Anda di halaman 1dari 6

Wednesday, August 29, 2012

Guru Besar Kena Gomol Sebab Tegur Kelas Bising

Nama
No. Matrik
Artikel

: Chin Kim Tsuey


: 200930134003
: Guru Besar Kena Gomol Sebab Tegur Kelas Bising

Dalam era globalisasi masa kini, banyak perkembangan dan pembangunan dari pelbagai aspek
yang berlaku di sekeliling kita. Sama ada kita sedar atau tidak, perkembangan dan pembangunan
yang kita lihat hari ini adalah hasil kerjasama ahli masyarakat terutamanya golongan profesional.
Antara bidang profesional yang terlibat adalah keguruan, perubatan, kejuruteraan, perundangan dan
sebagainya.
Menurut Ornstein dan Levine (1993), konsep profesional merujuk kepada ciri-ciri yang
terdapat dalam kalangan ahli suatu profesion. Antara ciri-ciri yang telah dinyatakan adalah cekap dan
mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam bidang yang diceburi dan adanya kod etika yang
mengawal tingkah laku ahli.
Guru juga adalah seorang yang profesional. Ini bermakna guru adalah seorang yang
mendapat latihan yang khusus, berpengetahuan luas dan pakar dalam bidang yang diceburi serta
ada kod etika yang tersendiri.
Berdasarkan ciri-ciri yang dinyatakan, profesion keguruan pada hari ini dilihat semakin goyah
kerana ada segelintir guru yang sanggup melanggar kod etika keguruan yang telah sedia termaktub.
Ini terbukti apabila semakin banyak isu mengenai salah laku guru tersiar di internet dan dadadada akhbar.
Sejak akhir-akhir ini, semakin banyak isu mengenai guru dan keguruan disiarkan dalam
media massa. Sebagai contoh, guru besar kena gomol sebab tegur kelas bising. Kes ini berlaku di
sebuah sekolah rendah di Georgetown di mana murid terpaksa menonton aksi kung fu antara guru
besar dan guru kelas mereka selepas berlaku perselisihan faham antara dua pendidik itu.
Pergaduhan tercetus selepas guru besar menegur cikgu itu yang gagal mengawal murid daripada
membuat bising. Suasana menjadi kecoh sehinggalah guru lain terpaksa campur tangan untuk

meleraikan pergaduhan antara kedua-dua orang guru yang terbabit itu. Akibat daripada pergaduhan
itu, guru besar yang terbabit cedera di kedua-dua belah tangan dan juga bahagian belakang kepala.
Manakala guru kelas pula cedera pada mata akibat terkena tikaman pen ketika bergelut dan keduaduanya sudah membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Menurut Kamus Dewan Edisi Empat, GOMOL itu bermaksud peluk-memeluk dan gulingmenggulingkan seperti orang bergusti untuk menunjukkan kekuatan seseorang dan lain-lain. Dalam
kes ini, berlakunya pergaduhan yang melibatkan sentuhan tubuh badan yang mana akhirnya
menyebabkan kedua-dua pendidik yang terbabit itu cedera.
Menurut Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), etika perguruan yang diwujudkan oleh
kerajaan akan memartabatkan profesion perguruan itu sendiri. Kod etika menyediakan garis panduan
bagaimana guru harus bertingkahlaku dalam profesion perguruan. Kod ini merupakan panduan
kepada guru dan ia adalah amat sesuai untuk dirujuk serta diamalkan oleh guru. Kod Etika Perguruan
telahpun menyatakan dengan jelas tentang tanggungjawab guru terhadap pemegang amanah dalam
bidang pendidikan di mana ia dapat membantu guru lebih faham dan jelas tentang tanggungjawab
mereka.
Berdasarkan kes yang dinyatakan di atas, guru yang terbabit itu telahpun melanggar
beberapa kod etika guru yang telah ditetapkan. Pertama, seperti mana yang dinyatakan dalam Kod
Etika Perguruan, seorang guru tidak harus bertingkah laku begitu rupa sehingga boleh mencemarkan
sifat profesionnya dan yang akan menyebabkan hilang kepercayaan orang ramai terhadap profesion
perguruan. Guru yang terbabit telahpun mencetuskan pergaduhan antara dua orang pendidik di
mana tingkah laku yang kurang sesuai dan kurang sopan ditunjukkan di depan murid yang ramai. Hal
ini sanggup menjejaskan sifat profesionnya dan seterusnya mampu menyebabkan kehilangan
kepercayaan dari anak murid, ibu bapa, serta masyarakat terhadap profesion perguruan.
Kedua, seorang guru haruslah bertugas sebagai pengganti ibu bapa dalam usaha untuk
membentuk tingkah laku murid-murid ke arah matlamat-matlamat yang diterima oleh masyarakat.
Purata seorang pelajar menghabiskan masa di sekolah setiap hari adalah selama 8 jam atau
lebih.Kesemua aktiviti yang diakan di sekolah memerluka kehadiran guru sebagai penasihat atau
pembimbing.Tidak hairanlah jika terjalin satu ikatan silaturahim yang cukup erat antara guru dan
murid. Oleh itu, guru haruslah berusaha untuk membentuk tingkah laku murud-murid supaya ianya

