Anda di halaman 1dari 12

PENDAHULUAN

Islam melihat kedudukan individu manusia itu sebagai amat mulia tanpa perlu wujud
perbezaan yang berdasarkan kepada kecantikan rupa paras dan fizikal, ataupun kelebihan
pangkat dan kedudukan, harta mahupun keturunan. Selagi ia manusia, ia masih memiliki
maruah yang perlu dipelihara, dijaga dan dihormati oleh setiap orang, walaupun ia memiliki
keadaan rupa paras dan fizikal atau mental yang serba kekurangan.

Penghormatan yang perlu diberikan itu perlulah adil dan saksama tanpa mengira
bangsa dan pangkat, umur, gender dan sebagainya. Yang tua perlu dihormati dan disegani
manakala yang muda pula perlu dikasihi dan disayangi. Inilah yang diajarkan oleh Islam
sejak sekian lama. Ini juga bersesuaian dengan pengiktirafan yang telah Islam berikan
terhadap kedudukan manusia itu sebagaimana menurut firman Allah SWT dalam surah al
Isra' ayat 70 yang bermaksud:
'Sesungguhnya Kami telah memuliakan kedudukan anak-anak Adam dan Kami
angkat mereka di darat dan di laut dan Kami beri mereka rezeki yang baik-baik dan Kami
lebihkan mereka ke atas banyak makhluk yang Kami ciptakan dengan kelebihan yang
sempurna'.

OKU secara mudahnya dapat kita fahami ialah manusia yang tidak
sempurna tubuh badan mereka dan cacat anggota. Namun begitu,
mereka juga merupakan sebahagian daripada anggota masyarakat yang
mempunyai perasaan, kebolehan, keterampilan, bakat dan kepintaran
dalam pelbagai bidang seperti manusia normal yang lain.

Oleh yang demikian, kita seharusnya memberi layanan yang sopan


kepada mereka supaya tidak berasa tersisih dan mengiktiraf mereka
sebagai insan ciptaan Allah SWT. Kehadiran golongan OKU dalam

masyarakat sewajarnya dihargai dan diberi keutamaan agar mereka dapat


berdikari dan juga berupaya menyumbangkan bakti kepada masyarakat.

DEFINISI ORANG KURANG / KELAINAN UPAYA (OKU)


Menurut akta Orang Kurang Upaya (2008), OKU adalah seseorang
yang mempunyai ketidakupayaan jangka masa panjang dari segi fizikal,
mental, intelektual atau pancaindera yang apabila berhadapan dengan
pelbagai halangan mungkin tidak dapat melibatkan atau menyekat
penyertaan diri sepenuhnya dan secara efektif dalam masyarakat.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mendefinisikan OKU sebagai


seseorang yang tidak berupaya menentukan sendiri bagi memperoleh
sepenuhnya ataupun sebahagian daripada keperluan biasa seseorang
individu atau tidak dapat hidup bermasyarakat sepenuhnya disebabkan
sesuatu kekurangan, sama ada daripada segi fizikal ataupun mental, dan
sama ada ia berlaku semenjak lahir ataupun kemudiannya.

Selain itu juga, OKU bermaksud orang yang mengalami


keterbatasan mobilisasi merujuk kepada jenis kecacatannya, sama ada
anggota fizikal mahupun mental; ringan, sederhana, dan berat;
penglihatan, dan pendengaran (Mohd Hafiz Abd Rahman, 2009). Tujuan
istilah OKU ini diketengahkan adalah bagi menjaga sensitiviti sekaligus
mengelakkan sebutan orang cacat yang bermaksud melabelkan orang
itu cacat daripada semua aspek (tanpa dikategorikan).

KATEGORI ORANG KURANG / KELAINAN UPAYA


Jabatan Kebajikan Masyarakat (2008) telah membahagikan golongan OKU
kepada beberapa pembahagian seperti yang berikut:

1.
2.
3.
4.
5.
6.
7.

