Anda di halaman 1dari 3

ASPIRASI MURID MEMASTIKAN SETIAP MURID PROFISIEN DALAM BAHASA

MELAYU DAN BAHASA INGGERIS


Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia telah dibangunkan khas bagi melonjakkan
visi sistem pendidikan dan murid yang dapat memenuhi keperluan negara pada masa depan.
Bagi mencapai hasrat tersebut, kementerian telah merangka sebelas anjakan utama dalam
mentransformasikan sistem pendidikan negara. Salah satu daripada anjakan tersebut adalah
memastikan setiap murid profisien dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Bagi mencapai hasrat ini, satu program LINUS telah direka khas oleh Kementerian
Pelajaran Malaysia untuk memastikan murid menguasai kemahiran literasi dan numerasi di
awal tiga tahun persekolahan sekolah rendah. LINUS ialah akronim kepada saringan Literasi
dan Numerasi (Literacy and Numeracy Screening). LINUS disasarkan kepada murid yang
mempunyai masalah dalam membaca, mengira dan menulis (3M). Program ini tidak terhad
kepada literasi Bahasa Melayu dan numerasi sahaja malahan saringan literasi Bahasa Inggeris
turut direka bagi mengenal pasti murid bermasalah dalam Bahasa Inggeris dan seterusnya
membantu murid menguasai kemahiran literasi selaras dengan anjakan transformasi yang
ingin melahirkan murid profisien dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Walaubagaimanapun, dalam usaha meningkatkan kemahiran literasi dalam kalangan
murid tahap satu, terdapat beberapa permasalahan yang timbul sepanjang program ini
dijalankan. Permasalahan yang pertama adalah kadar bilangan murid LINUS yang tidak
mengusai kemahiran membaca dan menulis masih lagi tinggi bagi sesetengah sekolah. Hal ini
adalah disebabkan motivasi murid LINUS yang rendah. Mereka tidak mempunyai minat serta
kesedaran tinggi untuk belajar. Permasalahan yang perlu ditangani ialah masalah ponteng
sekolah. Kehadiran mereka ke sekolah adalah tidak memuaskan berbanding murid yang
berada di kelas perdana.
Implikasi dari murid yang gagal ke sekolah ini, mereka akan tercicir dengan
kemahiran yang diajar oleh guru seterusnya ingatan terhadap pembelajaran pada tajuk yang
lepas akan berkurang dan mempengaruhi minat belajar. Oleh itu, guru seharusnya bertindak
bijak untuk menarik minat murid terhadap pembelajaran dengan mempelbagaikan kaedah
mengajar yang akan membantu menimbulkan keseronokan mereka untuk belajar di kelas.
Keseronokan murid terhadap pengajaran guru akan membantu mereka menguasai kemahiran

literasi membaca dan menulis dan seterusnya meningkatkan kadar celik huruf dalam kalangan
murid.
Isu permasalahan kedua pula berkaitan beban guru LINUS. Mereka perlu membuat
dua rancangan pengajaran berbeza bagi setiap kelas yang mempunyai murid LINUS iaitu
rancangan pengajaran murid LINUS dan murid arus perdana. Hal ini bagi memastikan murid
LINUS diajar mengikut tahap penguasaan masing-masing. Ini kerana murid di dalam kelas
LINUS biasanya mempunyai tahap keupayaan membaca dan menulis yang berbeza. Guru
perlu peka satu per satu masalah murid agar mereka yang lemah ini tidak ketinggalan di
dalam kelas dan mampu mengikuti pembelajaran yang sama dengan rakan sebaya yang lain.
Selain itu, guru LINUS Bahasa Inggeris juga mengalami cabaran dan tekanan hebat.
Murid LINUS Bahasa Melayu yang agak lemah serta tidak menguasai konstruk satu dan dua
dihantar masuk ke kelas pemulihan untuk dibimbing sepenuhnya oleh guru pemulihan.
Berbeza dengan murid LINUS Bahasa Inggeris, mereka akan belajar sepenuhnya di dalam
kelas perdana dan murid yang lemah tidak diasingkan ke mana-mana kelas. Ini kerana tugas
guru pemulihan hanya membimbing murid lemah dalam penguasaan Bahasa Melayu. Hal ini
memberi tekanan kepada guru Bahasa Inggeris untuk fokus kepada murid yang pelbagai tahap
penguasaan dalam satu masa.
Penyelesaian dari permasalahan ini, Guru Besar bagi setiap sekolah perlu membuat
satu ikhtiar atau pelan baru iaitu melantik guru bantu untuk guru LINUS. Peranan guru bantu
ini adalah untuk mengajar murid yang sudah menguasai dalam arus perdana manakala guru
LINUS akan lebih fokus kepada murid LINUS sahaja di dalam kelas. Untuk mengurangkan
beban guru bantu ini dari pertambahan waktu mengajar, sekolah perlu membina satu jadual
waktu yang fleksibel agar melibatkan semua guru dan seterusnya waktu mengajar mereka
semasa menjadi guru bantu adalah berkurangan.
Isu ketiga berkaitan LINUS pula ialah mengenai tekanan yang dihadapi dalam kalangan
guru LINUS. Mereka ini seringkali didesak supaya memastikan murid dapat menguasai tahap
penguasaan literasi yang ditetapkan di dalam program LINUS seterusnya mencapai
kemahiran literasi secara kekal. Penguasaan murid dalam LINUS masih di tahap yang tidak
boleh

