Anda di halaman 1dari 15

Saturday, February 20, 2010

Pengembaraan Tamim II (sambungan)

Kisah 'Pengembaraan Tamim II' ini merupakan sambungan daripada kisah yang
sebelum ini. Daripada kisah ini ianya agar sukar dari yang sebelumnya.Terdapat di
dalamnya perkataan-perkataan yang agak sukar difahami kerana ia di ambil terus dari
Kitab Hikayat ini bagi mengekalkan keasliannya dan kefahaman dari apa yang hendak
disampaikan melalui kitab tersebut. Selamat membaca!

Setelah di rasa dirinya jatuh ke dalam laut itu, maka berenanglah ia hinggalah sampai
kepada suatu pulau yang berada di tengah-tengah laut itu. Naiklah ia ke pulau itu dan
dengan takdir Allah s.w.t. datanglah seekor unggas yang sangat indah rupanya dan
berbagai-bagai pula warnanya,bulunya terdiri daripada merah,kuning, hijau, putih dan
hitam yang berbagai-bagai yang indah-indah. Maka dihampirilah unggas itu kepada
Tamim lantas berkata, "Hai hamba Allah Taala minumlah air ini yang dibawa oleh
hamba ini."

Setelah di dengar kata dari unggas itu maka minumlah dengan segera air yang keluar
dari perut unggas tersebut. Air yang lazat itu membuatkan Tamim terhenti kerana terlalu
nikmat rasanya lagi amat harum baunya daripada ambar dan kesturi. Setelah hilang sudah
lelahnya maka dengan takdir Allah s.w.t. maka lemahlah sekalian tulang dan sendinya
dan berkatalah oleh unggas itu," Hai Tamim lemahlah engkau tatkala diterbangkan jin itu
kerana ia terbang terlalulah amat kerasnya terlebih daripada orang yang dijadikan oleh
Allah Taala di dalam dunia dan pantasnya terlebih daripada kilat itu."

Maka dijawab Tamim pula, "Sesungguhnya seperti kata tuan hamba itu, terlalulah
sangat lemahnya kerana terbangnya itu terlampauan sangat-sangat dan lagi sebab kerana
laparnya dan dahaganya hamba." Seraya ia bertanya, "Engkau, siapa tuan hamba yang
dititahkan Allah s.w.t. mendapatkan tuan hamba ke mari ini. Berkata benarlah tuan
hamba kepada hamba, mengapa maka tuan hamba diam kepada tempat ini. Ada apa
'ambalan' tuan hamba di sini."
Maka jawab unggas itu, "Nabi Allah Ishak a.s. disuruhnya diam di sini akan menunggui
pulau itu dan menunjukkan jalan bagi hamba Allah sekalian yang sesat. Itulah sebab
diamnya hamba di sini hingga sekarang ini. "Hai Tamim berjalanlah tuan hamba dari sini
dan jangan lagi tuan hamba di sini jikalau tuan hamba dari sini berjalan Insya Allah
Taala oleh tuan hamba bertemu seorang laki-laki yang amat elok rupanya, sama-sama di
tengah jalan itu dan berbaju hijau dan tengkoloknya pun hijau ialah akan dapat
menunjukkan tuan hamba jalan yang betul."

Setelah sudah, Tamim pun berjalan dari sana tiga hari tiga malam dan sampailah kepada
sebuah sungai yang amat indah rupanya dan kepada tepi sungai itu ada sepohon kayu,
pohon delima belaka sepanjang sungai itu. Dilihatnya di dalam berjalan itu dan dilihatnya
pula sebuah masjid ada seorang orang muda terlalu elok rupanya dan terlalu manis
mukanya. Keadaannya itu berbaju hijau dan tengkoloknya pun hijau.

Setelah dilihatnya oleh orang muda itu akan Tamim yang berjalan diluar masjid itu maka
diseru oleh orang muda itu seraya katanya, " Marilah engkau ke mari hai Tamim ibn
Habibul Dari supaya dapatlah berkata-kata kepada hamba di sini." Apabila di dengar
akan Tamim akan seruan pemuda itu maka ia pun masuklah ke dalam masjid
mendapatkan orang muda itu.

Berkatalah pemuda itu ." Hai Tamim terlalu ajaib khabar tuan hamba ini dan terlalu jauh
sekali perjalanan tuan ini, tiada pernah sekali-kali hamba Allah sampai kepada tempat
ini." Seraya diberinya buah delima yang masak itu dan disambut oleh Tamim lalu
dimakannya. Setelah sudah ia makan buah delima itu maka kata Tamim ," Demi Tuhan
yang menjadikan seru sekalian alam, tidak pernah hamba rasai buah delima ini dan
terlebih nikmat rasanya akan dia." Serta ia berkata, "Hai orang muda unjukkan apalah
akan hamba jalan yang betul kerana hamba hendak pulang ke Benua Madinah."
Maka jawab oleh orang muda itu, "Hai Tamim ibn Habibul Dari, jalanlah tuan hamba
dari sini akan terlebih ajaib dan terlebih indah-indah di hadapan tuan hamba itu, terlebih
indah-indah pula dari yang dahulu itu.Maka bersegeralah tuan hamba berjalan dan tuan
hamba akan bertemu hamba yang menunjukkan jalan yang betul itu." Maka berjalanlah
Tamim dengan lapar dan dahaganya serta ia bertawakkal kepada Allah Taala. Dengan
takdir Allah Taala bertemulah ia dengan sebuah negeri yang terlalu indah lagi elok
perbuatannya dan terlalu ajaib pula negeri itu. Sekaliannya dari emas sepuluh mutu
belaka dan pada keliling negeri itu daripada baiduri dan berumbai-umbaikan mutiara dan
bersadurkan dengan perak yang maha putih. demikianlah rupanya dan pintunya negeri itu
daripada emas sepuluh mutu bersadurkan manikam yang merah dan pintunya itu tertutup
dan tersurat di atas pintunya itu kalimah, 'La ilaha illAllah Muhammad Rasul Allah',
maka itulah kuncinya pintu itu. Maka berjalanlah Tamim menghampiri pintu negeri itu,
maka dilihatnya pula di atas pintu itu tersurat demikian bunyinya, "Barangsiapa hendak
masuk ke dalam negeri ini, maka bacalah ia kalimah ' La ilaha ILLALLAH Muhammad
Rasul Allah' yang tersurat kepada pintu itu." Maka terbukalah dengan sendirinya assebab
dibaca oleh Tamim kalimah itu dan masuklah Tamim ke dalam negeri itu dan dilihatnya
akan rupa negeri itu terlalu indah-indah dan ajaib-ajaib sekali akan tanahnya daripada
'ya'kut' danbatunya pusparagam dan pasirnya daripada emas sepuluh mutu berumbai-
umbaikan mutiara dan berapa ribu batang pintunya di dalamnya segalanya itu daripada
emas bertatakan ratna mutu manikam dan pusparagam. Dan berapa tabirnya itu berlapis-
lapis dewanga khatifah yang beremas dan kainnya daripada sandos wastabrok dan baldu
yang beremas tergantung di atas pintu itu sekaliannya.