Penglihatan (buta, buta warna, rabun)


Pendengaran & pertuturan (pekak, bisu, gagap)
Fizikal / anggota badan
Masalah otot (celebral palsy)
Masalah pembelajaran (autism, dll)
Masalah kurang upaya mental (syndrome down,dll)
Pelbagai (multiple disabilities)

DALIL NAQLI BERKENAAN BERBUAT BAIK SESAMA MANUSIA

.1

Dan tundukkanlah sayapmu - yakni bersikap merendahlah sesama kamu


(Al-Hijr: 88)

.2

Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang yang berbuat


baik. (Al-Araf: 56)

.3

"Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini memperoleh kebaikan. Dan


bumi Allah itu adalah luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang
bersabarlah yang dicukupkan pahala tanpa batas. (Az-Zumar: 10)

4. Dari Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, "Janganlah kamu


berbicara dengan ucapan yang buruk, janganlah kamu sindir menyindir,
janganlah kamu memperdengarkan khabar orang lain dan janganlah
sebahagian kamu menjual atas jualan sebahagian yang lain. Jadilah kamu
sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara." [HR Bukhari dan Muslim]

5. Dari Abu Darda RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, "Tidak seorang


Muslim mendoakan kebaikan bagi saudaranya sesama Muslim yang
berjauhan melainkan malaikat mendoakannya, mudah-mudahan engkau
beroleh kebaikan pula." [HR Muslim]

6. Rasulullah SAW bersabda, "Tiada sempurna iman seorang kamu hingga


dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri." [HR
Bukhari dan Muslim]
ISU & PERMASALAHAN SEMASA ORANG KELAINAN UPAYA
Seperti yang kita sedia maklum, sesetengah daripada mereka akan
berasa malu dan terpinggir disebabkan kekurangan mereka. Ini
menyebabkan mereka hilang atau kurang keyakinan bila berhadapan
dengan masyarakat. Tambahan pula dengan sikap negatif segelintir pihak
yang memandang rendah kekurangan mereka dengan memberikan
penderaan sama ada dari segi fizikal mahupun mental akan menyebabkan
mereka disisihkan dan dipinggirkan daripada komuniti, lebih-lebih lagi
OKU daripada kalangan kanak-kanak. Ini jelas sekali akan memberi kesan
kepada perkembangan minda dan jati diri mereka. Sikap sebegini yang
harus kita cegah bersama bagi mengelakkan pengkelasan taraf kehidupan
dan sistem kasta dalam masyarakat.

Ujian ini ditambah pula dengan tindakan diskriminasi ataupun


penafian hak mereka untuk belajar dan berkerja walaupun mereka amat
berkeinginan, masih mempunyai daya usaha dan berkelayakan. Mereka di
diskriminasikan oleh masyarakat normal yang tidak punya apa-apa
kekurangan. Kewujudan mereka seringkali diambil enteng oleh
kebanyakan pihak. Hak mereka untuk menerima dan menyumbang dalam
masyarakat tidak mampu dicapai sebaiknya.

Sesetengah majikan masih belum terbuka, tidak bersedia serta tidak


ingin untuk mengambil pekerja OKU kerana berpendapat mereka tidak
boleh membuat kerja, memerlukan cuti sakit yang kerap, kadar insurans yang tinggi,
keselamatan di tempat kerja yang terganggu, memerlukan kemudahan khas, dan mungkin
beberapa perubahan terpaksa dilakukan di tempat kerja bagi menjamin keselamatan pekerja
kurang upaya. Jadi, ini akan melibatkan perbelanjaan yang tinggi untuk menyediakan
kemudahan mereka; sedangkan OKU seperti Allahyarham Profesor Dato Ismail bin
Salleh yang buta matanya itu terbukti boleh berkerja dengan baik, mempunyai
sijil universiti yang diiktiraf dan boleh membuat kerja yang sepatutnya jika
diberikan peluang sewajarnya. Namun, persepsi buruk yang mereka
terima berkenaan kemampuan dan kebolehupayaan mereka akan
meruntuhkan keyakinan diri dan moral mereka.

