Anda di halaman 1dari 9

PENGGUNAAN KAEDAH CMR MENINGKATKAN KEMAHIRAN

MENGHAFAZ SURAH AL-BAYYINAH BAGI


MURID TAHUN 5

Oleh:
Nur Nazmin Syamimi Binti Ab Halim Fauzi, Mohd Sood Bin Chik
Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, IPG Kampus Dato Razali Ismail
alqoosirahthorfina@gmail.com, soodchik@gmail.com
ABSTRAK
Kajian tindakan ini bertujuan untuk membantu murid Tahun 5 Naim
yang lemah dalam menghafaz ayat-ayat surah hafazan yang panjang
dengan menggunakan kaedahCMR (Cut, Memorise and Repeat).
Fokus kajian adalah berfokuskan untuk meningkatkan kemahiran
menghafaz surah al-Bayyinah. Tinjauan awal telah dilakukan dengan
menganalisis dokumen, pemerhatian dan temubual untuk
mengenalpasti kelemahan murid. Seramai 5 orang daripada 17 orang
murid telah dipilih sebagai peserta kajian yang melibatkan peserta
perempuan kesemuanya. Sebanyak 4 sesi intervensi telah dijalankan
dalam tempoh dua minggu menggunakan kaedah CMR. Melalui
kajian ini, didapati tahap kebolehan peserta kajian dalam menghafaz
surah al-Bayyinah semakin meningkat. Penggunaan kaedah CMR
dapat meningkatkan penguasaan murid dalam menghafaz surah alBayyinah berdasarkan peningkatan markah yang sangat positif
dalam ujian pra dan ujian pos. Antara kekuatan kaedah CMR
adalah dapat membantu meningkatkan kemahiran menghafaz dan
mempercepatkan proses mengingat ayat-ayat hafazan. Sebagai
penambahbaikan, kaedah ini lebih sesuai digunakan seawal mungkin
bermula dari murid tahun 1 agar masalah menghafaz ayat-ayat
hafazan dapat diatasi lebih awal.
Kata kunci : Kaedah CMR, Kemahiran menghafaz, Surah alBayyinah.

REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN


Proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang efektif dapat dilaksanakan sekiranya seseorang guru
bijak merancang suatu aktiviti yang boleh menarik minat murid bagi mengikuti sesi PdP di dalam bilik
darjah. Sewaktu menjalani praktikum fasa 3 di Sekolah Kebangsaan Kebor Ayer, Kuala Terengganu,
pengkaji telah diamanahkan untuk mengajar subjek Pendidikan Islam bagi murid Tahun 5 Naim.
Pengkaji menghadapi masalah sewaktu menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam kelas 5
Naim terutama ketika mengajar bidang Asuhan Tilawah al-Quran kerana kebanyakan mereka lemah
dalam menghafaz ayat-ayat hafazan. Murid-murid dalam kelas ini dapat dipecahkan kepada tiga
kategori iaitu sederhana, lemah dan sangat lemah.
Berdasarkan ujian lisan yang dijalankan, pengkaji mendapati hampir kesemua murid menghadapi
masalah untuk menghafaz surah al-Bayyinah. Surah al-bayyinah terdiri daripada lapan ayat.

