Anda di halaman 1dari 8

ARKIB : 08/03/2010

Rasulullah manusia istimewa


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?
y=2010&dt=0308&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN

SELAKU umat Islam, kita meyakini dan mempercayai bahawa Nabi Muhammad
SAW ialah manusia yang harus berlaku ke atas Nabi SAW apa yang harus ke atas
manusia yang lain.

Ia seperti mengalami hal-hal yang mendatang dan ditimpa penyakit yang tidak
mengurangi kewibawaan baginda SAW sebagai seorang nabi dan tidak
menyebabkan orang menjauhkan diri daripadanya.

Nabi Muhammad SAW juga adalah seorang hamba Allah SWT yang tidak memiliki
kekuasaan pada dirinya untuk menolak sebarang kemudaratan atau mendatangkan
manfaat, memati atau menghidupkan atau membangkitkan, kecuali apa yang
dikehendaki oleh Allah SWT.

Allah SWT berfirman: Katakanlah, "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi
diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan
kalau aku mengetahui (perkara-perkara) yang ghaib, tentulah aku akan
mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan
(tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah)
yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira
bagi orang-orang yang beriman. (al-A'raf: 188)

Sesungguhnya Nabi SAW telah menyampaikan risalah dengan sempurna,


menunaikan amanah, menasihati ummah, menghapuskan dukacita dan berjihad di
jalan Allah sehingga kewafatan baginda SAW. Kemudian baginda kembali ke hadrat
Tuhannya dalam keadaan reda dan diredai, sebagaimana firman Allah SWT:
Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad!) akan mati, dan sesungguhnya mereka
juga akan mati. (al Zumar: 30)

Sifat 'ubudiyyah (perhambaan) adalah semulia-mulia sifat baginda SAW. Oleh


kerana itu, baginda amat berbangga dengannya sebagaimana sabdanya:
"Sesungguhnya aku hanyalah seorang hamba Allah".

Allah SWT telah menyifatkan nabi SAW sebagai hamba-Nya, pada setinggi-tinggi
kedudukan ketika Allah menceritakan anugerah Isra' kepada baginda sebagaimana
firman-Nya: Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya…(al-Isra: 1)
Begitu juga firman Allah: Dan sesungguhnya tatkala hamba Allah (Nabi Muhammad
SAW) berdiri mengerjakan ibadat kepada-Nya, mereka (golongan jin yang
mendengar bacaan ayat al-Quran baginda di dalam solatnya) hampir-hampir
menindih satu sama lain mengerumuninya. (al Jin: 19)

Sifat manusiawi Nabi SAW inilah merupakan mukjizat baginya. Baginda SAW adalah
manusia seperti manusia yang lain, tetapi baginda jelas jauh berbeza daripada
manusia umum; tanpa ada seorang manusia pun yang dapat menandinginya atau
menyamainya.

Baginda SAW sendiri pernah bersabda di dalam hadis sahih mengenai


keistimewaan dirinya: "Sesungguhnya aku tidak seperti keadaan kamu. Aku tidur di
sisi Tuhanku dalam keadaan diberi makan dan minum".

Dengan ini, jelaslah bahawa menyifatkan Rasulullah SAW sebagai manusia biasa
wajib disertai dengan keistimewaannya yang membezakannya daripada manusia
umum; dengan menyebut keistimewaannya yang tersendiri dan biografinya yang
terpuji.

Tuntutan ini bukan sahaja khusus terhadap Rasulullah SAW, bahkan terhadap nabi-
nabi dan rasul-rasul yang lain supaya pandangan kita terhadap mereka bersesuaian
dan layak dengan martabat dan kedudukan mereka.

Jika kita memandang mereka hanya sebagai manusia biasa semata-mata, tanpa
mengaitkannya dengan ciri-ciri khusus atau istimewa mereka sebagai nabi dan
rasul, maka kita telah terjerumus ke dalam tradisi dan sikap orang jahiliah.