Maka dilihatnya oleh Tamim akan kebesaran Allah s.w.t. yang demikian itu takjublah
dan hairanlah ia akan kekayaan Allah s.w.t. yang tiada pernah dilihatnnya oleh orang
muda, itulah yang dilihatnya, lalu berjalanlah ia ke dalam negeri itu. Dilihatnya orang
muda-muda dan orang tua-tua duduk bersandar kepada dinding memegang pedang yang
terhunus dan berlumur dengan darah sekaliannya. Dan bahawa darah itu yang terlalu
harum daripada khelembang dan ambar dan kesturi dan gaharu maka ia pun memberi
salam kepada orang itu dan disahutlah akan mereka.

Maka ia pun beberapa sungai berisi nikmat belaka. Suatu sungai itu tanahnya daripada
kapur barus dan pasirnya daripada nilam pualam dan airnya daripada susu. Dan lagi suatu
sungai itu demikian itu juga tanahnya daripada ambar dan batunya daripada mutiara dan
pasirnya daripada emas sepuluh mutu dan airnya daripada madu yang amat lazat rasanya.

Maka ada sebuah lagi sungainya demikian juga besarnya akan tanahnya sungai itu
daripada kesturi dan pasirnya daripada nilam pualam tampaknya daripada narwastu yang
amat harum baunya dan airnya daripada air manis. Dan lagi pada sebuah sungai itu
demikian juga besarnya dan dripada tanahnya emas sepuluh mutu juga dan pasirnya
daripada lu'lu'wal marjana dan tempat daripada 'ja'afar' dan airnya manis juga.

Maka demikianlah dilihat oleh Tamim akan perbuatan sungai itu yang terlalu ajaib belaka
dan airnya pun lazat rasanya. Maka dia pun minumlah air itu. Demikianlah nikmat
sekalian belaka seraya ia tawaduk akan Tuhannya yang sebenarnya.
Setelah sudah merasai nikmat maka ia pun berjalanlah ke tengah-tengah negeri itu dan
dilihatnya pula pada tiap-tiap kota itu banyak segala perempuan, anak dara-dara duduk di
dalam kota yang berkeemasan yang bertatahkan ratna mutu manikam dan berumbai-
umbai akan mutiara sekaliannya dan lagi gilang gemilang cahaya mukanya terlebih
daripada cahaya bulan dan matahari. Maka tiada dapat di tentang dengan nyata dan
kepada tubuhnya beberapa pakaian daripada emas dan perak dan lagi daripada beberapa
jenis permata dan intan yang tiada terhisabkan lagi akan banyaknya demi seorang kepada
seorang.

Demikian juga mereka itu memakai pakaian yang indah-indah daripada sandos wastabrok
dan mereka itu memakai kain yang indah lagi dan lagi makanan yang amat lazat rasanya
itu dan beberapa minuman daripada 'Syariban thahuro' itu sekaliannya ada belaka.
Setelah berapa lamanya berjalan maka ia punberhentilah kepada suatu tempat sambil
makan minum, merasalah akan nikmat dan minumannya itu yang mana dikehendaki.

Setelah sampailah tiga hari tiga malam di dalam negeri itu maka ia pun berjalanlah ke
sana ke mari membawa dirinya daripada kesusahan seraya berfikirlah di dalam hatinya,
"Jikalau demikian ini,baiklah aku diam di dalam negeri ini yang terlalu banyak
makanannya di dalam negeri ini." Seraya ia makan segala nikmat di dalam negeri itu
maka tiba-tiba datang dua orang berkuda. Adalah kaki kudanya itu putih dan kepalanya
pun putih juga.

Maka ia pun berkata kepada perempuan yang duduk di atas kota itu, "Hai segala anak-
anak bidadari yang di dalam syurga ini.Engkau tanyakanlah segal orang yang mati syahid
itu maka negkau katakanlah ia akan pembalasannya yang berperang Sabilullah dahulunya
itu supaya dilihat oleh Tamim ibn Habibul Dari ini. Berkhabarlah kepada segala
Mukminin di dalam dunia maka itulah akan bahagian segala hamba Allah yang mati
syahid itu."

Demikianlah ia sangat dimuliakan oleh Allah Taala dianya dan lagi dilebihkan Allah
Taala pahalanya segala orang yang mati syahid itu. Maka supaya Tamim ibn Habibul
Dari berkhabar kepada segala mukminin yang di dalam dunia itu supaya gemar segala
mukminin berperang Sabilullah.

