Anda di halaman 1dari 4

Jika bisnes anda tiada di internet, maka bisnes anda akan musnah

- Bill Gates, pencipta Microsoft

Petikan kata-kata Bill Gates ini secara tersiratnya menjelaskan


bahawa pengaruh internet masa kini sangat kuat, begitu juga dengan
peranan internet terhadap hala tuju kehidupan seseorang. Marcapada ini,
internet merupakan satu ciptaan manusia yang wajar dikagumi, dalam masa
yang sama merupakan satu kepentingan dalam kehidupan setiap individu.
Hal ini kerana, hanya internet yang memberikan kepuasan bersosial,
berniaga dan belajar secara meluas tanpa had kepada pengguna. Bayangkan
dengan hanya satu klik, anda mampu mengakses seluruh alam maya tanpa
perlu bermandi peluh. Setiap individu perlu tahu akan kelebihan, keburukan
dan cara mengakses internet, termasuklah ibu bapa. Sebahagian besar ibu
bapa masa kini handal menggunakan internet manakala sebahagian kecilnya
tidak. Namun, sebagai mengambil langkah berjaga-jaga, ibu bapa wajar
untuk mempelajari secara khusus berkenaan dengan internet. Sekiranya ibu
bapa sudah mengenali internet, maka dengan mudah ibu bapa mengawal
kecenderungan anak-anak melayari internet dan secara tidak langsung, ibu
bapa mampu mendidik anak-anak dalam memanfaatkan penggunaan
internet.

Antara peranan yang harus dimainkan oleh ibu bapa dalam mendidik
anak-anak memanfaatkan internet pada masa kini termasuklah
mendedahkan anak-anak dengan segala maklumat berkaitan dengan
internet. Hal ini disebabkan, anak-anak perlu diberitahu mengenai baik-buruk
penggunaan internet sebelum mereka didedahkan dengan cara
menggunakan kemudahan internet secara bijak. Sekiranya anak-anak sudah
diajar dari awal, sudah tentu anak-anak akan lebih berhati-hati dan lebih
bijak dalam menggunakan kemudahan internet pada masa-masa akan
datang bak kata pepatah,sediakan payung sebelum hujan. Melentur buluh
biarlah dari rebungnya, oleh itu sememangnya ibu bapa bertanggungjawab
dalam memberi pengenalan kepada anak-anak mengenai penggunaan
internet dari kecil, yang ternyata amat penting dalam kehidupan masyarakat
moden masa kini. Jelaslah di sini bahawa pendedahan segala maklumat
berkaitan internet terhadap anak-anak merupakan tindakan yang wajar
dilakukan oleh ibu bapa.

Selain daripada itu, ibu bapa juga berperanan untuk memantau anakanak semasa menggunakan kemudahan internet. Alam maya ini tiada
batasnya, oleh itu internet ini mempunyai keburukannya. Pemantauan ibu
bapa sebenarnya mampu mengelakkan anak-anak daripada mengakses
laman-laman sesawang yang berunsurkan pornografi, mahupun melakukan
jenayah siber seperti mencetak rompak bahan media, mencetuskan
provokasi atau menggodam laman sesawang. Tindakan kecil yang dilakukan
ibu bapa ini juga tanpa disedari mampu menyelamatkan industri hiburan
tanah air yang kerap kali dirompak oleh orang-orang yang tidak
bertanggungjawab, termasuklah mengurangkan jumlah penggodam dan
pencetus provokasi di internet yang semakin hari semakin berleluasa. Anakanak juga terselamat daripada terus terperangkap di dalam kancah jenayah
siber, yang juga merupakan salah satu kesalahan yang akan dikenakan
tindakan keras seperti yang termaktub di dalam akta jenayah negara. Oleh
itu jelaslah bahawa tindakan ibu bapa dalam memantau anak-anak semasa
menggunakan kemudahan internet dapat mendidik mereka dalam
memanfaatkan kegunaan internet.