Di dalam al-Quran, terdapat banyak ayat yang menyentuh hal tersebut. Antaranya,
perkataan kaum Nabi Nuh a.s mengenai nabi mereka sebagaimana yang
dihikayatkan oleh Allah dalam firman-Nya: Maka berkatalah ketua-ketua yang kafir
daripada kaumnya, "Kami tidak memandangmu (wahai Nuh!) melainkan sebagai
seorang manusia seperti kami". (Hud: 27)

Ayat yang lain adalah perkataan kaum Nabi Musa a.s dan Harun a.s mengenai nabi
mereka sebagaimana yang dihikayatkan oleh Allah SWT dalam al-Quran: Sehingga
mereka berkata (dengan angkuhnya), "Patutkah kita beriman kepada dua manusia
seperti kita, sedangkan kaum mereka (Bani Israel) menjadi orang-orang suruhan
kita?" (al-Mukminun: 47)

Begitu juga dengan apa yang dikatakan oleh kaum Thamud kepada nabi mereka,
iaitu Nabi Saleh a.s, sebagaimana yang dikisahkan oleh Allah dalam al-Quran:
Engkau hanyalah seorang manusia seperti kami; oleh itu, bawakanlah satu tanda
(mukjizat) jika betul engkau daripada orang-orang yang benar. (al-Syu'ara': 154)
Hal yang sama pernah juga dilakukan oleh kaum Nabi Syuaib a.s yang memandang
nabi mereka sebagai manusia biasa, bahkan sebagai seorang pendusta,
sebagaimana yang dikisahkan oleh Allah melalui firman-Nya: Mereka berkata,
"Sesungguhnya engkau adalah dari kalangan pelaku sihir. Dan engkau hanyalah
seorang manusia seperti kami; dan sesungguhnya kami fikir engkau ini daripada
orang-orang yang dusta. (al- Syu'ara': 185)

Begitu juga dengan apa yang dikatakan oleh orang musyrikin terhadap Nabi
Muhammad SAW. Mereka hanya memandang nabi SAW sebagai manusia biasa,
sebagaimana yang dikisahkan oleh Allah SWT dalam al-Quran: Dan mereka pula
berkata, "Mengapa Rasul ini makan, minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti
manusia yang lain)?" (al-Furqan:7)

Rasulullah SAW sendiri telah menyatakan dalam sabdanya tentang kemuliaan yang
dianugerahkan oleh Allah SWT kepadanya dengan semulia-mulia sifat dan pelbagai
perkara yang mencarik adat (mukjizat) yang membezakannya daripada manusia
yang lain.

Di antaranya ialah sabda Rasulullah SAW mengenai peribadinya di dalam hadis


sahih: "Kedua-dua mataku tidur, tetapi hatiku tidak tidur".

Di dalam hadis sahih yang lain, nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya aku dapat
melihat kamu dari belakangku sebagaimana aku melihatmu dari depanku".

Baginda SAW juga bersabda: "Aku dianugerahkan kunci-kunci perbendaharaan


bumi."

Meskipun pada fizikalnya, baginda SAW telah wafat, tetapi baginda masih hidup
dengan kehidupan Barzakhiyyah (di alam barzakh) secara sempurna. Baginda SAW
dapat mendengar perkataan orang yang masih hidup di dunia dan mendengar salam
mereka serta menjawabnya.

Bahkan, disampaikan kepada baginda SAW setiap selawat yang diucapkan kepada
Baginda SAW dan juga diperlihatkan kepadanya segala amal perbuatan umatnya.

Keampunan

Baginda SAW berasa senang dan gembira dengan amal soleh orang-orang yang
baik, dan sentiasa meminta keampunan bagi umatnya yang melakukan dosa.
Sesungguhnya, Allah SWT telah mengharamkan bumi ini daripada memamah jasad
nabi SAW yang sentiasa terpelihara daripada sebarang kerosakan dan pemusnah
yang terdapat di dalam bumi.

Diriwayatkan daripada Aus ibn Aus r.a, beliau berkata: Sabda Rasulullah SAW:
"Sesungguhnya, di antara hari kamu yang paling mulia ialah hari Jumaat. Pada hari
itulah, Nabi Adam a.s diciptakan dan pada hari itu juga beliau diwafatkan. Pada hari
Jumaat juga, terjadinya tiupan sangkakala, dan pada hari itu juga terjadinya so'iqah
(petir dahsyat atau Kiamat). Maka perbanyakkanlah membaca selawat kepadaku
pada hari itu kerana selawat kalian akan dipersembahkan kepadaku". Para sahabat
bertanya, "Wahai Rasulullah! Bagaimanakah selawat kami akan dipersembahkan
kepadamu, padahal kamu telah binasa?" Baginda SAW bersabda, "Sesungguhnya
Allah mengharamkan ke atas bumi ini daripada memamah jasad para Nabi". (riwayat
Imam Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah, Ibnu Hibban di dalam Sohihnya dan Imam
Hakim mensahihkannya.)

