Anda di halaman 1dari 2

MENGGERAK MAHASISWA BERFIKIRAN KRITIS

Oleh Fathi Aris Omar, Berita Harian, 14 Julai 1993


PERSOALAN yang paling asas dihadapi oleh mahasiswa ialah sebilangan besar pemimpin mereka berada
dalam kerangka pemikiran dakwah yang konvensional.
Pemikiran dakwah ala `harakatul Islamiyah' yang diimport dalam cernaan tanah Arab, Indo-Pakistan dan
Iran sedangkan kita dapati perubahan di sana begitu lambat. Reaksi kerajaan di negara-negara itu masih
lagi seperti tahun tahun awal pergerakan mereka yang dipenuhi ketegangan demi ketegangan. Akhirnya,
tindak balas di kalangan pendakwah (dan mahasiswa yang bersamanya) ialah konfrontasi, slogan dan
sentimen. Gejala-gejala pertumbuhan pemikiran dinamis, kreatif (apatah lagi futuristik) hampir-hampir
berlegar pada isu-isu yang masih asas. Isu-isu untuk menumbangkan kerajaan atau bagaimana membina
ruang yang lebih besar untuk mengembangkan dakwah.
Sebenarnya, idea-idea dakwah ala `harakatul Islamiyah' ini adalah salah satu bentuk `secularised
paradigm of Islamic change'.
Dalam kedudukan politik kampus, pemimpin mahasiswa yang menonjol sekali ialah golongan yang prepertubuhan dakwah di luar kampus sama ada Pas, Abim, JIM, Arqam, Tabligh atau serpihan-serpihan
mereka. Golongan ini bergerak secara tersusun dan mempunyai struktur kepimpinan yang lebih kemas.
Idealisme mereka juga besar - dalam konteks masa depan ummah dan negara ini.
Sedihnya, gaya fikir mereka terkurung dalam paradigme harakatul Islamiyyah seperti dihuraikan di Jadual
1 (rujukan lanjut: lihat rencana `Hijrah: Daripada konfrontasional kepada membina' dalam Dakwah,
Julai,1993). Lebih malang lagi, sebilangan mahasiswa ini ditarbiyahkan oleh golongan tertentu yang
terputus daripada pemikiran pucuk pimpinan organisasi dakwah yang mereka sokong di luar kampus.
Akhirnya, golongan kecil dan tiada saluran kepada fenomena-fenomena baru ini mengecilkan lagi ufuk
pemikiran anak-anak menara gading yang masih muda. Sesungguhnya, isu yang besar untuk dihadapi kini
ialah mahasiswa perlukan `paradigm shift'; perlunya satu tasawur perjuangan yang baru hasil daripada
perkiraan terhadap persekitaran yang berubah.
Paradigme perjuangan siswa yang ada kini diwarisi sejak tahun 1970-an.
Pada waktu itu, dakwah lebih bersifat konfrontasional, membakar sentimen dan mencari salah
establishment. Ia bergerak dalam paradigme `membina Islam di atas keruntuhan jahiliyyah'. Jahiliyyah
itu pula ditafsirkan sebagai `establishment' atau pihak berkuasa, termasuklah pihak pentadbiran kampus.
Itulah puncanya kerap muncul pertembungan antara pihak Hal-Ehwal Pelajar (HEP) dengan mahasiswa.
Bayangkanlah, betapa lamanya paradigme itu dihayati di sebalik perubahan besar dalam masyarakat kita.
Salah satu perubahan besar itu ialah reaksi positif golongan pegawai kerajaan, korporat dan parti
pemerintah hasil daripada meratanya kefahaman Islam dalam masyarakat.
Dampak ini sebenarnya disumbangkan oleh pendakwah sendiri tetapi mereka kini seolah-olah tidak percaya
perubahan masyarakat yang sedang menuntut penghayatan Islam yang lebih menyeluruh (lihat tulisan saya,
`Mencari peneraju dakwah masa depan', Berita Harian, 26 Mac lalu).
Paradigme mahasiswa yang dipinjam daripada tafsiran dakwah yang konfrontasional itu sudah tidak sesuai
lagi dihayati. Perubahan dalam agenda negara seharusnya mampu menggugah jiwa mahasiswa untuk turut
menanganinya. Di antara perubahan dalam agenda besar masyarakat kita ialah meledaknya nilai
prefesionalisme melalui perkembangan sektor korporat, penyelidikan dalam era maklumat dan futurisme
dalam era saham.

