Anda di halaman 1dari 15

RIANG RIA MERDEKA

Lari dan berlari..


Kanak-kanak berlari mengejar rakan
Riang bermain di senja hari
Membawa senjata palsu melawan musuh
Kononnya berperang menuntut merdeka
Adakah mereka kenal erti merdeka?

Sorak dan tawa..


Mereka gembira menawan musuh
Mendapat bendera tanda mereka menang
Bersorak-sorak
Melompat-lompat bertepuk tangan
Mengibar bendera menjadi tugu negara
Bangga berjaya mengalahkan musuh
Mereka menjerit mentertawakan yang tewas
Mentari melabuhkan tirainya
Malam menyusul bersama bulan dan bintang
Keheningan malam membangkitkan suasana
Penat bermain di siang hari
Kini lena diulit mimpi
Adik-adikku..
Mengertikah engkau maksud kemerdekaan?
Di sebalik bermain perang menentang musuh
Apakah engkau mengerti apa itu pengorbanan?
Setelah puas ketawa, bersorak dan gembira..
Wahai adik-adikku..
Hayatilah erti kemerdekaan
Ingatilah perwira-perwira negara menuntut kemerdekaan
Kelak engkau akan faham
Mengapa merdeka perlu dipertahankan
Mengapa bendera dikibarkan
Mengapa tugu negara dibina

Mengapa Malaysia harus cemerlang, gemilang dan terbilang


Kibarkanlah jalur gemilang
Tabikla perwira-perwira negara
Jadila rakyat yang mengerti apa itu kemerdekaan
Adik-adikku..
Bergembirala
Bersorakla
Bila engkau tahu apa itu kemerdekaan
Kerana engkau akan mengerti apa tanggungjawabmu.

Nurkilan Md.Rz @ Mohd Rozaimie..Ogos07

NEGARAKU BEBAS MERDEKA


Kini..
tiada lagi tangisan insan terseksa
terkapai-kapai lemas mencari daratan
berkorban jiwa pertahan negara
penjajah durjana merampas segala
50 tahun dahaulu..
stadium merdeka menjadi saksi
negaraku merdeka
rakyatku tidak lagi sengsara
menangis gembira mendapat cahaya
Merdeka..
tiada lagi penjajahan..
tiada lagi penderitaan..
tiada lagi jeritan penyiksaan..
tanah air ditadbir insan bijak bestari..
memimpin negara mengukir nama..
Kini..
50 tahun sudah merdeka..
negaraku cemerlang, gemilang dan terbilang
burung berkicau bebas berterbangan
menjadi tanda negaraku aman daman
Maju berteknologi
kearah mencapai wawasan 2020.
kugenggam erat amanah pejuang tanah air
pertahanlah kemerdekaan
teruskanlah kemajuan disebalik tirai kemerdekaan
sematkanlah semangat jiwa bangsa dilubuk hati
semoga kekal selamanya
merdeka tetap merdeka..
Nurkilan Md.Rz..July07

HUJAN MERDEKA
Di langit Ogos
awan gembira mengkhabarkan
hujan merdeka turun lagi
untuk kesekian kalinya
membasahi bumi keramat ini
dinginnya merangkul perasaan nusa
syahdunya menyelimuti hati pembela
damainya bertakhta di tiap jiwa anak-anak bangsa.
Telah kutemui mutiara yang tersembunyi
dalam denai-denai usia yang menjanjikan kebahagiaan
kukecapi aroma pembangunan
kukucupi wangian pembebasan
dan telah kuwarnai kanvas jati diri
mengikut lakaran budaya dan potret bangsaku.
Hujan merdeka turun lagi
titisnya menjelajahi hati srikandi
pertiwi tersenyum menerimamu
memeluk janji yang termetarai
harapan yang terkota
teguh mengepung cinta.
Terima kasih, hujan merdeka
walau langit Ogos berlalu
titisnya membasahi sepanjang musim.
"ZULKIFLI MOHD TOP"
"Universiti Malaya"

