Anda di halaman 1dari 4

Agama apakah anak saya?

ISU penentuan agama kanak-kanak sekali lagi heboh diperkatakan di Malaysia apabila
Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Wilayah Persekutuan 2013 dibentang
untuk bacaan pertama baru-baru ini. Ia akan menjadi perbahasan hebat oleh kedua-dua
ahli Parlimen BN dan pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat yang sedang bersidang.
Peruntukan yang menjadi isu di sini ialah dalam Seksyen 107 mengenai keupayaan
untuk memeluk agama Islam. Kanak-kanak yang bukan beragama Islam boleh memeluk
agama Islam sekiranya dia waras dan sudah mencapai umur 18 tahun. Bagi kanak-kanak
berumur kurang daripada 18 tahun, ia perlu mendapat izin ibu atau bapa atau
penjaganya.
Merujuk kepada keputusan dalam mesyuarat Kabinet pada 23 April 2009, antara lain
memutuskan bahawa pengislaman kanak-kanak bawah umur 18 tahun hendaklah
mendapat persetujuan ibu bapa kanak-kanak tersebut.
Sekiranya persetujuan tidak tercapai antara salah satu pihak yang masih enggan
memeluk agama Islam dan satu pihak yang memeluk agama Islam, agama bagi kanakkanak tersebut adalah mengikut pihak yang bukan Islam kerana asal perkahwinan
adalah mengikut bukan Islam.
Apakah agama kanak-kanak mengikut agama ibu atau bapa yang memeluk Islam?
Dalam undang-undang Islam, para fuqaha telah berijmak bahawa apabila ibu bapa
memeluk agama Islam, secara otomatik agama kanak-kanak bawah umur juga adalah
Islam.
Permasalahan timbul apabila salah satu pihak yang memeluk agama Islam dan pihak
yang satu lagi kekal sebagai bukan Islam membawa perbincangan yang menarik dalam
perbahasan fiqh. Para fuqaha berbeza pendapat mengenai agama kanak-kanak
sekiranya salah satu ibu atau bapa yang memeluk agama Islam.
Pandangan majoriti yang terdiri dari mazhab Hanafi, Syafie dan Hanbali berpendapat
agama bagi kanak-kanak adalah mengikut pihak yang memeluk Islam tanpa mengira ibu
atau bapa.
Bagaimanapun, mengikut mazhab Maliki, agama seseorang kanak-kanak adalah
mengikut bapa, sekiranya bapa yang memeluk agama Islam. Ini kerana identiti dan
keturunan nasab adalah melalui bapa.
Meskipun begitu, tidak terdapat pandangan yang muktamad dalam hal ini kerana tidak
terdapat ayat-ayat al-Quran yang jelas menerangkan hal ini.
Apakah kanak-kanak boleh memeluk agama?
Para fuqaha juga tidak sepakat sama ada seseorang kanak-kanak boleh memeluk
sesuatu agama termasuk agama Islam. Ramai fuqaha berpandangan bahawa kanakkanak boleh memeluk agama Islam berdasarkan terdapat para sahabat Nabi Muhammad
SAW yang memeluk agama Islam semasa usia kanak-kanak. Antara mereka ialah Ali bin
Abi Talib, Zubayr bin al-Awwam, Abdullah ibn Umar dan Asmak binti Abu Bakar.
Imam Abu Hanifah dan anak muridnya, Muhammad Hassan al-Syaibani berpendapat
bahawa pemelukan Islam atau murtad oleh kanak-kanak mumayyiz adalah sah.
Bagaimanapun, Abu Yusuf berpandangan, ia hanya sah dalam pemelukan Islam tetapi
tidak sah dalam kes murtad. Zufayr Hudhayl, seorang lagi anak murid Imam Abu Hanifah
berpandangan bahawa seseorang kanak-kanak tidak boleh memeluk Islam atau keluar

