhnya saya amat meyakini bahawa cara kita berfikir amat mempengaruhi
kesihatan diri, terutamanya kesihatan mental. Lantas, demi memastikan saya memiliki
kesihatan yang baik tanpa menghadapi tekanan, saya sentiasa berfikiran positif
apabila berhadapan dengan situasi yang kritikal dan sukar. Apabila menerima pujian,
saya tidak akan berbangga dengan pujian tersebut, sebaliknya saya akan memikirkan

sama ada pujian terebut diberikan secara ikhlas atau diberikan kepada saya kerana ada
udang di sebalik batu. Berkemungkinan pujian itu diberikan secara bersahaja, atau jika
tidak pun saya menerimanya sebagai satu penghargaan. Bagaimanapun, jika kritikan
atau teguran pula yang diberikan, saya akan menerimanya dengan minda terbuka dan
menganggapnya sebagai kritikan yang membina. Ibu sering mengingatkan saya
bahawa kritikan yang diberikan oleh seseorang itu sebenarnya lebih ikhlas dan memiliki
nilai kejujuran berbanding dengan pujian yang selalunya lebih bersifat palsu. Di sebalik
kritikan yang diterima itu saya akan melakukan muhasabah diri lalu membaiki segala
kekurangan yang ada agar saya tidak menerima kritikan yang sama pada waktu yang
lain pula. Sekiranya saya tidak dapat menerima kritikan tersebut, fikiran akan menjadi
tidak menentu dan kusut, lalu akhirnya saya akan terjerat dalam kancah tekanan yang
melampau. Natijahnya, saya sentiasa menghadapi tekanan dengan fikiran yang positif.
Saya ialah penggemar dan pencinta muzik sama ada muzik ciptaan anak tempatan
mahupun muzik antarabangsa. Seandainya muzik tidak didengar menerusi cakera
padat, masih ada muzik di dalam jiwa saya yang membuatkan kaki bergoyang. Bagi
saya, muzik pencetus kegembiraan dan keceriaan, walaupun sesekali muzik
mengundang kesedihan dan kedukaan. Hal ini bertepatan dengan pandangan ahli-ahli
psikologi bahawa muzik merupakan salah satu wahana terapi yang efesien dan sumber
ketenangan fikiran yang sering diabaikan. Apabila muzik bergema, hati akan dibuai oleh
alunan melodinya sehingga di luar kesedaran diri, saya seperti berada di alam yang
lain. Muzik yang rancak akan menyebabkan kaki bergoyang, manakala muzik
sentimental pula akan menjadikan diri dibuai perasaan. Seni katanya yang melankolik
akan menyumbang ke arah penghayatan yang tinggi seolah-olah saya turut merasakan
kedukaan yang sedang dialami oleh pelantun lagu tersebut. Jika tekanan menghimpit
perasaan, tanpa disedari saya telah melupakan sebentar tekanan tersebut dengan
bantuan muzik. Hal ini bertepatan dengan kata-kata pujangga yang menukil bahawa
muzik tak mungkin dapat dipisahkan daripada jiwa setiap manusia. Tanpa muzik juga
kehidupan akan menjadi sepi. Oleh itu, muzik bukan sahaja dapat menghiburkan hati,
malah muzik seperti memiliki kuasa magis yang berupaya mengurangkan
tekananyang saya hadapi, bertepatan dengan maksud peribahasa sambil menyelam
minum air.
Saya juga menjadikan ibadat sebagai salah satu cara untuk mengurangkan tekanan
yang dihadapi.Setiap hari saya akan mendirikan solat , sekurang-kurangnya lima kali
sehari kerana solat merupakan tiang agama. Apabila saya tidak mendirikan solat, hal ini
bermakna runtuhlah agama saya. Sesungguhnya, solat memberikan ketenangan yang
tidak dapat saya ungkapkan dengan kata-kata. Solat yang khusyuk akan menjadikan
saya melupakan semua tekanan yang saya hadapi, malah saya dapat merasakan
betapa dekatnya diri saya dengan Yang Maha Pencipta. Jiwa berasa tenang dan

