Anda di halaman 1dari 10

Prof. Madya Dr.

Mastura Badzis
Pengarah, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC)
Universiti Pendidikan Sultan Idris, Malaysia
(Naib Presiden HELWA)
Pendahuluan
Pendidikan merupakan satu wadah penting dalam menjana anjakan paradigma dalam
setiap individu dan ia juga memainkan peranan penting dalam melahirkan insan
deduktif yang dinamik dalam semua aspek kehidupan. Secara umumnya, pendidikan
selalu dikaitkan dengan proses pengajaran dan pembelajaran sesuatu kemahiran,
penyampaian ilmu dan juga penerapan nilai. Dalam bentuknya yang praktikal, hasil
pendidikan seharusnya dapat melahirkan insan yang mampu mengaplikasi ilmu yang
dipelajari dan memanfaatkan kemahiran yang dimiliki dalam kehidupan seharian.
Dalam konteks kanak-kanak, pendidikan perlu dilihat sebagai satu proses yang
berterusan berkembang serentak dengan perkembangan individu seorang kanakkanak yang mempelajari apa sahaja yang ada di persekitaran dan dengan ilmu atau
kemahiran yang diperolehi ia akan mengaplikasikannya dalam konteks yang pelbagai
samada dalam kehidupan sehariannya di ketika itu ataupun sebagai persediaan untuk
kehidupannya di masa yang akan datang (Department of Education and Science,
1990).
Dalam erti kata lain, segala apa yang dilihat dan didengari oleh seorang kanak-kanak
dari persekitarannya adalah merupakan satu pendidikan baginya kerana yang nyata
bagi kanak-kanak di peringkat awal umur, mereka tidak dapat membezakan yang baik
dan yang buruk. Barat dan Islam mempunyai perspektif yang sama dalam hal ini,
kanak-kanak perlu dibentuk dan dididik sejak dari awal. Apa yang membezakan ialah
Islam menekankan pembentukan sahsiah seseorang kanak-kanak bukan hanya
kelakuan fizikalnya tetapi pemantapan akhlaq perlu diterapkan seiring dengan
penerapan keimanan di dalam ruh dan jiwanya.
Kalau sesuatu informasi yang diterima oleh seseorang kanak-kanak itu hanya di aras
pengetahuan tanpa adanya penyemaian aqidah dan pemantapan akhlaq, maka sudah
pastilah nilai penghayatannya kontang dan proses aplikasinya tidak dapat diterjemah
dalam bentuk nilai peradaban yang sempurna. Akibatnya, generasi yang dihasilkan
mungkin bijaksana dan tinggi tahap perkembangan inteleknya tetapi pencapaian
tinggi yang hakikatnya dalam ruang lingkup yang sempit yang hanya didasarkan
kepada ketinggian pencapaian akademik sedangkan dari aspek-aspek yang lain ia
pincang dan tiada keseimbangannya. Maka jika inilah yang berlaku dalam dunia
pendidikan pada hari ini, ini bererti pendidikan gagal menjana anjakan paradigma
dalam sel setiap individu dan dibimbangi sejarah lama akan berulang. Analisis fakta
dari perspektif sejarah telah cukup membuktikan bahawa kehancuran tamadun
manusia contohnya Mesir, Greek, Rom dan Parsi adalah berpunca dari gagalnya
penerapan nilai-nilai akhlaq murni kepada generasi pewaris dan kontangnya
penghayatan untuk diaplikasikan dalam kehidupan
Kepentingan Pendidikan Anak-anak di Peringkat Awal dan Cabaran
Pembangunan perindustrian pesat dalam era globalisasi yang berlaku dalam dunia
hari ini telah meningkatkan cabaran membentuk generasi akan datang khasnya bagi

