Anda di halaman 1dari 7

CIRI-CIRI SENI ISLAM DAN

PENGARUH BUDAYA DALAM


HASIL KESENIAN MELAYU
Hasil ciptaan seni kraf Melayu jelas menunjukkan pengaruh Islam
di dalam penghasilannya. Ini terbukti dengan penggunaan motif dan
ragam hias dalam penghasilan sesuatu kraf. Penggunaan motif-motif
dan ragam hias dalam hasil karya ini jelas menunjukkan ciri-ciri
keislaman. Rupa figura manusia atau binatang yang sebenar tidak
digambarkan dalam ragam hias kraf tradisional Melayu. Hal ini berlaku
kerana berdasarkan ajaran agama Islam menggambarkan bentuk figura
manusia atau binatang yang sebenar adalah haram hukumnya. Namun
begitu, masih kedapatan tukang Melayu menggunakan motif fauna
sebagai subjek untuk mendapatkan sumber ilham dalam penghasilan
karya mereka tetapi dengan menggunakan daya kreativiti, mereka telah
membuat beberapa perubahan, mengubah bentuk tersebut dengan
secara stailisasikan hingga bentuk asal fauna itu tidak kelihatan dengan
jelas. Tiada gambaran tentang rupa binatang dan manusia sebenar
dalam ragam hias dan ini membuktikan bahawa Seni kraf Melayu adalah
melambangkan seni Islam (Khairuddin Talib, 2007).
Seni kraf telah menjadi tunjang kepada kebudayaan masyarakat
Melayu sejak turun temurun lagi. Dengan adanya kesenian seperti ini
identiti masyarakat Melayu lebih terserlah dan dikenali ramai (Siti Zainon
Ismail (1986). Kesenian dan keaslian ragam hias yang terdapat dalam
kraf tradisional tetap kekal dan tidak berubah dari dahulu hingga kini.
Hasil ciptaan kraf tradisional kaya dengan unsur-unsur budaya dan ini
jelas tercermin melalui bentuk, gaya, sifat, garis, gerak, dan warnanya
(Khairuddin Talib, 2007).
Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat beberapa kraf tradisional
Melayu di Malaysia dipengaruhi oleh budaya luar namun ia adalah
serumpun. Contohnya batik Kelantan dan Terengganu yang banyak

dipengaruhi corak-corak batik dari batik Jawa sehingga suatu ketika


dinamakan kain batik Lasem Kelantan, kain batik Solo Kelantan dan
kain batik Pekalongan Kelantan. Namun begitu, kini batik Malaysia telah
berkembang pesat dan dapat menghasilkan identiti tersendiri daripada
pelbagai pengalaman dan eksperimentasi. Norwani Mohd.
Nawawi. (2002)
Pengaruh budaya terhadap seni kraf di Malaysia kebanyakkan
datangnya dari kepulauan Melayu dan nusantara sahaja. Ianya tidak
melibatkan pengaruh dari barat atau luar nusantara walaupun negara ini
telah dijajah oleh negara luar seperti Portugis, Belanda, Inggeris dan
termasuk negara timur lain yakni Jepun. Ini sangat berbeza dengan apa
yang berlaku di negara lain yang pernah dijajah. Penjajah telah
menyebar pengaruh budaya serta membudayakan masyarakat
tempatan dengan budaya mereka termasuk penggunaan ragam hias
penjajah dalam seni kraf tempatan. Ini jelas dapat dilihat pada ragam
hias yang terdapat dalam seni kraf Filipina yang menampakkan
pengaruh Sepanyol. Oleh itu, orang Melayu harus bersyukur kerana
penjajah tidak menyebar pengaruh budaya mereka dalam budaya dan
seni kraf tempatan. (Khairuddin Talib, 2007).
Kraf yang dihasilkan oleh masyarakat peribumi merupakan
warisan yang memperlihatkan susur galur daripada zaman batu lagi
yang mengingatkan kita tentang jati diri rakyat Malaysiaumumnya. Kraf
tangan masyarakat peribumi dihasilkan berdasarkan alam persekitaran
yang berkait dengan alam Melayu. Sumber yang digunakan untuk
menghasilkannya juga adalah yang mudah didapati di sekeliling mereka.
Namun Masyarakat pribumi umnya dan Melayu khususnya
menggunakan pemikiran kreatif mereka dalam mengolah dan mengubah
barangan dan objek yang menampilkan aspek budaya, estetik dan
fungsi (Khairuddin Talib, 2007).
Aspek Estetik
Menurut Herbert Read dalam buku, The Meaning of Arts (1968)
seni merupakan penghasilan rupa bentuk yang menimbulkan keceriaan,

