Anda di halaman 1dari 2

Amalan Berjimat Cermat

Hal-hal yang berkaitan dengan amalan berjimat cermat sering dibincangkan


dalam media massa seperti surat khabar dan televisyen. Amalan berjimat cermat
memberi banyak kebaikan individu dan negara. Pada pendapar saya, sikap berjimat
cermat ini wajar diamalkan oleh masyarakat pada setiap masa. Sikap berjimat
cermat boleh diamalkan dalam kehidupan seharian dengan pelbagai cara.

Setiap individu hendaklah menjimatkan penggunaan masa mereka. Masa


yang dimiliki amat berharga seperti peribahasa Melayu 'Masa itu emas'. Oleh itu,
kita perlu memenuhi masa kita dengan aktiviti yang berfaedah seperti membaca
buku pelajaran, bekerja dan bersenam. Lazimnya, orang yang pandai menggunakan
masa yang dimiliki akan berjaya dalam hidup dan dapat mencapai cita-cita yang
diidamkan.

Selain menjimatkan penggunaan masa, kita juga mesti berjimat dalam


penggunaan wang. Wang yang kita perolehi perlu dibelanjakan dengan sebaik
mungkin. Kita perlu membeli barang keperluan asas terlebih dahulu seperti
makanan, pakaian dan membeli rumah sebagai tempat tinggal, sebelum membeli
barangan kehendak yang lain. Kita juga sewajarnya menyimpan sebahagian wang
yang diperolehi di dalam bank untuk digunakan sewaktu dalam kesusahan atau
kecemasan.

Air merupakan satu keperluan hidup dan kita juga perlu menjimatkan air
dalam kehidupan seharian. Pembaziran air akan menyebabkan kita terpaksa
membayar bil air yang tinggi dan akan menambahkan beban perbelanjaan kita.
Bagi menjimatkan penggunaan air, kita boleh membasuh kereta atau menyiram
pokok menggunakan air hujan. Selain itu, jika kita ternampak paip yang pecah, kita
hendaklah segera melaporkan kejadian ini kepada pihak yang menguruskan
bekalan air.

Di samping itu, kita juga hendaklah berjimat cermat dalam penggunaan


elektrik. Dengan berjimat cermat dalam penggunaan elektrik, kita akan membantu
pihak kerajaan menjimatkan kos membekalkan elektrik. Oleh itu, kita hendaklah
menutup suis lampu dan kipas jika ia tidak digunakan. Kita juga perlu
menggunakan barangan elektrik yang kurang menggunakan tenaga elektrik seperti
mentol lampu yang menjimatkan tenaga yang kini banyak dijual di pasaran.

Kita juga mesti berjimat cermat dalam penggunaan telefon. Ketika bercakap
di telefon, kita perlu bercakap perkara-perkara yang penting sahaja. Walaupun
penggunaan telefon bimbit merupakan gaya hidup masa kini, namun kita mestilah
sentiasa berjimat cermat menggunakannya. Justeru, ibu bapa wajar mengawasi
anak-anak mereka dalam penggunaan telefon kerana bil telefon boleh meningkat
sehingga ratusan ringgit sebulan jika anak-anak tidak berjimat cermat dan ia
pastinya akan menyusahkan ibu bapa.

Sebagai kesimpulan, kita perlu mengamalkan sikap berjimat cermat dalam


kehidupan seharian kerana amalan ini banyak faedahnya. Pada pendapat saya
amaln berjimat cermat perlu dipupuk oleh ibu bapa kepada anak-anak sejak mereka
kecil lagi. Pihak kerajaan juga perlu mengadakan kempen berjimat cermat di
kalang rakyat. Kempen ini hendaklah diadakan sepanjang tahun supaya sikap
berjimat cermat menjadi budaya hidup masyarakat Malaysia.