Anda di halaman 1dari 2

Rawatan Parkinson

Oleh Dr Chew Nee Kong

Ubat bantu hadkan masalah tubuh terketar-ketar, tingkatkan kualiti hidup pesakit

MASA depan anda tidak semestinya gelap andainya disahkan menghidap Parkinson. Biarpun ia bukan
penyakit yang dapat dipulihkan, masih ada beberapa cara untuk mengubatinya dengan lebih berkesan
bagi mengurangkan simptom penyakit ini. 

Kebanyakan simptom ini disebabkan kekurangan dopamine dan ubat yang lazimnya digunakan pula
cuba mengambil alih atau meniru fungsi dopamine yang bertindak membantu mengurangkan gerak
tubuh terketar-ketar dan memperlahankan masalah pergerakan badan.

Ada beberapa jenis ubat-ubatan baru yang kini dikaji kemampuannya, termasuk dipercayai dapat
memperlahankan penularan penyakit itu. Kebanyakannya menjanjikan peluang cerah memperbaiki
kualiti hidup pesakit yang menghidapinya. 

Dalam usaha mengubati Parkinson, ada beberapa kelas ubat-ubatan berbeza digunakan bagi
peringkat penyakit berlainan sama ada digabung atau secara sendiri. Ini bergantung kepada tahap
penyakit, usia pesakit dan toleransi terhadap rawatan perubatan. Malah rawatan awal bergantung
kepada individu. 

Kelas ubat-ubatan yang digunakan termasuk levodopa, dopamine agonists, COMT-inhibitors, MAO-B-
inhibitors dan ubat anticholinergic. Ada beberapa jenis ubat-ubatan baru yang masih pada peringkat
kajian yang mampu memperlahankan penyakit ini. Kebanyakannya mampu mempertingkatkan kualiti
hidup pesakit yang menghidap penyakit ini.

Levodopa misalnya, menjadi ubat paling kerap digunakan untuk Parkinson dan cukup berkesan dalam
usaha mengurangkan tiga simptom utama penyakit ini - pergerakan yang perlahan, ketegangan dan
terketar-ketar. 

Dopamine agonist bertindak dengan mempertingkatkan aktiviti dopamine dalam otak. Ia bertindak
dengan meniru fungsi dopamine yang berkurangan bagi pesakit Parkinson. Kajian menunjukkan
rawatan awal menggunakan dopamine agonist mampu mengurangkan insiden komplikasi motor. 

Ubat Penyekat COMT pula berfungsi menyekat tindakan catechol-O-methyl transferase (COMT) -
sejenis enzim yang memetabolismakan lepodova sebelum sampai ke otak. Ubat ini biasa digunakan
bersama levodopa, membantu memanjangkan tindakan lepodova bagi memastikan dos lebih kuat
dibekalkan kepada pesakit - lebih menambahkan kadar dopamine dan meningkatkan mobiliti fizikal. 

Penyekat-MAO-B turut digunakan bersama kombinasi levodopa dan dikatakan sangat berkesan pada
peringkat awal Parkinson kerana dapat melengahkan penyakit daripada serius. Penyekat MAO-B
membantu mengurangkan simptom Parkinson dengan menyekat monoamine oxidase-B (MAO-B) yang
merosakkan dopamine.

Akhir sekali, anticholinergic iaitu ubatan sokongan yang digunakan untuk mengurangkan kimia semula
jadi dalam otak - acetylcholine yang mengaktifkan otot. Bagaimanapun, anticholinergics membantu
menurunkan kadar kimia dalam apa disifatkan ‘pemancar’ saraf ini bagi mengurangkan simptom
Parkinson. Ia berguna bagi merawat pesakit yang mengalami simptom seperti masalah terketar-
ketar. 

Oleh itu, pemantauan tetap oleh pakar saraf, pesakit dan penjaga cukup penting bagi memastikan dos
betul dan jenis ubat-ubatan (secara kombinasi) untuk merawat kerana setiap kes adalah unik. 
Kita juga perlu tahu ubatan yang disarankan kepada pesakit Parkinson ada kesan sampingannya
seperti loya, muntah dan pening. Kesan sampingan paling serius ialah gerakan tubuh secara tiba-tiba
yang biasanya tidak dapat dikawal pesakit atau menjangka gerakan tubuh yang tersentak akibat
rawatan levodopa yang berterusan. 

Masalah ini tidak boleh dipulihkan kerana akan hadir sepanjang hayat. Keadaan ini juga penyebab
utama timbulnya stigma sosial, menyebabkan pesakit Parkinson malu untuk berhadapan dengan
masyarakat. Oleh itu, rawatan menggunakan levodopa dielakkan pada peringkat awal Parkinson (5-10
tahun), bertujuan mengelak perkembangan gerakan tubuh tiba-tiba atau dyskinesia pada peringkat
seterusnya. 

Ubat jenis Dopamine agonist juga boleh menyebabkan kesan sampingan seperti loya, pening,
mengantuk, kekeliruan dan tekanan darah rendah. Mujur, dengan kemunculan ubat-ubatan baru
seperti Ropinirole, kekerapan kesan sampingan berkurangan dan diharapkan ubatan yang bakal
muncul di masa depan mengurangkan lagi kekerapan kesan sampingan. 

Perlu diingat, hidup dengan Parkinson bermaksud memahami keadaan dan peka kepada setiap
simptom yang ada bagi memudahkan doktor menjalankan rawatan dengan lebih efektif. 

Penulis ialah Pakar Runding Neurologi, Hospital Pantai Cheras. Untuk maklumat lanjut mengenai
Parkinson, lawati www.lloydtan-trust.com.

Anda mungkin juga menyukai