dibanggakan.

Murid

yang

berjaya

melepasi

ujian

saringan

juga

tidak

memberangsangkan kerana pencapaian mereka berada pada tahap yang minimum untuk lulus.

Guru - guru ini juga perlu menghabiskan sukatan pelajaran mengikut ketetapan dan
menguji murid melalui ujian saringan dua kali setahun. Jika guru tidak mencapai sasaran yang
ditetapkan oleh pihak sekolah, guru perlu menjawab segala persoalan mengenai kegagalan
tersebut dan akan sentiasa dipantau oleh pihak kementerian dan penaziran. Hal ini akan
menimbulkan kerisauan mendalam pada diri guru. Akibatnya, untuk mengelak perkara ini
berlaku, ada sesetengah guru yang tidak telus dalam pengisian data maklumat murid terhadap
ujian saringan. Hal ini demi menjaga nama baik sekolah dan meletakkan sekolah pada
kedudukan yang selamat.
Berbeza pula dengan sesetengah guru yang tidak telus semasa menguji murid. Sebagai
contoh, guru membantu murid secara berlebihan semasa ujian saringan dilaksanakan. Guru
tidak mengikut saranan prosedur yang ditetapkan oleh pihak kementerian. Akibatnya, murid
boleh menguasai kemahiran dengan bantuan guru tetapi apabila guru tiada, murid tidak
mampu untuk menyelesaikan kemahiran membaca dan menulis sendirian. Murid akan
bergantung kepada guru dan ini memberi masalah kepada hasil data penguasaan murid
terhadap sesuatu kemahiran yang diuji. Apabila berlaku pemantauan dari pihak penaziran
untuk menyemak hasil kerja murid, berlaku ketidakseimbangan data yang diberi guru
terhadap pencapaian murid. Oleh itu, setiap guru LINUS perlulah jujur dan telus semasa
pengujian saringan dilaksanakan dan mengikut prosedur yang ditetapkan agar tidak berlaku
ketirisan data yang diperoleh.
Kelemahan murid menguasai kemahiran literasi iaitu membaca dan menulis akan
menjejaskan prestasi serta motivasi murid pada masa akan datang. Guru perlu berusaha
mengesan tahap keupayaan setiap murid yang berbeza potensi dan kemampuan. Pendekatan
pengajaran dan pembelajaran yang baik penting dalam memastikan kejayaan penguasaan
kemahiran literasi murid dalam pelajaran bahasa. Dalam masa yang membantu hasrat
kerajaan untuk melahirkan murid yang profisien dalam penguasaan Bahasa Melayu dan
Bahasa Inggeris. Oleh itu, masalah berkaitan dengan program LINUS ini haruslah
diselesaikan dengan kadar segera agar tidak berlanjutan supaya kadar celik huruf dalam
kalangan tahap satu sekolah rendah meningkat.

Anda mungkin juga menyukai