ibubapa dan pendidik Muslim. Dalam menempuh alam cyber dan teknologi maklumat
tidak dapat dinafikan pembangunan insan dan pembinaan generasi perlu
dititikberatkan selari dengan keprihatinan terhadap kepesatan kemajuan negara. Ini
kerana kanak-kanak merupakan aset penting bagi pembinaan sesuatu bangsa dan
ketinggian maruah agama. Mereka adalah generasi pewaris yang bakal menjana
wawasan dan mencorak masa depan sesebuah negara pada alaf yang akan datang.
Mereka bakal menjadi pemimpin ummah dan mencorak keunggulan Islam sebagai
agama sejagat.
Pernyata dari hasil-hasil kajian ilmiah samada di timur, di barat malah seanterio dunia,
dapatan kajian membuktikan bahawa pendidikan awal kanak-kanak adalah asas
kepada pembinaan kekukuhan sesuatu bangsa dan pemangkin kepada visi wawasan
halatuju negara. Kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat misalnya menunjukkan
bahawa setiap nilaian dolar yang dilaburkan untuk pendidikan awal yang berkualiti
tinggi dapat memberikan pulangan yang tinggi samada dari segi perkembangan
ekonomi mahupun perkembangan sosial kehidupan masyarakat di negara tersebut.
Manakala Jepun, negara yang suatu ketika dahulu pernah lumpuh akibat ledakan bom
atom, dalam jangkamasa yang tak sampai setengah abad ia mampu bangun menjadi
tunggak ekonomi dunia. Satu kajian yang dilakukan oleh seorang penyelidik Barat
mendapati bahawa pembinaan pemikiran masyarakat Jepun bukanlah disebabkan
oleh laungan suara kebangkitan atau paluan gendang lagu membakar semangat,
tidak juga tumpuan kepada pencapaian akademik mengorientasi pemikiran rakyat.
Akan tetapi ianya berpunca dari keprihatinan dan kepekaan pemimpin dan rakyat
negara itu terhadap pembentukan generasi awal. Masyarakat Jepun telah
menyediakan generasi mereka dengan daya ketahanan menghadapi cabaran dari
aspek fizikal dan mental, dan mereka juga bertungkus lumus menumpukan perhatian
membina daya keintelektualan dan menggarap potensi semulajadi setiap individu
kanak-kanak sejak dari peringkat awal perkembangan.
Hakikat yang perlu kita tahu dari fakta yang dikemukakan oleh pakar perkembangan
dan psikologi kanak-kanak, diperingkat umur 6 tahun pertama inilah peringkat paling
utama dan paling laju perkembangan mereka berbanding dengan peringkat-peringat
atau tahap umur yang lebih dewasa dalam kehidupan seorang insan. Pakar
perkembangan dan psikologi kanak-kanak berpendapat bahawa lebih separuh dari
perkembangan intelektual kanak-kanak berlaku dari usia 0 hingga empat tahun
manakala satu pertiga yang lain sempurna perkembangannya ketika kanak-kanak
berusia 8 tahun.
Dapatan terbaru dari kajian yang dilakukan oleh pakar neurologi mendapati bahawa
8085% perkembangan otak manusia berlaku dalam tempoh enam tahun pertama
usia seorang kanak-kanak dan peringkat perkembangan yang paling pesat ialah
diperingkat umur yang terawal dalam tempoh enam tahun tersebut. Justru itu boleh
dikatakan di sini bawa ketinggian kualiti pendedahan dan pendidikan awal seseorang
kanak-kanak merupakan asas kepada keseluruhan perkembangannya yang akan
datang.
Satu persoalan yang ingin saya kemukakan disini, adakah apa yang kita rancangkan
hari ini pastinya nanti dapat melahirkan generasi rabbani pewaris anbiya dan ulama?
Ada bukti yang menunjukkan, masih timbul persoalan dan keraguan di sudut hati para