Demikianlah engkau lihat hai Tamim adapun orang yang mati syahid itu sangatlah ia
dimuliakan oleh Allah Taala maka kata orang itu," Hai Tamim ibn Habibul Dari
keluarlah engkau dari sini." Maka disahut Tamim ibn Habibul Dari ,"Tiada hamba mahu
keluar lagi kerana hamba hendak diam di dlam negeri ini kerana banyaklah nikmatnya di
dalam negeri ini."

Maka berkatalah orang yang berkuda itu,"Hai Tamim, tiada boleh orang yang hidup di
dalam negeri ini melainkan kemudian daripada matinya. Hai Tamim segeralah engkau
keluar dari dalam negeri ini kerana tubuhmu itu diharamkan Allah Taala api neraka.
Syurga inilah akan tempat engkau nanti." "Sedangkan Nabi Allah Idris a.s itu betapa
perinya maka ia masuk syurga dengan hidupnya itu dan akan hamba pun demikian juga
kehendak hamba kerana tiada pernah hamba mendengar orang yang masuk syurga konon
pula keluar." Maka kata malaikat kedua itu," Hai Tamim adapun Hikayat Nabi Idris itu ia
masuk syurga itu demikianlah Hikayatnya ada kepada suatu hari ia minta akan doa
kepada Allah Taala akan syurga. Dengan seketika itu juga maka diperolehnyalah akan
permintaannya itu kepada Allah Taala itu, maka ia pergi ke dalam syurga itu dibawanya
oleh Jibril. Maka ia pun duduk di dalam syurga. Setelah saat ia berjalan itu maka berkata
Nabi Allah Idris a.s.,"Hai taulanku akan hamba punya kaus itu suda tinggal di dalam
syurga tadi." Setelah itu maka berbalik kembali ia mengambil akan kausnya itu.

Setelah itu ia masuk ke dalam syurga maka dinantikan oleh Izrail belum juga ia keluar.
Maka diseru oleh Izrail akan dia maka tiadalah mahu keluar lagi. Setelah itu maka Izrail
itu pun kembali menghadap ke hadrat Allah Taala demikian sembahnya,"Ya Illahi Ya
Rabbi ya mauli ya Tuhanku, Engkau jua yang terlebih tahu akan hal ehwal kekasih-Mu
Nabi Allah Idris itu. Tiada mahu ia keluar dari dalam syurga itu."

Maka Firman Allah s.w.t. ,"Hai Izrail, tiadakah engkau tahu dan ketahui ia,Aku juga yang
mengetahui dia. Adapun kekasih-Ku, biarlah ia duduk di dalam syurga itu."Demikianlah
Hikayatnya hai Tamim, maka segeralah engkau keluar dari dalam syurga itu. Janganlah
banyak permintaanmu kerana engkau seorang hamba Allah yang khalik namanya dan lagi
sempurna engkau menjunjungi kurnia titah Tuhanmu yang sedia selama-lamanya."

Maka Tamim ibn Habibul Dari pergi kerpada orang yang berkuda itu, "Hai hamba
allah,betapa perinya hamba hendak pulang ke negeri hamba." Maka kata malaikat itu,"
Hai hamba Allah Tamim,jalanlah engkau dari sini dan janganlah engkau takut
lagi,insyaAllah Taala maka segeralah engkau sampai ke negerimu. Hai Tamim jikalau
tuan hamba sampai ke negeri tuan hamba itu, maka hendaklah hamba berkhabar yang hak
sebenarnya seperti mana-mana tuan hamba melihat itu. Maka tuan hamba melihat itu,
maka tuan hamba khabarkan kepadanya, mudah-mudahan dengan kurnia Allah Taala
maka mahulah ia berbuat takut kepada Allah Taala dan mendengar jalan yang sudah
dijauhi ia segala larangannya itu. Maka inilah akan balasannya dinugerahi oleh Allah
Taala atasnya.. Hai Tamim berkhabarlah juga tuan hamba kerana khabaran tuan hamba
itu terlalu ajaib didengarnya oleh segala Mukminin datang kepada hari kiamat Jumaat."

Maka Tamim ibn Habibul Dari pun keluar dari dalam syurga itu seperti tiada akan keluar
rasanya lagi. Lalu berjalanlah seraya menjunjungi tangannya keduanya ke atas kepalanya
serta dengan dukacitanya itu.

Setelah itu tiga hari tiga malam ia berjalan maka sampailah ia kepada pintu negeri itu
seraya ia makan dan minum nikmat yang amat citarasanya seraya mengucap, 'La Ilaha
ILLALLAH Muhammad Rasul Allah' maka terbukalah pintu itu dengan sendirinya.
Maka Tamim pun keluarlah dari dalam syurga itu dengan kesenangannya, maka kami di
sini mendapat kesusahan pula.

Tiga hari tiga malam ia berjalan itu maka dilihatnya suatu cahaya yang amat gilang
gemilang cahayanya itu seperti kandil yang amat terang. Demikian rupanya maka
berkata-katalah di dalam hatinya,"Inilah rumah orang bertapa bermasak-masak
nasi.Inilah apinya yang kelihatan itu membetulilah cahaya itu." Seraya jalan juga ia ke
sana.

Maka setelah hampirlah Tamim kepada cahaya itu maka tiba-tiba dilihatnya ada sebuah
gua daripada batu yang hijau dan terlalu persih rupanya gua itu lalu ia pun masuk ke
dalam gua itu. Setelah sampailah ia ke dalamnya, maka dilihatnya berapa kota yang
keemasan di dalamnya dan lengkap dengan perhiasannya dan segala hamparan kotanya
itu daripada safsakhlat 'ain bertatah yang merah dan yang putih daripada baldu dan
khatifah dewangga yang berkeemasan yang bertatahkan ratna mutu manikam dan
berumbai-umbaikan mutiara dan beberapa lagi benda yang ajaib-ajaib di sanalah ada dan
lagi beberapa permata yang ajaib-ajaib di dalamnya, umpamanya jikalau dari masyrik dan
ke maghrib sepuluh ken sekalipun tiada pada harganya itu. Demi sebuah kepada sebuah
negeri pun demikianlah harganya itu.