Selain itu juga, kesedaran masyarakat terhadap golongan OKU ini


masih di takuk yang lemah. Kesedaran yang dimaksudkan adalah dari segi
penjagaan OKU, sifat OKU, masalah OKU, kemudahan OKU, pendidikan
dan kerjaya, dan sebagainya. Ianya bermula daripada peringkat di rumah
lagi dan bersambung ke peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi
dan ke peringkat yang lebih tinggi. Pelbagai kempen dan program
kesedaran sudah dianjurkan, namun kesedaran masyarakat masih rendah.

Apabila tahap kesedaran terhadap golongan OKU ini rendah,


wujudlah pelbagai masalah lain lagi seperti kurangnya fasiliti kemudahan
buat mereka. Golongan pentadbir tidak mahu mengeluarkan belanja
tambahan untuk menyediakan kemudahan buat golongan OKU kerana
menganggapnya sebagai sesuatu yang tidak penting dan mendatangkan
kerugian kepada mereka. Tambahan pula, sesetengah daripada mereka
mempunyai masalah untuk mendapatkan rawatan perubatan, fisioterapi,
pembelian alatan sokongan (seperti kerusi roda ataupun alat ganti palsu
dsb) tidak mendapat keprihatinan pihak berwajib.

Akhir sekali, kurangnya penguatkuasaan akta dan undang-undang


berkenaan OKU ini dilaksanakan. Seperti yang termaktub dalam Akta
Orang Kurang Upaya yang ada memperuntukkan kemudahan kepada
golongan OKU, namun pelaksanaannya tidak dijalankan secara meluas.
Tambahan pula, ada segelintir pihak bersikap zalim dengan menyalah
gunakan kemudahan yang diperuntukkan kepada golongan OKU untuk
kepentingan peribadi mereka seperti perkhidmatan parkir khas untuk OKU ini. juga
menjadi permasalahan utama warga OKU di Malaysia. Secara efektifnya, pihak
berkuasa perlu mengambil langkah tegas bagi memudahkan warga OKU seiring memelihara
hak mereka.

PERBINCANGAN DAN PENYELESAIAN


Setiap individu perlulah menunjukkan nilai-nilai murni dan mencerminkan etika
sebagai seorang mukmin. Hal ini demikan kerana setiap individu mempunyai tangungjawab
masing-masing. Tunjukkan keprihatinan dan pupuk sifat empati dalam diri untuk membantu
mereka sekadar yang termampu. Jaga hubungan sesama manusia (hablum minan nas) dan
berikan hak mereka sebaiknya.

Selain itu, pihak kerajaan dan swasta hendaklah turut sama membantu golongan OKU
menjalani kehidupan yang lebih baik dengan menyediakan pelbagai kemudahan kepada
mereka termasuklah kemudahan fasiliti, peluang pendidikan, peluang pekerjaan dan
sebagainya. Mereka tidak seharusnya bersikap lepas tangan dan tidak menganggap OKU
sebagai beban dalam masyarakat.

Kita boleh membantu mereka dengan memberikan peluang perkerjaan berdasarkan


tahap kemampuan dan kemahiran yang dimiliki mereka. Sekiranya mereka mempunyai
keistimewaan dalam bidang seni kraf tangan, agensi tertentu bolehlah mengambil mereka
sebagai pekerja ataupun melatih mereka untuk menambahkan kemahiran dalam bidang
tersebut. Hal ini secara tidak langsung akan berupaya meningkatkan industri kraf tangan
Malaysia yang akhirnya menjadi sumber pendapatan negara. Kini, banyak institusi kewangan
mengambil OKU sebagai kakitangan mereka kerana kualiti kerja OKU setanding, malah
adakalanya lebih hebat daripada manusia normal.