penyelidik yang membuat kajian , pemerhatian, peka dan prihatin kepada


perkembangan kanak-kanak Islam hari ini. Sebahagiannya masih mencetuskan,
kenapa tahap pemikiran kanak-kanak Islam secara umumnya tidak 'advance'?
Kenapa ketrampilan, pemikiran, kewibaan, daya intelek kanak-kanak Islam selalu
dikatakan agak ketinggalan ke belakang jika dibandingkan dengan kanak-kanak di
negara-negara barat umpamanya?. Mengapakah anak-anak ini meskipun disemai
dengan benih-benih keimanan masih terjebak dengan gejala social yang memalukan
di kala besarnya? Adakah sesuatu yang tidak kena dengan kurikulum pendidikan
Islam atau mungkin kekeliruan berlaku dari segi aplikasi? Adakah mungkin kerana ini
yang kita katakan kita memerlukan satu tajdid dan perubahan? Mungkinkah
pendidikan kanak-kanak di peringkat awal berasaskan binaan kurikulum integratif
boleh menjadi salah satu cara penyelesaiannya?Justru itu suatu yang amat wajar
untuk kita meneliti kembali kurikulum pendidikan anak-anak di peringkat awal usia ini
jika generasi yang mahu kita lahirkan adalah generasi serba boleh, berketrampilan,
berwawasan , tinggi daya keintelektualan dan utuh imannya.
Definisi Kurikulum untuk Kanak-kanak
Kurikulum seperti yang tercatat dalam Akta Pendidikan Malaysia 1996 dan Peraturanperaturan Kurikulum Kebangsaan Pendidikan 1997 merujuk kepada suatu program
pendidikan yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur
kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid
dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk
menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan
pengetahuan.
Kurikulum pendidikan bila diterjemahkan dalam bentuk aplikasi di sekolah ia adalah
sesuatu yang melibatkan program pembelajaran di dalam atau di luar kelas, aktiviti,
peralatan, perancangan, jadual waktu, tajuk-tajuk bagi sesuatu yang dipelajari dan
juga proses penilaian. Namun perkataan kurikulum bila dikaitkan dengan kanak-kanak
di peringkat awal perkembangan ianya tidak hanya tertumpu kepada sesuatu yang
dikaitkan dengan pengalaman pembelajaran di sekolah tetapi ia merangkumi segala
pengalaman dalam kehidupan hariannya samada di pusat asuhan, di rumah atau di
luar rumah. Para pakar unit kanak-kanak di bawah usia 5 tahun dari National Children
Beaureu , United Kingdom berpandangan bahwa kurikulum untuk kanak-kanak di
peringkat awal umur yang di letakkan di pusat asuhan kanak-kanak adalah
merangkumi perkara-perkara berikut:
Segala peluang perkembangan pembelajaran yang disediakan untuk kanakkanak
Segala aktiviti, sikap dan tingkahlaku samada yang dirancang atau tidak , samada
digalakkan atau ditegah
Cara bagaimana persekitaran fizikal yang mengelilingi kanak-kanak disusun dan
juga rutin harian yang dilakukan oleh orang dewasa atau kanak-kanak itu sendiri
Peranan yang dimainkan oleh orang dewasa untuk menyusun atur, mengarah,
mempengaruhi dan turut serta bersama melakukan apa yang dilakukan oleh kanakkanak
Penglibatan ibubapa dalam perkara-perkara yang disebutkan
(NCB, 1989, p.11)

Bruce dan Meggitt (2005) pula menyifatkan kurikulum kanak-kanak ialah sesuatu yang
dapat membantu kanak-kanak membesar dan belajar yang mana menjadi satu
tanggungjawab kepada pendidik untuk menyediakan pengalaman pembelajaran yang
dapat menyokong, merangsang dan membantu menggarap potensi yang ada pada
seseorang kanak-kanak dan ianya bersesuaian dengan keperluan dan keupayaan
kanak-kanak melakukan atau mempelajarinya (Department for Education and
Science, 1990).
Dalam konteks Islam, kurikulum pendidikan bagi seseorang kanak-kanak khasnya di
peringkat awal perkembangan melibatkan segala pengalaman pembelajaran yang
dididedahkan kepada kanak-kanak samada ianya dirancang ataupun tidak ,secara
langsung atau tidak langsung yang ditimba oleh seseorang kanak-kanak sepanjang
proses mereka membesar. Kurikulum dan pengalaman ini sebenarnya tercetus dari
sikap, nilai dan tatasusila yang ditonjolkan oleh guru, orang dewasa, keluarga dan
masyarakat sekitar
Dalam ertikata lain kurikulum pendidikan bagi seseorang kanak-kanak adalah
merangkumi segala aktiviti dan pengalaman pembelajaran yang disediakan oleh
orang dewasa, segala aktiviti yang ditentu dan difikirkan oleh kanak-kanak itu sendiri,
termasuklah juga bahasa/ teknik berkomunikasi yang diamalkan oleh orang dewasa
dan kanak2 menggunakannya dikalangan rakan sebaya atau orang lain malah segala
apa yang mereka boleh lihat dan dengar dari persekitaran mereka. Terkadang-kadang
kurikulum ini juga boleh jadi sesuatu yang tersembunyi, yang tidak dirancang tetapi
tanpa disedari kanak-kanak mempelajarinya. Sebagai contohnya masa atau perhatian
yang diberikan oleh pengasuh atau pendidik kanak-kanak terhadap sesuatu aktiviti
mungkin menyebabkan kanak-kanak merasakan sesuatu perkara itu lebih berfaedah
dari yang lain walaupun hakikatnya tidak begitu.
Contoh yang paling dekat bila seseorang kanak-kanak kecil meminta ayah
membasuhkan tangannya selepas makan tetapi si ayah sibuk membaca suratkhabar,
maka si anak mungkin akan memahami bahawa membaca suratkhabar itu lebih
penting dari membasuh tangan. Jadi tidak hairanlah kalau si kecil selepas dari
peristiwa itu tidak membasuh tangan selepas makan sebaliknya terus ingin membaca
buku, mungkin kerana ia merasakan yang membaca buku lebih penting dari
membasuh tangan berdasarkan sikap yang ditonjolkan oleh si ayah walaupun pada
hakikatnya bukanlah si ayah bermaksud begitu, namun inilah yang dikatakan
kurikulum yang tersembunyi. Inilah konsep utama yang perlu difahami
Binaan Kurikulum Integratif
Kurikulum integratif mempunyai makna yang subjektif. Integratif di sini boleh memberi
maksud kesepaduan iaitu menekankan perkembangan individu secara menyeluruh
dan bersepadu ke arah melahirkan insan yang baik berdasarkan kepercayaan,
keyakinan serta kepatuhan kepada Tuhan. Kurikulum integratif juga boleh memberi
maksud kesepaduan pelbagai kemahiran dalam satu-satu pengajaran atau mungkin
juga kesepaduan kepelbagaian cabang-cabang ilmu dalam sesuatu subjek yang di
ajar.