damai, hati juga menjadi bersih. Benarlah seperti yang pernah dikatakan oleh seorang
penceramah gaya hidup sihat, Encik Norhisham Mustaffa bahawa solat merupakan
senaman yang paling ampuh untuk memberikan kesihatan terbaik buat tubuh badan
kita . Ketika rukuk dan sujud, darah akan mengalir dengan lebih sempurna di tubuh kita.
Demikian juga ketika saya duduk di antara dua sujud dan duduk tahyat awal serta akhir,
kedudukan tubuh dan jari-jari kaki memberikan bentuk senaman yang begitu berkesan.
Selepas mendirikan solat, saya akan berzikir yang mampu membersihkan dan
memberikan kedamaian kepada hati serta jiwa. Saya sangat menyedari dan menginsafi
bahawa hanya Allah yang dapat membantu saya dalam segala hal. Lantaran itu, saya
menjadikan ibadat sebagai usaha yang terbaik untuk menghindari dan mengurangkan
tekanan yang dihadapi.
Melancong merupakan aktiviti kekeluargaan yang amat saya nanti-nantikan.
Setiap tahun ayah dan ibu akan membawa saya serta adik melancong ke luar negara.
Sehingga kini kami telah melawat Indonesia, China, Kemboja dan India selain
melancong di dalam negara. Sejujurnya, setiap kali melancong saya dapat merasakan
keterujaan dan kegembiraan yang membolehkan saya melupakan segala masalah yang
membelenggu fikiran. Secara tidak langsung, tekanan yang mengganggu fikiran yang
berpunca daripada masalah yang dihadapi dapat saya atasi atau setidak-tidaknnya
dapat saya lupakan sebentar. Ketika melancong itu, saya dapat menikmati keindahan
dan keunikan panorama negara lain di samping menambahkan pengetahuan tentang
budaya dan sejarah negara tersebut, bertepatan dengan maksud peribahasa jauh
perjalanan luas pemandangan, banyak pula pengalaman. Ketika melawat Solo dan
Jogjakarta di Pulau Jawa, Indonesia umpamanya, saya dapat menyaksikan keunikan
budaya mereka walaupun kita masih dalam rumpun yang sama, iaitu Melayu. Seni tari
mereka sangat halus dan mempesona berdasarkan gerak jari tangan, kaki dan tubuh
mereka dengan iringan muzik gamelan yang syahdu. Adat di keraton pula masih
dikekalkan untuk tatapan pelancong walaupun sistem pemerintahan beraja tidak lagi
diamalkan di republik tersebut. Keunikan Candi Borobudur amat mengagumkan dengan
seni binanya yang amat halus. Keseluruhan aktiviti ketika melancong itu termasuk sesi
membeli-belah cukup membantu saya melupakan segala tekanan yang dihadapi.
Sebagai kesimpulan, terdapat pelbagai usaha yang saya lakukan untuk menghadapi
tekanan dalam kehidupan. Walau apa-apa pun yang berlaku, mahu atau tidak, saya
terpaksa menghadapi segala tekanan yang ada demi kelangsungan hidup yang lebih
bermakna. Tekanan merupakan masalah dan tekanan juga merupakan sumber
motivasi, justeru tanpa tekanan, hidup kurang berseri umpama pokok yang tidak
berbunga. Dengan tekanan jugalah fikiran saya menjadi lebih matang dan dewasa. Di
sebalik ketabahan saya menghadapi tekanan itu, saya masih memerlukan insan lain
untuk menghadapinya dengan lebih rasional. Dalam hal ini, kedua-dua ibu bapa akan

menjadi sumber rujukan saya di samping rakan-rakan sebaya yang rapat hubungannya
dengan saya. Saya juga tidak melupakan guru yang mendidik dan mengajar saya
menjadi insan berilmu. Sesungguhnya, hanya dengan ketabahan dan keimanan yang
kukuh dapat membantu saya menghadapi semua tekanan dengan tenang.