Namun begitu, ibu bapa juga seharusnya menyekat penggunaan


internet oleh anak-anak. Terbaru, ibu bapa kini mampu mengawal internet
dengan menyekat laman-laman sesawang yang berunsurkan negatif sebagai
langkah mengelakkan pengguna internet mengakses laman-laman tersebut
dan sistem yang sama digunakan pada peranti komputer yang disediakan di
semua alma mater milik kerajaan. Sistem sebegini bukan sahaja mampu
mengawal aktiviti penggunaan internet anak-anak, malah mampu mengasuh
mereka untuk hanya mengakses laman-laman yang berguna sahaja.
Bayangkan, sekiranya ibu bapa melaksanakan sistem sebegini di rumah,
sudah tentu anak-anak akan menggunakan perkhidmatan internet dengan
lebih bijak, seterusnya dapat menghindari mereka daripada mengetahui
mahupun mencuba untuk mengakses laman-laman berunsurkan negatif
seperti yang kebiasaanya berlaku dalam kalangan remaja dan orang dewasa
masa kini. Anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya, persis
kata peribahasa tersebut yang secara tersiratnya menegaskan bahawa ibu
bapalah yang perlu mengawal ton-ton warna yang ingin diwarnakan di atas
kain putih yang tidak berdosa. Cukup ditegaskan di sini bahawa ibu bapa
sebaik-baiknya mengawal penggunaan internet oleh anak-anak sebagai cara
mengajar mereka menggunakan internet secara lebih bijak.

Akhir sekali, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam


mendidik anak-anak menggunakan internet secara pintar dengan
memperkenalkan kepada mereka dengan medium-medium pembelajaran
menerusi internet. Seperti yang ditegaskan, internet sememangnya
memberikan banyak manfaat, termasuklah dari segi pendidikan. Hari ini,
kemajuan internet juga selaras dengan kemajuan teknologi seperti tablet
dan telefon pintar. Mengikut statistik juga, kedua-dua peranti ini merupakan
peranti pilihan pengguna untuk melayari internet. Oleh yang demikian,
adalah lebih baik para ibu bapa memperkenalkan laman sesawang atau
aplikasi pintar yang berunsurkan pembelajaran kepada anak-anak. Tanpa
disedari, sudah banyak aplikasi dan laman sesawang yang menyediakan
aktiviti pembelajaran menggunakan kemudahan internet, namun malangnya
kurang mendapat sambutan dalam kalangan pengguna internet masa kini.
Sebaik-baiknya anak-anak didedahkan dengan medium sebegini, sekurangkurangya mereka akan mula memanfaatkan penggunaan internet serta bijak
menggunakannya. Ibu bapa juga tidak perlu risau sekiranya anak-anak
menghabiskan masa dengan melayari internet mahupun menghadap peranti
pintar sepanjang masa, sekiranya peranti-perani di rumah diisi dengan
aplikasi dan laman pembelajaran yang berguna kepada anak-anak. Oleh
yang demikian, jelaslah sudah di sini bahawa tindakan ibu bapa
memperkenalkan medium-medium pembelajaran melalui internet kepada
anak-anak adalah amat wajar dalam mendidik mereka memanfaatkan
penggunaan internet.

Secara tuntasnya, perkhidmatan internet sememangnya memberikan


manfaat kepada pengguna walaupun secara minoritinya membawa kepada
keburukan. Namun yang demikian, semua ini bergantung kepada ibu bapa
itu sendiri, sama ada bijak atau tidak mendidik anak-anak dalam
memanfaatkan penggunaan internet dalam kehidupan seharian. Tindakan
kerajaan mengambil pelbagai langkah dalam memastikan perkhidmatan ini
mampu digunakan oleh semua anggota masyarakat sama ada di bandar
mahupun di luar bandar membuktikan bahawa internet sangat penting
kepada semua. Kerajaan juga banyak berusaha untuk memastikan
masyarakat menggunakan perkhidmatan tersebut dengan sebaik-baiknya,
namun usaha kerajaan akan menjadi usaha yang sia-sia sekiranya ibu bapa
tidak turut turun padang dalam membantu kerajaan melahirkan dan
mendidik generasi yang celik IT dan bijak menggunakannya.Mencegah itu

lebih baik daripada merawat, sememangnya jikalau ibu bapa mula bertindak
dari awal, masalah-masalah penyalahgunaan internet dan jenayah siber
yang semakin menjadi-jadi ini akan mudah dicantas, dan secara tidak
langsung, negara kita akan dipenuhi dengan generasi-generasi yang berguna
dan berfikiran hadapan.
(926 patah perkataan)