Dalam kertas kerja ini saya ingin memfokuskan huraian mengenai binaan kurikulum
yang integratif kepada tiga aspek. Pertama, integratif dari segi kesepaduan maklumat
yang disampaikan kepada kanak-kanak. Dalam ertikata lain ilmu pengetahuan dan
pengalaman pembelajaran yang perlu didedahkan kepada kanak-kanak di peringkat
awal usianya perlulah suatu yang komprehensif dan bersepadu bukannya terpecahpecah mengikut subjek kerana ini akan menjadikan kanak-kanak menjadi keliru dan
seolah-olah ada batasan dalam mendalami sesuatu ilmu atau pengetahuan yang
didedahkan kepada mereka. Jika sesuatu pengalaman pembelajaran yang
didedahkan kepada kanak-kanak adalah berasaskan subjek maka sudah pastinya
perasaan dan naluri ingin tahu mereka terbatas dengan pemfokusan kapada subjek
dan mereka akan menjadi rigid sebaliknya jika pendedahan pengalaman
pembelajaran adalah berasaskan kepada penggarapan aspek perkembangan dan
bersesuaian dengan tahap dan kebolehan kanak-kanak, nescaya kanak-kanak akan
lebih kreatif, memiliki daya kemahiran berfikir yang tinggi serta memperolehi
kemahiran meyelesaikan masalah yang dapat membentuk semangat jati diri dan
keyakinan yang tinggi. Pendidik kanak-kanak sepatutnya menggarap potensi kanakkanak berasaskan apa yang ia tahu kerana ini menjadikan kanak-kanak lebih berminat
untuk mendalami sesuatu perkara. Berbicaralah dengan manusia mengikut kadar
kemampuan akalnya Begitulah pesanan rasul s.a.w. kepada umatnya.
Dapatan dari kajian ilmiah mendapati kanak-kanak di prasekolah terutamanaya tadika
aliran agama adalah diajar berasaskan subjek dan bukannya berasaskan
penggarapan aspek perkembangan. Mungkin ini adalah satu tajdid atau pembaharuan
yang perlu dilakukan.
Kedua, integratif dari segi kesepaduan aspek-aspek perkembangan dan potensi yang
digarap di peringkat awal. Sememangnya pengalaman pembelajaran seseorang
kanak-kanak di peringkat awal usia mampu memberikan kesan yang positif atau
negatif kepada perkembangannya di masa hadapan samada dari segi kognitif, emosi,
sosial dan aspek-aspek perkembangan yang lain bergantung kepada cara bagaimana
kanak-kanak mendapat pendedahan. Kalau dari awal perkembangan kerohanian dan
sosio-emosi mereka dititikberatkan, hasilnya akan lahirlah anak-anak yang
berwibawa, taqwa, cekal hati, tinggi nilai harga diri, berketrampilan dan mampu
menghadapi cabaran masa hadapan. Tetapi sebaliknya jika pendedahan awal yang
mereka dapat hanya menumpu kepada perkembangan akademik atau satu aspek
perkembangan semata-mata, maka akan pincanglah aspek perkembangan yang lain
malah boleh memberi kesan negatif pula kepada perkembangan personaliti
seseorang kanak-kanak. Setiap aspek perkembangan kanak-kanak perlu digarap
dengan sempurna tanpa melebihkan satu dari yang lain kerana sekiranya ini berlaku,
sel-sel neuron dalam otak yang tidak dirangsang dengan pendedahan kepada
pengalaman pembelajaran yang menjurus kepada sesuatu aspek, ia akan mati begitu
sahaja. Andai ia digarap dari segi intelek tetapi emosinya tidak terdidik, maka
perkembangan sosialnya juga tidak mantap dan sudah pastinya ia tidak mampu
menjadi pemimpin ummah yang baik pada masa yang akan datang.Alangkah ruginya
kita umat Islam mengabaikan nikmat kurniaan Allah begitu saja sedangkan neuron
itulah jika digarap dengan sempurna mungkin menjadi pemangkin kepada sesuatu
perubahan kepada umat manusia. Setiap kanak-kanak adalah individu yang unik yang
perlu dipenuhi hak dan keperluan mereka agar dengan itu potensi mereka dapat
digarap sebaik mungkin kerana mereka adalah aset utama sesebuah negara.