Kebanyakan daripada murid Tahun 5 Naim hanya mampu mengingat empat ayat di awal surah dan
menghadapi masalah untuk menyambung empat ayat hafazan yang berikutnya dengan betul. Malah
dalam ujian bertulis sebahagian murid tidak dapat memadankan dengan betul sambungan bagi ayat
surah al-Bayyinah. Kelemahan murid dalam menghafaz surah al-Bayyinah bukan sahaja dikenal pasti
melalui rekod bertulis seperti lembaran kerja, malah pengkaji juga mengenal pasti murid lemah
melalui kaedah temu bual dan pemerhatian.
Pada peringkat awal, pengkaji telah meminta murid-murid untuk membaca surah tersebut dengan kuat
dan lancar secara kelas. Selepas itu, pengkaji meminta murid-murid untuk membaca kembali surah
tersebut secara kelas tanpa mengikut bacaan guru. Kemudian, murid-murid telah dibahagikan kepada 4
kumpulan dan setiap kumpulan dibekalkan dengan beberapa kad ayat yang mengandungi ayat-ayat
dalam surah al-Bayyinah. Walau bagaimanapun, setelah diberikan waktu untuk menghafaz surah
tersebut, pengkaji mendapati, keseluruhan murid tahun 5 Naim seramai 17 orang mengalami
kesukaran untuk menghafaz surah tersebut.
Oleh yang demikian, setelah mengenal pasti masalah yang telah dialami oleh murid iaitu kelemahan
menghafaz surah al-Bayyinah, pengkaji telah merancang satu kaedah hafazan baru bagi mengatasi
masalah tersebut. Jadi, kaedah yang digunakan diberi nama CMR (Cut, Memorise and Repeat).
Kaedah ini digunakan bermula dengan pengkaji memberi penerangan kepada peserta kajian berkenaan
kaedah hafazan yang akan digunakan. Kemudian, pengkaji meminta kesemua peserta kajian
menghafaz sedikit demi sedikit empat ayat pertama daripada keseluruhan lapan ayat surah alBayyinah, dengan cara mencerakinkan setiap ayat kepada beberapa bahagian yang menjadikannya
lebih pendek.
Seterusnya, pengkaji telah meminta mereka untuk menyambung hafalan mereka sehingga ke ayat
terakhir. Pengkaji mendapati kesemua peserta kajian boleh menghafaz dengan baik apabila
menggunakan kaedah ini. Setelah peserta kajian berjaya menghafaz keseluruhan ayat surah alBayyinah, mereka diminta memperdengarkan hafazan yang lengkap di hadapan pengkaji sebanyak
tiga kali. Diharapkan penggunaan kaedah CMR yang dilaksanakan oleh pengkaji dapat membantu
murid-murid lemah dalam meningkatkan kemahiran menghafaz surah al-Bayyinah.

SOROTAN LITERATUR
Terdapat 3 kaedah hafazan utama yang paling berkesan dalam menghafaz yang digunakan oleh
pelajar-pelajar Maahad Tahfiz. Kaedah-kaedah tersebut ialah memperdengarkan hafazan baru (tasmi),
menghafaz seperti biasa dan kaedah buku tulisan ayat (Fauzi bin Sulehan, 2010).
Menurut Farhana binti Rapihi (2012), beliau mendapati tahap penguasaan hafazan bacaan Al-Quran di
sekolah agak kurang memuaskan bagi surah-surah lazim, begitu juga hafazan ayat-ayat surah hafazan.
Menurut Muhammad Fathi bin Ramli (2013), pengajaran al-Quran kepada generasi pertama
menekankan aspek hafalan. Dengan itu hafalan merupakan asas untuk mempelajari al-Quran. Bila
dalam pengajaran ditekankan hafalan, maka pelajar perlu dilatih untuk mengulangi bacaan dan cuba
melekatkannya dalam ingatan sehingga mereka dapat membaca al-Quran tanpa melihat teks.
Wan Bakar Wan Dagang (1990), Pengajaran dan Pendidikan al-Quran dalam Kurikulum Baru Sekolah
Rendah (KBSR). Antara pendekatan pengajaran al-Quran di sekolah rendah adalah pendekatan
menghafaz. Menghafaz kalimah-kalimah, ayat-ayat ataupun surah merupakan salah satu pendekatan
mengenal dan melancarkan pembacaan murid-murid. Pendekatan menghafaz boleh diperkenalkan
sebelum murid-murid dapat membaca. Walaupun begitu pendekatan ini sesuai diperkenalkan setelah
murid-murid boleh membaca kalimah dan ayat-ayat dari surah tertentu.
Dalam menyelesaikan masalah menghafaz ayat-ayat hafazan, beberapa kaedah dan teknik telah
dilaksanakan oleh pengkaji lepas. Contohnya adalah kaedah kolaborasi yang digunakan dengan cara
membahagikan murid kepada beberapa kumpulan, kemudian mereka diminta menghafaz dalam

kumpulan kecil. Selain itu, penggunaan kaedah chungkin turut diperkenalkan bagi membantu murid
menghafaz ayat-ayat hafazan.
Inovasi berikutnya adalah penggunaan ICT iaitu slaid power point. Inovasi sedia ada ini diolah agar
bersesuaian dengan apa yang ingin dicapai iaitu untuk meningkatkan kemahiran murid menghafaz
surah al-Bayyinah.