keseronokan dan kesenangan estetik Art is Expression. Kesenangan


estetik dimaksudkan adalah merujuk kepada konsep kesenangan yang
terhasil kesan oleh penghayatan terhadap keindahan seni visual.
Kepuasan, kenikmatan, kesukaan dan kegembiraan juga termasuk di
dalam kesenangan tersebut.
Apabila menjelaskan makna estetik maka ia banyak dibincangkan
berkaitan dengan deria pengamatan terhadap sesuatu perkara atau
suasana yang menekankan aspek kesenian atau keindahan, bukan
menekankan aspek fungsional serta kecanggihan objek tersebut
(Marzita Puteh, Sadiah Baharom & Jamal Omar, 2007). Dalam
memperkatakan nilai estetik bangsa Melayu, renungi ke dalam diri dan
fahami etimologi perkataan estetik ini membawa kepada estetics iaitu
bidang falsafah yang mengkaji atau menyelidik tentang keindahan.
Estetik dikaitkan dengan istilah nilai-nilai keindahan, termasuk di
dalamnya makna, antara lain elok, molek, cantik, anggun, bagus,
lembut, utuh, seimbang, padu, bening, tenang, hampa, suram, dinamik,
kukuh, hidup, gerak, hambar, sentimental dan tragik (Dolmer, P., 1997).
Pandangan dari sudut agama, Imam Muslim melalui penulisan
kitabnya, Kitab Al-Iman, menjelaskan tentang kesenangan estetik dan
konsep keindahan sebagai pertemuan antara seseorang yang
mempunyai pengetahuan terhadap mesej atau objek yang ditemui.
Dalam erti kata lain, Muslim menjelaskan seni itu sebagai suatu bentuk
ilmu pengetahuan di mana seseorang yang mempunyai ilmu ataupun
pengetahuan seni tersebut akan mencipta serta melahirkan manifestasi
pemikiran dan perasaannya terhadap sesuatu objek yang dihayatinya
melalui karya-karya seni, ataupun setidak-tidaknya akan menghargai
keindahan objek serta karya tersebut, sekiranya tidak mampu
menghasilkan karya seni. Ini adalah kerana seni itu sendiri mempunyai
pertalian erat di antara penggiat dan khalayak seni itu sendiri (Zulkifli
Yaakob & Mohd. Jamel Ismail, 2007).
Kraf tradisional seperti ukiran, batik, tenunan, anyaman, tekatan,
wau, gasing, tembikar dan barang perhiasan sememangnya mempunyai
nilai estetik yang tinggi dan keistimewaannya setaraf dengan seni

budaya tamadun luar (Khairuddin Talib, 2007). Ia juga mempunyai nilai


estetika yang tinggi, contohnya ukiran kayu. Ukiran digunakan pada
rumah-rumah Melayu untuk menambahkan nilai estetik dengan corak
yang terkawal. Ia mestilah tidak mengatasi imej bagunan supaya reka
bentuk bangunan dapat dilihat dengan jelas. Ukiran-ukiran itu
berperanan sebagai penyokong rupa atau sendi kepada bentuk
bangunan (Syed Ahmad Jamal, 1992).
Elemen dan bentuk estetika seni Islam merupakan tanda-tanda
tampak yang harus dihasilkan melalui asas nilai tauhid. Ini disebabkan
kesenian Islam sangat menekankan tanda-tanda tampak yang boleh
membawa pemerhati supaya mengingati Tuhan. Tanda-tanda tampak
yang boleh melalaikan manusia dari mengingati Tuhan tidak dibenarkan.
Apatah lagi tanda-tanda tampak tersebut bersifat mengingkari atau
bertentangan dengan perintah Tuhan (Zainon Abdullah, 2005). Oleh itu
ciri-ciri tersebut dapat dilihat pada seni kraf Melayu kerana masyarakat
Melayu telah menerima dan menganuti agama Islam berabad lamanya.
Bentuk estetika seni Islam terbahagi kepada enam bentuk,
menurut Al Faruqi (1986) dalam Zainon Abdullah (2005). Iaitu bentuk
abstraksi, bentuk strurtur modular, bentuk gabungan berurutan, bentuk
perulangan, bentuk dinamisma dan bentuk kerumitan. Namun begitu
keenam-enam bentuk tersebut dipandu oleh asas estetika Tauhid, yang
menjadi strutrtur asas karya seni Islam. Menurut Zakaria Ali (1989),
terdapat enam prinsip estetika Melayu, iaitu prinsip halus, prinsip
berguna, prinsip bersatu, prinsip berlawan, prinsip berlambang dan
prinsip bermakna.
Aspek Fungsi
Seni kraftangan adalah hasil seni yang dicipta untuk digunakan,
tetapi digubah dengan memasukkan unsur-unsur seni untuk memberi
bentuk yang indah dan menarik hati (Siti Zainon Ismail, 1997). Setiap
hasil kraf berfungsi dalam kehidupan harian yang dipengaruhi oleh
lokasi, iklim, pekerjaan, kepercayaan, bahan keperluan, kemudahan
serta hubung kait dengan masyarakat. Contohnya kris dan lembing