Selain itu juga, pihak kerajaan perlulah mengambil langkah efektif dengan
memperbanyakkan infrastruktur atau kemudahan awam kepada mereka. Hal ini adalah untuk
memudahkan OKU bergerak dengan selesa. Sebagai contoh, kemudahan lorong khas, laluan
pejalan kaki atau tempat khusus untuk meletakkan kenderaan, tandas khas OKU, tanjakan
dan lain-lain. Sekiranya kemudahan ini tiada, sudah tentu golongan OKU akan mengalami
kesukaran kerana ketidakupayaan mereka dari segi fizikal jika menggunakan kemudahan
awam yang sama seperti orang yang sempurna sifat fizikaInya. Oleh itu, pelbagai kemudahan
perlu disediakan untuk meningkatkan taraf hidup mereka.
Pengangkutan awam amat penting untuk golongan oku, supaya dapat memudahkan
mereka bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain. Oleh itu, semua pihak perlu mengambil
inisiatif untuk mewujudkan banyak lagi kemudahan pengangkutan awam. Malah, bas
perlulah direka khas untuk golongan OKU, supaya golongan yang berkerusi roda dapat
menaiki bas ini dan mampu bergerak ke satu tempat. Kini,100 buah bas RAPIDKL mesra
OKU telah beroperasi di kawasan Kuala Lumpur. Bas ini akan memudahkan golongan ini
bergerak ke destinasi yang ingin dituju. Oleh itu, pihak berkuasa perlulah memperkenalkan
bas yang khas untuk golongan OKU di seluruh negara kita.

Tambahan pula, pihak kerajaan perlu sentiasa menggalakkan syarikat-syarikat


pengangkutan supaya memberi tambang konsesi kepada orang kurang upaya. Sehingga kini
terdapat beberapa buah syarikat pengangkutan telah memberi insentif pengangkutan kepada
golongan kurang upaya. Antaranya Sistem Penerbangan Malaysia memberi tambang murah
sehingga 50% bagi penerbangan dalam negeri, Keretapi Tanah Melayu memberi tambang

konsesi sehingga 50% bagi semua perjalanan bagi semua kelas, Syarikat bas
TRANSNASIONAL memberi konsesi 50% daripada harga tambang dan PUTRA-LRT juga
telah memberi konsesi tambang kepada golongan kurang upaya.

Dari sudut pendidikan pula, pihak kerajaan haruslah menyediaka program pendidikan
buat mereka. Pengecualian bayaran yuran haruslah diberi bagi mengurangkan bebanan buat
mereka. Bagi pelajar yang cemerlang, insentif perlulah diberi kepada mereka bagi
meningkatkan semangat ingin belajar dalam diri mereka. Tidak dilupakan juga, alat bantu
mengajar seperti braille, bantuan alat tiruan atau alat sokongan dan sebagainya amat
diperlukan bertujuan membantu orang kurang upaya yang tidak berkemampuan untuk
membeli seperti kaki palsu, tangan palsu, kaliper, tongkat tangan, kerusi roda, alat
pendengaran, cermin mata khas, kasut khas dan lain-lain peralatan yang disyorkan oleh
doktor atau pakar perubatan.

Dari aspek kesihatan pula, pengecualian daripada bayaran rawatan di Hospital


Kerajaan termasuk bayaran wad kelas tiga, bayaran pakar dan ubat-ubatan perlulah diberi
kepada mereka. Hal ini kerana dapat meringankan beban golongan ini. Selain itu, penubuhan
klinik 1 Malaysia dan Klinik bergerak 1 Malaysia memberi rawatan yang percuma kepada
golongan ini. Malah, Pihak berkuasa perlulah membina tempat riadah yang sesuai untuk
golongan OKU supaya golongan ini dapat menjalankan aktiviti riadah. Selain itu, perlulah
membina kemudahan yang sesuai untuk golongan ini untuk melaksanakan aktiviti riadah.
Aktiviti riadah juga dapat membantu mereka untuk membina tubuh badan yang sihat dan
cergas.