Maka Tamim itu pun berfikirlah, "Inilah untungnya hamba ditakdirkan Allah Taala akan
hamba-Nya maka hamba sampai kepada tempat itu akan bahagian untuk membawa
pulang ke rumah hamba."

Setelah itu maka lalu hamba mengambillah akan permata dan pasparkam sekalian itu pun
hamba mengambil belaka sekira-kira hamba boleh terbawa olehnya hamba ambil dan
hamba bungkus sekaliannya itu kemas-kemas adanya.

Setelah sudah benda itu diambil oleh Tamim ibn Habibul Dari tiba-tiba datang seekor
ular yang terlalu hitamnya dan terlalu lagi besarnya dan rupanya dan matanya punmerah
seperti api. Maka dengan takdir Allah Taala Tuhan Robiul Alamin tiba-tiba tahu ia
berkata-kata ular itu,maka katanya," Hai Tamim ibn Habibul Dari, buangkan olehmu
akan segala benda yang engkau ambil itu dan segala permata yang ajaib-ajaib itu jangan
engkau bawa ke mana-mana."
Maka kata Tamim ibn Habibul Dari,"Tiada aku mahu membuangkan dia itu kerana aku
hendak membawa pulang ke negeri aku." Maka kata ular itu,"Tiada engkau mahu
membuangkan segala benda itu?" Maka dijawab oleh Tamim,"Tiada mahu aku
membuangkan dia itu." Maka dipalunya oleh ular itu dengan ekornya maka kenalah di
betis Tamim lalu pengsan tiada khabarkan dirinya, Maka hendak dibunuhmya sekali oleh
ular itu akan Tamim maka dengan takdir Allah Taala dengan seketika itu juga maka
datang seoraqng orang muda terlalu baik parasnya dan elok rupanya datang ia
mendapatkan akan Tamim ibn Habibul Dari.

"Hai Tamim, buangkanlah olehmu akan benda itu yang engkau ambil sekaliannya dan
mengucap oleh mu ayatul Qursi supaya dilepaskan Allah azzawajalla engkau daripada
bahaya yang amat besar itu." Maka dibuangkanlah oleh Tamim segala benda yang
dibawanya dan mengucaplah ia akan ayatul Qursi.Maka dibacanyalah oleh Tamim maka
ia pun sedarlah daripada pengsannya itu.

Maka ia pun berjalanlah dari sana sekira-kira dua puluh hari dua puluh malam dan
berjalanlah ia beberapa lamanya,dengan ketiadaan makan dan minum maka menangislah
ia teringat akan kubur Rasulullah s.a.w. dan tersedarlah ia akan negerinya dan rindu
dendamlah ia akan anak isterinya.Maka bercucuranlah air matanya seperti mutiara yang
berhamburan daripada karangannya demikianlah halnya selama-lamanya.

Setelah ia selesai daripada menangisnya maka ia pun berjalanlah dari sana lalu ia pun
bertemulah dengan seorang orang muda terlalu baik rupa parasnya dan amat manis
mukanya dan pakaiannya daripada putih dan tepi pakaiannya itu semuanya hijau. Maka
dilihatnya Tamim itu berjalan pada tengah padang itu maka lalu diserunya Tamim seraya
katanya,"Hai Tamim,marilah tuan hamba ke mari,terlalu sekali banyak yang ajaib-
ajaib,seraya boleh bercetera akan halnya segala yang dilihatnya dan segala yang dirasa
daripada permulaannya datang kepada kesudahannya."

Maka kata orang itu,"Hai Tamim ibn Habibul Dari,sukalah tuan hamba melihat termasa
sangat di sanalah kekayaan Allah Taala yang tiada pernah melihat yang tuan melihat itu..
Pergilah tuan hamba ke balik bukit yang maha tinggi itu supaya tuan hamba melihat
kekayaan Allah Taala. Di sanalah kemudian jikalau sudah tuan hamba melihat dia maka
kembalilah engkau kepada aku di sini supaya engkau akan berkhabar kepada aku.
Kemudian maka aku memberi khabar kepada engkau segala yang engkau lihat akan
sekaliannya itu."

Maka jawab Tamim itu,"baiklah ." Maka ia pun berjalan dekat bukit itu. Setelah beberapa
lama ia berjalan maka sampailah ia ke balik bukit itu. Dan dilihatnya suatu padang yang
maha luas dan yang amat putih rupanya dan lagi licinnya terlebih daripada cermin.

Maka berjalanlah Tamim di dalam padang itu yang maha luas serta dengan hairanlah ia
melihat padang itu terlalulah ramai sekali orangnya dan elok rupanya.
Terlalu amat ajaib ia melihat kebesaran Allah s.w.t. Di dalam berjalan itu ia melihat ada
seekor anjing halnya bunting dan menyalak anaknya di dalam perut anjing itu. Maka
dilihatnya oleh Tamim kebesaran Allah Taala itu demikiannya maka ia pun hairanlah
akan dirinya serta mengucap tahlil dan tahmid akan Tuhan seru alam sekalian.

Maka berkata anjing itu,"Hai Tamim,janganlah engkau taksub sangat-sangat melihat aku
ini, segeralah engkau berjalan dari sini. Ada lagi engkau lihat di hadapanmu itu yang
terlebih ajaib pula ia daripada aku."

Maka Tamim pun berjalanlah pula dari sana. Setelah itu beberapa lamanya berjalan itu
maka bertemu dengan seorang perempuan tua sekali itu terlalu elok rupanya serta dengan
pakaiannya yang lengkap kepada tubuhnya itu daripada emas sepuluh mutu dan
tangannya penuh dengan gelang dan segala anak jarinya itu penuh dengan cincin dan
bajunya itu daripada bunga api dan kainnya itu pun demikian juga belaka.