Ketiga, integratif di sini bererti kita menyepadukan antara pendekatan barat dan Islam
dalam mendidik anak-anak. Kita ambil apa yang baik dari barat apa yang boleh dilihat
dengan mata kasar tentang amalan-amalan dan pendekatan-pendekatan mereka
mendidik kanak-kanak dan kita sepadukan dengan pendekatan Islam yang kaya
dengan teori dan khazanah ilmu yang berbagai. Sesuatu program pendidikan awal
kanak-kanak ini perlu dibentuk berdasarkan pandangan dan pendekatan integratif dan
bersepadu gabungan Islam , Barat dan Timur .
Di barat misalnya modul program pengasuhan kanak-kanak dipelopori dengan
pelbagai bentuk kurikulum seperti Montessori, Reggio Emilio, Early Learning
Goals, High Scope dan sebagainya. Manakala di Timur di Jepun misalnya,
penekanan kurikulum kepada aspek hygiene, kesihatan dan pemakanan sihat
manakala di New Zealand sebagai contoh, Te Wariki menekankan kepada
pendidikan yang berkonsepkan kebudayaan dan menghormati tatacara kehidupan
masyarakat Maori.
Dalam sejarah Islam, begitu ramai ilmuan dan cendiakawan yang memberi
sumbangan kepada ilmu pengasuhan perkembangan, dan pendidikan kanak-kanak.
Ibnu Miskawaih misalnya begitu menekankan pentingnya pendidikan akhlaq dan
pembentukan sahsiah yang mulis manakala Imam Al-Ghazali yang banyak
menyumbang kepada perkembangan sosio-emosi kanak-kanak, begitu menekankan
aspek belajar melalui bermain sebagai asas pengasuhan.
Ibnu Sina juga tidak terkecuali menyumbang dalam bidang ini apabila beliau
membincangkan kepentingan hygiene dan penjagaan kesihatan kerana dua faktor ini
adalah asas kepada pembentukan fizikal yang sihat. Kemampuan kanak-kanak
mendapatkan pengalaman adalah berbeza dari satu individu dengan individu yang
lain telah diketengahkan oleh seorang lagi ilmuan hebat islam iaitu Ibn Khaldun.
Manakala Ibn Jamaah pula mengupas tanggungjawab pendidik dari segi memahami
tingkahlaku kanak-kanak dan menanganinya melalui kaedah pengukuhan.
Falsafah pendiddikan awal kanak-kanak yang berteraskan kepada pendekatan
integratif tersebut jika diteliti secara mendalam adalah didasarkan kepada konsepkonsep berikut yang disepadukan antara dua pandangan:

1.

Pembinaan akhlaq dan pembentukan sahsiah,

2.

Bermain adalah tugas utama kanak-kanak,

3. Kanak-kanak adalah individu yang unik dan berbeza antara satu sama lain.
4.
Rangsangan neurologi dan deria melalui penglibatan yang aktif dalam setiap
aktiviti.
5.
Memberi kebebasan dan ruang kepada kanak-kanak bagi mengenal pasti apa
yang mereka mahu dan mampu lakukan.