Di samping itu juga, media massa boleh memainkan peranan mereka dengan
menyebarkan maklumat tentang peluang pendidikan dan kerjaya bagi OKU. Setiap
maklumat mestilah disampaikan dan disebarkan oleh pihak media massa kepada orang
ramai. Kempen Masyarakat Penyayang yang dilancarkan oleh pihak kerajaan perlulah
disampaikan melalui saluran media. Maklumat tersebut boleh disalurkan melalui iklan,

kempen dan melalui drama. Kesannya, orang ramai akan mendapat maklumat tentang OKU
secara telus. Jelaslah, nasib OKU akan terbela dengan adanya peranan media massa.

KONKLUSI
OKU merupakan sebahagian daripada masyarakat. Oleh itu, mereka
mempunyai kesaksamaan hak dan peluang untuk menjalani kehidupan
seperti anggota masyarakat yang lain. Pendekatan berasaskan hak atau
rights-based dan juga perlindungan wajar digunakan bagi menjamin
kepentingan dan kesejahteraan mereka. Namun begitu, tidak dinafikan
bahawa mereka menghadapi banyak permasalahan dan rintangan dalam
menjalani kehidupan seharian mereka.

Masyarakat haruslah bersatu dalam usaha untuk membangunkan


modal insan OKU. Walau bagaimanapun, peluang harus diberikan kepada
mereka tanpa mengira sebarang perbezaan dan selaras dengan dasar
kerajaan untuk memberi hak yang sama kepada semua individu. Kita
sepatutnya memberi keutamaan dalam melahirkan sumber tenaga

manusia yang berpengetahuan dan berkemahiran sejajar dengan


keperluan semasa, penekanan terhadap bidang pendidikan dan latihan
kemahiran. Oleh itu, kita perlu menghormati dan memberi bantuan
kepada OKU kerana mereka juga berupaya dalam memberi sumbangan
dalam pembangunan negara.

Sebagai pengakhirannya, semua pihak haruslah bekerjasama dalam menjalankan


tanggungjawab sebagai anggota masyarakat yang prihatin terhadap kebajikan golongan OKU.
Segala amal baik yang dilakukan akan merealisasikan visi kudsi negara ke arah melahirkan
masyarakat penyayang seperti yang diwar-warkan oleh pemimpin negara. Hal ini bertepatan
dengan sikap kita sebagai rakyat Malaysia yang terkenal dengan keluhuran budi, adab dan
nilai-nilai murni yang tinggi dan moleklah kita jelmakan nilai tersebut terhadap anggota
masyarakat kita yang kurang bernasib baik. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia
kerana muafakat, marilah kita mengatur langkah sederap, seia sekata agar taraf hidup OKU
lebih terjamin dan dapat seiring dengan kemajuan arus globalisasi

RUJUKAN
I.

Dr Musthafa Syed Khin, Syarah Riyadhus Shalihin Jilid 1 Imam

II.

Nawawi, Penerbit Al-Itishom CahayaUmat: Jakarta, 2010, m/s 181


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?

III.

y=2010&dt=1211&sec=Rencana&pg=re_02.htm
http://www.jkm.gov.my/content.php?

IV.
V.
VI.

pagename=dasar_orang_kurang_upaya&lang=bm
http://www.kpwkm.gov.my/
http://www.slideshare.net/ridzuangrik/kaunseling-oku
http://ruzimi-mohamed.blogspot.com/2011/05/masalah-sebenar-oku

VII.

http://farihinzul1974.blogspot.com/2010/11/isu-sosial-kurang-fikir-terhadaporang.html

VIII.

http://www.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/16301-rasulullah-gilap-okudemi-perjuangan-islam

LAMPIRAN

12

Anda mungkin juga menyukai