Selain itu, pergolakan pemikiran mencari halatuju negara seperti gagasan Melayu baru, bangsa Malaysia,
masyarakat penyayang, negara industri dan isu-isu pecahannya tidak kurang mewarnai pemikiran
masyarakat. Jika mahasiswa masih percaya dengan paradigme lama yang bersifat kaku,konfrontasional dan
dogmatik itu, apakah mereka dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat kini?
Dua perkara yang perlu ditekankan oleh mahasiswa dalam tahun 1990-an ini ialah:
Perubahan kelompok kepada perubahan ummah.
Perubahan individu kepada perubahan institusi.
Dua perubahan ini perlu disenaraikan dalam `paradigm shift' dengan mengembangkan pendekatan.
Tulisan Nizam Yatim sebenarnya mencerminkan idealisme `mainstream'.
Namun, mahasiswa kini ketinggalan daripada mainstream. Mereka masih dengan paradigme lapuk itu.
Keadaan ini terjadi kerana mahasiswa terdedah kepada satu aliran idea iaitu pemikiran dakwah ala
harakatul Islamiyyah.
Pemikiran ini berpusatkan aktiviti pembinaan akhlak seperti usrah,tamrin, qiamulalil, rehlah, hafalan dan
ceramah umum. Walaupun idealisme mahasiswa ini juga ke arah pembinaan negara dan ummah tetapi
terdapat jurang yang ketara antara idealisme itu dengan realiti.
Oleh itu, dua ruang yang perlu diterokai oleh mahasiswa ialah pembinaan kemahiran khusus dan
penyelidikan. Kemahiran yang menjadikan mahasiswa lebih kompeten, profesional, produktif dan dinamis.
Ia meliputi kemahiran di luar daripada bidang pengkhususan yang sedia ditimba di kampus.
Ketrampilan diri seperti seni komunikasi antara perorangan (interpersonal communication), seni pemikiran
sintesis atau analitis, seni pembinaan modul dan strategi serta beberapa lagi yang melayakkan mahasiswa
berperanan ke arah merealisasikan idealisme negara maju.
Selain itu, mahasiswa harus menghasilkan penyelidikan dan karya intelektual sebagai `output' kepada
pembinan khazanah ilmu negara. Ini isu yang amat menyedihkan. Setiap tahun ribuan anak muda masuk
kampus tetapi hanya dua tiga kerat saja yang mampu menulis dalam akhbar dan majalah.
Ke manakah pergi yang lain? Adakah mereka tidak berminat membahaskan idea-idea besar atau tidak ada
ketrampilan untuk menulis? Jika betullah alasan-alasan ini, seluruh warga kampus (khususnya pensyarah)
patut berasa malu!
Keadaan inilah menyebabkan mahasiswa terpisah daripada `mainsteam' kerana idealisme mereka tidak
disebarkan kepada masyarakat. Jika disebarkan, ia tidak diasaskan kepada data dan diskusi yang
rasional.
Rata-rata luahan idealisme itu hanya replika idealisme abang dan kakak yang terdahulu. Bagaimana
mungkin mereka memperinci atau mengalih paradigme perjuangan jika mereka malas menyelidik? Hal ini
juga menyebabkan mahasiswa tidak ada apa-apa untuk ditawarkan kepada masyarakat kecuali kerjaya
selepas tamat pengajian.
Dengan menambahkan dua ruang ini dalam pemikiran mahasiswa, `paradigma shift' akan mudah berlaku.
Apabila berhasilnya `paradigma shift', mahasiswa akan berada dalam `mainstream'. Di saat ini, barulah
cita-cita negara maju dan unggul seperti ditulis oleh Nizam Yatim dapat diperjuangkan oleh mahasiswa.
Jika tidak, selama-lamanya mahasiswa berada di takuk lama - satu tahap yang merugikan ummah dan
negara. Pada masa itu, siapa pula yang ingin `diserang' oleh anak-anak menara gading ini?

Anda mungkin juga menyukai