TUJUAN KAJIAN
Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk meningkatkan kemahiran menghafaz surah al-Bayyinah bagi
murid Tahun 5 Naim Sekolah Kebangsaan Kebor Ayer dengan menggunakan kaedah CMR (Cut,
Memorise and Repeat).
Objektif

Menentukan kaedah CMR dapat membantu murid-murid lemah Tahun 5 Naim


meningkatkan kemahiran menghafaz surah al-Bayyinah.
Persoalan Kajian

Bagaimanakah penggunaan kaedah CMR dapat membantu murid lemah Tahun 5 Naim
meningkatkan kemahiran menghafaz surah al-Bayyinah?

METODOLOGI KAJIAN
Model Kurt Lewin (1948) telah dipilih sebagai model penyelidikan tindakan dalam kajian ini. Kajian
tindakan ini melibatkan lima orang murid lemah Tahun 5 Naim yang melibatkan murid perempuan
semuanya. Semua peserta kajian dipilih berdasarkan kepada pencapaian dalam ujian lisan. Kelimalima peserta kajian telah menunjukkan penguasaan yang lemah dalam kemahiran menghafaz surah alBayyinah dalam ujian lisan.
Bagi meningkatkan kesahan dan kebolehpercayaan data kualitatif yang diperolehi, kajian ini telah
melibatkan triangulasi data dalam pengumpulan maklumat. Instrumen yang digunakan adalah ujian,
penelitian dokumen, pemerhatian dan temu bual. Penelitian dokumen bertujuan untuk mengenal pasti
kelemahan dan kesilapan murid dalam menjawab soalan ayat-ayat hafazan berkaitan surah yang
dipilih iaitu surah al-Bayyinah. Pengkaji telah menganalisis dokumen seperti skrip jawapan ujian pra
dan ujian pasca setiap peserta kajian bagi menilai tahap pencapaian peserta kajian sebelum dan selepas
sesi intervensi dilaksanakan. Selain itu, analisis terhadap penelitian dokumen yang dijalankan oleh
pengkaji juga merangkumi latihan memperdengarkan ayat yang telah dihafaz (tasmi) yang dijalankan
ke atas peserta kajian semasa sesi intervensi dilaksanakan. Latihan tasmi ini bertujuaan untuk melihat
perkembangan tahap penguasaan peserta kajian dari masa ke semasa sepanjang sesi intervensi
dilaksanakan.
Pengkaji telah menggunakan pemerhatian berstruktur dengan menyenaraikan borang senarai semak
pemerhatian terhadap tingkah laku dan perkembangan pembelajaran yang dipamerkan oleh peserta
kajian semasa sesi intervensi dijalankan. Data yang diperoleh hasil daripada pemerhatian pengkaji
terhadap tingkah laku yang ditunjukkan oleh peserta kajian boleh diguna pakai oleh pengkaji dalam
membuat analisis maklumat yang berbentuk kualitatif.
Instrumen temu bual telah dijalankan ke atas kelima-lima peserta kajian sebelum sesi intervensi dan
selepas sesi intervensi dilaksanakan. Instrumen ini membolehkan pengkaji mengumpul maklumat
berkaitan pendapat dan pandangan apa yang difikirkan oleh peserta kajian khususnya melibatkan isu

keprihatinan yang difokuskan oleh pengkaji melibatkan kemahiran menghafaz surah al-Bayyinah.
Data kualitatif yang telah diperolehi dianalisis secara deskriptif dan narratif mengikut peserta kajian.

SPESIFIKASI INTERVENSI
CMR merupakan satu kaedah yang direka bagi membantu murid meningkatkan kemahiran
menghafaz surah al-Bayyinah. Istilah CMR diertikan sebagai teknik mudah menghafaz dengan
menggunakan tiga langkah iaitu memotong ayat (Cut), menghafaz ayat demi ayat (Memorise), dan
mengulang hafazan surah al-Bayyinah dari ayat 1 hingga 8 (Repeat). Kaedah ini dijalankan
berbantukan slaid power point yang telah disediakan oleh pengkaji. Dalam slaid tersebut, pengkaji
memotong 8 ayat surah al-Bayyinah kepada 20 potongan yang lebih pendek.

