Anda di halaman 1dari 5

Aplikasi Gadaian Menurut Islam

Secara ringkasnya sejarah sistem gadaian Islam di Malaysia bermula dengan penubuhan
Muassasah Gadaian Islam Terengganu (MGIT) pada 23 Januari 1992. Seterusnya sistem ini
mula berkembang apabila Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) menerusi
Permodalan Kelantan Berhad (PKB) telah membuka sebuah Kedai Ar-Rahnu pada Mac 1992.
Seterusnya sistem gadaian Islam ini terus bertapak kukuh apabila pihak Yayasan Pembangunan
Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM) pada 27 Oktober 1993 telah memperkenalkannya melalui
Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) dan kemudiannya dengan Bank Islam Malaysia
Berhad (BIMB) pada November 1997. Sekali lagi YPEIM pada 15 September 2002, telah
mengambil inisiatif apabila menawarkan skim ini melalui kaunter Koperasi YPEIM Berhad. Dan
seterusnya, sistem gadaian ini terus mendapat tempat di kalangan institusi kewangan apabila
Agro Bank (ketika itu Bank Pertanian) mula menawarkan skim berkenaan pada tahun 2002,
EON Bank Group dan seterusnya oleh koperasi-koperasi.

Gadaian atau disebut Ar-Rahnu (dalam Bahasa Arab) telah diaplikasikan sejak zaman Rasulullah
SAW lagi. Ar-Rahnu bermaksud meletakkan sesuatu barang yang berharga sebagai jaminan atau
cagaran oleh pemiliknya untuk mendapatkan pinjaman. Sekiranya pemilik tersebut tidak dapat
menyelesaikan hutangnya, si pemberi hutang berhak untuk mendapatkan kembali wang
dipinjamkannya daripada barang gadaian tersebut.

Prof. Dr. Yusof Al-Qardawi dalam bukunya Al-Halal wa Al-Haram fil Islam menghuraikan
maksud gadaian itu sebagai sesuatu barang yang dijadikan peneguhan atau kepercayaan dalam
urusan hutang-piutang. Barang yang dijadikan jaminan itu boleh dijual, jika hutang tidak dapat
dibayar. Tetapi penjualan itu mesti sama nilainya dengan nilai wang dipinjam.

Hukum Gadaian adalah harus. Ini adalah berdasarkan firman Allah dalam Al-Quran, Surah AlBaqarah ayat 283 yang bermaksud: Jika kamu dalam perjalanan (dan bermuamalah tidak
secara tunai) sedangkan kamu tidak memperoleh seorang penulis, maka hendaklah ada barang
jaminan yang dipegang (oleh yang berpiutang).
1

Ia juga selari dengan hadith daripada Aisyah r.a yang bermaksud :Rasulullah s.a.w pernah
membeli makanan dari orang Yahudi dan beliau menggadai kepadanya baju besi
beliau.(Riwayat Bukhari dan Muslim). Dan sebuah hadith daripada Anas yang bermaksud:
Rasulullah s.a.w telah menggadaikan baju besinya kepada orang Yahudi dengan mengambil
buah gandum dan diberikan kepada ahli keluarganya. (Riwayat Ahmad)

Konsep Ar-Rahnu atau gadaian secara Islam ini menggalakkan pinjaman tanpa faedah bagi
mereka yang memerlukan dan membantu masyarakat yang didalam kesusahan tanpa mengira
keturunan mahu pun agama.Dalam memastikan gadaian yang dilakukan adalah menurut
kehendak dan prinsip Syariah, terdapat 5 rukun yang perlu dipatuhi iaitu Pemberi gadai (ArRaahin), penerima barang gadaian (Al-Murtahin), Barang Gadaian ( Al-Marhuun), Hutang (AlMarhuun Bih), Sighah (Ijab dan Qabul) iaitu majlis penyerahan dan penerimaan gadaian.

Selain itu, syarat sah gadaian ialah akad gadaian mestilah dilakukan melalui ijab dan qabul
(tawaran dan penerimaan), pemberi gadai (Ar-Raahin) dan penerima barang gadaian (AlMurtahin) hendaklah terdiri daripada orang yang mempunyai kelayakan yang sewajarnya untuk
mentadbir harta (Mutlaq Al-Tasarruf) iaitu mestilah orang yang telah baligh dan berakal. Barang
yang digadaikan (Al-Marhun) mestilah milik orang yang menggadai dan sah untuk dijual
beli.Selain itu, gadaian tersebut dibuat atas kerelaan Ar-Raahin tanpa ada paksaan daripada
mana-mana pihak.

Kontrak Gadaian tersebut dikira sebagai telah terbatal apabila barang yang telah digadai itu
diserahkan semula kepada pemberi gadai dan beliau telah menjelaskan keseluruhan hutangnya
kepada penerima gadai. Aktiviti gadaian yang dilakukan secara Islam dapat menggalakkan sikap
tolong-menolong di antara satu sama lain sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah AlMaaidah : ayat 2 yang bermaksud: Dan tolong-menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan
taqwa dan jangan tolong-menolong dalam perkara permusuhan dan dosa.

Ia juga akan dapat membantu individu yang dalam kesempitan wang mendapatkannya dengan
cara yang bersih dan dibenarkan oleh Syara, memberi kemudahan kepada orang yang
2

memerlukan dan memberi jaminan kepada orang yang memberi hutang, mengelakkan sebarang
perbalahan antara pemberi hutang dengan orang yang berhutang sekiranya hutang tidak dapat
dilangsaikan serta memberi dorongan kepada orang yang berhutang agar membayar hutangnya
bagi mendapatkan kembali barang yang menjadi barang gadaian.