dapat diterima oleh masyarakat dan bukannya menunjukkan kelakuan yang negatif itu di depan
mereka. Hal ini sanggup memesongkan fikiran murid-murid dalam aspek membentuk tingkah laku
yang positif.
Selain itu, ternyata juga dalam Kod Etika Perguruan bahawa seorang guru haruslah
bertingkah laku begitu rupa supaya menjadi contoh teladan yang baik terhadap murid-murid. Murid
sering melihat guru mereka sebagai contoh teladan yang positif. Guru yang dilihat sebagai baik,
berkelakuan sopan dan berjaya dalam pelajaran akan dijadikan idola oleh seseorang pelajar itu. Pada
mata pelajar, guru seperti ini berupaya untuk memberikan mereka semangat untuk berjaya dalam
hidup lalu menjadi seorang insan yang berguna di dunia ini sama seperti guru mereka itu. Bayangkan
jika semua murid mengjadikan guru sebagai role model, apa yang akan berlaku akibat daripada
pergaduhan antara dua orang pendidik itu? Sudah tentu sesuatu yang tidak baik akan selalu diingat
oleh murid bagi suatu masa yang panjang.
Di samping melanggar Kod Etika Perguruan, guru yang terbabit itu juga melakukan
kesalahan ataupun boleh dikatakan tidak melaksanakan akauntabiliti dengan sempurna.Mengikut
Kamus Dwibahasa , perkataan akauntabiliti dihuraikan sebagai bertangungjawab kepada seseorang
atau bertanggungjawab terhadap sesuatu. Menurut Tan Sri Ahmad Sarji, konsep akauntabiliti adalah
satu obligasi untuk memberikan jawapan dan penjelasan mengenai sesuatu tindakan dan prestasi
kepada mereka yang berhak untuk mendapat jawapan dan penjelasan tersebut. Akauntabiliti juga
adalah mengenai disiplin dan keperluan untuk memberikan justifikasi dan menerima
kebertanggungjawaban terhadap sesuatu keputusan yang telah diambil.
Akauntabiliti keguruan pula bermaksud tanggungjawab yang harus difahami dan
dilaksanakan oleh seseorang guru. Akauntabiliti keguruan juga membawa maksud tanggungjawab
guru terhadap profesionalisme keguruan. Akauntabiliti atau tanggungjawab seorang guru yang
dimaksudkan di atas merangkumi akauntabiliti guru terhadap pelajar, diri guru itu sendiri, sekolah,
masyarakat dan negara, dan profesion perguruan amnya.
Dalam kes yang dibincangkan itu, guru yang terbabit itu boleh dikatakan tidak melaksanakan
akauntabilitinya terhadap keempat-empat pihak iaitu akauntabiliti terhadap murid, ibu bapa, profesion
perguruannya serta masyarakat dan negara. Pertama, dari aspek akauntabiliti terhadap murid, guru
tersebut sepatutnya mengutamakan kebajikan dan keselamatan murid daripada hal-hal yang lain.
Beliau juga perlulah menunjukkan penampilan diri, peraturan dan perbuatan yang baik sepanjang
masa dan berusaha agar amalan dapat menonjolkan ciri-ciri kecemerlangan dan kualiti yang boleh
menjadi sumber inspirasi kepada murid. Hal ini adalah disebabkan guru dianggap sebagai individu
yang ideal, berstatus dan berkelayakan, maka tingkah laku guru akan menjadi ikutan murid seperti
kata pepatah jika guru kencing berdiri maka murid kencing berlari dan tidak berlaku seperti ketam
menyuruh anaknya berjalan lurus. Justeru, guru seharusnya menjaga tingkah laku diri sendiri dan
berusaha menunjukkan sesuatu yang dapat memberi contoh yang baik kepada murid.
Kedua, akauntabiliti terhadap ibu bapa. Seseorang guru haruslah mengelakkan diri daripada
mengeluarkan kata-kata dan melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kepercayaan murid dan ibu
bapa terhadap guru. Kelakuan kedua-dua pendidikan tersebut telah menjejaskan imej seorang
pendidik di depan murid dan hal ini seterusnya akan tersebar sehinggalah ke telinga ibu bapa. Impak
daripada kejadian tersebut ialah kepercayaan murid dan ibu bapa terhadap guru akan terjejas dan
ianya bukan sahaja ditujukan kepada guru yang terbabit itu, malah guru-guru yang lain yang tidak
terlibat juga tetap terpengaruh.
Seterusnya adalah akauntabiliti terhadap rakan sejawat dan profesion perguruan. Seorang
guru sepatutnya sanggup mengawal diri demi mengelakkan diri daripada membuat sesuatu yang
boleh menjatuhkan maruah seseorang guru. Akan tetapi, guru yang terbabit dalam kes tersebut
bukan sahaja melakukan sesuatu yang menjatuhkan maruah dirinya, malah juga mencemar nama