6.
Memenuhi keseimbangan keperluan rohani, fisiologi, psikologi dan pembesaran
fizikal kanak-kanak.
7.

Persekitaran yang kondusif, ceria dan selamat

8.
Keperihatinan terhadap persekitaran dan penyediaan pemakanan yang sihat
dan bersih.
9. Menghormati kepelbagaian dan hak-hak yang sama rata

Hakikatnya samada di barat atau di timur, semua manusia mengharapkan anak


mereka kearah pembinaan syakhsiah mulia dan berkeperibadian tinggi serta
berhemah dalam menghadapi arus globalisasi yang semakin mencabar. Semua ibu
bapa pastinya ingin melahirkan generasi yang berfikiran mantap , kritis dan kreatif
dalam setiap aspek kehidupan.
Namun, satu penemuan yang ingin saya ketengahkan di sini setelah menyingkap fakta
dari lipatan sejarah silam. Mungkin selama ini ramai yang beranggapan teori-teori dan
ilmu-ilmu berkaitan perkembangan kanak-kanak, pendidikan keibubapaan dan
pendekatan moden mendidik anak khasnya di peringkat awal usia dipelopori oleh
barat dan tidak releven dengan Islam. Seringkali matapelajaran psikologi atau subjek
perkembangan kanak-kanak yang di ajar di institusi sekolah dan pengajian tinggi
dirujuk kepada penemuan yang diketengahkan oleh barat. Hakikatnya pendekatanpendekatan moden yang kita lihat pada hari ini sebenarnya dipelopori oleh para
ilmuan Islam di zaman kegemilangannya suatu ketika dahulu. Kita sering menyebut
tentang Jean Piaget dan teori Perkembangan kognitif tetapi kita melupakan Ibnu Sina
(370-428 Hijria = 980-1036 AD) yang membicarakan hal yang sama berkurun-kurun
lamanya sebelum Piaget. Dewasa ini kita sibuk membicarakan tentang Emotional
Intelligent yang dipelopori oleh Howard Gadgner tanpa kita sedari Ibnu Khaldun (733808 Hijria = 1332-1406 Masehi)telah berabad lamanya mengupas isu tersebut di
dalam kitabnya almuqaddimah. Kita mula menyuarakan tentang kepentingan
memahami perbezaan perkembangan individu di kalangan kanak-kanak tanpa
merujuk penulisan Al-Ghazali dan hujah-hujahnya tentang hal tersebut dalam
membicarakan isu-isu perkembangan sosio-emosi kanak-kanak.
Di sana- sini pendidik kanak-kanak begitu sibuk memperkatakan mengenai
kepentingan bermain melalui belajar sebagai satu pendekatan kurikulum yang paling
bersesuaian dengan kanak-kanak kerana ia merujuk kepada ciri-ciri semulajadi
kanak-kanak yang sememangnya suka bermain. Nama Froebel, Susan Isaacs, Mc
Millan dan pelbagai lagi teori mengenai permainan dari perspektif barat disebut-sebut
dan dijulang. Kiranya ia sudahpun dipelopori oleh begitu ramai tokoh cendikiawan
Islam seperti Al-Ghazali, Ibnu Sina, Ikhwan Safa dan sebagainya. Malah banyak
hadis-hadis yang menyebut mengenai kepentingan bermain dalam kehidupan kanakkanak yang menunjukkan kesesuaiannya sebagai pendekatan utama perkembangan
pembelajaran kanak-kanak. Namun, hadis-hadis sebegini seperti tidak diberikan
perhatian dan jarang dikupas. Lalu apabila umat Islam berbicara mengenai
perkembangan kanak-kanak sudah pastinya penulisan sarjana barat menjadi rujukan
tanpa menyedari atau mungkin alpa, telah ada usaha sebegini dibukukan dan dihurai