Kesan Pengambilan Makanan Segera


Apabila ada ura-ura untuk mencadangkan pengharaman iklan makanan segera
dalam media massa sama ada media cetak atau media elektronik oleh Kementerian
Kesihatan, banyak pihak memberikan pandangan yang berbeza-beza. Pandangan
tersebut sudah tentu bersifat positif dan negatif. Kebanyakan pandangan negatif adalah
berkaitan dengan kesan negatif terhadap ekonomi. Justeru, pakar-pakar ekonomi
berpendapat bahawa langkah tersebut sebagai suatu tindakan yang boleh memalapkan
ekonomi terutama dalam industri pengiklanan. Dalam hal ini, golongan tersebut lupa
bahawa tentang kerosakan dan komplikasi kesihatan yang berlaku apabila terlalu
banyak makan makanan segera. Adakah demi kelok ekonomi, kita sanggup berkorban
nyawa? Persoalan besar ini perlu direnungkan dengan sikap berlapang dada dan
berpandangan jauh.
Trend masyarakat masa kini turut mendorong perkembangan drastik industri
makanan segera. Masyarakat yang terlalu sibuk sama ada kesibukan tugas atau
kesibukan yang berpunca daripada rentak kehidupan masyarakat moden mendorong
mereka mencari jalan pintas dengan mengambil makanan segera sebagai alternatif
daripada makanan berat. Padah yang paling buruk daripada sikap tersebut apabila
sikap itu menjangkiti anak-anak pula. Jika beberapa dekad yang lalu, mi segera menjadi
pilihan makanan segera, kini terdapat ribuan jenama dikeluarkan atas keperluan
makanan segera. Selain kurang berkualiti dan kandungan zat makanan yang tidak
seimbang, makanan segera banyak membawa mudarat sebagai akibat kandungan
garam dan bahan pengawet yang berlebihan.
Pada hari ini, perkara yang membimbangkan berlaku dalam kalangan kanak-kanak
dan remaja, iaitu komplikasi kegemukan atau obesiti. Statistik sejak akhir-akhir ini
menunjukkan bahawa 25 hingga 30 peratus kanak-kanak di Malaysia menghadapi
masalah kegemukan. Bahaya kegemukan telah menjadi suatu sindrom baru rakyat
Malaysia yang dikatakan berpunca daripada pengambilan berlebihan makanan segera
yang mengandungi lemak dan gula yang tinggi. Makanan tersebut ialah aiskrim,
makanan yang berasaskan marjerin dan minuman berkarbonat di dalam tin adalah
antara makanan kegemaran kanak-kanak dan remaja kini. Bahaya yang paling serius
daripada kegemukan ialah risiko peningkatan kolesterol dalam darah.