Rajah 1 : Slaid power point yang digunakan


Pengkaji telah menjalankan 4 sesi intervensi terhadap peserta kajian dalam membantu meningkatkan
kemahiran menghafaz surah al-Bayyinah menggunakan kaedah CMR. Semasa sesi intervensi
pertama, pengkaji menerangkan apakah maksud disebalik nama kaedah CMR. Pengkaji turut
memberi penjelasan kepada peserta kajian tentang bagaimana cara untuk memotong ayat surah alBayyinah. Pada sesi ini pengkaji memastikan peserta kajian betul-betul memahami langkah pertama
dalam kaedah ini iaitu memotong ayat (Cut).
Semasa sesi intervensi kedua, peserta kajian diterangkan berkenaan langkah kedua dalam kaedah
CMR iaitu menghafaz (Memorise). Pada sesi kedua ini, kesemua peserta kajian diminta menghafaz
surah al-Bayyinah bermula dari ayat 1 hingga 4. Peserta kajian menghafaz mengikut potongan ayat
yang telah dipotong oleh pengkaji sebagaimana yang boleh dilihat pada rajah 1. Setelah itu, pengkaji
meminta kesemua peserta kajian memperdengarkan hafazan empat ayat pertama daripada surah alBayyinah di hadapan pengkaji secara individu.
Dalam sesi intervensi ketiga pula, peserta kajian diminta menyambung hafazan mereka bermula dari
ayat 5 hingga 8. Setelah peserta kajian berjaya menghafaz keempat-empat ayat tersebut, pengkaji
meminta mereka memperdengarkan hafazan empat ayat terakhir daripada surah al-Bayyinah di

hadapan pengkaji secara individu. Pengkaji memastikan kesemua peserta kajian dapat menghafaz ayat
sebagaimana yang telah ditetapkan bagi setiap intervensi yang dijalankan.
Sesi intervensi keempat menjurus kepada aktiviti pengukuhan melalui langkah ketiga dalam kaedah
CMR iaitu mengulang (Repeat). Pada sesi ini, pengkaji meminta peserta kajian mengulang ayat yang
telah dihafaz oleh mereka dan memperdengarkannya di hadapan pengkaji sebanyak 3 kali. Dalam sesi
ini, pengkaji membaiki kelemahan tajwid dan bacaan peserta kajian. Sebelum sesi intervensi ke 4
berakhir, pengkaji melaksanakan ujian pasca bagi melihat perkembangan peserta kajian dalam
penguasaan menghafaz surah al-Bayyinah dengan menggunakan kaedah CMR berbanding
pencapaian sewaktu ujian pra.

DAPATAN KAJIAN
Dapatan kajian ini adalah untuk melihat sejauh manakah keberkesanan penggunaan kaedah CMR
(Cut, Memorise and Repeat) dalam meningkatkan kemahiran menghafaz surah al-Bayyinah dalam
kalangan murid lemah Tahun 5 Naim. Bagi menerangkan dapatan kajian ini, pengkaji telah memilih
seorang daripada lima peserta kajian yang telah dipilih melalui ujian lisan dalam kelas Tahun 5 Naim.
Peserta kajian yang digunakan dalam menerangkan dapatan kajian ini adalah Nabihah (bukan nama
sebenar).
Sebelum kajian dijalankan, pengkaji memerhatikan Nabihah adalah seorang murid yang pasif dan
kurang bercakap dalam bilik darjah sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran. Apabila pengkaji
bertanyakan mengapa Nabihah sukar untuk mengingat surah al-Bayyinah, beliau hanya diam dan tidak
memberi sebarang jawapan. Berdasarkan ujian pra yang dijalankan, Nabihah hanya mampu menghafaz
tiga ayat daripada lapan ayat surah al-Bayyinah. Bacaannya tersekat-sekat pada ayat keempat dan
beliau tidak dapat meneruskan hafazannya.
Berdasarkan ujian lisan yang dijalankan, pengkaji dapat membuat kesimpulan bahawa selain daripada
faktor ayat yang panjang, kalimah-kalimah ayat yang hampir sama juga merupakan salah satu sebab
mengapa Nabihah sukar untuk menghafaz surah al-Bayyinah. Nabihah sering tersalah sewaktu
menentukan dua kalimah awal bagi ayat keempat dan kelima. Beliau keliru dan tertukar susunan dua
ayat tersebut. Kesannya, Nabihah melakukan kesalahan dengan membaca ayat kelima sebelum ayat
keempat.