oleh ulamak terdahulu sebagai contohnya Ibn Qayyim Al-Jauziah dalam kitabnya
tuhfatul maudud fi ahkam almaulud
Umat Islam yang mempelajari ilmu psikologi pendidikan pada hari ini sudah pastinya
arif tentang teori-teori yang dikemukakan oleh Behaviourist, Social Learning Theory
dan sebagainya. Antara idea utama yang dikemukakan oleh teori ini ialah kanakkanak relajar melalui pemerhatian dan mudah meniru apa saja perlakuan. Untuk
mengekalkan tingkahlaku baik yang ditunjukkan oleh seseorang kanak-kanak, maka
perlulah mereka selalu diberi pengukuhan. Alangkah bijaknya tokoh ilmuan Islam
Imam Al-Ghazali yang terlebih awal mengupas begitu detail persoalan sebegini dalam
kitabnya Ihya Ulumuddin dan mengemukakan lima aspek utama dalam pendidikan
kanak-kanak khasnya di peringkat awal perkembangan: Qudwah (Role model),
Mulahazah
wa
mutabaah
(Observation
and
imitation),
itiyad
(kelaziman/kebiasaan),isu Al-thawab wa al iqab (Reward and punishment) dan
nasihat (advice) sebagai penyelesaian
Imam Al Ghazali begitu menekankan peri pentingnya ibubapa dan pendidik perlu
menjadi role model atau ikutan yang baik kerana sikap atau tingkahlaku yang
ditunjukkan oleh ibubapa sebenarnya adalah kurikulum dalam pendidikan seorang
kanak-kanak. Bersesuaian dengan sifat semulajadi kanak-kanak yang suka meniru
perilaku atau apa sahaja yang ada di hadapannya, dan seperti yang ditegaskan oleh
Imam Al Ghazali, kanak-kanak belajar melaui pemerhatian yang jika dibiarkan ia akan
menjadi kebiasaan atau Itiyad dan sukarlah untuk dibentuk. Dalam menangani
masalah ini ibubapa atau pendidik di beri pilihan antara memberi pengukuhan dan
ganjaran baik atau hukuman. Jalan yang paling terbaik ialah dengan memberi nasihat
yang pendekatannya adalah mendidik jiwa dengan jiwa atau alhal bilhal. Seperti
yang tertera dalam kitab karangannya ayyuha al-walad.
Ini adalah antara contoh mengaplikasi teknik mendidik anak-anak di peringkat awal
umur berasaskan kurikulum integratif menampakkan kesepaduan antara pandangan
sarjana barat dan ilmuan Islam dalam menilai dan menyelesaikan masalah
menanangani sesuatu perkara yang berlaku dalam kehidupan seorang kanak-kanak.
Pendekatan integratif juga memberi pengertian kesinambungan antara teori dan
praktik, pembuktian antara kepercayaan dan amalan juga kesepaduan antara amanah
yang dijulang dengan perlaksanaan yang perlu dibuktikan.
Hakikatnya, dalam Islam telah nyata dan terserlah segala teorinya namun dari segi
aplikasi, selalunya sarjana barat akan cuba melaksanakan dengan mencubanya
melalui kajian-kajian ilmiah dan melakukan eksperimen yang lebih mendalam lalu
setelah yakin dengan kesannya yang efektif lalu mereka mendabik dada mengatakan
inilah teori baru dan yang untungnya kerana mereka mengamalkannya.! Realitinya,
inilah punca kemunduran umat Islam dalam dunia globalisasi. Tidak ada yang kurang
dan tidak ada cacat celanya agama Islam, tetapi sikap umatnya yang perlu diubah.
Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka
sendiri mengubahnya... Sungguh benarlah firman Allah!
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan dari kertaskerja ini, saya ingin membawa perhatian para hadirin
budiman. Perkataan kanak-kanak dalam bahasa arabnya disebut sebagai al-tifl (

) yang berasal dari perkataan tafula (



) yang membawa maksud
sesuatu yang lembut, mudah rosak dan sensitif. Di sebalik maksud tersebut ia
memberi pengertian bahawa seseorang kanak-kanak itu perlu dijaga, diasuh dan
dididik dengan rapi, teliti dan sempurna memandangkan sifat semulajadinya yang
mudah terdedah kepada bahaya persekitaran bukan sahaja dibimbangi kerosakan
yang akan menimpa fizikal dan tubuh badan malah aspek-aspek yang lain juga amat
perlu diberikan perhatian.
Dalam memperkatakan mengenai kebaikan yang diamalkan oleh barat, kita sering
melihat atau memang sedar masyarakat barat kebiasaannya menggunakan
pendektan berhemah dalam membentuk perilaku dan mendisiplinkan anak-anak. Ia
seperti sudah menjadi budaya mereka, membelai, memeluk dan mencium anak-anak.
Walhal begitu banyak hadis dan saranan ulama yang menyebut tentang peri
pentingnya mendidik anak dengan kesabaran dan kelembutan. Namun realiti yang
berlaku dalam masyarakat Islam hari ini, menghukum anak yang melakukan
kesalahan selalunya dengan emosi dan jauh sekali dari mendidik.
Imam Al-Ghazali Rahimahullah pernah menyebut, sesungguhnya anak-anak kita
adalah permata. Dalam membicarakan soal pendidikan anak-anak ini suatu perkara
yang perlu kita fahami bahawa mendidik adalah suatu kesenian yang datangnya dari
jiwa yang halus dan pemikiran yang kreatif. Suatu yang kreatif dan seni tidak akan
lahir dari jiwa yang keras dan peribadi yang kasar yang dipenuhi rasa kejengkelan
dicetuskan oleh emosi marah dan hilang pertimbangan akal. Kasih sayang adalah
elemen paling utama dalam proses mendidik. Teguran dan nasihat yang lahir dari
cetusan kasih sayang akan mencairkan hati yang keras sebaliknya kekasaran dan
penonjolan ammarah akan membekukan jiwa yang lembut. Apatah lagi bila yang
dihadapan kita itu adalah kanak-kanak yang putih bersih, yang akan belajar apa
sahaja yang ada di persekitarannya melalui pemerhatian, yang akan meniru dari
qudwah yang ditonjolkan seterusnya mengaplikasikan hasil pembelajaran melalui
kebiasaan.
Ini lah juga antara tajdid yang perlu dilakukan oleh umat Islam dalam mendidik anakanak. Kembali dan rujuklah amalan Rasulullah s.a.w, para sahabat dan cendidkiawan
Islam dalam membentuk dan mendidik generasi. Pendidikan anak-anak di peringkat
awal usia yang berlandaskan pendekatan integratif seperti yang disarankan perlu
dilaksanakan. Di dalam kitabnya Al Muqaddimah, Ibnu Khaldun mengingatkan para
pendidik melalui seruannya: Sesungguhnya kekerasan dalam mendidik
memberikan kesan yang buruk kepada orang yang dididik lebih-lebih lagi bagi kanakkanak.Barangsiapa yang ditarbiah dengan cara kekerasan dan paksaan, maka akan
sempitlah pemikiran dan jiwanya lalu jadilah anak itu hilang kecerdasannya, malas,
terbawa-bawa kepada berbohong dan berkelakuan jahat