Islam kerana belum cukup umur baligh. Ia hanya sah apabila kanak-kanak itu mencapai
umur baligh. Hujah Zufayr ialah kanak-kanak bawah umur tidak mempunyai kelayakan
untuk memilih agama.
Dalam satu Hadis popular disebutkan: "Setiap anak dilahirkan adalah fitrah. Ibu bapalah
yang akan menentukan sama ada dia seorang Yahudi atau Kristian sehingga dia
berkemampuan untuk menerima atau menolaknya. Justeru itu, kanak-kanak tidak boleh
menentukan agama. Ini ditambah pula bahawa kanak-kanak itu fitrah (bersih daripada
dosa) dan tidak ditaklifkan (dipertanggungjawabkan) tanpa mengira amalan sama ada
dia seorang Islam atau tidak. Hadis ini menyebut ibu bapa.
Secara umum agama seseorang kanak-kanak adalah mengikut agama ibu bapanya yang
Islam. Namun keadaan berbeza sekiranya berlaku pertikaian antara ibu atau bapa dalam
menentukan agama kanak-kanak itu. Oleh yang demikian, cara yang terbaik dalam
menangani kemelut ini ialah dengan menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat
satu ketetapan yang menjurus kepada keadilan dan kebajikan kanak-kanak tersebut.
Penentuan agama kanak-kanak bawah umur.
Dalam konteks di Malaysia, Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan:
"Bagi maksud Fasal (3), agama bagi seseorang yang berumur kurang daripada lapan
belas tahun adalah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya".
Melihat kepada versi dalam bahasa Inggeris, ia menyebut perkataan parent yang
membawa maksud ibu atau bapa. Sekiranya perkataan parents ditulis dengan jelas, ia
membawa maksud ibu bapa.
Para ahli perundangan dan akademik membuat tafsiran yang berbeza mengenai
perkataan parent dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan. Bagi yang
menyokong ia membawa maksud kedua-dua, ibu bapa, mereka merujuk kepada Perkara
160 Perlembagaan Persekutuan dalam tafsiran his (dia lelaki) meliputi her (dia
perempuan). Begitu juga perkataan parent hendaklah juga difahami secara jamak
iaitu parents. Interpretasi ini didokong oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Shaad Saleem
Faruqi, Penasihat Undang-undang UiTM, Majlis Peguam Malaysia dan pertubuhanpertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk juga parti-parti komponen Barisan Nasional
(BN) seperti MIC dan Gerakan.
Kenyataan akhbar dari Majlis Peguam Malaysia menyarankan bahawa Perkara 12 (4)
Perlembagaan Persekutuan mengkehendaki agama seseorang kanak-kanak sama ada
lelaki atau perempuan di bawah 18 tahun ditentukan oleh seorang ibu atau bapa yang
masih hidup atau oleh kedua-dua ibu bapa yang masih hidup.
Pandangan Majlis Peguam menyatakan, peruntukan Seksyen 107 Rang Undang-undang
Pentadbiran Agama Islam Wilayah Persekutan 2013 adalah bercanggah dengan Perkara
12 (4) Perlembagaan Persekutuan.
Meskipun begitu, ada juga kenyataan yang menyokong agar Rang Undang-undang itu
dikekalkan termasuk Seksyen 107 Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Wilayah
Persekutuan 2013. Ini kerana peruntukan lama yang sama dalam Akta Undang-undang
Pentadbiran Agama Islam Wilayah Persekutuan 1993 (Akta 505) masih berkuat kuasa. Ini
dapat dilihat dalam Seksyen 95 Akta 505 yang diamalkan semenjak 1993 hingga kini.
Menurut Persatuan Peguam Syarie Malaysia, seandainya keseluruhan Rang Undangundang 2013 ini ditarik balik daripada bacaan seterusnya atau ditolak oleh Parlimen,
Seksyen 95 Akta 505 akan kekal seperti sedia ada dan terpakai.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia berhujah bahawa Seksyen 107 Rang Undang-undang