Rajah 2 : Ayat 4 dan 5 surah al-Bayyinah.

Berdasarkan pemerhatian yang dijalankan, pengkaji mendapati Nabihah banyak termenung dan tidak
bersemangat untuk menghafaz sewaktu sesi PdP berlangsung. Dalam temu bual yang dilaksanakan,
Nabihah menjawab Surah ni panjang ustazah, susah kite nak ingat.
Selepas melaksanakan sesi intervensi 1, Nabihah dapat mencapai hasil pembelajaran yang ditetapkan
iaitu memahami apa maksud kaedah CMR dan bagaimana cara memotong ayat-ayat surah alBayyinah berbantukan slaid power point yang disediakan oleh pengkaji. Nabihah adalah seorang yang
pendiam sebelum sesi intervensi 1. Namun begitu, pengkaji memerhatikan Nabihah lebih ceria dan
fokus sewaktu sesi intervensi 1 dijalankan. Penggunaan slaid power point sebagai bahan bantu belajar
telah berjaya menarik minat dan fokus Nabihah untuk menghafaz surah al-Bayyinah. Nabihah lebih
suka menghafaz ayat-ayat al-Quran yang pendek. Hal ini dapat dilihat melalui riak wajahnya yang
begitu ceria apabila pengkaji mengajar bagaimana cara untuk memotong ayat-ayat surah al-Bayyinah.
Pada sesi Intervensi kali kedua, Nabihah berjaya menghafaz empat ayat pertama surah al-Bayyinah.
Pada permulaan sesi, pengkaji meminta peserta kajian untuk menghafaz secara berkumpulan iaitu lima
orang. Mereka kelihatan sangat seronok dan memberi tumpuan terhadap apa yang diarahkan oleh
pengkaji. Kemudian kesemua peserta kajian diminta menghafaz secara individu dan
memperdengarkan hafazan mereka di hadapan pengkaji. Selepas kaedah CMR diperkenalkan,
Nabihah dapat menghafaz surah al-Bayyinah dengan mudah, cepat dan tepat.
Pada sesi intervensi 3, Nabihah telah mencapai hasil pembelajaran iaitu menghafaz keseluruhan ayat
surah al-Bayyinah berbantukan kaedah CMR. Dengan menggunakan kaedah CMR, pengkaji
mendapati Nabihah dapat menghafaz ayat-ayat surah al-Bayyinah dalam jangka masa yang singkat.
Walaupun Nabihah kelihatan kurang yakin pada peringkat permulaan, namun proses menghafaz
semakin cepat setelah beliau menghafaz berdasarkan ayat-ayat yang telah dipotong oleh pengkaji.
Nabihah kelihatan lebih yakin sewaktu memperdengarkan hafazan beliau setelah menggunakan
kaedah CMR ini.
Hasil pembelajaran dalam sesi intervensi 4 adalah mengulang hafazan surah al-Bayyinah. Ia
merupakan langkah ketiga dalam kaedah CMR iaitu mengulang (Repeat). Pada sesi ini pengkaji
memberi pengukuhan kepada peserta kajian dengan meminta mereka untuk mengulang dan
memperdengarkan hafazan surah al-Bayyinah sebanyak tiga kali di hadapan pengkaji. Pada sesi
terakhir ini, pengkaji mendapati Nabihah mampu menghafaz surah al-Bayyinah dengan baik. Selepas
mendapat tunjuk ajar, Nabihah dapat menyelesaikan latihan pengukuhan yang diberikan dengan
cemerlang. Pada akhir sesi intervensi 4, pengkaji dapat melihat perubahan positif Nabihah. Nabihah
telah menumpukan sepenuh perhatian sewaktu pembelajaran dan berkeyakinan memperdengarkan
hafazan beliau apabila diminta oleh pengkaji.
Secara keseluruhannya, pengkaji mendapati Nabihah menunjukkan perubahan sikap yang positif
setelah melalui empat sesi intervensi. Nabihah lebih bersemangat sewaktu mempelajari hafazan alQuran dalam bilik darjah. Jadual 1 dibawah menunjukkan perkembangan Nabihah dalam kemahiran
menghafaz sebelum dan selepas sesi intervensi. Jadual 2 di bawah pula menunjukkan statistik
perkembangan Nabihah dalam Ujian Pasca berbanding dengan Ujian Pra.