baik guru yang lain. Hal ini seterusnya akan menjejaskan profesionalisme perguruan dan akhirnya
pihak-pihak yang tidak bersalah juga tetap menerima impaknya.
Dari aspek akauntabiliti terhadap masyarakat dan negara, seseorang guru itu sepatutnya
mengelakkan diri daripada menyebarkan sesuatu ajaran yang bertentangan dengan Rukunegara dan
haruslah berusaha untuk memupuk sikap dalam diri murid dengan nilai yang membantu dan
membimbing mereka untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan berguna,
menghormati orang lain serta berpegang kepada tingkah laku yang sopan yang diterima oleh
masyarakat dan menjalani kehidupan sehari-hari dengan baik. Malangnya, guru tersebut
menunjukkan tingkah laku yang kurang sopan di depan murid, dan hal ini adalah bertentangan
dengan salah satu prinsip Rukunegara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan. Tingkah laku yang tidak
baik ini bukan sahaja tidak dapat memupuk sikap dalam diri murid yang positif malah ia sanggup
membina kelakuan yang negatif di kalangan murid.
Berdasarkan perkara-perkara yang dibincang di atas, salah satu punca yang mencetuskan
kes tersebut adalah tekanan yang dihadapi oleh guru tersebut. Pada abad ke-21 ini, guru
menghadapi cabaran yang lebih ketara dengan tuntutan daripada ibu bapa, masyarakat, pihak
pengurusan sekolah dan kementerian demi meningkatkan kualiti pendidikan. Suasana pengajaran
dan pembelajaran serta kualiti pengajaran guru kian dipersoalkan dan diutarakan sebagai punca
kemerosotan prestasi murid. Perubahan dalam sistem pendidikan yang menuntut paradigma dalam
kalangan guru akan secara langsung atau tidak membawa kepada tekanan terhadap guru.
Tekanan emosi sememangnya berlaku kerana guru berhadapan dengan pelbagai
tanggungjawab yang diamanahkan oleh pihak pengurusan selain perlu menunaikan tugas harian atau
tugas utama meraka di dalam bilik darjah. Dalam proses melakasanakan tugas dan tanggungjawab,
guru kian menemukan halangan, kesuntukan masa dan perselisihan faham antara guru. Jika guru
tidak dapat menyelesaikan masalah atau menangani cabaran yang dihadapi, mereka akan
mengalami tekanak emosi.
Mengikut Kyriacou (2000), stres guru merujuk kepada pengalaman guru terhadap emosi yang
tidak diingini seperti tekanan, kekecewaan, kebimbangan, kemarahan dan kemurungan akibat
daripada tugasnya sebagai seorang guru. Maka, stres merupakan tindak balas fizikal yang biasa
terhadap sesuatu perkara atau peristiwa yang boleh menyebabkan ketidakseimbangan berlaku.
Secara umumnya, punca stress di kalangan guru boleh dibahagikan kepada duaaspek, iaitu
punca profesional dan punca peribadi. Dalam aspek profesional, ia boleh dibahagikan kepada tiga
iaitu persekitaran kerja, perubahan dan beban kerja. Pertama, persekitaran kerja yang kurang
kondusif boleh menjadi punca berlakunya stres kepada guru yang terbabit dan seterusnya menjadi
pencetus bagi kes tersebut. Misalnya ruang kerja yang sempit dan kelas yang tidak selesa telahpun
menimbulkan ketidakselesaan kepada guru tersebut sebelum kes itu berlaku. Kedua, perubahan
peningkatan populasi dalam masyarakat, peningkatan taraf hidup dan jenayah yang memberikan
impak negatif dalam tingkah laku murid menyebabkan guru harus melakukan perubahan dalam
kehidupan profesional dan peribadinya. Seperti mana yang berlaku dalam kes tersebut, guru
dipercayai gagal mengawal kelas. Hal ini mungkin disebabkan perubahan tingkah laku murid tidak
dapat disesuaikan oleh guru tersebut dan akhirnya perubahan ini menyebabkan terganggunya sistem
keseimbangan dalam diri guru tersebut. Seterusnya beban kerja. Pihak guru pula saban hari dibebani
dengan pelbagai tugas yang semakin mencabar. Pembangunan profesionalisme diri guru sentiasa
dituntut, komitmen guru sentiasa dipertikaikan sementara sebaliknya pengorbanan guru kelihatan
agak kurang ditonjolkan oleh masyarakat. Oleh yang demikian, bebanan kerja yang semakin
meningkatkan menyumbang kepada tekanan emosi guru.
Dalam aspek peribadi pula, ia boleh dibahagikan kepada dua perkara yang paling utama,
iaitu kesihatan, kewangan. Kesihatan merupakan faktor yang amat mempengaruhi tingkah laku