2013 adalah selaras dengan keputusan dalam kes Susie Teoh (1990) di mana Mahkamah
Persekutuan memutuskan bahawa penentuan agama seorang kanak-kanak bawah 18
tahun adalah dengan kebenaran ibu atau bapa atau penjaganya.
Ini disusuli dengan kes Subashini (2007) di mana Mahkamah Persekutuan memberi
takrifan parent sebagai salah seorang daripada ibu atau bapa. Dengan itu, pengislaman
anak oleh bapa yang memeluk Islam adalah sah. Ini tidak dipersetujui oleh Majlis
Peguam kerana pada kacamata mereka hujah yang mengatakan hanya cukup salah
seorang ibu atau bapa dalam memberi keizinan agama seseorang kanak-kanak
berlawanan dengan Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan dan keputusan Mahkamah
Persekutuan tersebut adalah khilaf.
Ini kerana pada pandangan mereka, Mahkamah Persekutuan tidak mengambil kira
takrifan dalam Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan.
Perlu dimaklumkan bahawa buat masa sekarang terdapat negeri yang memperuntukkan
keperluan keizinan ibu dan bapa, dan terdapat juga negeri yang hanya memperuntukkan
keperluan keizinan ibu atau bapa dalam pengislaman kanak-kanak bawah 18 tahun.
Sebagai contoh di negeri Selangor, Seksyen 117 Enakmen Undang-undang Pentadbiran
Agama Islam Selangor 2003 mensyaratkan keizinan ibu dan bapa atau penjaga dalam
pemelukan Islam kanak-kanak bawah 18 tahun.
Bagi Wilayah Persekutuan, Kedah dan Perak tidak mensyaratkan persetujuan ibu dan
bapa atau penjaga. Cukup dengan persetujuan salah satu daripada ibu atau bapa atau
penjaga dalam perkara ini. Ini dapat dilihat dalam Seksyen 95 Akta Pentadbiran UndangUndang Islam Wilayah-wilayah Persekutuan 1993, Seksyen 80 Enakmen Pentadbiran
Undang-undang Islam Kedah 2008, dan Seksyen 106 Enakmen Pentadbiran Agama Islam
Perak 2004.
Dengan itu dapat dikatakan bahawa berlaku ketidaksegaraman peruntukan dalam
mendapat keizinan bagi pemelukan agama Islam bagi kanak-kanak bawah 18 tahun.
Apa yang penting dalam kemelut ini ialah kebajikan kanak-kanak perlu diambil perhatian
melebihi semua perkara. Apa yang berlaku sekarang ialah terdapat kes-kes pemelukan
Islam kanak-kanak oleh ibu atau bapa yang memeluk Islam sebelum keputusan hak
penjagaan anak dibuat terlebih dahulu.
Ini akan membawa kepada beberapa permasalahan mendatang. Begitu juga,
menentukan agama kanak-kanak mengikut agama ibu atau bapa yang bukan Islam akan
membawa masalah di masa hadapan dari segi pendidikan agama Islam. Kerana itu,
adalah lebih baik penentuan agama seseorang kanak-kanak mengambil kira siapakah
yang berhak menjaga kanak-kanak tersebut.
Penyelesaian kepada pertikaian ini bukanlah satu perkara yang mudah. Ia memerlukan
kerjasama oleh semua pihak terutama ibu bapa atau penjaga dan peruntukan undangundang yang melihat kepada kebajikan kanak-kanak tersebut.
Dalam memutuskan kes-kes sebegini, para hakim hendaklah menggunakan
kebijaksanaan yang tinggi dengan mengambil kira kedudukan agama Islam seperti mana
yang diperuntukkan dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Pesekutuan.
Meskipun begitu, peruntukan dalam Seksyen 107 Rang Undang-undang Pentadbiran
Agama 2013 telah termaktub dalam Akta 505 sehingga kini.

Sama ada ahli-ahli Parlimen menerima atau menolak rang undang-undang ini hanya
akan mengundang implikasi undang-undang sekiranya ia dicabar di mahkamah. Dalam
hal ini, biarlah mahkamah membuat keputusan yang sewajarnya. Adalah dicadangkan
supaya peruntukan mengenai keizinan daripada ibu bapa atau penjaga dalam
pemelukan Islam kanak-kanak perlu diselaraskan.

Anda mungkin juga menyukai