(sekadar hiasan)

Maka hal keadaannya perempuan menangis dengan tangis yang sangat seraya ia
berkata,"Wah celakaku,wah! badanku, wah! malangku dan umurku pun hampir luput
daripada hampir binasa." Demikianlah halnya perempuan itu serta dilihat oleh Tamim
akan kelakuan perempuan itu.

Setelah itu maka ia pun terlalulah hairan akan halnya itu seraya ia berjalan di hadapan
perempuan itu. Setelah berapa lamanya ia berjalan itu maka Tamim pun bertemu dengan
seorang laki-laki mengambil air pada sebuah telaga. Maka dituangkannya kepada pasu
yang pasuk itu dan segala air yang diambilnya itu habis kembali pula ke dalam telaga itu
juga. Dengan berapa lamanya yang demikian itu juga dilihat oleh Tamim lalu
berkata."Hai hamba Allah,betapa hal engkau bubuhkan air kepada pasu yang pasuk
itu.Tiadakah engkau lihat air itu habis masuk ke dalam telaga itu juga. Jika tiada engkau
baikkan pasu yang pasuk itu sampai hari kiamat pun tiada akan berisi dan penuh pasu
itu."

Maka jawab oleh orang yang mengambil air itu,"Hai Tamim ibn Habibul Dari, apalah
engkau pedulikan akan daku ini, kerjamu itu juga engkau kerjakan.Segeralah engkau
berjalan dari sini." Maka Tamim pun berjalanlah dari sana serta dengan hairannya
melihat hal yang demikian itu. Maka seketika ia berjalan bertemu pula dengan seorang
laki-laki menanggung pohon kurma yang besar serta dibawanya berjalan ke sana ke mari
dengan tiada merasai berhenti barang seketika pun, maka lalu dihampirinya oleh Tamim
itu seraya ia berkata,"Hai hamba Allah, gilakah engkau ini,maka engkau menanggung
pohon kayu yang amat besar itu. Jikalau engkau lontarkan pohon kayu itu ke bumi,
bukankah baik lagi engkau senang." Maka jawab orang itu,"Apa engkau pedulikan akan
aku ini,kerjamu itu engkau jaga baik-baik, jangan engkau pedulikan aku ini. Kembalilah
engkau dari sini. Jangan banyak kata-katamu itu."

Maka Tamim ibn Habibul Dari pun kembalilah ia dari sana itu seraya ia berfikirlah segala
yang dilihatnya itu selama-lama ia meninggalkan Benua Madinah. Setelah sampailah
iaitu lalu ia berjalan kembali mendapatkan orang yang menyeru dia itu tadi. Setelah
sampailah ia kepada orang itu lalu ia pun berhentilah di sana.

Maka sabda Nabi Allah Khidir a.s.,"Hai Tamim ibn Habibul Dari, banyak sekali yang
ajaib itu hamba lihat di balik bukit itu tadi," Maka berceteralah akan segala yang
dilihatnya itu, maka sabda Nabi Allah Khidir a.s. pun tersenyumlah dan berkatalah
ia,"Duduklah engkau di sini hai Tamim." Maka Tamim pun duduklah ia seraya
katanya,"Berceriteralah engkau akan sekalian yang dilihat itu akan kebesaran Allah Taala
Khalakul 'alam. Yang telah sudah dilihatnya itu dan peri ia lama sudah ia meninggalkan
akan negerinya dan peri diambil oleh Raja Jin Islam itu sekaliannya, habis
diceterakannya daripada permulaannya datang kepada kesudahannya.

Setelah didengar oleh Nabi Allah Khidir itu berkatalah ia,"Hai Tamim ibn Habibul Dari,
bercintalah engkau akan anak isteri engkau." Maka jawab Tamim, "Sesungguhnyalah
hamba bercinta itu lalu ia pun bersyairlah ia seperti yang sudah-sudah serta menangis
dengan tangisnya yang maha sangat seraya ia berkata pula dalam syair demikian
bunyinya kalimah yang bermaksud:

"kataku suatu perkataan rindu dendamku kepadamu dan engkau kembali juga
kepadamu wahai kekasihku dan jikalau mati aku maka bahawa sesungguhnya mati
seperti dagang maka sejahteralah Tamim hai isteriku."

Seraya ia menangis dengan tangisan yang amat sangat dan tersedu-sedu ia menangis dan
berkata,"Jikalau tiada lagi di dalam dunia akan pertemuan hamba, insyaAllah Taala di
dalam akhiratlah dipertemukan Allah Taala dengan anak isterinya hamba."

Maka tertawalah Nabi Allah Khidir sebab mendengar syair dari Tamim itu dan menaruh
belas pula hatinya mendengar syair Tamim ibn Habibul Dari itu kerana seorang hamba
Allah pun yang tiada merasai seperti Tamim pada masa itu. Seraya ia bersabda, "Hai
Tamim besar-besar sekali jauh negerimu dari sini,melalui beberapa bukit yang tinggi-
tinggi dan melalui pula beberapa laut yang dalam-dalam dan melalui pula beberapa
sungai yang jauh-jauh dab melalui pula beberapa padang yang luas-luas dan melalui pula
beberapa hutan yang besar-besar. Dan jikalau dikira-kira akan perjalanan jauhnya itu
maka demikianlah jauhnya negerimu itu, Hai Tamim."

"Apalah daya hamba lagi kerana sudah dengan kehendak Tuhan seru sekalian alam akan
hamba ini. Di manakah dapat disalahi lagi jikalau tiadalah dipertemukan dengan anak
isteri hamba di dalam dunia ini, melainkan di dalam akhirat jum'ahlah hamba bertemu
dengan anak isteri hamba." Seraya ia berlinang-linang air matanya lalu bercucuran air
matanya seperti mutiara yang terhambur daripada karangannya,demikianlah lakunya.