Al Hafiz Imam Jalaluddin al Suyuti r.a menulis risalah khusus mengenai perkara ini
yang bertajuk Anba' al Azkiya' bi Hayah al Anbiya' (Perkhabaran Orang Cerdik
Pandai Mengenai Kehidupan Para Nabi).

Diriwayatkan daripada Ibnu Mas'ud r.a, daripada Rasulullah SAW yang bersabda:
"Kehidupanku adalah baik bagi kamu, kamu berbicara (bertanya masalah dan
hukum kepada Baginda SAW) dan dibicarakan bagi kamu (dengan wahyu dan
syariah daripada Allah melalui perantaraan Baginda SAW). Kewafatanku juga
adalah baik bagi kamu kerana dibentangkan amalan kamu ke atasku. Apa yang aku
lihat dari amalan itu baik, maka aku memuji Allah dan apa yang aku lihat dari amalan
itu jahat, aku memohon keampunan kepada Allah untuk kamu". (Al Haithami
mengatakan bahawa hadis ini diriwayatkan oleh al Bazzar, dan rijalnya adalah
sahih)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tiada
seorang pun yang mengucapkan salam ke atasku kecuali Allah mengembalikan
kepadaku rohku, sehingga aku (dapat) menjawab salamnya". (riwayat Abu Daud dan
Imam Ahmad)

Menurut sebahagian ulama, maksud Allah mengembalikan rohku adalah: "Allah


mengembalikan kepadaku kemampuan berbicara".

Diriwayatkan pula daripada 'Ammar ibn Yasir r.a berkata, bahawa Rasulullah SAW
bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT mewakilkan pada kuburku malaikat yang
diberikan nama-nama makhluk kepadanya. Maka tidak ada seorang pun yang
membaca selawat ke atasku hingga hari kiamat, melainkan dia menyampaikan
kepadaku nama orang tersebut beserta nama ayahnya, "Ini Fulan ibn Fulan telah
berselawat ke atasmu". (riwayat al Bazzar dan Abu al Sheikh Ibnu Hibban).

Berdasarkan hadis tersebut, jelaslah bahawa meskipun baginda telah wafat, tetapi
kemuliaan, kedudukan dan pangkatnya yang tinggi di sisi Tuhannya tetap kekal dan
tidak diragui lagi di sisi orang yang beriman.

Menganggap Nabi SAW sama sahaja dengan manusia yang lain pada semua
keadaan dan sifat-sifat mereka adalah suatu tanggapan yang jelas salah dan
kejahilan yang ditolak sama sekali oleh dalil-dalil yang sahih dari al-Quran dan
sunnah.

Jika Nabi SAW tidak mempunyai ciri-ciri istimewa dan khusus, apakah hikmah dan
faedah terpilihnya mereka menjadi nabi dari manusia yang lain? Tidak ada salahnya
kita memuliakan dan memuji baginda SAW. Malah sememangnya kita digalakkan
memuji dan memuliakan nabi SAW lebih-lebih lagi pada bulan kelahiran baginda
SAW ini selagi ia tidak sampai menyamatarafkan baginda SAW dengan sifat-sifat
ketuhanan.

ARKIB : 15/03/2010

Jangan abai hak


Rasulullah
Dipetik dari :
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?

SENARIO begini lumrah kelihatan acap kali tiba


hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad
SAW.

y=2010&dt=0315&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

SUDAH menjadi agenda terpenting dalam setiap majlis Maulid Nabi SAW, ucapan
selawat dan memuji Baginda dialunkan dan dikumandangkan. Selain mendapatkan
pahala dan keberkatan, majlis ini juga berperanan mendekatkan umat Islam kepada
nabi mereka dalam rangka mengingatkan umat Islam tentang ketinggian dan
keluhuran agama Islam yang dibawa Baginda SAW.