DI PENTAS KEBEBASAN
Kamu membakar hutan bandar
kedai dan kereta disambar api kemarahan semarak darah generasi abad dua
puluh satu
siapa yang ditentang juga jelas
menegakkan keadilan dengan tangan kasar
meja rundingan pun turut dibakar.
Seorang tua termanggu melihat kejadian
peristiwa yang tidak terlintas di fikiran
apakah yang dicari wahai anak muda?
Aku yang membina tiang kemerdekaan
kau bersorak bangga mematahkan.
Aku yang mengecat tugu sejarah
putih bersih sedap mata memandang
kau conteng dengan niat hitam.
Jari terketar tak mampu menampar
tangannya letih hendak menangani
mereka yang bingung di pentas kebebasan
tercari-cari nama negeri bumi yang dipijak
sedangkan ladang sudah dibajak
benih sudah dipilih untuk disemai.
Orang tua itu berbisik sedih
aku membina kamu meruntuhkan.
KHADIJAH HASHIM
Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur

31 OGOS TIBA LAGI


31 OGOS TIBA LAGI
Setiap kali tibamu Ogos
mengerling monumen yang lusuh dan tugu berdarah
dalam matang akal fikir
semangat dan kudrat masih berbaki
merisik khabar pejuang yang jauh
dalam lipatan darmawisata merdeka
mahalnya nostalgia.
Manis dan comelmu Ogos ini tiba jua
menyentak lolong makrifat membiak musim
ceriteranya berderai plotnya berkecai
mengirai skrip duga yang tak sudah
atas aspal fatamorgana bumi bertuah.
Ogos yang sujud di kaki merdeka
tanggal tiga puluh satumu tidak pernah hilang
tetap menyimpul senyum
meskipun termateri kenangan pahit
yang mahal dan cantik.
Hari ini mentari 31 Ogos memancar lagi
bersama gemersik angin di bumi bertuah
mendewasakan ukhuwah dan ummah
siap siaga warga berdaulat memahat sejarah
dalam tamadun bangsa yang gah.
Terima kasih pejuang tanah merdeka
terima kasih aduhai tanah airku Malaysia!
WAN ZAHARI WAN ALI,
SMK Saujana, Setiu, Terengganu.

KETAATAN DALAM KEMERDEKAAN


KETAATAN DAN KEBERANIAN
Berjanjilah kami demi keberanian
melalui suara-suara hijaz
putaran kemerdekaan
menyusur sungai-sungai mati
kepada insan seikat masyarakat
yang telah bebas.
Dalam sejarah kepahitanmu
terselit larian aku anak kecil
dibentuk dalam kelas-kelas rendah
hingga ke kamar dewasa
jiwa ini digantung loceng mongel
lalu direntap-rentap
terbawa-bawa.
Titisan darah ibuku
pada papan cendana pejal
masih melekat di situ
di perigi yang telah terkambus
hanyir masih terbau
tembuni dalam diam berubah fosil
atas tanah yang merdeka.
Seperti selalu
berlarilah kami dengan sebuah bendera kecil
menyamai pemberian hadiah bapamu
kami menyebut MERDEKA!!!
MERDEKA!!! MERDEKA!!!!
NAFISA
Marang, Terengganu

MENYAMBUT MERDEKA
MENYAMBUT MERDEKA
Sambutannya berulang lagi
saban tahun ia kembali
keranamu Malaysia aku di sini
menabur bakti ibu pertiwi.
Jalur gemilang berkibar megah
sana sini mencipta indah
namun segelintir tiada endah
satukan hati bukannya mudah.
Hanya Malaysia negara tercinta
pejuang bersusah untuk merdeka
jangan siakan apa yang ada
sayangilah tumpah darah kita.
ZAINAL ABIDIN AHMAD
BTP
012-2855100

POKOK BANGSA
POKOK BANGSA ITU ADALAH KITA
Anak merdeka alaf baru!
antara bunga mimpi dan tragedi
dalam membina generasi globalisasi
bukanlah semudah mencipta
cerita kosong di kedai kopi
atau membiarkan bangsa kita dijajah lagi.
Anak merdeka alaf baru!
tanamlah, semailah, bajailah
anak pribumi agar tumbuh menjulang tinggi
demi generasi dan agama
mentafsir wawasan membina jati diri
meraih akar dalam tunjang diri
menegak pepohon yang merendangkan
dedaun semangat.
Anak merdeka alaf baru
siramkanlah falsafah minda
jangan biarkan kering dan mati
kerana pokok bangsa itu adalah serumpun
kerana pokok bangsa itu
adalah kita yang merdeka.
AMYLIA HUSSAIN
Jambatan Merdeka, Sg. Petani