Maka bersabda pula Nabi Allah Khidir itu,"Hai Tamim ibn Habibul Dari, adakah engkau
tahu jin yang menyambar engkau dari Madinah itu?" Maka sahutnya oleh
Tamim,"Wallahua'alam, tiada hamba tahu." Maka sabda Nabi Allah itu,"Hai Tamim
ketahui oleh mu yang mengambil engkau itu di mana iaitu ialah yang bernama jin afrit ia
Majusi. Dan lagi adakah engkau ketahui tempatnya yang diarahkannya engkau di sana?"
Maka disahut oleh Tamim itu,"Tiada hamba tahu."

Maka sabda Nabi Allah Khidir itu,"Hai Tamim adapun tempat yang amat tahan itu di
bawah bumi yang keempat lapis dan itulah negeri raja kafir Majusi namanya." Dan
bersabda Nabi Allah Khidir itu ,"Adakah engkau tahu raja jin yang mengambil engkau itu
dan engkau ajarkan anaknya mengaji Quran dan disuruhkannya hantarkan engkau ke
Benua Madinah kepada jin yang bernama 'Sahrah' itu?" Maka sahut oleh
Tamim,"Wallahua'alam tiada hamba tahu."

Maka sabda Nabi Allah Khidir,"Hai Tamim, ketahui olehmu itulah raja jin yang
MUkminin yang bernama Raja' A'wat maka tiada lain kerjanya, ia sudahnaik kerajaannya
hanyalah ia berperang sabilullah juga selama-lamanya. Maka yang menghantarkan
engkau itu Sahrah itu namanya." Maka berkata pula Nabi Allah Khidir,"Adakah engkau
tahu orang yang bertapa yang di dalam gua itu seorang dirinya itu?"

Maka sahut Tamim,"Tiadalah hamba tahu akan dia itu." Maka sabda Nabi Allah
Khidir,"ketahui olehmu hai Tamim, itulah bapa Nasrani yang memegang wasiat Nabi
Allah Isa a.s.yang bernama 'Kersah'. Maka sabda Nabi Allah Khidir,"Hai Tamim adakah
engkau tahu akan empunya kapal yang rosak itu dan engkau pun ada serta di dalam kapal
itu. Maka sekalian mereka itu ada di dalam kapal habis mati dan engkau seorang jua
dilepaskan Allah Taala?"

Maka sahut oleh Tamim,"Wallahua'alam sekali-kali tiada hamba tahu." Maka sabda Nabi
Allah Khidir,"Hai Tamim, ketahui olehmu, itulah kapal raja Benua Hindi yang tiada ia
mengeluar akah hak anak Adam yakni zakat. Ertinya itulah dibalaskan Allah Taala akan
dia, dibinasakan atasnya kapalnya itu." Maka sabda Nabi Allah Khidir itu," Hai Tamim
adakah engkau tahu akan segala perempuan yang banyak di dalam pulau itu dan bertemu
engkau dengan dia itu tatkala engkau baharu sekali? Maka beranaklah engkau kepada
pulau itu dan bertemu engkau kepada pulau itu dusta perempuan itu." Maka Jawab
Tamim, "Wallahua'alam, sekali-kali hamba tiada dapat tahu akan dia."
Maka sada Nabi Allah Khidir, "Hai Tamim ialah mereka itu orang yang makan orang
dianiayai ghaplan dan adalah ia bagimu dianugerahkan Allah Taala dilepaskan engkau
daripadanya." Maka sabda Nabi Allah Khidir a.s.,"Hai Tamim engkau tahu negeri yang
engkau masuki di dalamnya itu beberapa jenis nikmat dan minuman yang amat lazat
citarasanya dan sungai itu airnya manis dan ada airnya daripada susu?" Maka sahut
Tamim."Wallahua'alam, tiada hamba tahu."

Maka sabda Nabi Allah Khidir, "Hai Tamim, ketahui olehmu itulah yang bernama syurga
dan orang yang bersandar memegang pedang yang terhunus itu danlagi berlumur dengan
darah itulah orang yang mati perang sabilullah. Itulah orang yang mati syahid namanya."
Maka sabda Nabi Allah Khidir itu, "Hai Tamim ibn Habibul Dari, adakah engkau tahu
akan halnya orang yang berkuda itu dan kepala kudanya itu putih keduanya dan kakinya
pun putih keduanya. Padahal menyuruh engkau akan keluar dari situ di dalam syurga
itu?"

Maka sahut Tamim, "Sekali-kali tiada hamba tahu akan dia." Maka sabda Nabi Allah
Khidir, "Itulah Jibril a.s.." Maka sabda Nabi Allah Khidir, "Hai Tamim, adakah engkau
tahu akan unggas Nabi Allah Ishak 'alaihis salam yang bernama "marasaffalin" yang
ertinya aku yang menunjuk segala hamba Allah daripada jalan yang sesat kepada jalan
yang betul?" Maka bersabda pula Nabi Allah Khidir, "Hai Tamim, adakah engkau tahu
akan negeri yang engkau masuki itu. Semuanya itu berlapis-lapis negeri itu orangnya
yang di dalam negeri itu yang telah disebut di dalam Quran seratus ribu atau lebih?"

Maka Jawab oleh Tamim, "Wallahua'alam, tiada hamba tahu akan negerinya itu, apa
namanya." Maka sabda Nabi Allah Khidir, "Hai Tamim ibn Habibul Dari, ketahui
olehmu itulah kaum Yunus a.s. yang seperti firman Allah Taala di dalam Qur'an
demikian bunyinya, "Melainkan kaum tatkala membawa iman mereka itu datanglah kamu
bukakan daripada mereka itu kesakitan yang amat hina pada hidupnya di dalam dunia.
Dan daripada kamu hidupkan mereka itu datang kepada hari kiamat itulah ia."