Jadual 1 : Perkembangan Nabihah Dalam Kemahiran Menghafaz Sebelum dan Selepas Intervensi.
Sebelum Intervensi

Malas.
Tidak menumpukan.
perhatian dalam bilik
darjah.

Aspek

Selepas Intervensi

Sikap

Bersemangat.
Menumpukan perhatian
dalam bilik darjah.

Ayat dalam surah ni dah jadi


pendek-pendek. Mudah kite nak
ingat ustazah

Surah ni panjang ustazah,


susah kite nak ingat

Ujian Lisan

Ujian Lisan

- Hanya mampu menghafaz tiga


ayat daripada surah al-Bayyinah.

- Mampu menghafaz
keseluruhan lapan ayat surah alBayyinah.

- Bacaan tersekat-sekat dan hafazan


tidak mantap.

Penguasaan

- Kurang yakin bila mana pengkaji


meminta untuk memperdengarkan
ayat yang telah dihafaz.

- Bacaan lancar, tepat dan


mantap.
- Yakin bila mana pengkaji
meminta untuk
memperdengarkan ayat yang
telah dihafaz.

Jadual 2 : Statistik Perkembangan Nabihah dalam Ujian Pasca Berbanding Dengan Ujian Pra.

Nombor Soalan
Ujian

Markah

PK1

(%)
1

Pra
Nabihah
Pos

Jumlah Kekerapan Kesilapan

X X X

38

100

Secara keseluruhannya, kelima-lima peserta kajian yang telah dipilih menunjukkan penguasaan yang
positif dalam kemahiran menghafaz surah al-Bayyinah dengan menggunakan kaedah CMR.
Berdasarkan penelitian ke atas dokumen seperti skrip jawapan Ujian Pasca serta lembaran kerja yang
diberikan semasa sesi intervensi, kelima-lima peserta kajian berupaya untuk menghafaz kesemua ayat
surah al-Bayyinah dengan menggunakan kaedah CMR dengan mudah dan lancar.
Selain itu, hasil temu bual ke atas kesemua peserta kajian, mereka mengatakan bahawa penggunaan
kaedah CMR menyeronokkan dan mempercepatkan mereka untuk menghafaz surah al-Bayyinah.

Pemerhatian yang dijalankan ke atas kelima-lima peserta kajian dengan menggunakan senarai semak,
rata-ratanya peserta kajian menunjukkan perubahan tingkah laku yang semakin positif. Peserta kajian
menunjukkan kesungguhan dalam bilik darjah dan melibatkan diri secara aktif sewaktu sesi
pengajaran dan pembelajaran berlangsung.

