Anda di halaman 1dari 2

Perayaan Hindu

Di Malaysia, dua perayaan utama agama hindu yang disambut secara besar-besaran
adalah perayaan Deepavali dan Thaipusam. Namun begitu disebabkan lokasi kajian yang
dipilih oleh pengkaji adalah di Batu Caves, maka perayaan Thaipusam telah menjadi
fokus utama pengkaji untuk diceritakan didalam kajian ini.
Thaipusam adalah gabungan daripada 2 perkataan iaitu Thai yang membawa
maksud bulan kesepuluh dalam kalendar Tamil dan Pusam nama bintang yang bersinar
di angkasa. Menurut Rajantheran (1997) perayaan Thaipusam adalah perayaan yang
dirayakan ketika bulan purnama dalam bulan Thai yang melintasi bintang bersinar
yang bernama Pusam.
Di Malaysia, perayaan Thaipusam ini kebiasaanya diadakan pada bulan Januari
atau Februari setiap tahun. Perayaan ini bertujuan untuk meraikan Lord Murugan yang
merupakan anak kepada Tuhan Shiva dan Parvati. Dalam agama Hindu, Lord Murugan
merupakan Dewa Perperangan, Lord Murugan telah menerima satu senjata iaitu lembing
untuk digunakan bagi menentang tentera Tarakasura yang merupakan tentera kejahatan
(demon army) dan akhirnya pada bulan kesepuluh dalam kalendar hindu Lord Murugan
ini berjaya menewaskan kesemua tentera Tarakasura. Secara tidak langsung perayaan
Thaipusam ini adalah untuk menyambut kemenangan Lord Murugan yang menjadi
simbolik kepada kemenangan kebaikan menentang kejahatan.
Amalan dasar dalam menyambut perayaan Thaipusam ini adalah bernazar dan
menunaikan nazar. Nazar yang menjadi kebiasaan dalam penganut agama hindu adalah
melakukan Kavadi atau turut dikenali sebagai Burden Dance dimana mereka yang
bernazar untuk melakukan kavadi ini akan berpuasa terlebih dahulu bagi mensucikan
diri mereka. Pada hari perayaan Thaipusam ini disambut, mereka mencucuk tubuh badan
mereka kebiasaanya dengan buluh bagi membawa patung yang telah mereka bina ke kuil
dimana mereka menyambut Thaipusam dan mereka tidak merasakan kesakitan ketika
melakukan nazar ini. Ketika menyambut perayaan Thaipusam, penganut agama ini akan
mengadakan pemujaan secara beramai-ramai bagi mendapatkan rahmat, selain itu mereka
juga akan membawa barang-barang persembahan seperti bunga, buah-buahan dan kelapa

bagi upacara sembahyang. Sebelum memasuki kuil, penganut agama hindu dikehendaki
untuk memecahkan kelapa sebagai simbolik pembersihan diri terhadap ego yang ada
didalam diri mereka dan bilangan kelapa yang dipecahkan adalah ditentukan berdasarkan
nazar yang dilakukan oleh penganut agama hindu dan jumlah kelapa yang dipecahkan
haruslah ganjil.

Anda mungkin juga menyukai