Namun, dalam kerancakan penganjuran maulid, dalam keindahan suasana


keistimewaan dan ketinggian Rasulullah SAW dihayati dan dimartabatkan, ada
terdengar suara-suara sumbang yang menempelak majlis seperti ini kerana
dikatakan mengandungi unsur ghuluw (pelampauan) dalam memuji Baginda SAW.

Setakat manakah kebenaran dakwaan mereka ini? Jika memuji Nabi SAW dikatakan
boleh membawa kepada perbuatan menyamatarafkan kedudukan Baginda SAW
dengan Allah SWT, bagaimanakah pula dengan pujian dan sanjungan tinggi
menjulang yang diberikan kepada manusia-manusia lain yang jauh lebih rendah
kedudukannya daripada Nabi Muhammad?
Pada minggu lepas, kita telah membicarakan bahawa Baginda SAW juga adalah
seorang insan ciptaan Allah, tetapi berbeza daripada manusia lain dengan
dikurniakan pelbagai keistimewaan tertentu oleh Allah.

Justeru, memandang Baginda sebagai seorang manusia semestinya disertai dengan


pandangan istimewa sesuai dengan kedudukan Baginda yang telah dimartabat dan
dijulang oleh Allah dan bukannya menurut pandangan mereka yang terkesan
dengan fahaman Jahiliah.

Jika kita tidak menyingkap ayat-ayat al-Quran dan hadis yang sarat membicarakan
perkara ini pun, akal yang sejahtera sudah boleh menerima dan mudah untuk
memahaminya.

Seseorang yang ditugaskan membawa suatu risalah yang agung daripada Tuhan
Yang Maha Agung sudah tentu mempunyai ciri-ciri istimewa dan khusus bagi
memastikan risalah agung itu dapat disampaikan dengan sempurna.

Salah faham makna ta'zhim dan ibadah

Masalah ini hanya terjadi apabila seseorang itu tidak dapat memahami dengan jelas
tentang hakikat ta'zhim (mengagungkan atau membesarkan) dan hakikat ibadah
(penyembahan).

Mereka juga tidak dapat membezakan antara dua kedudukan iaitu kedudukan Allah
dan makhluk di mana setiap kedudukan mempunyai hak-haknya yang khusus.

Oleh itu, mereka mencampuradukkan di antara kedua-duanya dan menganggap apa


jua bentuk ta'zhim yang dilakukan merupakan suatu penyembahan kepada yang
diagungkan. Rentetan itu, perbuatan berdiri bagi menghormati orang yang mulia,
mencium tangan, membesarkan Nabi Muhammad SAW dengan menyematkan
gelaran Sayyid dan Maulana, berdiri di hadapan Nabi SAW ketika menziarahinya
dengan adab-adab yang baik, penuh hormat dan merendah diri; semuanya dianggap
ghuluw (berlebih-lebihan dan melampau) di sisi mereka, hingga membawa kepada
penyembahan kepada selain Allah SWT.

Hakikatnya, anggapan seperti ini merupakan suatu kejahilan dan kesilapan, bahkan
Allah dan Rasul-Nya tidak reda terhadapnya dan ia tidak sejalan dengan roh syariat
Islam.

Sujud para malaikat kepada Nabi Adam

Kita sedia maklum, Nabi Adam as merupakan insan dan hamba Allah yang soleh
dan pertama daripada jenis manusia. Allah SWT telah memerintahkan para malaikat
supaya sujud kepadanya sebagai memuliakan dan membesarkan ilmunya dan
sebagai pemberitahuan kepada mereka, bahawa Allah telah memilih Adam as
menjadi Nabi daripada sekalian makhluk-Nya. Ini dijelaskan dalam surah al-Isra'
ayat 61 hingga 62. Begitu juga dalam surah (Saad ayat 76 dan surah al-Hijr ayat 30
hingga 31.

Dari ayat-ayat ini kita melihat, para malaikat turut mengagungkan insan yang
diagungkan oleh Allah SWT, cuma Iblis bersikap takbur dan enggan sujud kepada
makhluk yang diciptakan daripada tanah. Alasan yang dikemukakan, ia diciptakan
daripada api, sedangkan Nabi Adam diciptakan daripada tanah, sehingga ia enggan
memuliakan Adam a.s dan tidak mahu sujud kepadanya.