Komplikasi dan radang tiga serangkai iaitu darah tinggi, buah pinggang dan sakit
jantung sentiasa menjadi perbualan hangat penyakit moden masa kini.Satu kajian yang
dibuat oleh Pusat Pendidikan Pacific Health di Bakerfield, California dan Prevention
Concepts Incorporated di Los Angeles yang melibatkan 200 pelajar sekolah
menunjukkan bahawa sebanyak 8 orang mengambil lemak tepu yang berlebihan
daripada makanan ringan yang disediakan. Selain itu, dalam mesyuarat Kolej Kardiologi
Amerika di Anaheim melaporkan risiko remaja menghadapi sakit jantung daripada
lebihan lemak tepu dan kolesterol yang terdapat dalam makanan segera adalah amat
tinggi.
Otak sewajarnya lebih sihat. Peribahasa pun ada menyatakan bahawa "otak yang
cerdas berada pada tubuh badan yang sihat". Walau bagaimanapun, kajian di Baycrest
Centre di Universiti Toronto, Kanada merumuskan bahawa makanan segera boleh
merosakkan fungsi otak. Hal ini berdasarkan kandungan makanan segera yang
mengandungi lebihan lemak yang boleh merosakkan daya konsentrasi dan tahap
ingatan. Otak memerlukan glukosa untuk berfungsi dengan baik, namun kandungan
lemak yang terlalu banyak boleh mengganggu peranan glukosa. Kajian Profesor
Greenwood dari Universiti Toronto menunjukkan bahawa makanan segera
mengandungi kadar lemak dan protein yang tinggi serta kandungan karbohidrat yang
rendah merupakan imbangan makanan yang tidak sesuai untuk perkembangan otak
manusia.
Selain itu, pelbagai komplikasi lain turut mengancam pengambilan makanan segera.
Ancaman tersebut ialah radang paru-paru yang boleh membawa kepada penyakit asma
yang kronik. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh pakar saintis dari Scotland dan
Arab Saudi dengan semua pengamal perubatan mendapati bahawa makanan ringan
menjadi punca meningkatnya penyakit alahan dalam kalangan kanak-kanak. Kajian
yang dilakukan terhadap 100 orang kanak-kanak yang mengambil makanan segera
menunjukkan bahawa mereka kurang mengambil makanan seperti buah-buahan,
sayur-sayuran, vitamin E, zat-zat logam dan susu amat mudah menghadapi risiko
diserang asma yang berlarutan.
Benarlah seperti telahan orang tua-tua, "jangan ambil senang jika tidak mahu
susah". Inilah musibah apabila masyarakat terlalu memilih jalan mudah termasuk dalam
hal makan minum. Makanan sebenarnya menjadi sumber untuk kesihatan dan
kesejahteraan, malang sekali apabila makanan turut membawa kesengsaraan kepada
manusia.

Keracunan Makanan
Apa itu keracunan makanan?
Keracunan makanan ialah apa jua penyakit yang disebabkan oleh pengambilan
makanan atau minuman yang tercemar.
Dilaporkan bahawa terdapat 6624 kes keracunan makanan pada tahun 2007 (kadar
insiden 26.44/100,000 penduduk).
Apa yang menyebabkan keracunan makanan?
Punca keracunan makanan:

Bakteria atau racun (toksin) bakteria tersebut dan virus.

Bahan kimia seperti racun serangga dan racun rumpai.

Logam berat seperti tembaga, raksa dan plumbum.

Tumbuhan dan hasil laut yang beracun seperti kulat, cendawan dan hasilan laut
bercengkerang seperti kekerang.

Apakah tanda dan gejala keracunan makanan?


Tanda dan gejala keracunan makanan bergantung kepada :

Agen penyebab keracunan tersebut

Amaun (dos) bakteria, virus atau toksin

Umur seseorang

Sistem ketahanan badan (imuniti) seseorang

Pesakit itu mungkin akan mengalami :

Rasa loya

Cirit-birit

Muntah-muntah

Sakit perut

Berpeluh/demam

Sakit kepala

Keletihan

Apakah kesan (komplikasi) daripada keracunan makanan?


Keracunan makanan boleh mengakibatkan kecacatan seperti lumpuh atau sakit sendisendi yang berpanjangan (kronik). Ia juga boleh mengakibatkan kematian jika tidak
mendapat rawatan awal.

Apakah yang menyebabkan terjadinya keracunan makanan?


Antara sebab terjadinya keracunan makanan adalah :

Makanan ditinggalkan pada suhu bilik untuk tempoh yang lama (lebih dari 4 jam).

Makanan tidak dimasak dengan sempurna.

Makanan tidak disimpan dengan baik (makanan yang mentah di disimpan


bersama dengan makanan yang telah dimasak).

