Ya Allah , Tuhan Semesta Alam ,
Kami merafakkan rasa kesyukuran kepada-Mu kerana telah mengizinkan kami untuk
meraikan Majlis sambutan Hari Guru 2015 peringkat Sekolah Kebangsaan Sungai Tisang
pada pagi yang berbahagia ini dengan tema :
Guru:Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak
Ya Allah , Ya Azizi Ya Sattar Ya Faalullima yurid ,
Sesungguhnya tugas sebagai guru adalah tugas yang mulia dan murni sepanjang zaman ,
justeru itu kurniakanlah kepada guru-guru kami hati yang ikhlas dalam menyempurnakan
tanggungjawab yang berat ini dengan sebaiknya . Lorongkanlah hati guru-guru kami agar
menjadikan seluruh aktiviti dunia pendidikan sebagai ibadah dan mengharapkan rahmat
serta keredhaan-Mu semata-mata .
Ya Allah , Ya Mudabbiral amri ,
Pada saat dan detik ini, kami hulurkan tangan pengharapan , memohon ihsan dan
pimpinan-Mu agar Engkau anugerahkan rasa kasih sayang kepada barisan pendidik yang
budiman terhadap anak-anak didik mereka , sebagaimana mereka mengasihi dan
menyayangi anak- anak mereka sendiri , kurniakanlah kepada mereka kesabaran ,
ketabahan , semangat kerjasama yang tinggi dalam sebuah pasukan , semangat
permuafakatan dan semangat juang yang tidak mengenal erti putus asa dalam memikul
tanggungjawab sebagai seorang pendidik dan berusaha menyumbang tenaga , idea dan
kepakaran demi meningkatkan kualiti akademik dan ko-kurikulum pelajar-pelajar sekolah
ini khasnya dan di arena pendidikan perdana amnya .
Ya Allah, Tuhan Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat, Dengarkanlan harapan dan
pengaduan kami ini. Mustajabkanlah permohonan kami agar Engkau mengurniakan
kesejahteraan dan kesihatan kepada guru-guru kami di negara ini yang menjadi payung
kepada generasi akan datang. Kau ampunkanlah segala dosa guru. Kau berikanlah syafaat
kepada guru kami yang telah bersusah-payah mengajar dan mendidik demi kejayaan ini
Semoga Engkau mengurniakan kekuatan kepada diri mereka untuk terus menjalankan
amanah dan tanggungjawab dalam memainkan peranan bagi memartabatkan pendidikan
generasi kami berteraskan al-Quran dan al-Sunnah.
Ya Allah, Ya Karim, Jadikanlah guru-guru kami mempunyai darjat yang tinggi serta
hiasilah mereka dengan kebijaksanaan, binakanlah benteng ketakwaan dan keimanan
yang teguh kepada mereka. Hindarilah mereka daripada perkara yang memudaratkan diri,
keluarga, agama, bangsa dan negara.
Ya Allah, Ya Aziz Ya Ghaffar, Anugerahkanlah segala kemudahan kepada para guru kami
agar mereka senantiasa mendapat kejayaan dan kecemerlangan di dunia dan akhirat.
Berkatilah usaha dan sumbangan kebaikan mereka di dunia ini.
Berikanlah kekuatan kepada mereka untuk mencapai kejayaan dan kemajuan diri dalam
mendidik anak bangsa ibu pertiwi. Anugerahkanlah kepada mereka kualiti kehidupan
yang lebih baik dari hari-hari sebelumnya. Tinggikanlah darjat mereka di sisiMu,
sucikanlah hati mereka dengan keikhlasan berbakti untuk agama, bangsa dan negara.
Ya Allah, andaikata ada dikalangan guru-guru kami yang kurang sihat,Engkau
sembuhkanlah Ya Allah kerana kami sangat memerlukan mereka untk kecemerlangan
kami.Agar mereka dapat menyumbang bakti mereka kearah kecemerlangan kami.
Ya Allah , Ya Mukawwiral laili wan nahar ,
Pada kesempatan ini , kami mohon kepada kebesaran dan kehebatan-Mu ya Allah sudilah
kiranya Engkau mengurniakan kepada kami sifat yang mulia dan akhlak yang luhur ,
mudah-mudahan kami akan menjadi anak didik yang sentiasa menghormati guru-guru
kami , mendengar tunjuk ajar daripada guru-guru kami , kami sentiasa mengharapkan
teguran dan bimbingan guru-guru , semoga kami menjadi insan yang sempurna dan
berguna kepada agama , bangsa dan negara tercinta .