Biar pun telah wujud institusi-institusi gadaian secara Islam, namun masih ada di kalangan
masyarakat hari ini terutamanya umat Islam yang masih berurusan dengan institusi gadaian
bukan Islam. Perbezaan utama diantara institusi Gadaian secara Islam dan bukan Islam ialah bagi
Gadaian yang dilakukan secara Islam, barang gadaian tetap menjadi hak pemilik asal walau pun
ia telah digadaikan. Selain itu, cara pembayaran bagi barang gadaian tersebut adalah berdasarkan
kepada nilai barang dan upah yang sewajarnya dan sistem gadaian Islam ini adalah untuk
membantu individu yang memerlukan bagi meringankan bebanan mereka. Manakala bagi
gadaian yang dilakukan bukan secara Islam, barang yang digadaikan akan lupus sekiranya tidak
ditebus dalam tempoh gadaian, cara pembayarannya pula adalah berdasarkan kepada nilai barang
dan ditambah dengan faedah atau riba. Praktis sebegini akan membebankan individu yang
memerlukan kerana mereka perlu membayar faedah yang dikenakan dan ia jelas melibatkan
unsur-unsur riba dan gharar (ketidakpastian).

Banyak kelebihan Ar-Rahnu berbanding dengan sistem Gadaian konvensional tetapi masih tidak
disedari oleh masyarakat. Pemikiran mereka telah berjaya didoktrinkan agar sentiasa bergantung
dan melakukan transaksi dengan menggunakan sistem konvensional sedangkan sistem yang lebih
telus, adil dan berasaskan prinsip-prinsip Islam diketepikan. Antara kelebihan Ar-Rahnu
berbanding Sistem Gadai Konvensional ialah ia bebas daripada unsur-unsur riba di mana
pinjaman yang diberi tidak akan dikenakan sebarang faedah berbanding dengan sistem gadaian
konvensional yang menjadikan faedah sebagai sumber hasil mereka. Faedah atau riba adalah
perkara yang diharamkan dalam Islam dan pemakan serta pemberi riba sebenarnya mereka
memerangi Allah SWT dan RasulNya sebagaimana yang dinyatakan dalam Firman Allah SWT
yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah SWT dan
tinggalkanlah saki baki Riba sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidal

meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan RasulNya. (Surah Al-Baqarah :


Ayat 278)

Kelebihan-kelebihan lain sistem Gadaian secara Islam ialah nilai barang gadaian tersebut tidak
akan berkurangan atau merosot, akan tetapi bagi gadaian secara konvensional, kita biasa
mendengar bahawa barang yang digadai tersebut, contohnya rantai emas, beratnya akan
berkurang sedikit apabila ditebus semula. Ia memperlihatkan ketidaktelusan pihak yang
memegang barang gadaian tersebut.

Selain itu, Institusi Gadaian secara Islam mengenakan caj perkhidmatan yang rendah berbanding
dengan caj perkhidmatan yang dikenakan oleh institusi gadaian konvensional, disamping barang
kemas yang disimpan berdasarkan skim yang ditawarkan oleh Institusi Gadaian Islam tersebut
dijamin selamat dan tidak akan berlaku sebarang unsur penipuan. Jadi, pemberi gadai tersebut
tidak perlu merasa risau akan keselamatan barang yang telah digadainya.

Sekiranya pemberi gadaian tidak mampu membayar semula hutangnya apabila tamat tempoh
yang diberikan, penerima gadaian akan memaklumkan kepadanya bahawa barang gadaian
tersebut terpaksa dijual. Jika harga jualan barang gadaian melebihi jumlah hutang pemberi
gadaian, pihak penerima gadaian akan memulangkan semula lebihan tersebut kepada pemberi
gadaian. Sekiranya barang gadaian tersebut terpaksa dilelong, pemberi gadaian akan diberikan
notis makluman mengenai upacara lelongan tersebut sebagai makluman bahawa tempoh masa
pembayaran balik pinjaman yang diberikan telah tamat.

Tempoh pembayaran semula yang dikenakan oleh Institusi Gadaian Islam juga munasabah dan
tidak menekan pemberi gadaian tersebut. Akan tetapi, jika pemberi gadaian berurusniaga dengan
Institusi Gadaian Konvensional, sudah pasti pihak institusi tersebut akan mengenakan bayaran
tambahan bagi sebarang lanjutan tempoh pembayaran yang diminta oleh pemberi gadaian. Ini
sememangnya bertentangan dengan prinsip-prinsip yang digariskan oleh Islam.

Biar pun telah wujud akta berkaitan operasi Gadaian ini namun, penyelewengan masih dilakukan
oleh Institusi Gadaian Konvensional sehingga membeban dan menindas golongan-golongan
yang memerlukan. Ini membuktikan kelemahan akta tersebut dan masih banyak ruang yang perlu
diperbaiki.

Sekarang ini, institusi gadaian Islam semakin berkembang. Dengan berkembangnya Institusi
Gadaian secara Islam, ia membuktikan bahawa sistem secara Islam mampu untuk bersaing
dengan sistem konvensional. Jadi, tidak ada alasan lagi untuk masyarakat hari ini menggunakan
sistem gadaian secara konvensional kerana sistem gadaian secara Islam telah wujud dan mampu
membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Secara umumnya, praktis yang dilaksanakan oleh institusi gadaian Islam sememangnya
membantu golongan-golongan yang memerlukan dan tidak menindas mereka, berbeza dengan
apa yang diaplikasikan oleh institusi gadaian konvensional. Justeru, ubahlah persepsi kita
bahawa sistem yang berlandaskan Islam biasanya mahal, menyusah dan membebankan pengguna
kepada ianya menguntungkan, membantu dan meringankan beban golongan-golongan yang
memerlukan!

Anda mungkin juga menyukai