digunakan sebagai senjata untuk mempertahankan diri. Parang, sabit


dan cangkul digunakan sebagai alat pertanian manakala bubu
digunakan sebagai alat untuk menangkap ikan. Alat untuk kegunaan
harian seperti tikar, tudung saji dan pakaian. Bekas pembakar
kemenyan dan gong digunakan sebagai alat dalam upacara adat
istiadat. Wau, gasing dan congkak dijadikan hobi dan sebagai aktiviti
rekreasi. Alat muzik seperti serunai, rebab, nafiri dan kompang.
Digunakan dalam persembahan nyanyian, tarian dan pertunjukan
kebudayaan. Ukiran kayu digunakan sebagai bahan estetika pada
rumah kediaman, istana dan masjid. Perahu dan kolek berfungsi
sebagai pengangkutan air. Baju kebaya labuh, tengkolok, selendang,
dokoh, kalung dan cucuk sanggul dijadikan alat perhiasan dan pakaian
(Khairuddin Talib, 2007).
Kain atau tekstil batik dan songket digunakan dan mempunyai
tujuan yang tersendiri. Pada zaman dahulu songket hanya dipakai oleh
golongan raja dan bangsawan sebagai tanjak, samping, kain selendang
dan persalinan diraja bagi menaikkan status mereka. Songket
melambangkan kehormatan dalam sesebuah masyarakat melayu
(Haziyah Hussin, 2006). Batik pula berfingsi sebagai cenderamata dan
digemari sejak kesultanan Melaka lagi, dimana Hang Nadim
diperintahkan oleh Sultan Mahmud bagi membeli kain Serasah atau
Batik dengan empat puluh bunga pada setiap satunya (A. Samad
Ahmad, 1986).
Kini, songket mula dipakai oleh golongan rakyat biasa sebagai
pakaian rasmi untuk menghadiri majlis-majlis tertentu, pakaian
pengantin, persembahan kebudayaan dan pertunjukan fesyen (Haziyah
Hussin, 2006). Mengikut kajian, kebanyakan pengguna yang memakai
songket antara 20 hingga 50 tahun (Norwani Mohd. Nawawi, 2002).
Batik pula digunakan untuk membuat tudung, baju, kain sarung atau
batik lepas dan digunakan dalam majlis-majlis formal dan majlis
keramaian. Ia menjadi pakaian rasmi kepada kakitangan kerajaan setiap
hari khamis bekerja dan turut menjadi pakaian seragam pramugari kapal
terbang MAS (Perpustakaan Negara Malaysia, 2000). Kombinasi nilai

tradisional dan kontemporari dalam pengeluaran batik dan songket


dapat memenuhi permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa.
Keanggunannya diilhamkan pada pelbagai barangan dalam bentuk
hantaran perkahwinan, barangan kraftangan, perhiasan dalaman,
kelengkapan rumah, cenderamata dan aksesori (Perbadanan Kemajuan
Kraftangan Malaysia, 2009).
Aspek Makna
Seni Melayu ini merupakan penjelmaan unsur-unsur dari alam
semula jadi kepada satu bentuk seni rupa. Karya ini terhasil daripada
pengamatan dan pemikiran penciptaannya yang dijelmakan melalui
impian dan imaginasi, seterusnya mencerminkan suasana harmoni di
antara manusia dan alam ciptaan tuhan (Khairuddin Talib, 2007). Unsurunsur alam ini mengandungi simbol pengertian dan makna yang tertentu
dalam pandangan hidup masyarakat Melayu (Ismail Said & Ahmad
Saifuddin Abdullah, 2001).
Penciptaan keris mempunyai fungsinya yang tertentu. Keris adalah
sejenis senjata tikam yang digunakan secara meluas di keperluan
Melayu pada satu ketika dahulu. Keris merupakan lambang
kepahlawanan orang Melayu. Keunikan rupa bentuk dan hiasannya
mempunyai makna yang tersendiri serta dipercayai mempunyai
kesaktian yang luar biasa, keris dianggap sebagai sejenis senjata
penting dan masyarakat dan kebudayaan tradisional Melayu (Khairuddin
Talib, 2007).
Seni ukir adalah antara kraf Melayu yang mempunyi nilai yang
tinggi dan memberi makna yang tertentu kepada pengukir dan pencinta
seni yang mengamtinya. Terdapat beberapa peraturan dan peradaban
bagi menghasilkan ukiran yang tinggi nilai seninya. Pertama, seseorang
pengukir harus yakin dan percaya kepada ilmu tauhid dan diikuti dengan
keyakinan diri, keikhlasan dan kejujuran. Selain itu, mereka juga perlu
memahami sifat bahan ukuran dan proses atau kaedah mengukir.
Diamping itu, tukang ukir juga akan menyatakan perasaan peribadinya
melaui ukiran yang diukirnya. Dengan cara ini pengukir boleh

memperihalkan ciri-ciri dan sikap mereka itu terhadap hasil ukirannya


(Nik Rashiddin (2000) dalam Ismail Said, 2005).
Pereka kraf Melayu menganggap alam ini sebagai suatu hiasan
yang berfungsi untuk menyerikan kehidupan sementara di dunia dan
kehidupan kekal di akhirat. Dari kesedaran inilah lahirnya ciptaan yang
bermakna dan bukan sahaja sebagai fungsi tetapi memenuhi keperluan
kehidupan dunia yang amat rapat kaitannya dengan akhirat (Khairuddin
Talib, 2007).

Anda mungkin juga menyukai