Makanan tidak dipanaskan dengan sempurna.


Daging dan ayam beku tidak dinyahbekukan dengan sempurna sebelum
dimasak.

Amalan pengendalian makanan yang tidak bersih.

Makanan disediakan oleh orang sakit atau pembawa penyakit bawaan makanan.

Bagaimana untuk mengelakkan keracunan makanan?


Cara-cara untuk mengelakkan keracunan makanan :

Sentiasa menjaga kebersihan


o

Basuh tangan dengan betul sebelum mengendalikan makanan

Basuh tangan selepas keluar dari tandas

Basuh dengan bersih permukaan dan peralatan yang digunakan untuk


menyediakan makanan
o
Pastikan kawasan dapur bebas dari serangga , makhluk perosak dan
haiwan-haiwan yang lain
o

Sentiasa pisahkan makanan mentah dari yang telah dimasak:


Asingkan daging ayam dan makanan laut yang mentah dari yang telah
dimasak
o
Gunakan perkakas seperti pisau dan papan pemotong yang berbeza
untuk penyediaan makanan yang belum dimasak
o
Simpan makanan yang telah dimasak dan yang mentah didalam bekas
yang berbeza untuk mengelakkan dari pencemaran silang
o

Sentiasa masak dengan sempurna


o

Sentiasa simpan makanan pada suhu yang betul


o
o

Masak dengan sempuna, terutama sekali daging, ayam, telur dan


makanan laut
Jangan tinggalkan makanan pada suhu bilik lebih dari 4 jam
Simpan semua makanan yang telah dimasak dan yang mudah basi
didalam peti sejuk / peti sejuk beku
Sentiasa gunakan air dan bahan mentah yang bersih

Minum hanya air yang telah dimasak atau air minuman yang
dibotolkan/berbungkus.
o
Pilih makanan yang segar dan berkhasiat
o

Basuh buah-buahan dan sayur-sayuran dengan sempurna jika dimakan


mentah (ulam, salad)
o
Jangan makan makanan yang telah melepasi tarikh luput
o

Sentiasa pilih kedai makan yang bersih jika makan diluar


o

Hindari dari gerai/kedai makan yang kotor

Apa yang perlu saya lakukan jika mengalami keracunan makanan?

Segera ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan

Ikut nasihat doktor

Simpan makanan yang disyaki untuk siasatan oleh pegawai berkuasa

Pastikan tiada orang lain makan makanan tersebut

Maklumkan dengan segera Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat.

Karangan Keracunan Makanan(1):


Isu tentang keracunan makanan telah banyak kita dengar melalui media massa sejak
belakangan ini. Kejadian-kejadian seperti muntah-muntah, cirit-birit, sakit perut malahan
sehingga membawa kematian akibat keracunan makanan, telah menyebabkan isu ini
mendapat perhatian banyak pihak. Terdapat pelbagai punca berlakunya keracunan
makanan.

Keracunan makanan banyak berlaku disebabkan oleh kelalaian pengguna itu


sendiri. Kebanyakan anggota masyarakat tidak mempunyai pengetahuan tentang
kesempurnaan pengjagaan makanan. Kita perlu sedar bahawa kebersihan amat
penting dalam proses penyediaan makanan. Namun, ada antara kita yang tidak
mengetahui cara yang betul membasuh bahan makanan sebelum dimasak. Bahanbahan seperti ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan amat sensitif dengan perubahan
udara. Tanpa pembersihan yang teliti sebelum dimakan atau pun dimasak, kuman di
dalam bahan makanan akan membahayakan kita.

Selain itu makanan yang tercemar pasti mengundang bahaya keracunan


makanan. Pencemaran makanan berlaku apabila makanan yang disediakan atau
dihidangkan itu terdedah. Keadaan persekitaran yang kotor juga dapat mencemarkan

makanan. Hal ini sudah tentu menyebabkan makanan dihinggapi lalat, lipas dan tikus
yang membawa kuman dalam makanan. Impaknya keracunan makanan berlaku
apabila kita makan makanan yang sudah tercemar oleh kuman dan bakteria.