Wallahualam

Rujukan

Abdul Jabbar, M. M. and Al- Naabaabtah, M.S. (1988)(2nd ed.) Saykuwloujiyah AlLaab Wa al- tarwih, Al-Riyadh, Maktabah Al-safahaat Al-Al-dhahabiyyah.
Abu Hilal, A et al (1993) Al-Marji fi Mabadi At- Tarbiyyah, Amman, Dar As-Syuruq.
Ali, S. I. and An- Naqib, A (1984) Falsafah At-Tarbiyyah Inda Ibnu Sina, Cairo, DarAththaqafah.
Abul Quasem, M (1975) The Ethics of Al-Ghazali: A Composite Ethics in Islam,
Selangor, Malaysia, Central Printing Sdn. Bhd.
Al-Audat, M. A. (1992) Child Rights in the Islamic Law, At- Tarbiyyah (Journal), No.
102, pp.183-193.
Al-Barjis, A. M. (1980) al-tawjih al-islami li- nash fil-falsafah al-Ghazali, Cairo, Daral-andalus.
Al-Khatib, R (1985) Tarbiyathu al-iflu al-rawdah, Cairo, Maba Al- Hayah AlMisriyyah.
Beshir, E and Beshir, M. R. (2000) (3rd. ed.) Meeting the Challenge of Parenting in
the West: An Islamic Perspective, Maryland, Amana Publications
Bruce, T and Meggit, C (2005) Child Care and Education, London, Hodder &
Stoughton.
Department of Education and Sciences (DES) (1990) Starting with Quality, London,
HMSO.
Drummond, M. J., Lally, M and Pugh, G (1989) Working with Children: Developing A
Curriculum for the Early Years. National Children Bureau . Leics: NES Arnold.
Gammage, P (1999) Early Childhood Education in the Postmodern World, in Abbott,
L and Moylett, J (Eds). Early Education Transformed,London, Routledge Falmer,
pp.153-163
Katz, L (1999) Another Look at What Young Children Should be Learning, Archive of
ERIC/EECE Digest, Early Childhood and Parenting Colloboration, University of Illionis.
Katz, L. G. (2003) The Right of the Child to Develop and Learn in Quality
Environments, International Journal of Early Years Education, Vol.35, Iss.1/2, pp.13.
Mastura Badzis (2002) Planning an Affective Education for Pre-school Children: within
Islamic and Western Perspective, Jurnal Pendidikan Islam, Vol. 10, No. 2, pp.65-78.
Mastura Badzis (2002) Child Educatiojn: What Should be Optimal, Jurnal Pendidikan
Islam, Vol. 12, No. 1, pp.77-90.
Mursi, M. S. (1998) Fann Tarbiyatu Al-Aulad fi al-Islam, Cairo, Dar At-Tauzig wa- annasyr al-Islamiyah.
Quraishi, M. A. (1983) Some Aspects of Muslim Education, Lahore, Universal Books.
Sylva, K and Ingrid, L (1982) Child Development: A First Course Oxford " Blackwell.

Anda mungkin juga menyukai