Maka bersabda pula Nabi Allah Khidir a.s itu, "Hai Tamim adakah engkau tahu akan
orang yang sebelah matanya itu buta dan mulutnya seperti belalai gajah dan di kelilingi
oleh orang yang banyak itu?"

Maka sahut oleh Tamim, "Wallahua'alam, tiada hamba tahu akan dia itu." Maka sabda
Nabi Allah Khidir, "Ketahuilah olehmu itulah Iblis 'alaihi la'nat neneknya, segala syaitan
yang banyak itu tenteranya." Maka sabda Nabi Allah Khidir, "Hai Tamim adakah engkau
tahu binatang yang di dalam pulau itu yang dilengkapi Allah Taala akan dia segala rupa
binatang yang di dalam dunia. Adakah kepadanya itu yang maha indah-indah rupanya
dan tingginya tiada terhingga lagi. Padahal menunjuki kepada engkau kepada sebuah
rumah maka disuruhnya engkau masuk ke dalam rumah itu?"

Maka jawab Tamim, "Wallahua'alam, bahawa tiada sekali-kali hamba tahu akan dia itu,
apa ia?" Maka sabda Nabi Allah Khidir, "Hai Tamim ketahui olehmu itulah
"Dabbatulardi" yang dikeluarkan Allah pada akhir zaman seperti firman Allah di dalam
Qur'an (surah An-Naml ayat 82) yang ertinya : telah kami keluarkan Dabbatulardi akhir
zaman dari dalam bumi yakni Safa dan Marwah dan tanda mereka itu akan yang
Mukminin akan orang kafir ada tandanya kafir 'alahi la'nat maka sesungguhnya segala
manusia itu. Dengan firman Allah Taala kami tiada percaya mereka sekalian itu, hai
Tamim.

Maka sabda Nabi Allah Khidir pula, "Adakah engkau tahu akan seorang buta matanya,
hal keadaannya duduk di dalam rumah seorang dirinya, tiada siapa ada kawannya.
Adapun di dalam rumah itu, padahal ia terantai daripada batang lehernya hingga kepada
kakinya dan tanyai engkau akan agama Islam dan akan kerajaannya di dalam Benua
Madinah daripada masa Nabi Muhammad s.a.w. sampai kepada zaman Amirulmukminin
Abu Bakr. Ada datang kepada zamannya, Amirulmukminin Umar r.a. yang kerajaannya
di dalam Benua Madinah sekarang ini." Maka sabda Nabi Allah Khidir, "Ketahui olehmu
itulah dajal 'alaihi la'nat lagi dikeluarkan Allah akan dia pulak kepada akhir zaman ialah
membawa syurga di sebelah kanan dan neraka dari sebelah kirinya dan ialah yang banyak
membinasakan kepada umat Muhammad s.a.w. Maka Nabi Allah Isa a.s. akan
membunuh dia. Diketahuinya maka kata bumi, "Ya Radi," maka diperkatuplah oleh bumi
akan kaki dajal itu."

Maka bersabda Nabi Allah Khidir, "Hai Tamim adakah engkau tahu, bumi yang di
belakang bukit itu yang maha tinggi bagai kapas dipusar tanahnya. Demikianlah rupa dan
licinnya itu terlebih daripada cermin dan berbagai-bagai perbuatannya hamba Allah di
dalamnya dan licinnya?"

Maka jawab Tamim, "Sekali-kali tiada hamba tahu akan bumi itu, yang sekalian di
dalamnya itu pun tiada hamba tahu." Maka sabda Nabi Allah Khidir, "Hai Tamim ketahui
olehmu itulah yang bernama 'sajarah' di dalam Qur'an yang bernama padang
Yaumilmahsyar lagi akan datang kemudian pulak."

Maka sabda Nabi Allah Khidir, "Hai Tamim adakah engkau tahu anjing bunting yang
menyalak-nyalak anaknya yang di dalam perut ibunya itu?" Maka jawab Tamim ibn
Habibul Dari, "Wallahua'alam, tiada hamba tahu sekali akan hikmat Allah Taala yang
demikian itu." Maka sabda Nabi Allah Khidir itu, "Ketahui olehmu adapun anjing yang
menyalak anaknya yang di dalam perut ibunya itu iaitulah dajal 'alaihi la'nat lagi akan
dikeluarkan Allah s.w.t. dari dalam rantainya danbelenggunya pada kemudian harinya."
Maka bersabda pula Nabi Allah Khidir itu, "Hai Tamim ibn Habibul Dari, adakah engkau
tahu akan hamba Allah yang mengisi air di dalam pasu yang pasuk itu, maka kembali
airnya ke dalam telaga itu." Maka Jawab oleh Tamim itu, "Tidak hamba tahu sekali-kali
di dalam alam Allah s.w.t., berlakulah atas hamba-Nya."

Maka sabdanya Nabi Allah Khidir, "Hai Tamim, ketahui olehmu orang itu ialah orang
yang makan haram danmakan ganda berganda dan makan bunga emas sedikit dengan
tiada sebenarnya. Itulah yang datang atasnya." Maka sabdanya Nabi Allah Khidir a.s.,
"Hai Tamim adalah engkau tahu orang yang menanggung pohon kayu kurma sedikit tiada
ia berhenti hingga ia berjalan juga ke sana ke mari sampai hari kiamat jum'ah, demikian
juga." Maka sahut oleh Tamim, "Wallahua'alam, sekali-kali tiada hamba tahu kekayaan
Allah Taala akan dia itu." Maka sabda Nabi Allah Khidir, "Hai Tamim ibn Habibul Dari,
ketahui olehmu orang itulah menanggung amanat seorang hamba Allah tiada ia
disampaikannya kepada yang empunya dia itu. Maka tertambatlah atas batang lehernya
dan hidungnya sekalian harta orang itu, maka itulah dibalaskan Allah Taala akan dia
datang hari kiamat Jum'ah. Demikian juga kemudian daripada itu." Maka bersabda pula
Nabi Allah Khidir, "Hai Tamim ketahui olehmu, akan seorang perempuan tua dan terlalu
banyak pakaiannya kepada tubuhnya dan penuh dengan gelang pada tangannya dan
cincin pada jarinya daripada emas sepuluh mutu. Padahal keadaannya perempuan itu
menangis yang maha sangat menepuk-nepuk dadanya meragas-ragas rambutnya dan
menampar-nampar kepalanya seraya ia berkata, "Wah! celakaku, wah! malangku, tiada
rupanya lanjut umurku lagi."