seseorang. Dalam kes ini, kesihatan guru tersebut pada hari kejadian mungkin berada dalam
keadaan yang kurang baik. Justeru, emosi guru tersebut terganggu apabila berhadapan dengan
teguran dan rakaman yang dilakukan oleh guru besar tersebut. Selain itu, masalah kewangan juga
dijadikan salah satu perkara yang turut membangunkan tekanan seseorang guru. Gaji guru lebih
rendah berbanding dengan profesion yang lain. Oleh yang demikian, guru tersebut mungkin
menghadapi masalah kewangan pada masa itu dan ianya merunsingkannya pada setiap masa.
Maka, emosi dan tingkah laku yang negatif daripada guru tersebut dengan mudahnya dicetus.
Masalah ini jika dibiarkan berterusan akan menjurus kepada permasalahan yang lebih besar
dan kesannya amatlah buruk. Menyedari hakikat ini, maka langkah yang sesuai dan berkesan perlu
diambil. Pertama, meningkatkan kesedaran terhadap Kod etika keguruan. Sebagai seorang guru, kita
diingatkan agar tidak bertindak melanggar etika, melampaui batas peraturan atau undang-undang
kerana ianya sesuatu yang perlu dihayati dan dibangunkan secara dalaman dan bukan semata-mata
takutkan tindakan tatatertib apabila melanggarnya. Seseorang individu yang menghayati etika
perkhidmatan tidak akan melanggarnya bukan kerana takut kepada tindakan yang akan dikenakan
kepadanya, tetapi akan berasa amat bersalah dari segi profesion perkhidmatannya.
Kedua, memupuk profesionalisme perguruan. Dalam usaha memupuk profesionalisme
perguruan, upacara kemasukan guru pelatih merupakan salah satu caranya bagi pihak berkuasa
meningkatkan kesedaran guru pelatih terhadap profesion dan kod pemakaian semasa hari sambutan.
Selain itu, pertubuhan guru juga boleh mengadakan banyak aktiviti seperti forum, seminar, kursus
dalam pendidikan, konvensyen dan penyelidikan untuk memperbanyakkan ilmu yang berhubung
rapat dengan pendidikan seperti sosiologi, kepimpinan dan isu semasa. Di samping itu, bimbingan
pengurusan atasan juga merupakan perkara yang penting dalam memupuk profesionalisme
perguruan. Pendidik guru atau guru besar wajar adalah mental model. Mereka harus menampilkan
perkara yang baik dan berkualiti agar dapat dicontohi oleh guru permulaan dan guru pelatih.
Ketiga, kesedaran akauntabiliti seseorang guru. Dengan memahami prinsip akauntabiliti, guru
dapat memahami tanggungjawabnya yang sebenar. Penghayatan akauntabiliti haruslah dihayati
sepenuhnya kerana ia akan dapat meningkatkan tahap profesionalisme keguruan. Hal ini adalah
kerana penghayatan tersebut membolehkan semua guru dapat menjalankan tanggungjawab dan
tugas-tugasnya dengan penuh komitmen dan dedikasi. Akauntabiliti atau tanggungjawab seorang
guru merangkumi akauntabilitinya terhadap sekolah, diri sendiri, murid-murid dan profesion keguruan
akan dapat ditingkatkan sekiranya seseorang guru itu benar-benar menjalankan tanggungjawabnya
sebagai seorang pendidik dengan berkesan. Peningkatan dalam bidang tersebut melambangkan
tingginya kualiti seseorang guru yang juga akan meningkatkan taraf profesionalisme keguruan.
Selain itu guru juga dapat melaksanakan tugas itu dengan bersungguh-sungguh dan penuh
dedikasi sekiranya guru tahu tanggungjawabnya terhadap kerjayanya. Kesedaran kepada
akauntabiliti akan menjadikan seseorang guru itu lebih bertanggungjawab terhadap tanggungjawab
yang dilaksanakannya. Oleh yang demikian,akauntabiliti perlulah dihayati oleh semua guru. Sekiranya
seseorang guru itu mengabaikan akauntabiliti terhadap tugas, maka tanggungjawabnya tidak dapat
dijalankan dengan baik dan akan gagal melahirkan modal insan seperti yang dicita-citakan negara.
Hal ini seterusnya akan menjatuhkan martabat profesion perguruan oleh kerana perbuatan yang
tidak bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan.
Keempat, menangani stres yang dialami. Stres jika dibiarkan, boleh mendatangkan kesan
sampingan yang tidak baik. Justeru adalah penting untuk mengubah diri individu untuk menangani
stres dengan cara yang terbaik. Kenal pasti punca yang menyebabkan masalah tersebut dan ubah.
Dengan mengetahui punca stres tersebut, individu bukan hanya meringankan masalah kini malah
menghindarkan berulangnya masalah serupa pada masa akan datang. Contohnya, jika seseorang
guru kecewa dengan perbalahan dengan pelajarnya, guru tersebut mungkin menyedari bahawa