Keracunan makanan juga disebabkan kandungan racun yang berlebihan dalam


makanan. Para petani dan pekebun sayur yang menanam sayur-sayuran biasanya
menyembur racun serangga atau racun daun untuk memastikan tanaman mereka itu
hidup subur. Penggunaan racun yang berlebihan terhadap tanam-tanaman seperti sawi,
kalian, kobis dan bayam akan menyebabkan kandungan racun terserap ke dalam daun.
Kedaan ini sudah tentu membahayakan para pengguna jika bahan-bahan tersebut tidak
dibersihkan dengan teliti.

Konklusinya, kesedaran orang ramai tentang kebersihan makanan yang dimakan perlu
dipertingkatkan. Hal ini amat penting kerana gejala keracunan makanan akan dapat
menjejaskan kesihatan dan kualiti hidup kita. Oleh hal yang demikian, semua pihak
haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk menjamin kebersihan makanan
dan alam sekitar.

Karanagan(2):
Sejak kebelakangan ini, kes keracunan makanan kerap berlaku di sekolah-sekolah. Isu
ini bukanlah isi baharu kerana sebelum ini kes yang sama juga telah sering dilaporkan.
Oleh itu, sebagai manusia yang dijadikan sebagai khalifah oleh Allah di dunia ini, kita
perlu prihatin dengan kes keracunan makanan yang hangat dibincangkan ini.
Malangnya, masyarakat kita kurang faham akan masalah ini sehinggakan pelbagai
usaha untuk membendungnya masih kurang berhasil. Persoalannya di sini, apakah
punca-punca yang menyebabkan belakunya masalah ini? Oleh itu, pelbagai pihak
harus bekerjasama memikirkan punca-punca dan usaha-usaha untuk menangani kes
keracunan makanan ini.

Kes keracunan makanan yang sering berlaku di kebanyakan sekolah pada hari ini
disebabkan oleh pelbagai punca. Antaranya ialah kaedah penyediaan dan
penyimpanan makanan yang tidak bersih. Pihak pengusaha kantin tidak memastikan
bahan-bahan mentah yang hendak dimasak, dicuci sebersih-bersihnya terlebih dahulu.
Akibatnya, sayur-sayuran yang dimasak masih lagi mengandungi sisa-sisa racun
perosak, manakala bahan-bahan seperti ikan, daging dan ayam pula dicemari oleh

bakteria yang berbahaya. Tempat penyediaan makanan yang tidak bersih seperti
tempat memasak yang kotor dan udara yang tercemar oleh habuk juga boleh
menyebabkan keracunan makanan. Selain itu, minuman dalam tin atau kotak yang
mudah basi juga menjadi penyebab berlakunya permasalahan ini jika minuman ini
dibiarkan terdedah tanpa disimpan di tempat yang sewajarnya. Pendek kata,
penyediaan makanan secara tidak bersih akan menyebabkan kes keracunan makanan
berlaku.

Di samping itu, keadaan persekitaran kantin yang kotor menjadi punca kepada
keracunan makanan. Lantai kantin tidak pernah dibasuh dan terlalu kotor, terutamanya
di bahagian tempat memasak. Meja makan tidak pernah dilap dan masih terdapat
tumpahan makanan yang melekat di atas meja. Makanan yang disediakan pula jarang
sekali ditutup atau disimpan di tempat yang lebih sesuai dan bersih. Kawasan longkang
dan persekitaran kantin yang kotor pula menjadi tempat pembiakan serangga pembawa
penyakit seperti lalat, lipas, dan tikus. Tanpa diketahui oleh sesiapa, serangga dan
haiwan pembawa penyakit ini kemudian akan mensasarkan bahan mentah yang belum
dimasak, malah makanan yang telah disediakan sebagai makanan. Sikap pengusaha
kantin yang lalai dan tidak mementingkan kebersihan ini akan menyebabkan kes
keracunan makanan dalam kalangan pelajar sekolah semakin meningkat.