Maka jawab oleh Tamim, "Wallahua'alam, suatu pun tiada kebesaran Allah Taala yang
hamba ketahui itu dan apa-apa ia itu." Maka sabda Nabi Allah Khidir itu, "Hai Tamim
ketahui olehmu, itulah dunia namanya kerana ia menghabisi dirinya itu kerana tiada
berapa lamanya lagi umurnya kita ini kiamat akan datang, sebab itulah maka ia menangis
juga kerana sayang akan tubuhnya itu akan dibinasakan Allah Taala akan ilmunya itu."

Maka sabda Nabi Allah Khidir, "Adakah engkau ketahui akan orang itu bertengkolok
hijau, padahal ia terlalu elok rupanya dan sangat manis mukanya itu dan berkata-kata
kepadamu. Adakah engkau kenal jikalau adalagi orang ituyang menunjuki akan daku
jalan yang betul itu." Maka kata Tamim, "Tiada hamba tahu siapa ia hamba Allah itu."
Maka sabda Nabi Allah Khidir, "Ketahui olehmu hai Tamim ibn Habibul Dari, itulah
Nabi Allah Alias a.s., ya itulah saudaraku."
Maka Tamim pun berfikirlah di dalam hatinya sebab siapa juga hamba Allah ini maka
sekalian yang aku rasai semuanya akan hal-ehwal aku ini semuanya diketahui, suatu pun
tiada lagi akan bersalahan. Seraya ia berkata, "Hai hamba Allah Taala siapa tuan hamba
ini maka dapat tuan hamba mengetahui dan mengatakan segala yang hamba rasai itu."

Maka lalu bersabda Nabi Allah Khidir itu, "Hai Tamim ibn Habibul Dari, ketahui olehmu
akulah Nabi Allah Khidir." Maka berkata Tamim itu, "Ya Nabi Allah, siapa punya gua
yang hamba masuki di dalamnya itu berbagai-bagai jenis benda yang maha indah-indah
di dalamnya, berbagai -bagai jenis daripada intan baiduri dan ratna mutu manikam dan
berbagai-bagai jenis benda yang maha indah-indah itu di dalamnya dan daripada
warnanya yang amat gilang-gemilang cahanya daripada putih dan yang merah maka
adalah hamba ambil daripada segala benda itu. Maka tiba-tiba datang seekor ular dan
dipalunya akan hamba dengan ekornya sekira-kira hampir akan mati hamba olehnya.

"Maka datang seorang orang muda itu terlalu sekali elok rupanya dan amat manis warna
mukanya. Maka oleh orang muda itu dilindungkannya oleh ular itu dan siapa itu ya Nabi
dan disuruhnya mengucap danmembaca ayatul Qursi?" Maka sabda Nabi Allah Khidir
itu, "Hai Tamim ibn Habibul Dari, ketahui olehmu adapun gua itu yang empunya dia
ialah raja jin kafir empunya perbendaharaan, Sufian anaknya 'Alainah berperang dengan
Nabi Allah Sulaiman a.s. Maka murkalah Nabi Allah Sulaiman a.s., akan raja itu pun
dirantainya oleh Nabi Allah Sulaiiman a.s. akan raja itulah yang empunya gua.

Dan akan ular itu memukul engkau adalah seorang Bani Afrit daripada lasykar raja itu,
inilah yang disuruhnya menunggui gua dan akan orang muda inilah surat tiadakah yang
mengandung engkau daripada bahaya ular itu. Dan yang melepaskan dia daripada seksa
kubur pun ia juga dan menyuruh engkau mengucap dan membaca ayatul Qursi itu pun ia
juga, Ketahui olehmu hai Tamim ibn Habibul Dari."

Maka kata Tamim, "Ya Nabi Allah Khidir, betapa hal hamba hendak pulang ke negeri
hamba Benua Madinatul Munawwarat itu. Jikalau kiranya dengan ajaran tuan hamba
maka tuan hamba pohonkan kepada Allah s.w.t. Apalah kiranya supaya hamba bertemu
dengan anak isteri hamba."

Maka sabda Nabi Allah Khidir, "Hai Tamim ibn Habibul Dari,baiklah." Maka bertanya
pula Tamim kepada Nabi Allah Khidir, "Berapa lamanya tuan hamba bertemu dengan
Nabi Allah Alias a.s. di dalam satu tahun?" Maka sabda Nabi Allah Khidir itu, "Akan aku
ini bertemu dengan saudaraku di Bukit Arfah sekali juga dalam setahun pada ketika
subuh. Dan tatkala aku bercerai dengan dia itu maka keduanya pun membaca kalimah ini.
Dan Barang siapa menyebut-nyebut kalimah ini bahawa ada dilepaskan Allah Taala ia
daripada bahaya dunia daripada kejahatan sekaliannya, seraya Nabi Allah Khidir berkata,
"Hai Tamim, diamlah engkau di sini dahulu supaya aku pergi mencari orang yang
mengantarkan engkau pulang ke negerimu." Maka jawab Tamim, "Baiklah, tetap serta
dengan engkau pulang, tuan hamba diam di sini."
Maka sabda Nabi Allah Khidir, "Baiklah hai Tamim." Maka Tamim pun diamlah di situ
tiga malam dan siangnya.Wallahualam bissawab wailaihilmarjiun wal maab.

Anda mungkin juga menyukai