Rumah Usang
Kata orang negara itu tanah, air, angin, gunung, hutan, sungai dan lautan;
Tapi sebenarnya,
Negara itu rumah,
Dan rakyat ahli keluarganya
Mungkin rumah kita ini sudah usang,
49 tahun usianya, dan ada yang bertanya
Apa perlunya diagungkan rumah yang usang?
Barangkali kita lupa,
Zaman kita dibodohkan oleh british,
Kata-kata manis, taburan janji,
kita dihina di tanah sendiri.
Mungkin juga kita lupa,
Pada kemarau yang dibawa
Dari terik matahari jepun.
Kita menjadi abdi ditanah sendiri,
Betapa peritnya bila difikirkan kembali.
Dan kita terlupa,
Setelah terbenam si matahari,
13 malam kita lalui,
Gelap gelita semuanya,
Yang kelihatan, hanya 3 butir bintang,
Dari sinaran itu, Seribu derita seribu bencana kita merasa,
Hanya dari 3 butir bintang
Mungkin benar, rumah kita sudah usang,
Tapi dirumah usang inilah segala mimpi menjadi nyata,
jangan kita lupa,
Rumah usang ini dibina dari darah keringat,
Air mata dan derita.
Kata orang, melayu mudah lupa,
Tapi sebenarnya,

Melayu, Cina India,


Kita semua memang mudah lupa.

TRAGEDI DULU
KINI KIAN HALUS MERAPATI KITA

Bumi ini pernah diulit tragedi


mimpi ngeri berdarah
deritanya hingga ke tulang sendi
Anak-anak dulu takut pada pedang
dari Matahari Terbit
Anak-anak dulu gementar pada senapang
dari Barat yang jauh
Kini semua ini
usahkan gentar
malah menjadi suatu kebanggaan
terucap di lidah
pada tubuh-tubuh
pada mata dan budaya
Jika dahulu mereka menjajah fizikal kita
kita tentang dengan minda merdeka
Namun hari ini,
mereka menjajah minda anak-anak kita
Tanpa minda merdeka, mampukah fizikal kita
menjadi benteng kemerdekaan?
Tragedi dahulu,
kini perlahan-lahan
halus, diam, merapati kita
bersahabat dengan minda anak-anak kita.
Amiene Rev (C) 2007

SAYANGKAH KITA PADA NEGARA?

Sayangkah kita pada negara?


atau pada diri kita?
Keluarga kita?
Anak-anak kita, jika ada?

Sanak saudara kita, jika ada?

Agama kita, jika ada?

Tanah tanih kita?

Sudah semestinya ada!

Sayangkah kita pada negara?

Merdeka negara merdekakah kita?

Jika ya, buang karat-karat Barat!

Kita rakyat Timur,

jangan gementar genggaman kita

kuat berpegang pada apa

janji kita pada darah kita.

Nukilan: Amiene Rev (C) 2007

MERDEKA DALAM TANGISAN DARAH

Negara kita bebas dengan bayaran darah

dengan janji-janji yang menjadi korban

dengan kata telus pembakar api harmoni

Jiwa berbeza bangsa bersatu dalam hati

Namun hari ini kita rasa kita merdeka

Sedangkan nenek moyang kita telah abdi

Pada janji yang mencetus tangis darah

Darah mereka dibiar mengalir sia-sia

Angkara kita rapuh biar minda dijajah

Dan moyang kita terus menangis

Biar negara kita maju

Dan moyang kita tetap terus menangis

Kerana Melayu dan adatnya sudah jauh

semakin lama meninggalkan kita

Di mana adab apabila berdepan orang tua?

Di mana adab apabila berkunjung ke rumah orang?

Di mana adab apabila berdepan dengan Tok Ketua?

Di mana adat menjunjung budaya?

Nenek moyang kita menangis lagi...

Kita sambut merdeka dalam tangisan darah.