Keracunan makanan di sekolah amat berbahaya dan boleh membawa maut kepada
murid-murid. Oleh itu, pelbagai usaha perlu diambil untuk menangani masalah ini.
Pengusaha-pengusaha kantin perlu mematuhi syarat-syarat penyediaan makanan yang
telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Kementerian Kesihatan
Malaysia telah memberikan arahan supaya semua penjual makanan memakai apron
dan menggunakan peralatan yang bersih untuk menyediakan makanan, tetapi arahan
ini sering diabaikan oleh pengusaha dan pekerja di kantin sekolah. Pengusahapengusaha kantin harus memastikan makanan dan minuman disimpan dalam keadaan
yang bersih. Mereka harus menutup makanan agar tidak terdedah kepada habuk dan
lalat. Selain itu, pihak kantin harus memastikan dan menjaga kebersihan kantin. Pihak
kantin perlu sentiasa membersihkan kawasan kantin, terutamanya di bahagian tempat
memasak. Tindakan yang tegas tanpa kompromi harus dikenakan kepada pengusahapengusaha kantin yang ingkar kepada arahan tersebut

Selain itu, murid-murid juga disarankan agar mengutamakan kebersihan diri semasa
makan di kantin. Murid-murid sepatutnya mencuci tangan terlebih sebelum makan
supaya makanan yang dimakan tidak tercemar. Pihak sekolah juga boleh mengalakkan

pelajar menjaga kebersihan diri melalui kempen atau ceramah tentang kepentingan
kesihatan diri. Melalui kempen dan ceramah ini, pelajar boleh dididik tentang cara
pemakanan yang bersih. Mereka juga dapat dididik untuk memilih makanan yang bersih
serta berkhasiat demi kesihatan diri. Hal ini bukan sahaja dapat mengelakkan kes
keracunan makanan, malah dapat memupuk generasi muda tentang kepentingan
menjaga kebersihan pemakanan yang berkhasiat.

Selanjutnya, pihak sekolah hendaklah memastikan kawasan sekolah terutamanya


kantin sentiasa bersih dan bebas daripada pencemaran, di samping memastikan
pengusaha kantin mengutamakan mengikut pertauran pada setiap masa. Pihak sekolah
perlu mengarahkan pengusaha kantin membersihkan kawasan persekitaran kantin
sekiranya kotor. Meja, kerusi dan peralatan yang lain yang digunakan oleh pelajar untuk
makan juga mestilah bersih. Kualiti makanan yang disediakan kepada murid juga
perlulah dipantau selalu oleh pihak sekolah agar tiada makanan yang basi atau
tercemar dijual kepada murid. Pihak sekolah harus memastikan pelajar-pelajar juga
mempunyai tanggungjawab agar tidak membuang sisa-sisa makanan di merata-rata
kawasan sekolah terutamanya kantin.

Kesimpulannya, keracunan makanan yang berlaku di sekolah hendaklah dipandang


serius oleh pelbagai pihak. Hal ini demikian kerana kantin sekolah merupakan tempat
yang menjual makanan kepada murid sekolah dan murid pula tiada pilihan lain untuk
mendapatkan makanan. Kesihatan murid yang datang bersekolah untuk menimba ilmu
wajib dijaga. Maka, sewajarnya kantin sekolah dipersalah apabila berlakunya kes
keracunan makanan. Pihak sekolah pula perlu memantau kantin sekolah dari semasa
ke semasa agar kes keracunan makanan tidak berulang lagi. Janganlah apabila sudah
berlaku barulah hendak beringat peribahasa sudah terantuk baru tengadah.

Anda mungkin juga menyukai