punca kekecewaannya itu bukan disebabkan oleh tingkah laku pelajar tetapi harapan yang tidak
realistik guru berkenaan. Dengan mengubah standard yang ingin dicapai, guru tersebut akan
mendapati bahawa tingkah laku pelajar tidak lagi mengganggunya.
Secara kesimpulannya, situasi sebegini akan menjadi lebih buruk jika ada sejarah
ketidakpuasan atau dendam masa lampau yang terpendam di hati dan tidak diluahkan dengan cara
yang profesional. Walau bagaimanapun, sebagai pendidik bangsa, bergaduh di depan murid
merupakan suatu perbuatan yang tidak wajar dilakukan. Hal ini demikian kerana golongan guru harus
menunjukkan contoh dan tauladan yang baik kepada anak didik. Kalau boleh di hadapan murid kita
tidak boleh menunjukkan kelemahan diri kita sebagai guru yang sentiasa dihormati dan dipandang
tinggi. Jika beginilah yang terjadi, percayalah sehingga ke 1000 tahun lagi, kita akan tetap diingati
oleh murid-murid kita sebagai guru yang bergaduh di hadapan mereka.
Kemarahan yang disebabkan tekanan peribadi, kerja, kewangan dan sebagainya hendaklah
ditangani dengan sebaik-baiknya. Jangan sampai kita disesatkan dan kewarasan kita dilenyek-lenyek
oleh hasutan iblis dan syaitan. Belajarlah bersabar walaupun pedis untuk melakukannya kerana
kesabaran bisa meranapkan gunung kemarahan yang ghairah memuntahkan larvanya. Jadikanlah
peristiwa ini sebagai ikhtibar kepada pendidik lain di seluruh negara. Tindakan ini bukan sesuatu yang
baik untuk dicontohi, bukannya sesuatu yang elok untuk diteladani. Semoga masalah ini menemui
jalan penyelesaian yang terbaik. Buka buku baru dan mulakanlah hidup baharu. Buang yang keruh
dan ambilah yang jernih. Dalam pada itu, jangan pula ada sesiapa yang cuba menangguk di air keruh
kerana tindakan itu mungkin hanya seperti tikus yang membaiki labu. Selesaikanlah dengan
kemaafan kerana kemaafan itu merupakan dendam yang terindah. Percayalah, nafas kita akan lebih
lancar selepas mengucapkan kata-kata Maafkanlah saya, saya berjanji tidak akan mengulanginya
lagi. Ucapkanlah walaupun susah kerana inilah ubat yang paling mujarab untuk kita membina
kembali hubungan yang rapuh itu.

Rujukan :
1.

http://busuk.org/ping/view/118974

2.

http://s6.zetaboards.com/DRAGONIZER/topic/760392/1/

3.

http://www.scribd.com/doc/2987986/KOD-ETIKA-PROFESION-PERGURUAN

4.

http://webmastering1.tripod.com/nantha/rank2.html

5.

http://www.scribd.com/doc/3630163/akauntabiliti-guru

6.

http://kulanzsalleh.com/stress-di-kalangan-guru/

7.

http://alumniksm.blogspot.com/2010/11/normal-0-false-false-false-en-us-x-none.html