KESIMPULAN
Berdasarkan dapatan kajian yang telah dijalankan, dapatlah disimpulkan bahawa penggunaan kaedah
CMR (Cut, Memorise and Repeat) dapat meningkatkan penguasaan murid berpencapaian rendah
meningkatkan kemahiran menghafaz surah al-Bayyinah. Dapatan kajian ini menyokong objektif kajian
yang ditetapkan.
Kelemahan utama peserta kajian dalam menghafaz surah al-Bayyinah adalah disebabkan tidak tahu
bagaimana cara mudah untuk menghafaz ayat-ayat hafazan yang panjang. Peserta kajian tidak pernah
belajar kaedah untuk menghafaz al-Quran dengan mudah dan tepat. Peserta kajian turut menghadapi
masalah untuk menyambung sambungan ayat surah al-Bayyinah dengan betul. Hal ini kerana surah alBayyinah mempunyai sambungan ayat yang lebih kurang sama kalimahnya sebagai contoh 4 kalimah
terakhir pada ayat 6 dan 7.
Inovasi yang diperkenalkan oleh pengkaji dikenali sebagai kaedah CMR telah membantu peserta
kajian menghafaz surah al-Bayyinah dengan mudah, cepat dan tepat. Proses pengajaran dan
pembelajaran hafazan al-Quran menggunakan kaedah CMR berjaya mewujudkan suasana
pembelajaran yang ceria dan menyeronokkan. Ini kerana, kaedah CMR yang melibatkan tiga langkah
mudah menghafaz iaitu memotong ayat (Cut), menghafaz ayat demi ayat (Memorise), dan mengulang
hafazan surah al-Bayyinah dari ayat 1 hingga 8 (Repeat) berjaya menarik minat peserta kajian
melibatkan diri secara aktif sewaktu sesi intervensi. Penggunaan kaedah CMR nyata mampu
meningkatkan penguasaan murid lemah dalam menghafaz surah al-Bayyinah dengan berbantukan
slaid power point yang disediakan oleh pengkaji.
Terdapat beberapa kelemahan dalam kajian yang dilakukan oleh pengkaji. Dalam kajian ini, pengkaji
melaksanakan kajian terhadap murid Tahun 5. Bagi meningkatkan penguasaan kemahiran menghafaz
ayat-ayat hafazan murid-murid di sekolah, pengkaji mencadangkan agar guru-guru memperkenalkan
kaedah ini sewaktu pengajaran hafazan al-Quran dari Tahun 1 lagi. Ini kerana, penguasaan kemahiran
menghafaz pada peringkat awal persekolahan sangat penting kerana apabila murid telah berjaya
menguasai kemahiran ini, akan mudah bagi mereka untuk menghafaz ayat-ayat hafazan yang terdapat
dalam silibus bagi tahun-tahun persekolahan yang berikutnya.
Dengan menjalankan kajian tindakan ini, pengkaji telah memperolehi banyak ilmu berharga
seterusnya dapat membantu pengkaji dalam meningkatkan tahap profesionalisme keguruan. Ilmu yang
diperolehi hasil penerokaan kajian-kajian terdahulu telah membantu pengkaji mendapat penemuan
kaedah-kaedah baru yang unik untuk digunakan sewaktu mengajar di sekolah nanti. Inovasi dalam
bentuk ICT dapat digunakan bagi memudahkan murid yang berpencapaian rendah memahami kaedah
yang sesuai untuk meningkatkan kemahiran menghafaz al-Quran.
Kajian tindakan ini akan menjadi perintis kepada pengkaji untuk menilai amalan pengkaji dalam
proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Pelaksanaan kajian ini dapat membaiki proses
PdP dan meningkatkan profesionalisme pengkaji pada masa akan datang.

RUJUKAN
Azrai Bin Baharuddin. (2011). Menghafaz Surah Al-Qariah Tahun 4 Naim Dengan Kaedah
Kolaborasi. Tesis Ijazah Sarjana Muda : Institut Pendidikan Guru Kampus Dato
Razali Ismail.
Fauzi Bin Sulehan. (2010). Penggunaan Kad Imbasan Dalam Meningkatkan Pengajaran
Hafazan Al-Quran Murid Tahun 5. Tesis Ijazah Sarjana Muda : Institut Pendidikan
Guru Kampus Dato Razali Ismail.
Nor Ain Binti Tukimon. (2010). Memantapkan Kemahiran Menghafaz Surah Al-Kafirun
Murid Tahun 2 Firdaus Menggunakan Kaedah Chunking. Tesis Ijazah Sarjana Muda :
Institut Pendidikan Guru Kampus Dato Razali Ismail.
Prof. Madya Dr. Abd. Halim El-Muhammady. (1990). Al-Quran dan Pembelajarannya di
Malaysia. Jurnal Pendidikan Islam Jilid 3 Bil 3,1990: 1-12.
Wan Bakar Wan Dagang. (1990). Pengajaran dan Pendidikan Al-Quran Dalam Kurikulum
Baru Sekolah Rendah (KBSR). Jurnal Pendidikan Islam Jilid 3 Bil 3,1990: 21-31.

Anda mungkin juga menyukai