Iblis adalah makhluk pertama yang bersikap takbur dan tidak mahu mengagungkan
insan yang diagungkan oleh Allah SWT. Lantaran itu, ia diusir dan dihalau jauh
daripada rahmat Allah kerana sikap sombong dan takbur terhadap hamba yang
soleh.

Pada hakikatnya, sikap takbur iblis itu merupakan suatu kesombongan terhadap
Allah kerana sujud itu sebenarnya kepada Allah; sebagai menurut perintah-Nya. Ini
menjelaskan kepada kita perintah sujud tersebut adalah sebagai suatu
penghormatan kepada Nabi Adam dan bukannya suatu penyembahan.

Hak-hak Rasulullah

Adapun hak Nabi SAW supaya diagungkan dan dimuliakan adalah sebagaimana
perintah Allah SWT dalam al-Quran: Sesungguhnya Kami telah mengutusmu (wahai
Muhammad) sebagai Rasul yang menjadi saksi (yang diterima keterangannya), dan
sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), serta
pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar). (Kami mengutusmu wahai
Muhammad) supaya engkau dan umatmu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya,
dan supaya kamu kuatkan agamanya dan memuliakannya. (al Fath: 8-9)

Dalam ayat lain, disebutkan: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu
memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau
kebenaran) Allah dan Rasul-Nya. (al-Hujurat: 1)

Allah juga berfirman: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu


mengangkat suara cakap kamu melebihi suara cakap Nabi SAW. (al Hujurat: 2)

Dalam ayat yang lain pula disebut: Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan
Rasulullah di antara kamu sama seperti seruan atau panggilan sesama kamu. (al-
Nur: 63)

Umat Islam dilarang mendahului Nabi Muhammad SAW dalam berkata-kata ketika
berada di hadapan Baginda. Bahkan, mendahului percakapan Nabi SAW dianggap
sebagai akhlak atau adab yang buruk.
Kita juga dilarang mendahului Baginda atau tergesa-gesa menghukum suatu
perkara sebelum Baginda menentukan hukumannya, ataupun berfatwa tentang apa
sahaja perkara; baik berkaitan dengan peperangan, mahupun hal-hal lain yang
berkaitan dengan urusan agama kecuali dengan perintahnya. Kemudian Allah
menasihatkan dan memperingatkan umat Islam agar tidak menyalahi perintah
tersebut, sebagaimana menurut surah al-Hujurat ayat 1 tadi.

Al Sulami ra. berkata tentang maksud ayat ini, "Maksudnya adalah bertakwalah
kamu kepada Allah dengan tidak meremehkan atau mengabaikan hak-hak Nabi
Muhammad SAW dan mensia-siakan kehormatannya, kerana sesungguhnya Allah
Maha Mendengar segala perkataan kamu dan Maha Mengetahui segala perbuatan
kamu".

Dalam ayat seterusnya, Allah SWT melarang umat Islam daripada meninggikan
suara melebihi suara Nabi SAW dan mengeraskan suara kepada Baginda SAW
seperti percakapan sesama rakan biasa. Menurut pendapat yang lain, maksudnya
Allah SWT melarang umat Islam memanggil Baginda SAW seperti panggilan
sesama mereka dengan menyebut namanya sahaja. Tetapi hendaklah
mengagungkan, menghormati dan memanggil Baginda SAW dengan semulia-mulia
panggilan; yang disukainya, seperti panggilan, "Wahai Rasulullah!" dan "Wahai Nabi
Allah!"

Allah juga memperingatkan orang yang bersikap biadap terhadap Rasulullah SAW
dengan ancaman akan dihapuskan amalan mereka jika mereka melakukan
perbuatan yang tidak sopan terhadap Rasulullah SAW. Bahkan, Allah mencela
mereka dengan menganggap mereka sebagai orang yang bodoh dan menyifatkan
mereka sebagai orang yang tidak berakal.

Perintah dan peringatan Allah di atas ini jelas menunjukkan ketinggian Baginda SAW
di sisi-Nya yang wajib kita muliakan dan besarkan sepanjang masa.

Tidak timbul dalam menyempurnakan hak dan adab terhadap Baginda SAW, soal
penyembahan Nabi Muhammad SAW selagi seseorang itu mengetahui yang mana
menjadi hak Allah dan yang mana menjadi hak Rasulullah SAW. Perbincangan
selanjutnya akan menyusul minggu hadapan.